Friday, May 6, 2022

Gembiranya Mutlak Bersama Keluarga

وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًا Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Ramadhan dan Syawal adalah bayangan awal usaha kita untuk mencari dan mencapai kegembiraan abadi. Pada bulan Ramadhan kita bergembira berpuasa, berinfaq dan ketika berbuka serta bersahur. Andainya kita hayati detik-detik itu, nescaya kita dapati suasana kegembiraan. Tentunya untuk yang mengerti dan memahami. Yang kita rasa lapar, yang kita lihat larangan dari yang halal tetapi pada hakikatnya masa larangan itu hanya setengah hari, dari waktu Imsak (Subuh) hingga waktu Maghrib. Setengah hari bakinya, perkara-perkara yang halal menjadi halal semula dalam bulan Ramadhan dari selepas Maghrib hingga waktu Imsak pagi esoknya. Semua keperluan fizikal, psikologi, fisiologi dan emosi boleh dipenuhi pada waktu halal itu. Kita diberi maklum bahawa puasa itu setiap hari. Namun hakikatnya puasa itu hanya setengah hari. Dalam setahun jika dikira mengikut jam, hanya setengah bulan sahaja. Allahuakbar. 11½ bulan kita tidak berpuasa. Berpuasa wajib hanya setengah bulan. Mereka yang miskin, fakir, melarat, gelandangan dan yang lainnya mungkin berpuasa lebih lama dan lebih banyak dari kita. Jika ada makanan untuk mereka mungkin dicatu dan bercatu. Kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada. Lebih banyak tiada dari ada. Alangkah nikmatnya jika kita dapat merasakan nikmat sedikit yang mereka semua alami. Bukan nikmat banyak yang kita ada. Mungkin kerananya kita akan banyak berinfaq. Kegembiraan yang lazimnya akan dikongsi dengan keluarga itu akan menjadi bayangan untuk kita bergembira di syurga nanti seperti digambarkan dalam surah al-Insyiqaq ayat 84:9 di atas. Itulah kegembiraan mutlak. Tiada yang lebih indah bersama keluarga kita yang beriman. Berkampung semula di syurga dengan rahmat Allah. Dengan kasih sayang Allah. Dengan redha Allah. Alllahuakbar. Semua orang yang kita sayangi akan bersama kita.