Sunday, January 29, 2017

Enggang Dan Kenyalang




Burung Enggang/ Kenyalang yang sininonim paruhnya.


Pada akhir tahun-tahun 60an kampung penulis masih banyak kawasan hutannya. Masih kaya dengan flora dan faunanya. Antara yang masih banyak ialah burung enggang. Besar, paruhnya panjang dan bunyinya kuat. Sangat banyak membiak. Pada waktu siang banyak yang berterbangan di kawasan perumahan penduduk kampung. Enggang dianggap istimewa sehingga diperibahasakan enggang sama engang, pipit sama pipit. Enggang dikonotasikan sebagai burung elit. Tinggi darjatnya. Berbeza secara signifikan dengan pipit. Saiz, bulu, paruh dan bunyi enggang gah. Terbang dan hinggapnya juga dilihat gah. Jauh bezanya pipit di ladang. Tidak signifikan dari segi saiz dan bunyinya. Kehadiranya di sawah hanya memakan padi. Terbangnya bagai tidak menggoyang pokok padi. Terlalu kecil. Hanya satu indahnya pipit. Terbangnya berkawan. Banyak dan berombak beralun. Enggang pula lazimnya terbang dan hinggap berpasangan atau bersendirian. Barangkali lesung pipit yang kelihatan cantik. Tidak lesung enggang.

Hari ini, Sabtu 28 Januari 2017, buat pertama kalinya penulis menjejakkan kaki di bumi Sarawak. Bumi kenyalang. Bumi enggang. Kenyalang dan enggang adalah burung yang sama. Di Sarawak disebut kenyalang. Di semenanjung disebut enggang. Burung yang sama tetapi dua namanya. Di Sarawak burung enggang sangat terlalu istimewa statusnya. Negeri dan hutannya luas. Habitat enggang yang memudahkannya membiak.  Simbol kedaulatan, keperwiraan dan kegagahan. Sangat dekat di hati peribuminya. Bulunya sinonim dengan setengah etnik di Sarawak. Dijadikan sebahagian regalia kaum lelakinya. Jika dahulu regalia itu untuk berperang tetapi sekarang ianya untuk sambutan perayaan seperti hari Gawai. Dan enggang menjadi lambang rasmi negeri Sarawak.




Di kampung penulis, enggang dikira pupus. Habitatnya telah musnah.  Hutan telah habis diteroka, dipugar dan dijadikan kebun-kebun penduduk kampung. Subur dengan pokok-pokok getah, nanas, kelapa dan sekarang kelapa sawit. Habitat semulajadi enggang diganti dengan perkebunan penduduk dan kawasan tempat tinggal. Tempat mencari rezeki dan berbudi kepada tanah. Begitulah apabila yang datang memusnahkan maka yang dimusnahkan hilang dari menajdi warisan berzaman. Hanya tiggal sejarah dan kenangannya sahaja. Kita tidak peka dengan pentingnya alam dan kita lupa bahawa kita perlu menyatu dengan alam. Sewajarnya kita bukan mengganti tetapi berintegrasi. Melakukan kohabitasi. Sama-sama hidup. Sama-sama mencari makan. Sama-sama berkompromi dan hidup harmoni bersama alam persekitaran yang sama.

Sewaktu penulis mula tinggal di rumah sekarang ini, kelihatan beberapa burung enggang terbang hinggap di pokok besar berhampiran dengan rumah. Seperti sesuatu yang muncul kembali dari suatu kemusnahan. Mungkin datangnya dari bukit-bukau di sekeliling Bandar Penggaram. Namun begitu sejak 10 tahun kebelakangan ini tiada lagi enggang yang datang. Bukan itu sahaja: terdapat juga tekukur, merbuk, merbah, murai, raja udang, tiung dan pipit. Kesemuanya bagaikan hilang. Tiada lagi bunyi tekukur. Tiada lagi dekut merbuk. Tiada lagi bisingnya murai. Tiada lagi decit pipit. Burung raja udang berwarna biru hilang entah ke mana. Kemusnahan yang kita alami sebenarnya sangat meluas. Sangat serius.  Kemusnahan yang tidak akan dapat dipulihara. Tidak dapat dikembalikan lagi ke asalnya. Kemusnahan yang memang memusnahkan.

Menyeberangi Laut Cina Selatan mengingatkan penulis zaman silam yang telah datang tetapi menghilang. Kemajuan, perubahan lanskap alam, perubahan persekitaran merealisasikan impian dan wawasan hidup senang pasca kemerdekaan. Namun impian itu banyak memusnahkan banyak warisan alam. Warisan kita sendiri. Kemusnahan habitat semulajadi dan pencemaran memusnahkan apa yang ada. Undang-undang perlindungan tidak memberi erti. Pemuliharaan tidak juga dapat membetulkan keadaan. Menjaja kemajuan rupanya menidakkan kita dari perlunya mendakap warisan berzaman. Bak kata pepatah, yang dikejar memang dapat tetapi yang dikendung berciciran. Warisan yang hilang bukan murah harganya. Harga warisan yang tiada nilai taranya. Teralalu mahal. Masalahnya tiada siapa yang peduli. Keuntungan  yang sedikit menutup kewarasan dalam membina pembangunan. Kemusnahan bukan isu apabila keuntungan menjadi matlamat segala-galanya.

Apabila usia berlalu, banyak yang telah ditinggalkan. Anak-anak muda masih galak bermain mercun dan bunga api. Mereka tidak tahu bahawa warisan nenek moyang dan generasi mereka telah pupus. Benar kata orang, apa ada pada yang lama. Hanya sejarah yang bukan lagi realiti. Tetapi tanpa yang lama apa sebenarnya yang baru. Ciptalah sebanyak mana yang baru jika tanpa berlandaskan yang lama maka kamus bahasa akan semakin menipis. Banyak perkataan dan istilah yang hanya boleh dieja dan disebut. Pergi ke google dan wilkipedia tetapi hanya bayangan dan cerita yang ada. Suatu sejarah yang malas hendak dibaca. Apa lagi jika panjang berjela-jela. Pada hal lebih mudah memelihara warisan dari mencipta warisan baru yang  kebanyakannya hanya silih berganti. Tiada yang lestari.


Dalam apa-apa perjuangan kita jarang mendapat  kesemua yang kita perjuangkan. Apatah lagi jika hala tuju kita terlalu terfokus. Kita mencapai kemajuaan tetapi dengan harga yang sangat mahal. Kita memusnahkan warisan yang lebih mahal dari kemajuan. Kita selalu hanya mengambil jalan mudah. Jalan cepat. Jalan pintas. Jalan berhati-hati bukan lagi pilihan. Jalan menyelamat bukan juga pilihan. Enggang tetap enggang. Kenyalang tetap kenyalang. Apakah kita rela menjadikannya hanya warisan dalam kenangan? 

Tuesday, January 24, 2017

Memberi dan Membantu


Dalam dunia ini banyak kategori diri kita. Kita mungkin tidak sedar dalam kategori mana kita berada.
1                     Pandai dalam satu kategori tetapi kita tidak tahu bahawa kita tidak pandai dalam banyaaak kategori lain.  
2                     Hebat dalam satu ketegori tetapi tidak hebat dalam banyaaak kategori lain.
3                     Mengetahui dalam satu bidang tetapi banyaaak sangat yang kita tidak tahu.

Kita rasa kita sudah cukup memberi tetapi banyak lagi yang belum menerima pemberian kita. Belum cukup kualiti pemberian kita. Belum cukup kuantitinya pemberian kita. Beluam memberi kepuasan nurani dan psikologi kepada orang lain. Kita yang memberi pun belum puas kerana pemberian kita tidak seberapa.   Usah benarkan diri kita ingin banyak menerima kerana yang paling baik ialah pemberian Allah. Anugerah Allah. Limpah kurnia Allah.

Penulis guru Al-Quran. Dalam sehari hanya beberapa orang sahaja yang dapat dibantu untuk memperbaiki bacaan al-Quran mereka. Dalam kelas secara massa mungkin keberkesanannya tidak seperti bertalaqqi bersemuka seorang demi seorang dalam masa setengah jam atau sejam seorang. Di luar sana sangat ramai lagi khalayak yang perlukan bimbingan. Paling baik tentunya:
1                     Bapa yang membimbing isteri dan anak-anaknya.
2                     Ibu yang membimbing anak-anaknya kerana kehadiran  ibu lebih dekat dengan anak-anaknya.
3                     Jiran tetangga sesama sendiri.

Cuba kita lihat sekeliling kita. Kita mengetahui siapa yang boleh membaca al-Quran dengan baik dan siapa yang tidak. Dalam banyak majlis mengenai al-Quran sepertinya 95% dihadiri oleh wanita. Sekitar 80% adalah mereka yang sudah mencapai status warga emas. Ketidak masa sudah sangat singkat masih berkesempatan untuk mempelajari al-Quran. Masih Allah beri peluang untuk mendalaminya sekadar kemampuan kesihatan dan masa yang ada. alhamdulillah dalam keuzuran ramai yang Allah beri tempoh masa untuk mempelajari al-Quran. Untuk lebih mengetahuinya. Walhal di luar sana terlalu ramai yang tidak terlibat dengan al-Quran. Terlalu ramai. Soalnya, apa perlunya al-Quran lagi?

Bukankah al-Quran adalah sumber segala sumber.
1                     Sumber segala ilmu. Sebut apa sahaja, kesemuanya terdapat di dalam al-Quran. Tidak ada yang tertinggal. Tetapi perlu mengkaji. Membuat eksperimen. Soal selidik. Mencari jawapan-jawapan yang tidak kita ketahui. Dinemsi ilmu itu terlalu luas. Bak cakerawala di angkasa raya. Banyak dan luas. Dekat dan jauh. Besar dan seni.
2                     Sumber tamadun. Kajilah tamadun zaman Nabi Nuh as. Teknlologi pembuatan kapalnya yang sangat mengkagumkan. Tahan badai. Nabi Hud as dan kaun ‘Ad yang besar saiznya. Tamadun mereka luar biasa di Alqaf di Yaman. Nabi Salleh as di Madain dengan ukiran bangunan di gunung-gunung. Nabi Ibrahim as dan pembangunan kawasan di Makkah khususnya Kaabah dan Masjid al-Haram. Zaman Iskandar Zulkarnain dan tembok untuk menghalang Yaajuj dan Ma’juj.
3                     Sumber teknologi pengangkutan.
4                     Sumber teknologi angkaasa. Sember pertanian.
5                     Banyak dan banyak lagi. Panjang senaraainya tanpa had panjangnya.

Tidak pernah rugi sesiapa yang belajar, mempelajari, mengkaji dan mendalami al-Quran. Penulis sebak setiap kali memikirkan ummah yang sentiasa sibuk sehingga melupakan akhirat. Kaum sejeni spenulis ramai yang selalu dalam kategori tertinggal apabila diperkatakan bab al-Quran.
1                     Malu hendak belajar. Takut nanti dikesan orang kelemahannya. Pada hal apabila kita belajar hasratny a ialah supaya orang mengesan kelemahan kita membaca al-Quran. Guru membantu kita memperbaiki kelemahan kita itu.
2                     Ada orang yang berasa sudah cukup ilmu al-Qurannya walaupun orang sekeliling mengetahui kelemahan dirinya. Kelemahan diri bersama dengan ego adalah dua kembar yang menghalang ke arah melembutkan hati.
3                     Ada orang sangat maklum akan kelemahan dirinya tetapi bertahan untuk tidak belajar lagi. Tidak mencari guru untuk membantu.

Kadang-kadang kita salah berfikir. Kita redha orang tahu kita tidak mahir membaca al-Quran dari berusaha belajar untuk memahirkan diri. Tanpa belajar mereka kehilangan:
1                     Nikmat belajar.
2                     Nikmat berguru.
3                     Nikmat bersosial dama bidang al-Quran dan agama.
4                     Nikmat berinteraksi dengan al-Quran.
5                     Nikmat memahami agama melalui al-Quran.
6                     Nikmat membaca al-Quran dengan lebih tepat makhraj dan sifatnya.
7                     Nikmat mengetahui berbagai-bagai ilmu berkaitan al-Quran.
8                     Nikmat mendapat ketenangan melalui al-Quran.

Sebenarnya berjinak dengan al-Quran setelah mengetahui berbagai-bagai ilmu adalah suatu kelebihan. Advantage. Ilmu yang berbagai membantu memahami al-Quran dengan lebih mendalam. Malah lebih santai. Ilmu seperti Matematik, Kimia, Biologi, Fizik, Geologi, kajicuaca, astronoomi dan berbagai yang lain memudahkan kita menghadam isi kandungan al-Quran. Sekarang ini ramai golongan profesional yang memajukan diri dalam bidang al-Quran, terjemahan dan tafsirnya. Tadabbur dan tadzakkurnya. Kajian yang berterusan pastinya menemukan kita proses memahami al-Quran dengan kadar yang lebih berkualiti.


Yang penting setiap kita keluarlah dari kepompong malas, malu, berasa cukup, rendah diri, menyingkir, membawa diri atau menolak. Sesungguhnya kita semua pasti kembali kepada Allah. Sesungguhnya setiap yang bernyawa/bernafas pasti tiba ajalnya. Termasuklah kita semua.  Belum banyak yang kit apelajari. Tidak banyak yang kita sumbangkan. Fardhu ain kita sangat sedikit. Fardhu kifayah kita terbatas jika fardhu ain kita tidak mencukupi.  Kita bukan sahaja hanya untuk melepaskan diri kita sendiri bahkan tugas kita ialah untuk membawa sama mereka yang berada di sekeliling kita ke syurga yang Allah janjikan. Marilah kita sama-sama mencari untuk menerima yang terbaik dari mereka yang arif di sekeliling kita.   Mudah-mudahan dengannya kita pula diberi peluang untuk menyumbang seberapa yang kita ada.