Thursday, August 14, 2014

Siri Tiga Puluh: Katil Bila Tidur Bantalnya

Selepas bangkit dari tidur katil ini dikemas secantiknya supaya malam nanti gamitannya mengujakan. 

Jadikan katil seolah-olah di bilik pameran perabot. Rapi dan teratur sentiasa.

Katil yang dirapikan sebegini tentu perlu dihormati. Dijaga kerapiannya. Semoga sesiapa yang melihatnya ingin mencontohinya. Jadikan amalan sepanjang hayat.


Katil  sangat sinonim kepada kehidupan waktu malam manusia. Apabila tubuh badan terasa tepu keletihan maka katillah tempat istirehat yang tiada tolok bandingnya. Berjam-jam tidur di atasnya hingga kenyang mata. Hilang kantuk. Segar tenaga kerana pulih selepas dicas dengan tidur dan rehat. Menjadi kelaziman bahawa katil adalah tempat istimewa untuk aktiviti tidur. Walaupun ada yang mentafsirkan bahawa tidur tidak semestinya hanya pada waktu malam sahaja namun pada hakikatnya 99.99% manusia memilih bahawa katil memang untuk aktiviti tidur pada waktu malam. Kerana itu Haji Abas berprinsip bahawa katil perlu bebas guna apabila bangkit dari tidur pada waktu pagi sebelum solat Subuh. Ia digunakan semula selepas solat Isya’. Sepanjang hari katil itu telah dikemas. Dirapikan. Disusun bantal di atasnya. Bersih sebersihnya. Sebelum tidur malam pula digalakkan supaya permukaan katil itu dibersihkan dari debu atau gangguan lain jika ada. Tidur di atasnya seharusnya bebas dari apa sahaja yang mengganggu tidur. Pada waktu siang katil adalah kawasan larangan. Jika boleh larangan itu 100%. Bukan untuk tidur. Bukan untuk tempat anak-anak atau cucu bermain. Bukan untuk dipijak-pijak. Katil perlu dihormati dan disayangi sebagai tempat beradu yang paling indah dan enak sekali. Santai dan selesa hingga ke pagi dalam lena yang panjang dan menyegarkan. Bangkit awal sebelum Subuh untuk qiam al-lail.

Sebagai lambang keindahan pada waktu malam katil memancarkan kegemerlapannya yang tersendiri.  Apabila solat Isya’ telah disempurnakan eloklah berehat. Tempat tumpuan tentulah katil. Ketika itu kita sangat rindukan katil tersebut. Pertamanya kerana sepanjang hari kita tidak bersamanya. Keduanya kerana mata kita sangat memerlukan untuk dipejam. Bagi yang sudah berumahtangga, ada cerita yang hendak dikongsi bersama. Jauh dari pendengaran anak-anak, menantu atau cucu. Mungkin merancang masa hadapan untuk kebahagiaan bersama. Merancangkan masa hadapan anak-anak. Muasabah diri. Masalah yang perlu dikongsi. Nasihat dan rujukan antara satu sama lain. Atau pujuk-memujuk antara keduanya. Ini bermakna apabila tubuh kita dilabuhkan di katil kita inginkan katil yang siap sedia untuk tempat berlabuh pada waktu malam. Keadaannya kemas dan teratur. Bersih dan tersusun. Rata dan cantik. Sedikit harum dan meyegarkan. Sejuk mata dan perasaan. Merangsang kerinduan terhadapnya. Ke manapun kita pergi katil itu dirindui.

Keindahan dan kerapian katil adalah suatu keberadaannya yang menyambut tetamunya yang utama. Kita atau pasangan suami isteri yang selayaknya. Kita rindukan tempat kita beradu. Sebaliknya katil itu menyambut kita dengan keterbukaannya. Siap sedia untuk kita. Bayangkan, alangkah tidak selesanya kita apabila masuk ke bilik keadaannya berselerak seperti kapal pecah. Seperti tongkang karam. Seperti baru berlaku puting beliung. Seperti selepas banjir besar. Tidak tahu ke mana kaki hendak dipijakkan. Tidak tahu bahagian mana paling selesa untuk melabuhkan tubuh badan yang keletihan. Di atas katil pula ada pakaian yang baru diangkat dari sidaian. Belum lagi dilipat kemas dan disusun rapi. Ada pakaian terpakai yang berlonggok. Ada mainan anak-anak. Tidak kemas. Tidak rata. Terasa banyak debu dan sampah. Hati tidak berkata-kata? Fikiran tidak berbicara? Perasaan tidak berencana? Aduhai! Haji Abas tidak pernah menginap di hotel lima bintang. Atau empat bintang. Pengurusan katil dan bilik tidur seharusnya seperti di hotel. Bawa suasana hotel itu ke rumah kita. Jangan dihairankan suasana hotel. Kita biasakan untuk menghotelkan rumah kita sendiri. 

Katil terletak di sebuah bilik. Tempat berehat pada waktu malam. Maka bilik itu sendiri perlu menjadi persekitaran yang kondusif. Yang melambangkan keindahannya yang tersendiri. Sejak mudanya Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak bertoleransi tentang bilik dan katil. Ianya taman larangan pada waktu siang. Lagipun apabila kita berada di bilik tidur pada waktu siang, rumah seperti tidak berseri dengan penghuninya. Tiada cerita. Tiada lawak. Tiada ketawa. Pada waktu siang  suasana ramainya rumah adalah di luar bilik. Masing-masing ada di hadapan mata. Sebab itu bilik tidur dan katilnya dibebaskan dari sebarang gangguan yang menyebabkannya tidak terurus. Seperti tiada keupayaan orang yang menggunakannya. Seperti kecenderungan mengemas diri begitulah juga seperlunya kita cenderung mengemas bilik dan katil.  Begitulah ilmu yang diturunkan oleh Haji Abas kepada anak-anaknya. Mudah-mudahan cucu dan cicit Haji Abas mengambil iktibar darinya.

Banyak yang perlu dilakukan untuk menghormati katil. Ianya perlukan latihan yang menjadi kebiasaan. Dalam hati diselitkan keinginan untuk menampilkan yang terbaik. Mengamalkan sesuatu yang baik dan boleh menjadi contoh teladan kepada orang lain. Mendidik anak-anak supaya berdisiplin dengan kekemasan dan kebersihan. Bagi mereka yang ada pembantu rumah, kemahiran mengemas rumah adalah jaminan untuk mempastikan pembantu rumah boleh melakukan yang terbaik dengan tunjuk ajar tuan rumah. Mereka tidak datang dengan kemahiran yang tersedia. Perlu di didik dengan kemahiran yang seperlunya seperti selera tuan rumah. Bantal untuk katil jangan dijadikan bantal publik. Maknanya bantal yang sama digunapakai oleh semua orang dalam rumah. Bantal untuk katil bilik A kekal di bilik A. Bantal bilik B kekal di bilik B dan begitulah seterusnya. Bantal bilik A untuk penghuni di bilik A sahaja. Untuk tetamu kita sediakan bantal tambahan. Setiap kali ada tetamu gunakan sarung bantal baru. Biar nampak baru, wangi bau sabun dan wangi kerana mungkin wangian.

Bantal juga banyak menyimpan maruah. Banyak cerita. Usah dikotorkan dengan air liur. Kotoran makanan. Baunya jangan busuk, hapak dan hangit. Bantal hanya untuk tidur. Khusus untuk tidur. Diganti pembalutnya dari masa ke semasa. Diganti sarungnya mengikut jadual sekerap mungkin. Untuk menggunakannya perlu di tempat yang bersih. Di atas tikar atau permaidani yang bersih. Tidak dicampak sesuka hati. Tidak digomol tanpa had. Seberapa yang boleh laranglah dengan tegas anak-anak dari duduk di atas bantal. Apatah lagi jika mereka memijak bantal. Malang bantal itu. Dari menerima muka dan kepala, kaki pula yang diinjakkan ke atasnya. Bantal tempat meletak kepala dan bahagian muka kita. Bukan punggung. Bayangkan anak-anak yang terkencing atau berhadas yang lain. Bantal itu juga untuk tidur? Untuk tetamu?  Tentu tidak mungkin begitu. Hormatilah bantal kerana ianya bantal.  Untuk tidur dengannya dalam keadaan wangi dan bersih. Suci dari sebarang najis. Bantal yang tidak sesuai keberadaanya tentu menyulitkan mereka yang tidur di atasnya. Kembang kempis hidungnya. Hendak mengiring ke kanan atau ke kiri terasa tidak tergamak. Menahan bau sepanjang malam. Hendak memandang bantal itupun terasa takut. Apabila pagi berkejar ke bilik air. Mandi sepuas-puasnya. Ingin membersihkan apa yang kita rasa pada bantal yang kita gunakan. Kesian tetamu. Kerana itu pemilik bantal hendaklah perihatin akan nasib mereka yang akan tidur di atas bantal itu.

Orang Melayu lazimnya bertandangan ke rumah saudara-mara. Mungkin sahabat handai yang rapat berbuat hal yang sama. Terdapat kecenderungan antara kita yang ingin untuk menziarahi keseluruhan rumah yang kita datangi. Setelah minum dan makan, minta izin untuk melawat rumah. Jenguk bilik sana. Jenguk bilik sini. Jenguk dapur. Akhirnya masuk ke bilik air. Kebanyakan antara kita memiliki perasaan aib. Segan. Imej dan maruah diri. Ketika lawatan itu berlangsung tentulah terasa aib apabila rumah tidak dalam keadaan seperti yang diharap. Tidak dalam keadaan sepertinya. Orang tidak berkata. Orang tidak bertanya. Orang hanya memandang. Kenapa orang membuat lawatan?

1                 Ingin menisbahkan antara penghuni rumah itu dengan keseluruhan keadaan   rumahnya. Rumahnya cantik secantik orangnya. Rumahnya kemas sekemas orangnya.
2                 Ingin mempelajari sesuatu mengenai rumah orang lain seperti susunan, kekemasan, kebersihan dan sebagainya.
3                 Ingin mencontohi keunikan yang ditemui semasa lawatan itu.

Andainya yang dilihat jauh dari jangkaan tentu terselinap dalam minda mereka  sesuatu yang tidak selari dengan tanggapan mereka terhadap diri kita. Rumah yang tidak teratur mungkin dilihat sebagai kekangan masa. Belum sempat diurus. Tetapi katil  menceritakan sesuatu yang lebih tragik. Lebih parah. Fatal. Apa-apa keindahan yang terdapat pada rumah dan tuan rumah terbatal kerana katil yang tidak terurus. Satu pertanyaan cepu emas yang mungkin dilontarkan.

Bagaimana suami tuan rumah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang jurutera boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang doktor boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang guru boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang ustaz/ustazah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pensyarah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pengurus boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pegawai tinggi boleh tidur di atas katil seperti itu?
Dan bagaimana ……
Dan bagaimana ……


Walau bagaimanpun, kegagalan mengurus bilik tidur dan katilnya bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan kebanyakan antara kita. Ramai yang mengambil berat untuk mempersembahkan yang terbaik. Menjaganya dengan wajar. Sesekali mungkin terlepas pandang. Cuma jika boleh jadikanlah ia suatu kebiasaan klasik. Diberi nilai tambahan yang selayaknya.  Sesuai dengan sifatnya yang eksklusif.

Selalunya yang lebih aib ialah isteri. Orang menisbahkan kebersihan, kekemasan, tertib susunan kepada isteri. Walau bagaimana sekalipun suami pula tidak pula boleh lepas tangan. Isteri yang tidak berapa perihatin tentang hal itu menempelak aib suami juga. Yang terkesan namanya ialah nama suami. Tentulah disebut isteri kepada si suami. Kerana itu orang seperti Haji Abas membantu Hajjah Aminah untuk menjadikan rumah sebagai tempat yang membahagiakan. Kemas teratur, tersusun rapi, bersih dan persekitarannya kondusif dan menyenang serta menyegarkan. Katil umpamanya menjadi lambang kebahagiaan rumahtangga. Keperihatinan antara suami dan isteri. Kasih dan sayang yang dilambangkan dengan katil itu sendiri. Katil bukan sekadar katil yag bisu dan kaku. Ia berkata-kata dengan lambang-lambang keberadaannya. Katil dinisbahkan kepada pemiliknya.

Kerana itu katil seharusnya menjadi antara tempat yang paling diberi perhatian.

1                 Kemas apabila bangkit dari tidur. Sekemas-kemasnya. Teratur, tertib dan rapi.
2                 Bebaskan bilik dari sepah dan selerak. Bilik tidur adalah titik tolak kebersihan bilik dan ruang-ruang lain dalam rumah.
3                 Latih dan biasakan anak-anak mengemas katil dari tidak berapa kemas hingga sangat kemas. Tidak kira anak lelaki atau anak perempuan. Beri tunjuk ajar yang sama.
4                Anak-anak kita menjadi lambang standard keluarga. Yang lelaki membimbing isteri dan anak-anaknya. Yang perempuan membimbing suami dan anak-anaknya.
5                Tidak digalakkan tidur terlalu lama pada waktu siang tanpa sebab yang menasabah. Tidur sekadar beberapa minit sebagai amalan sunnah. Apatah lagi jika tidur di atas katil yang sudah dikemas. Jika perlu tidur, jaga kekemasannya. Kemas serapinya selepas puas tidur.


Haji Abas banyak prinsipnya dalam mengendalikan kehidupan berumahtangga. Kebersihan adalah kunci keindahannya. Dalam usianya 100 tahun Haji Abas masih boleh menyapu halaman rumah. Mengemas pokok bunga yang ditanamnya. Membetulkan apa-apa kerosakan di sekeliling rumah. Menyusun barang-barang yang perlu disimpan. Hajjah Aminah yang sudah tidak berapa berdaya untuk berjalan, masih berupaya menyapu dalam rumah. Membersihkan dapur, menyusun pinggan dan mangkuk. Memasak seadanya mengikut selera kesukaan Haji Abas. Menyusun peti ais. Kedua mereka memainkan peranan yang perlu untuk sesama mereka. Menjamin kebersihan rumah. Kebiasaan yang sudah menjadi darah daging menjadi mudah tanpa mengira masa. Tanpa mengira usia. Banyak manfaatnya apabila yang dilakukan memang banyak kebaikannya.


Haji Abas dan Hajjah Aminah bersama anak bongsu dari anak keempat mereka sempena hari raya 1435H/2014M




Alhamdulillah masih sihat dalam usia 100 tahun. Banyak cerita dari dahulu hingga sekarang. Namun begitu cerita merdeka pada tahun 1957 adalah yang paling manis baginya. Almarhum Tengku Abdul Rahman Putra sentiasa dalam ingatannya sejak pertemuan pertama pada tahun 1955.