Hidup berdikari bukan bererti hidup sendiri dan menyendiri. Yang saya maksudkan ialah pandai hidup bersama orang lain. Tetapi tidak bergantung dengan orang lain. Pening, pening. Pusing-pusing pula. Berbelit-belit. Jangan risau. Nanti saya terangkan.
Dalam hidup kita, ada masanya kita berkongsi ruang dan suasana. Di sekolah kita dalam kelas yang sama, perpustakaan yang sama, kantin yang sama, padang yang sama dan sama-sama kena leter waktu perhimpunan mingguan. Di asrama kita berkongsi ruang yang sempit. Di masjid kita berkongsi saf. Dalam bas kita berkongsi tempat duduk. Di rumah sewa kita berkongsi semua bilik dan ruang. Dalam masyarakat kita berkongsi ruang, masa, kepakaran dan persahabatan.
Apabila kita berkenalan dengan seseorang, walau atas apa kapasiti sekalipun, kita mendapat dua persepsi. Positif apabila ada kimia antara kita. Negatif apabila berlaku clash of personality. Itu langkah pertama. Jika negatif, perbincangan kita tamat di situ. Jika positif, ceritanya panjang lagi. Perhubungan persahabatan, silaturrahim akan terbentuk menjadi uhkwah yang kukuh.
Dari jauh semuanya dilihat cantik. Tidak ada cacat cela. Memang sukar melihat cacat cela orang yang kita sayangi atau orang yang kita hormati. Namun segalanya boleh berubah apabila kita melaksanakan pendekatan berdikari. Di sinilah sebuah rumahtangga boleh tumbang. Persahabatan boleh terungkai. Persepakatan boleh terlerai. Sebuah pasukan boleh berpecah. Hanya kerana ada ahli yang tidak tahu berdikari. Ahli yang lain terpaksa cover tentang kelemahan rakan yang tidak berdikari.
Hidup berkongsi harus ada pembahagian tugas, pembahagian kewibawaan (authority), pembahagian tanggungjawab (responsibility). Perlu juga pembahagian sempadan, ruang, tempat, masa dan keadaan. Ini yang agak sukar. Pertamanya, hendaklah dilantik seorang ketua. Dalam sebuah hadith, Rasulullah bersabda yang mafhumnya, apabila dua orang bersepakat untuk bersama maka seorang daripadanya hendaklah dilantik sebagai ketua. Apabila ramai yang berkongsi ruang seperti rumah, kondo, apartmant, bunglow, maka perlulah seorang ketua, timbalan, setiausaha, penolong setiausaha, bendahari dan AJK dengan tugas-tugas khas seperti ketua chef, ketua keceriaan, imam, bilal, dan sebagainya.
Semua tugas mengurus rumah hendaklah dijadualkan secara adil. Tanpa kecuali. Memasak hendaklah bergilir-gilir. Pandai atau tidak pandai bukan isu. Semua mesti memasak apabila sampai giliran. Konsepnya ialah giliran adil, jimat kos, boleh dimakan. Yang tidak pandai memasak, cukuplah walau hanya telur goreng atau sardin dipanaskan. Mungkin hanya berulamkan kobis atau kacang panjang. Yang pandai memasak, bukalah selera teman-teman yang lain.
Selepas makan, kemas meja, basuh pinggan, kemas dapur, bersihkan sinki, sapu sepah sampah di bahagian dapur. Susun pinggan mangkuk dan periuk belanga. Jadikan semuanya sedap dipandang, lantai sedap dipijak. Mop selalu untuk menghilangkan minyak-minyak selepas memasak. Yang memasak ambil giliran mengemas kesemuanya. Yang makan mesti, mesti basuh pinggan mangkuk sendiri, sudu, garpu. Tidak boleh serah kepada rakan lain untuk membasuh pinggan mangkuk yang anda guna semasa makan. Kenakalan jangan melampau-lampau. Orang seperti itu perlu disingkirkan dari sebarang perkongsian.
Keceriaan rumah hendaklah dikongsi bersama. Gilirkan jadual. Halaman rumah, ruang tamu, tangga, dapur, ruang keluarga dan bilik air. Bilik tidur digilir antara yang menghuni bilik itu sahaja. Ruang lain kerana dikongsi bersama maka hendaklah diurus bersama.
Bilik air hendaklah selalu dibasuh. Jadualnya hendaklah dipatuhi. Jangan sampai licin, berlumut, berkeladak dan membahayakan penggunanya sendiri. Rendaman kain hendaklah dibasuh segera. Jangan penuhkan bilik air dengan rendaman pakaian yang melemaskan. Memenuhkan ruang dan jika lama akan berbau busuk. Rakan lain yang hendak membasuh berhadapan dengan masalah ruang.
Semua keperluan seperti sabun mandi atau shower gel, berus gigi dan ubatnya, syampu, bedak, minyak rambut, pewangi ketiak, pewangi badan dan sebagainya adalah milik individu. Jangan main berkongsi. Lain orang lain jenama yang menjadi pilihannya. Sabun basuh juga individu kerana bagi yang rajin membasuh akan menggunakan lebih banyak sabun. Yang lain rasa rugi sebab tidak berapa suka membasuh pakaian. Jangan tumpang pakai orang punya. Masing-masing ada kekangan kewangan. Belajarlah menghormati kepayahan orang lain.
Pakaian hendaklah dilipat atau digantung rapi. Jangan biarkan bersepah-sepah hingga tidak dikenal siapa yang punya. Jangan pakai sebarang-barang pakaian kawan terutamanya seluar dalam, singlet, kemeja-T kerana ditakuti menjangkitkan penyakit seperti kudis, panau, kayap dan penyakit kulit yang lain. Itu belum dikira penyakit hati yang geram, benci, meluat, marah dan sebagainya. Persahabtan hendaklah dihormati. Perasaannya dijaga.
Bila menyidai pakaian, jagalah etikanya. Seluar dalam atau coli hendaklah disembunyikan sedikit dari pandangan umum. Sediakan penyidai yang terlindung. Yang bersaiz kecil mengikut urutannya. Dari yang kecil hinggalah yang paling besar. Baru nampak tersusun. Kalau bakal emak mertua lihat pasti berkenan. Kalau sudah jadi menantu, mertua akan puiji melangit. Kembang kempis hidung membusungkan bangga.
Walau bagaimana sekalipun apa sahaja yang berkaitan dengan perkongsian hendaklah dikongsi bersama. Tanamkan dalam jiwa supaya sentiasa bantu membantu. Dengan siapa sahaja kita berkongsi maka semangat (spirit) perkongsian itu mesti dihidupkan. Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Jika semangat itu dikekalkan sudah tentu semua perkongsian akan membuahkan persefahaman dan akhirnya semua yang berkongsi akan bahagia.
Ini ada beberapa resepi untuk memasak cara mudah. Pertama, udang dan mentega (butter). Resepi ini milik seorang teman di Kanada, orang Perancis.
Udang dan mentega:
Udang galah barang sekilo. Jika ramai yang hendak makan, tambah lagi.
Rebus tanpa garam.
Panaskan mentega hingga cair.
Buang kulit udang. Cecahkan pada mentega yang sudah cair. Pasti menjilat udang dan jari.
Cubalah hari ini juga. Jangan tunggu-tunggu. Nanti kecur air liur memanjang hari.