Di New York saya tercari-cari bangunan Bangsa-Bangsa Bersatu. Lokasinya betul. Peta yang saya rujuk menunjukkan arah yang tepat. Namun banyak kali melalui jalan yang dicatatkan tidak juga menemui destinasi. Setelah beberapa kali dicuba, barulah bangunan itu ditemui. Rupanya bangunan itu di atas dataran yang lebih tinggi. Di sebelah kanan jalan yang saya lintasi berulang kali. Kerana saya berkenderaan, saya tidak letih berjalan berulang alik. Kenderaan yang membawa saya. Maksudnya setiap pengguna jalanraya menemui peluang dan haknya untuk menggunakan jalanraya tanpa apa-apa kepayahan. Orang di negara maju bukan sahaja fizikal negaranya dilihat maju. Bukan prasarana sahaja yang canggih. Pemikiran yang jauh terkehadapan juga perlu sama majunya. Memikirkan bagaimana semua orang tanpa mengira perbezaan kelas dan kasta dapat menikmati keselesaan dan kesejahteraan hidup. hatta pejalan kaki yang hanya memiliki dua kaki sekalipun diberi haknya yang selayaknya. Bukan keistimewaan tetapi hak yang wajar. Sebagai pengguna yang tidak berkedudukan tinggi mereka diberi pertimbangan yang banyak agar hidup mereka tidak mengazabkan. Benar mereka tidak berkemampuan tetapi tidak bermakna mereka tidak berhak menikmati yang terbaik dari orang-orang yang mereka pilih dan percayai dapat membela hidup mereka. Mereka bukan mahukan kemewahan. Yang perlu kepada mereka ialah kewajaran yang mungkin hanya sedikit. Difikir yang kecil tetapi bermanfaat besar.
1 Tiada jejantas untuk mereka. Jejantas adalah untuk orang yang berkenderaan. Mendaki bukit dan cerun meninggi lebih baik dengan kenderaan dan bukan dengan kedua kaki. Kaki itu pula kaki orang tua-tua, kanak-kanak, perempuan mengandung, orang kurang upaya dan mereka yang sakit. Di Malaysia mereka yang tersebut azab naik dan turun jejantas. Naiknya susah, turunnya menakutkan. Kekuatan kaki mereka sudah berkurangan. Kekuatan tangan juga meragukan. Saya melihat keadaan yang sama di Jordan. Orang bawahan tetap di bawah. Tidak dibawa naik menikmati yang selayaknya. Jejantas pejalan kaki di Malaysia sama dengan yang ada di Jordan.
2 Sewajarnya pejalan kaki diberi hak istimewa untuk melintasi jalan dan simpang. Selagi ada orang melintas selagi itulah kenderaan tidak bergerak. Tidak melintas. Tidak melanggar.
3 Pejalan kaki diberikan hak melintas jalanraya pada bila-bila masa dan pada mana-mana tempat. Kenderaan lain berhenti untuk membenarkan pejalan kaki melintas.
4 Jika berlaku kemalangan melibatkan pejalan kaki maka kenderaanlah yang dipersalahkan. Pampasan kemalangan jalanraya sangat tinggi terutama jika melibatkan kanak-kanak. Itulah cara mendidik pemandu supaya tidak sewenangnya-wenangnya menyalahgunakan haknya tanpa memberi hak kepada orang lain.
5 Kanak-kanak sekolah bebas menyeberang jalanraya semasa turun dan naik bas sekolah. Ada isyarat empat penjuru bas sekolah supaya semua kenderaan berhenti memberi laluan. Kanak-kanak yang daif dididik menerima haknya sejak dari kecil. Orang dewasa dan pemerintah merancangkan hak itu kepada mereka.
6 Apabila pejalan kaki memijakkan kakinya di atas jalanraya semua kenderaan berhenti seperti mandatori. Dengan cara itu semua pemandu dididik supaya bertanggungjawab ke atas keselamatan orang lain. Tidak memandu laju. Awas dan siaga semasa memandu. Hak pejalan kaki ini saya lihat juga di Jordan dan di Mesir.
Itu cerita di negara maju. Di USA khususnya. Kita patut pergi ke arah itu. Yang kecil diberi haknya. Di negara membangun dan belum begitu maju kita selalu mengambil mudah. Banyak kesusahan ditimpakan ke atas orang yang memang sudah susah. Yang kedudukannya rendah. Jejantas pejalan kaki adalah manifestasi kelemahan ketara kepada pemikiran rendah yang belum kita bangunkan. Kita mengazab orang lemah. Mereka yang lemah semakin kita azabkan. Bukan sahaja pemandu di Malaysia tidak dimaksimumkan kemanusiaannya malah pemimpin juga tidak menterjemahkan kepimpinannya ke peringkat dasar. Membela dan memberi kelebihan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Kenderaan yang mudah dipandu, melintas dan mendaki cerun. Kita jadi kurang perihatin kepada yang dalam kelompok daif, tua, kanak-kanak, ibu mengandung, kurang upaya dan sakit. Kebanyakan masa pemimpin pergi ke pejabat tanpa berhenti di lampu isyarat. Tanpa berhenti semasa melintas simpang. Naik ke pejabat menggunakan lif. Anak-anak ke sekolah dengan kenderaan dari pintu rumah ke pingu pagar sekolah. Ibu dan bapanya yang tua diangkut dengan kenderaan. Rakyat ramai menjadi pejalan kaki. Naik dan turun jejantas bukan sekali atau dua kali sehari. Anak yang bersekolah di sebelah pagi dihantar dan diambil melalui jejantas. Yang bersekolah di sebelah tengahari juga menggunakan jejantas. Empat kali sehari. Belum lagi keperluan lain untuk menggunakannya. Boleh kita bayangkan kedaifan yang mendaifkan dan semakin menambah daif.
Pemimpin, orang kaya atau mereka yang bijaksana tidak mungkin mendekati jejantas itu. Apatah lagi berulang kali. Apa salahnya jejantas itu dibuang. Difikirkan kaedah yang lebih memudahkan. Terjemahkan kesusahan itu dengan memberi yang lebih baik. Pejalan kaki berjalan di jalanraya yang rata. Kenderaan yang diberi jejantas. Orang bawahan tidak perlu memanjat atau menuruni tangga. Persimpangan jalanraya ditinggikan untuk kenderaan. Memudah dan tidak membahayakan pejalan kaki. Yang kecil diberi keutamaan. Yang besar ada keutamaannya yang tersendiri. Kosnya tinggi. Benar. Tetapi bukankah yang kaya membayar cukai? Fikirkan semula agihan cukai itu supaya hak-hak yang wajar diberi kepada haknya. Menjadi negara maju bukan memberikan mercutanda yang gah belaka. Rakyat di bawah yang paling daif sewajarnya diberikan yang terbaik kerana mereka rakyat sejati yang seluruh jiwa raga mereka untuk negara tercinta. Hak mereka untuk menerima yang terbaik. Pemimpin yang paling tinggi seharusnya memikirkan keperluan yang paling minimum untuk rakyatnya. Yang paling kecil untuk diberikan nilai besar. Yang paling halus untuk mensejehterakan mereka. Yang paling seni untuk menghidupkan semangat cintakan negara.
Pemimpin yang hebat ialah mereka yang memikirkan perkara besar dan perkara yang sekecil-kecilnya. Yang remeh temeh itu diterjemahkan sebagai keperluan bersepadu yang membahagiakan rakyat. Khidmat diperbanyakkan. Tanggungan ekonomi dikurangkan. Kebajikan difikirkan hingga ke akar umbi. Kesejahteraan dan kebajikan menjana pemikiran yang sejahtera. Memancarkan daya fikir yang memencar dan memancar. Banyak kemajuan lain dapat dijana hingga tiada yang terlepas dari perhatian, penyelidikan dan pengembangannya pada masa hadapan. Ayuhlah kita fikirkan yang kecil-kecil di bawah di samping mengangkat yang besar-besar ke persada dunia. Pemimpin akan menjadi besar jika dapat memikirkan yang sekecil-kecilnya keperluan rakyat. Ramai orang yang memikirkan yang besar-besar. Ramai pula yang tidak terlintaspun untuk memikirkan yang paling asas untuk orang lain. Fikirkan kedua-dua ekstreme. Tidak satu arah sahaja. Maju tetapi mengabaikan yang lain. Tinggi tetapi mengabaikan yang rendah. Besar tetapi mengabaikan yang kecil. Sayyidina Umar adalah khalifah besar. Masih memikul guni gandum untuk rakyat miskin yang memerlukannya. Digalas sendiri. Tidak menyuruh orang lain. Haknnya adalah hak orang yang memerlukan. Rasanya sukar mencari pemimpin seperti khalifah-khalifah besar yang kita ketahui. Jika kita dapat membuka mata dan minda banyak yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat di bawah. Apatah lagi jika kita membuka perasaan dan hati. Lebih banyak yang dapat kita bangunkan pemikiran yang melampaui masa hadapan yang lebih gemilang untuk ummah. InsyaAllah jika kita bersedia memikirkannya.