Thursday, September 27, 2018

Nikmat Itu Saksama




Episod dalam hidup kita beralih dan berubah mengikut masa dan situasi. Dari satu episod ke satu episod yang lain. Meninggi dan menegak atau sekadar mendatar? Izin Allah yang menentukannya. Kita perlu pula banyak usaha. Siapa kita bukan penentu. Allah yang menentukannya. Agi idup agi ngelaban. Itu kata-kata rangsangan dari Kanang. Hero dari Borneo. Bagaimana kita membina legacy adalah pilihan kita sendiri. Tentunya juga dengan izin Allah. Dalam setiap aspek hidup kita Allah yang menentukannya. Kita makhluk, Allah Khalik. Tugas kita menjadi hamba tetapi pada masa yang sama tanggungjawab kita amat besar. Kita juga kahalifah. Pemimpin yang memimpin. Bukan hanya melihat. Bukan meniru-niru. Bukan memandang dari jauh. Bukan dengan sifat iri atau cemburu. Bukan berada di luar gelanggang, menonton dan menonton. Usaha yang banyak bukan kesemuanya menandakan kejayaan. Tugas kita melaksanakannya. Kejayaan adalah milik Allah. Dia yang menentukan segala-galanya.

SOP (Sandard Operation Procedure) kehidupan kita bermula dengan susah atau bersusah-susah. Tidak ada yang senang. Rawatan adalah penting. Olahan adalah penting. Ketelitian adalah penting. Perlu ada sifat futuristik. Memandang jauh ke hadapan. Melepasi bulan dan bintang. Melaksanakan sesuatu usaha bukan ke langit atau ke laut. Ianya berjejak di bumi nyata. Ramai yang takut dengan berbagai entah apa-apa.

Apa kata orang nanti.
Tidak pernah dibuat orang.
Boleh ke?
Mana ada duit?
Ada ke yang berminat?

Senarai keraguan ini panjang dan panjang. Mengalirkan peluh mengingat dan memikirkannya. Apa sebenarnya yang terbaik untuk diri kita?

1                     Kesungguhan
2                     Semangat ingin jaya
3                     Mohon bantuan Allah
4                     Kerana Allah

Benar kata orang yang berpengalaman. Tugas kita adalah berbuat yang terbaik. Yang positif. Yang kita yakini akan dibantu Allah. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menjayakan perancangan kita. Kita hanya wajar mengajak mereka. Menyeru mereka. Sesungguhnya orang-orang di sekeliling kita sangat sedikit yang sama aspirasi dengan kita. Yang sama semangatnya dengan kita. Yang menyokong secara moral dan material. Yang paling penting ialah kita yang kena cekal. Yang penuh gigih menyelesaikan apa sahaja halangan dan masalah yang mendatang dan menghalang. In sya Allah pertolonganNya akan datang tanpa kita sangka-sangka. Sebenarnya tidak perlu ada sebarang keraguan pada diri dan pemikiran kita. Allah sentiasa bersama kita.

Apalah usaha yang sedikit sebenarnya. Terlalu sedikit untuk diingat. Melaksanakan apa yang dirancang itu lebih utama. Mencantikkan pelaksanaannya lebih penting. Maksudnya buatlah yang terbaik. Yang tercanggih. Yang mencari redha Allah. Banyak bercakap perlu dielakkan. Perlu dibuang dari sifat yang ada pada diri kita. Orang lain lebih suka orang yang pendiam tetapi dalam diamnya banyak menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Allahu jangan sekali mementingkan diri. Diri kita tiada pentingnya. Apalah hal dunia yang sedikit. Matlamat kita jauh selepas mati. Hidup adalah perjuangan yang tidak pernah habisnya. Terus berjuang, maju ke hadapan. Beri manfaat kepada orang lain. Ketepikan kepentingan diri. Usah sekali-kali fikirkan diri kita sangat yang tidak penting. Memang tidak penting pun berbanding orang lain.

Tiada yang lebih manis selain dari melihat orang lain bahagia. Mereka gembira. Mereka senyum dan tawa. Kita bukan lucu. Kita bukan melawak. Kita bukan badut. Kita tidak perlu senyum. Tidak mengapa banyak menangis. Melihat sahabat dan orang lain bahagia sangat membahagiakan. Kebahagiaan itu pastinya kembali Allah anugerahkan kepada kita. Itupun bukan pentingnya sangat. Laksanakan yang terbaik memadai untuk melihat orang  mendapat manfaatnya. Lebih ramai lebih baik tentunya. Pesan seorang sahabat, buat sahaja apa yang kita fikir ianya baik. Jangan terbanyak fikirkan kekangannya. Selesaikan satu persatu apabila ianya datang.

Banyak lagi tugas menanti. Untuk dilaksanakan. Untuk dijayakan. Untuk dimanfaatkan kepada orang. Kita perlu jadi pokok yang berbuah lebat. Jadilah kebun atau ladang yang melimpah hasilnya. Perlu jadi payung yang melindungi dari susah dan mengawal senang yang datangnya sesekali. Membri lebih enak dari menerima. Memberi selalunya tanpa apa-apa syarat. Menerima pula takut termakan budi. Oleh itu banyaklah memberi. Tiada apa yang dibimbangi walau banyak manapun memberi. Jangan berhenti walau pun berbuat salah yang mencari yang terbaik. Pastinya semua yang berlalu kekal dirindui.