Saturday, August 21, 2021

Pokok Atas dan Pokok Bawah

 

Pernahkah anda urus pokok? Pokok kecil dan pokok besar? Jika anda pernah mengalaminya tentu banyak ibrah dari alam sekitar ini. Pokok kecil senang diurus. Tidak tinggi dan tidak semak. Apatah pula jika tangan mudah mencapai apa sahaja yang hendak dibuat. Memotong ranting atau dahan kecil, menggembur tanah, membubuh baja, membersihkan daun kering, menukar tanah, membiak benih dan menyiram air. Pokok itu boleh diurus dengan mudah dari berbagai sudut. Tidak pula perlu sehingga memanjat tangga untuk memotong bahagian atas pokok itu. Berbeza benar dengan mengurus pokok besar. Lebih besar lebih berbeza cara mengurusnya.

 

Dari pangkal pokok kita berkira apa yang hendak dilakukan. Memotong dahan dari sisi yang berbeza. Memotong ranting panjang dan pendek ikut perkiraan minda kita yang melihat dari bawah. Kita juga melihat dedaun kering dan daun yang menguning. Ada daun kering yang tersangkut di celah ranting dan dahan. Dari bawah sangat jelas apa yang tidak kena, yang tidak cantik yang perlu diurus. Namun begitu apabila kita berada di atas pokok sesuatu yang berbeza berlaku. Bukan cerita gayat. Bukan cerita banyak kerja yang hendak dibuat. Rupanya apabila berada di atas kita terpesona melihat kecantikan sekeliling. Pandangan kita meluas dan menjauh. Kita alpa dengan pesona kita. Lupa kepada matlamat asal memanjat pokok.

 

Di atas dan di bawah sangat jauh bezanya. Dari bawah kita nampak yang di atas. Apabila berada di atas kita hanya melihat yang di atas dan yang di sekeliling kita di atas sana. Kita melihat dedaun pokok yang kita panjat tetapi kita tidak dapat melihat dahan dan ranting. Tidakk dapat melihat bunga yang kuntum dan mekar. Tidak dapat melihat batang pokok. Tidak dapat melihat perdu pokok. Malah tidak dapat melihat dedaun menguning dan kering. Tidak dapat melihat daun kering yang tersangkut di celah dedaun hijau dan ranting yang berada terlindung di bawah dedaun hijau. Orang di bawah mudah menuding jari sana dan sini untuk membuang dedaun menguning, daun kering dan reranting kecil yang kering.

 

Saya jadikan pokok itu sebagai analogi bagaimana bezanya rakyat dan pemimpin. Khususnya Perdana Menteri yang di atas dan rakyat yang di bawah. Rakyat di bawah melihat segala keburukan pemimpin di atas atau Semua keburukan yang berada di sekeliling pemimpin yang teratas. Apatah lagi jika keburukan itu memang terjadi sama ada sengaja atau tidak sengaja. Secara langsung atau secara tidak langsung. Rakyat di bawah melihat kesemuanya. Pandang sahaja ke atas, pasti terlihat segala yang tidak cantik. Segala yang tidak baik. Soalnya mengapa? Begitulah sukarnya mengurus rakyat dan “mengurus” pemimpin. Pemimpin seorang sahaja. Rakyat pula terlalu ramai. Berbagai maslahnya. Terlalu banyak.

 

Rakyat di bawah melihat keburukan di atas tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

1                     Yang di atas terlalu tinggi dan tidak tergarap tangan.

2                     Banyak halangan dan cabaran untuk mengurus yang di atas.

3                     Banyak red-tape dan protokol yang perlu dilalui.

4                     Yang di atas mungkin tidak mendengar apa yang disebut dari bawah.

5                     Yang di atas mungkin tidka faham apa yang disebut.

6                     Atau mungkin yang di atas sudah mabuk di atas kayangan.

 

Bagaimanakah hendak mengharmonikan dua ekstrim atas-bawah ini?

1                     Jika yang di atas itu pemimpin maka eloklah buat catatan awal terlebih dahulu sebelum naik ke atas. Alami perasaan sewaktu di bawah.

2                     Senaraikan perkara-perkara buruk yang perlu diperbetulkan. Yang perlu dikemaskini.

3                     Minta bantuan orang di bawah untuk menunjukkan kelemahan yang mereka lihat untuk diperbetulkan.

4                     Betulkan dari atas perlahan-lahan, setahap ke setahap.

5                     Turun ke bawah untuk betulkan ke bawah dan semakin ke bawah.

6                     Turun ke bawah sekerap mungkin untuk melihat sendiri apa yang telah diperbetulkan dan apa yang belum diperbetulkan.

7                     Naik ke atas semula untuk memperbetulkan lagi apa yang belum diperbetulkan.

8                     Betulkan apa yang belum disempurnakan.

9                     Ulang lagi turun dan naik.

10                 Pemimpin perlu selalu turun dari kayangan untuk melihat sendiri dengan pandangan realiti dan hakiki.

11                 Pemimpin tidak boleh berharap kepada pemimpin bawah dan kepada ahli di bawah. Berkomunikasi dan berinteraksi terus dengan rakyat di bawah.

12                 Jangan percaya sepenuhnya kepada laporan. Kebanyakannya di makeup. Verify dan validate kesahihannya.

13                 Turunlah ke bawah, lihat keliling, catatkan apa yang perlu diperbetulkan.

14                 Buat pembetulan, penambahbaikan, perancangan yang lebih lestari.

15                 Tinggalkan legasi kepimpinan yang berdaya saing, berdaya maju, cerdas agama, cerdas teknologi, cerdas sosial dan cerdas dalam segala hal.

16                 Tinggalkan negara ini untuk generasi kemudian dalam keadaan sejahtera.

 

Tepuk dada tanya apakah yang sewajarnya pemimpin lakukan untuk memenuhi aspirasi rakyat. Yang Allah redhai dan Rahmati. Rakyat pula tepuk dada untuk menyumbang kepada memudahkan pemimpin. 2 x 5 bukan 10. Biarlah jadi 20 atau 1001. In syaa Allah jika ada political will yang benar-benar ikhlas.