Friday, June 13, 2014

Siri Tiga: Membina Keluarga Berbeza Zaman



Di Masjid Besi, Putrajaya. Pasca kemerdekaan yang tidak pernah terimpi sewaktu memperjuangkannya dahulu. Yang tertancap di sanubari hanyalah keghairahan membebaskan negara dari British. Keluar dari lambang kelemahan bangsa.


Siri Ketiga:


Hidup berkeluarga sudah menjadi fitrah manusia sejak dari Adam dan Hawa. Haji Abas bernikah dengan seorang gadis pingitan desa yang dikenali dengan nama Sinah. Berketurunan Banjar. Manis dan cantik orangnya. Pada mata Haji Abas, Sinah seperti secantik Azizah pujaan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Mereka sepadan bak pinang dibelah dua. Sama tinggi bila berdiri. Sama rendah bila duduk. Menjadilah pasangan ideal di Parit Sulung. Jauh dari keributan bandar. Belum dibangunkan seperti sekarang. Pernikahan itu direstui kedua keluarga. Hasrat besar untuk membina mahligai bahagia rupanya sehalus sutera yang nipis. Ada halangan kasih yang tidak mendatang. Ada penjara diri yang tidak memberi sayang. Terhalang bina bangun sebuah bahagia. Jodoh mereka tidak panjang. Terlerai sebuah ikatan tanpa selisih. Pernikahan itu tidak menghadiahkan seorangpun cahayamata. Kekal berbaik walaupun bercerai hidup. Jodoh tidak dapat mengikat mereka. Sayang.

Mencari ganti bukan semudah menukar pakaian. “Di mana kan ku cari ganti?” tanya P. Ramlee. Lama juga menduda sehinggalah dipertemukan jodoh kedua dengan seorang wanita lain di Parit Jawa. Mendapat anak seorang lelaki. Dinamakan Ismail. Sekali lagi Haji Abas terdampar bahagianya. Isteri keduanya meninggal sewaktu anaknya masih kecil lagi.  Aduhai! Tentu sahaja remuk sebuah hati. Luluh menghancur badai sayang. Yang memutus tali kasih. Yang melerai tambatan dua jiwa. Untuk kedua kalinya Haji Abas berkelana hatinya. Membawa sisa-sisa hati yang payah. Merawan duka dan lara. Mengenang nasib yang belum menjadi. Yang belum memberi bahagia. Mencari ganti banyak payahnya.

Di Parit Maimun Haji Abas menemui seorang gadis desa yang sudi menerima hamparan hatinya. Menikah lagi dengan Aminah yang berkekalan sehingga sekarang. Ketika masing-masing sudah melampaui zaman tua. Ketika itu Hajjah Aminah bertiga beradik. Yatim piatu kerana kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia. Mereka hidup bersama nenek mereka. Kebetulan rumah nenek mereka berhampiran dengan rumah bapa saudaranya yang bernama Haji Asmawi. Berhampiran pula dengan rumah sepupu Haji Asmawi yang bernama Haji Gumbri. Berhampiran juga dengan rumah Penghulu Salleh yang terkenal di Simpang kiri. Kuala Parit Maimun ketika itu sibuk. Terdapat sebuah jeti. Di seberang sungai adalah kuala Parit Gawung. Terdapat Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah. Parit Maimun-Sungai Nipah agak meriah dengan keriuhan sekolah. Dengan adanya kedai-kedai runcit. Kedai makan. Begitu juga ramai dengan mereka yang seberang-menyeberang untuk ke kampung-kampung yang berdekatan.

Bersama Hajjah Aminah Haji Abas dikurniakan 10 orang anak. Dua darinya telah meninggal dunia sewaktu kanak-kanak. Lapan yang masih hidup. Maka sembilan oranglah anak Haji Abas yang hidup hingga dewasa. Anak sulungnya yang bernama Ismail telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Meninggalkan seorang balu dan seorang anak angkat. Yang masih ada sekarang ini adalah anak-anak Hajjah Aminah. Perkongsian hidup mereka inilah yang melahirkan puluhan cucu dan lebih 100 orang cicit. Sudah ada piut. Mereka melahirkan lima generasi. Banyak statistik keluarga yang mungkin tidak diketahui oleh cucu dan cicit. Sejarah silam yang tidak diulang cerita. Tiada selampit untuk melagukannya. Kepada Haji Abas ianya hanya cerita lama. Dikenang tetapi bukan untuk dirayu kembali.

Dari Hajjah Aminah lahirlah Rugayah, Arfah, Madzlan, Maznah, Maslan, Noriah, Ramlan dan Norazah. Lima anak perempuan dan tiga anak lelaki. Zaman banyak berubah. Jika dahulu anak-anak hidup di sekeliling ibu bapa tetapi anak-anak Haji Abas hidup berjauhan dengan beliau. Jika dahulu berdua sekarang juga berdua. Anak cucu sahaja yang kekadang menjenguk induknya. Bersilih ganti bertanya khabar. Menyukakan diri mereka. Tentu sunyi apabila keriuhan yang dahulu sudah lama tiada. Andainya ada jadual menjenguk hadir, tentu setiap minggu ramai yang datang ziarah. Tidak bersama adalah suatu kerugian. Tidak menjenguk adalah suatu kerugian yang berganda. Usia 100 tahun bukan boleh bertahan lama. Tataplah bak menatap Kaabah. Di sebalik wajah tua itu banyak tersalut rahsia hati. Banyak senarai payah yang tidak tertulis.

Apabila induk semakin tua, anak cucu juga diheret tua. Kitaran keluarga Haji Abas berterusan membariskan warisan perjuangannya. Menderapkan semula gelora memperjuangkan wadah kehidupan pasca kemerdekaan. Mengenali hati nurani tuanya Haji Abas tentu mengujakan generasi warisan keluarganya untuk berbakti kepada negara. Kepada bangsanya. Jika dahulu dia hanya terlibat sekarang ini warisan keturunannya terlibat secari langsung menyumbang bakti. Belajarlah dari penglibatan indukmu. Menyumbang bakti bukan kerana ganjaran. Bukan kerana imuhan. Bukan kerana pangkat. Bukan kerana puji dan puja. Bukan kerana desakan dan paksaan. Berbaktilah kerana ianya diperlukan. Kuantitinya perlu lebih besar. Kualitinya perlu lebih baik. Darjahnya perlu lebih tinggi. Perjuangan Haji Abas perlu disegarkan semula. Dikitar semula untuk menjadi sumber perjuangan generasi muda yang selalu tumpul semangatnya.


Hajjah Arfah, anak kedua Haji Abas besama Hajjah Aminah, bersama anak lelakinya, menantu dan cucu-cucu

Siri Dua: Lima Pekagha Yang Oghang Melayu Kena Jaga.




Dalam ingatannya tentu banyak yang tersimpan. Perlu petikan-petikan tertentu yang boleh mengembalikan ingatan itu. Mengembalikan zaman yang berlalu. Penuh liku dan sembilu dalam hidupnya. Kita hanya mampu melihat tetapi tidak mungkin dapat menyelaminya. 

Siri Kedua: 

Itu adalah kata-kata yang lahir dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di dalam sampan yang dinaiki bersama dengan Haji Abas. Tunku terkenal dalam loghat kedahnya. Tahun 1955 yang sudah terlalu lama. Namun sejarah itu tetap segar hingga sekarang. Ketika itu semangat orang Melayu sedang rancak hangat dirangsang keinginan untuk memerdekakan negara dari penjajah British. Tunku adalah rantaian kepimpinan Melayu yang sedang menggelora dan menggoncang semangat merdeka untuk bangsa Melayu khususnya di luar bandar. Pilihanraya pertama pada tahun 1955 itu bukan kepalang peritnya. Bukan dari segi kempen tetapi dari segi perhubungan dan pengangkutan. Jalanraya hanya ada di sekitar adanya kepentingan penjajah. Luar bandar benar-benar di luar jangkaan anak-anak sekarang. Tidak ada jalanraya. Tidak ada kenderaan berjentera. Tidak ada elektrik. Tidak ada bekalan airpaip. Tidak ada TV. Yang ada mungkin radio besar yang menggunakan bateri lori. Bukan bateri kereta. Dari masa ke masa perlu dicas supaya penuh dan berfungsi. 

Dalam suasana itulah Haji Abas turut terlibat. Dia bukan orang besar di Simpang Kiri. Tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Bukan juga orang penting dalam kampung. Semangat Melayu yang berombak di dadanya bergetar dan menggetar menagih bebasnya negara dari British. Semangat Melayu yang bergembelingan menautkan darah rumpunan Melayu Nusantara. Berderap segaknya Haji Abas dengan seluar putih melepak. Berkanji dan diseterika menegak saidnya. Berbaju putih  berlengan panjang. Berkanji dan berseterika. Bersaid tajam di lengan. Songkok hitam yang mereng mengikut kanan atau kiri. Putih lambang suci. Bersih dan ikhlas memperjuangkan sesuatu yang hak. Mencari kemurnian sebuah bangsa dan negara. Langkah juangnya bersama rakan taulan. Satu hati dan tujuan. Pada era itu hanya Tunku tempat sandaran. Putera raja yang turun dari kayangan. Membawa bersamanya nukilan murni cita-cita sebuah bangsa yang ingin bebas bak merpati putih yang sesuka hatinya terbang dan pulang.

Haji Abas sangat ranggi orangnya. Pakaiannya sentiasa rapi. Hingga sekarang pada usianya 100 tahun ia masih mempertahankan kekemasan berpakaian. Baju berlengan panjang. Berkasut kulit dan bersetokin walaupun untuk ke rumah anak-anak yang jauhnya beberapa kilometer sahaja. Walaupun untuk makan di luar. Dia menjaga class dirinya. Tidak tercalar. Tidak tercabar. Tidak merendah tetapi tidak untuk berasa megah. Suatu penampilan yang dijaga. Yang diurus seumur hidup. Bagi yang tidak mengenalinya secara dekat ramai yang menyangka bahawa suatu ketika dahulu Haji Abas pasti seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi. Begitulah pakaian berkata-kata apabila kemas dipakai. Sedap mata memandang. Banyak prinsip hidupnya yang perlu diturunkan kepada semua warisan keturunannya. Ada falsafah yang nampak remeh tetapi itulah resam Melayu yang sudah banyak dilupakan orang. Sayang jika seni budaya bermasyarakat ini tidak diwarisi. Kita mungkin tidak selesa dengan banyaknya prosedur dan prosesnya membuat kerja tetapi hasil kerjanya selalu menuntut precision. Kejituan ukuran dan sukatan. Jika lurus benar lurusnya. Jika tinggi cukup tingginya. Jika dalam cukup dalamnya. Jika lebar cukup lebarnya. Prinsip ini tiada komprominya.

Kempen pilihanraya tidak banyak ragamnya. Tidak gah. Tidak ada politik wang. Tidak ada. Semuanya atas dasar semangat. Semangat juang pahlawan-pahlawan dahulukala. Mahu bebas sebebasnya. Masing-masing dengan semampunya bergabung tenaga bersama. Berkongsi apa yang ada. Walaupun ketika itu bukan zaman senang. Usaha kuat bukan kepalang. Sebelum merdeka, Tanah Melayu bukan mewah kehidupannya. Makan sekadar cukup. Wang ringgit selalu berjimat. Tetapi demi sebuah kemerdekaan kempen pilihanraya yang menelusuri kawasan-kawasan luar bandar sangat menangkap minat orang Melayu. Sebab itu orang Melayu di Johor sangat sinonim dengan Perikatan, UMNO dan Barisan Nasional. Akar umbinya di Johor. Diasaskan oleh Allahyarm Dato’ Onn Jaafar pada tahun 1946. Setahun setelah tamat Perang Dunia II. Setelah Jepun mengundur kalah. Setelah British menebal muka kembali lagi meneruskan penjajahannya ke atas bumi bertuah ini. British adalah bangsa yang kalah tetapi psikologi mereka kuat memulih semangat. Kita yang ditinggalkan ketiadaan kepimpinan untuk menolak British sedangkan peluangnya ada. Begitulah terlepasnya peluang membebaskan negara kerana kedaifan pendidikan dan ekonomi. Semangat juang yang terlalu mendatar ketika itu. Kedaifan mengatur diri yang tiada.

Kempen pilihanraya ketika itu cukup mudah. Tiada poster menutup pagar dan pokok. Tiada yang menjulang bumbung dan pepohon. Tiada yang dipacak dan dilayang. Datang dari arah sungai. Jabatan penerangan yang berperanan. Membawa penjana elektrik, layar perak besar, projector filem dan alat siaraya. Riuhlah satu kampung dan kampung-kampung yang berdekatan untuk datang meraikan. Yang dewasa mendengar ceramah. Kanak-kanak seperti penulis hanya datang untuk menonton filem. Hanya dua jenis filem: komidi atau koboi. Semasa menulis ini baru penulis tersedar kenapa dua genre filem yang ditayangkan. Antara sedar dengan tidak ianya merupakan penjajahan minda. Allahuakbar. Berhiburlah semaunya. Hilangkan duka lara. Biarkan pemimpin yang mengatur hidup. Hingga sekarang minda Melayu cukup culas berfikir untuk maju. Terlalu rendah hingga terpijak di mana-mana.  Cerita koboi adalah lanjutan kisah Columbus menemui Amerika Syarikat. Disambung dengan kisah mereka yang menaiki Mayflower pada tahun 1641 dari Ireland mendarat di Boston. Kisah orang Barat menghancurkan sebuah bangsa yang gagah. Red Indian dimusnahkan hingga sekarang mereka hanya sebuah etnik yang langsung hilang signifikannya di  negara yang gah menjadi polis dunia. Dicipta suatu budaya di Amerika Syarikat yang diistilahkan sebagai Thanksgiving. Acara menobatkan kemanangan diri mereka sendiri.


Luhurnya perjuangan menuntut kemerdekaan dikongsi oleh Haji Abas bersama orang Melayu lain. Wadahnya hanya UMNO dan Perikatan. Jalan yang mereka lalui tidak juga payah. Tiada pertumpahan darah menjelang kemerdekaan. Namun begitu darah bangsa telah tersimbah lama ketika Datuk Maharajalela dan Si Putung dihukum bunuh di Taiping. Setelah Tok Gajah, Tok semantan dan Mat Kilau dikalahkan di Semantan. Setelah tiada ramainya pejuang lalu yang sekarang ini seperti dilupakan. Sejarah seperti memadam peranan mereka. Anak-anak generasi sekarang hanya diperlihatkan kegemilangannya sahaja. Mereka tidak mengetahui susah payah yang telah diteroka dahulu. Tidak tahu pengorbanan nyawa dan darah bangsa yang mengalir tanpa pembelaan. Haji Abas hanya pewarisan perjuangan itu. Demi bangsa dan maruah negaranya. Zaman yang hanya mampu dikenang.




Encik Ismail bin Adul, anak saudara Haji Abas yang paling tua.