Dalam hidup kita ini, banyak sangat kehendak berbanding dengan keperluan. Kehendak kita selalunya tidak terbatas. Kita menghendaki semua perkara yang ada pada orang lain atau yang tidak ada pada orang lain. Siapa orang lain yang ingin saya bicarakan? Mereka adalah orang-orang yang ada di sekeliling kita. Mungkin ahli keluarga kita sendiri. Mungkin saudara dan kaum kerabat. Mungkin jiran-jiran, atau ahli masyarakat setempat.
Ada masanya kita menghendaki hal-hal yang berbentuk besar. Skopnya meluas. Bermanfaat. Tentulah hal-hal seperti ini perlu disokong. Jika anak ingin belajar melangit tingginya, tidak ada sebab untuk dihalang. Hal-hal yang bermanfaat ini tidak ada keraguan padanya. Perlu disokong. Perlu digalak. Perlu Menerima segala bantuan yang diperlukan. Rasulullah bersabda yang mahfumnya, ada dua perkara yang manusia boleh iri hati. Pertama manusia pandai yang mengamalkan ilmunya dan mengajarkannya kepada orang lain. Keduanya orang yang melimpah ruah dengan harta sedangkan ia menggunakan hartanya ke jalan yang diredhai Allah.
Tentulah membanggakan apabila kita menemui orang-orang seperti itu. Dunia ini penuh dengan kebajikan dan kerahmatan. Ingat tak firman Allah: Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu. (Al-Zariaat 51:56). Mereka yang berada di jalan ibadat ini sangat-sangat di sanjungi. Hidup penuh makna. Mereka tahu ke mana mereka akan pergi sesudah meninggalkan dunia ini nanti.
Malangnya ramai antara kita yang bukan dalam golongan di atas. Kita banyak menyimpan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada umum. Ada pula yang berpegang bahawa information is power. Ada pula yang menyimpan ilmunya untuk tujuan komersil. Bahaya jika hidup ini lari dari landasan Islamik. Konsep memberi terabai sedangkan yang banyak ialah meminta. Ilmuan Islam zaman silam hingga kini tidak pernah menyimpan ilmu mereka. Malah apabila hasil akademik mereka dibukukan atau didokumenkan mana ada copyright. Semuanya diserahkan kepada Allah. Sesungguhnya berniaga dengan Allah tidak pernah mengalami kerugian. Mereka mencari laba di akhirat. Ilmu bermanfaat yang ditinggalkan.
Saiydina Abu Bakar menginfaqkan seluruh hartanya kepada Allah dan RasulNya.. Ia juga berjuang dengan tenaganya. Begitu juga Khadijah. Seluruh hartanya diinfaqkan demi agama. Demi Allah. Demi RasulNya. Khalid al-Walid menyerahkan setiap ruang kulit di tubunnya untuk dilukai dalam semua peperangan yang disertainya. Ia berjuang untuk Allah dan RasulNya. Ia ingin mati syahid. Allah tidak makbulkan hasratnya. Ia meninggal di atas katil tidurnya.
Sayidina Bilal cukup derita dengan dijemur di tengah panas terik padang pasir. Boleh bayangkan panas yang mencecah 50 darjah celcius. Dihempap dengan batu besar di dadanya. Namun imannya kepada Allah dan Rasulnya mengatasi derita, azab sengsara dan keperitan yang dihadapinya. Dalam haus dahaga ia masih mampu menyebut, Ahad, sebagai zikir. Ahad – Allah itu satu/tunggal/se. Belum lagi keluarga Yasir yang di gergaji kepalanya kerana enggan kembali kepada agama asalnya.
Kita masih lagi banyak meminta. Tidak puas-puas dengan apa yang ada. Kehendak kita tidak pernah surut. Dalam dunia mateialistik sekarang ini, kehendak kita lagilah tidak terbatas. Kita mahukan yang terbaik sahaja tanpa memikirkan imlplikasinya kepada agama. Jarang bagi kita yang dapat membataskan kehendak ini. Kita pula selalu diterpa hampa jika tidak mendapat yang terbaik. Bukankah yang terbaik itu milik Allah? HakNya secara mutlak. Kita hanya dibenarkan meminjamnya untuk sementara sahaja. Sebelum ajal menjelang.
Ingat tak cerita nabi Daud? Sewaktu tentera Talut hendak menyerang Jalut, mereka merentasi sebuah sungai. Talut (menjadi bapa mertua nabi Daud) berpesan supaya bala tenteranya tidak meminum air sungai itu kecuali seteguk sahaja. Sifat manusia yang penuh dengan tamak haloba, nafsu yang tidak terkawal, kehendak yang mengatasi keperluan mendorong mereka untuk minum sepuas-puasnya. Minum sekenyang-kenyangnya. Benar-benar menghilangkan dahaga.
Bila sampai di seberang sungai jiwa mereka yang dulunya kental dengan semangat menjadi cair. Mereka lemah dan timbul rasa ragu dalam diri mereka. Mereka menjadi takut dan berundur dari medan perang. Yang tinggal tidaklah ramai. Mereka yang meminum hanya seteguk air sahaja yang bertahan diri. Mereka kekal dengan semangat juang mereka. Iman dan semangat memenangkan mereka ke atas tentera Jalut. Kekuatan bukan pada kuantiti tetapi kepada kualiti. Tentera Islam yang mempertahankan Madinah dari tentera musyrikin juga manusia-manusia kualiti sehingga mereka yang sedikit bilangannya dapat mengalahkan musuh yang berkaliganda ramainya.
Apakah kita masih kekal mahukan yang kuantiti? Bukankah kualiti jauh lebih memberi kemenangan dalam hidup? Jika kita boleh belajar untuk cukup dengan apa yang Allah kurniakan tentunya kita akan lebih bahagia. Jika kita dapat menerima dengan seadanya apa yang Allah telah kurniakan, manfaatkannya dengan maksimum. Kita harus ada kesedaran bahawa di sebalik apa sahaja kurniaan Allah, ada rahmatNya. Ada hikmah yang tersembunyi. Ada nikmat yang menanti. Ia ibarat ujian. Siapa yang lulus akan mendapat nikmat yang dijanjikan. Siapa yang gagal bakal kempunan untuk mendapat apapun. Oleh itu redha itu menjadi ubat kekecewaan. Dalam Islam kekecewaan itu tidak perlu ada. Allah yang memberi. Kita tidak boleh memilih. Kurnia Allah adalah yang terbaik untuk kita. Dari ukuran Allah. Bukan ukuran manusia.
Ujian Allah berbagai-bagai bentuknya. Mereka yang banyak diuji, jika berjaya menerimanya akan ditinggikan martabatnya. Sebab itu bila ada ujian, cepat-cepatlah mengadu kepadaNya. Mohon keampunanNya. Mohon diringankan. Mohon digantikan dengan yang lebih baik. Sebenarnya bila mendapat ujian kita diminta untuk menyelesaikan masalahnya. Untuk memilih jalan yang terbaik. Untuk membuat keputusan. Kesemuanya mestilah berpandukan al-Quran, al-Sunnah. Itulah yang Rasulullah tinggalkan untuk kita. Ikutlah perintah Allah seperti yang terakam dalam al-Quran. Ikutlah ajaran Rasulullah seperti yang disampaikan melalui hadith-hadithnya.
Ruang-ruang ralat, kecewa dan sesal ditutup dengan kesedaran bahawa kita adalah makhluknya. Yang dicipta. Allah Yang Khalik. Yang Maha Pencipta. Mana mungkin yang dicipta mempertikai yang menciptanya. Allah mencipta manusia dengan banyak keistimewaan. Jika disenaraikan jumlahnya infiniti. Tidak mungkin dapat dikira dengan minda dan akal yang kita ada. Super komputerpun tidak mampu untuk mengira nikmat yang Allah berikan kepada kita. Mulut manusia yang menjadi alat untuk berkata-kata bukan untuk mengatakan rasa tidak puashati terhadap Allah. Ia untuk memuji Allah. Untuk bersyukur kepadaNya. Untuk berzikir kepadanya.
Berpada-pada dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita memberi ketenangan. Ingatlah Rasulullah tidak Allah berikan kekayaan dan kemewahan. Baginda hidup seadanya. Tetapi urusannya dengan Allah selalu didahulukan. Khalifah al-Rasyidin juga hidup seadanya. Malah pakaian mereka selalu menjadi perhatian umum. Jika lebih sedikit banyak pertanyaan yang perlu dijelaskan. Pakaian Rasulullah biasa bertampal-tampal. Ramai sahabat kabir yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka sangat yakin dengan rezeki Allah. Jika tiada makanan mereka berpuasa. Bukan berkeriau dan menangis. Lebih berat lagi menyesali diri.
Penilaian iman jauh berbeza dengan penilain material. Iman banyak menjadikan manusia zuhud. Dalaman mereka jernih dan bersih. Mencari suci dari segala dosa. Luaran meraka dilihat tenang, damai, selesa dengan apa jua keadaan. Ia sihat walafiat dari segi minda dan akalnya. Pakaian dan tempat tinggak bukan ukuran. Makanan disuap ke mulut juga bukan ukuran. Dirinya bercahaya dengan iman. Cahaya itulah nanti yang memandunya diakhirat khususnya sewaktu meniri sirat al-mustaqim.
Oleh itu menerima keadaan seadanya cukup berkesan mendidik jiwa. Mendidik hati. Mendidik sanubari. Mendidik qalbu. Mendidik dalam kita. Bila dalaman itu tenang, damai dan cukup, kepuasan menjelma. Kebahagiaan datang denga lemah gemalai. Kita sambut dengan ria, ceria, tenang dan senang. Itulah kebagagiaan abadi yang sukar dicari tetapi boleh diperolehi. Pilihan ada pada kita. Allah sentiasa memberi kemurahan. Tetapi sekali lagi untuk layak pada perkiraan Allah. Banyaklah bersyukur. Ramai lagi orang yang jauh lebih daif dari kita. Hairanyya mereka tidka pula berkeluh kesah. Damai itulah yang sepatutnya menjadi impian abadi.