Tuesday, February 1, 2011

Menangani Pelajar Nakal

Minggu lepas saya ditanya cara terbaik untuk menangani pelajar nakal di dalam kelas. Dalam entry ini rasanya elok kita berkongsi sedikit psikologi ini. Mudah-mudahan dapat manfaat darinya.

Biasalah di dalam kelas ada pelajar yang mencuba-cuba nasib. Dia dikira berjaya jika guru gagal berhadapan dengannya. Guru jadi hilang punca. Guru menangis. Guru naik berang. Tanda-tanda itu memberi kepuasan kepada pelajar yang nakal. Pancing dan umpan yang dipasangnya mengena. Guru terperangkap. Hanya guru-guru yang sifat profesionalnya tinggi sahaja dapat bertenang dan berjaya melihat permasalahan secara holistic. Jangan beremosi. Guru tidak boleh emosi. Marahlah. Tetapi jangan emosi. Ya, belajarlah berhadapan dengan situasi-situasi yang mencengkam itu. Jika gagal banyak padah lain menyusul. Tidak selesai satu, akan muncul pula masalah lain.

Tidak semua guru berhadapan dengan pelajar yang nakal. Pelajar yang sama mungkin nakal kepada seorang guru tetapi dia tidak nakal kepada guru yang lain. Seorang guru perlu tahu kimia yang serasi antaranya dengan pelajar-pelajarnya. Guru mesti mengenalpasti situasi yang membolehkannya click dengan pelajarnya. Carilah pengalaman itu. Perhati setiap waktu trait, sifat dan keunikan setiap pelajar di bawah kawalannya. InsyaAllah akan ditemui ramuannya jika ada ketelitian. Tentulah perlukan keikhlasan kerana ingin membantu. Kerana ingin menyumbang. Kerana ingin mendidik. Kerana ingin memandaikan mereka.

Pelajar yang nakal ada sejarah peribadinya. Lazimnya pelajar itu ada sejarah keluarga. Ada sejarah gurunya yang terdahulu. Ada sejarah rakan-rakannya. Ada sejarah mental dan psikologinya. Tindakan terburu-buru tidak membantu. Tindakan spontan juga tidak membantu. Marah tidak membantu. Mendiamkan perkara itu berlalu juga amat tidak membantu. Pelajar itu perlukan pertolongan. Ia perlukan seseorang mengeluarkannya dari situasi tenggelam dalam mainan dirinya. Dia tidak tahu nilai negatif orang lain terhadapnya. Dia belum menerima kesedaran hakiki bahawa perbuatannya mengganggu gurunya. Mengganggu pelajar lain yang ingin belajar. Pelajar lain yang wawasannya jauh melangkaui masa yang ada.

Perhatikan tanda-tandanya. Pelajar yang nakal mesti ada pengikut. Pengikut inilah yang memburukkan keadaan. Mereka menyokong apa sahaja yang dibuat ketuanya. Kadang-kadang yang nakal itu bukan ketuanya. Pelajar itu hanya proxy sahaja. Ada ketua di belakangnya. Perhatikan betul-betul. Ring leader itu duduk berhampiran pelajar yang nakal. Dia membaling batu tetapi menyembunyikan tangannya. Orang lain yang kena hukum nanti. Guru melihat bukti yang nampak. Bukan yang tersirat. Wlau bagaimanapun pelajar yang nakal pada kebanyakan masa memang dirinyalah yang nakal. Terserlah nakalnya. Pengikutnya tetap ada. Pelajar nakal perlukan penyokong. Yang mendokong apa sahaja yang dilakukannya.

Pelajar nakal mestilah dipisahkan dari rakan dan penyokongnya. Atau keadaan sebaliknya dilakukan. Pisahkan penyokong dan rakan karibnya. Bila keseorangan, nakalnya akan hilang. Penyokongnya tidak lagi berani memberikan sokongan. Jarak boleh mengubah esprit de corp yang mereka bina. Setiakawan yang negatif. Menjauhkan antara mereka bererti menjauhkan hubungan peribadi mereka. Untuk melakukan perubahan, guru hendaklah memahami beberapa perkara terlebih dahulu. Ke mana hendak dipindahkan pelajar yang menjadi sasaran itu. Tidak boleh sebarangan. Takut nanti menambahkan beban masalah. Kesimpulan saya ialah, pelajar nakal lazimnya lelaki walaupun ada kalanya pelajar perempuan. Pertama pastikan saiznya. Sama ada tinggi atau besar.

Pelajar nakal atau penyokongnya hendaklah dipindahkan ke kerusi-kerusi yang jauh dari kedudukan asal. Jarak adalah untuk menghalang mereka berkomunikasi secara perlahan. Jika jauh tentu tidak mungkin mereka memekik antara satu sama lain. Kerusi-kerusi yang strategik banyak. Pertamanya semua meja di baris hadapan. Baris yang pertama. Syaratnya pelajar itu bersaiz kecil. Jika bersaiz besar hendaklah ditempatkan di penjuru kanan atau kiri barisan hadapan. Atau di penjuru kanan dan kiri di barisan terakhir. Atau di tengah-tengah barisan terakhir.

Bagi pelajar yang bersaiz kecil boleh didudukkan di tengah-tengah tanpa mengira baris mana sekalipun. Atau boleh juga ditempatkan di sebelah pelajar yang berlainan jantina. Tempat-tempat tadi adalah strategik. Pada bila-bila masa guru boleh mengawal mereka. Mudah memandang mereka. Mereka mengawal empat penjuru. Pelajar nakal dikawal dengan ditenung. Dibeliakkan mata. Diacah untuk dipukul. Atau boleh juga direnung tanpa memejamkan mata. Pandang lama-lama. Tanpa berkata apa-apa. Berhenti mengajar. Berhenti bergerak. Kekalkan berdiri di tempat guru sedang berdiri. Renung dan renung. Belajar menentang mata pelajar. Belajar mengalahkan tenungannya. Keraskan hati untuk mengalahkannya. Jika boleh sambil merenung sambil kecilkan mata. Pandang tajam-tajam. Seolah-olahnya menembusi matanya. Tikam-tikam hatinya. Tikam kepalanya dengan tenungan tajam itu. Walaupun dia mengalihkan pandangannya, teruskan berikan tenungan. Kira-kira 10 hingga 20 saat lamanya. Biar dia tahu guru sedang tidak puashati dengannya. Tenungan tanpa bicara biasanya lebih bisa dari kata-kata yang hanya akan ditertawakannya sahaja.

Nanti dia akan tersipu-sipu. Dia akan terkesima. Dia akan terkedu sendiri. Dia akan terpempan. Terkulai dengan renungan guru. Jika ada penyokongnya yang membantu, alihkan renungan kepada penyokongnya pula. Begitulah silih berganti. Saya pernah melakukannya. Saya biasa melakukannya. Waktu saya muda dahulu saya garang juga. Bengis juga. Cuma kaedahnya berubah. Semakin saya tua, semakin malas hendak bercakap. Letih tidak tentu pasal. Senang. Guna mata sahaja. Lazimnya memberi impak yang kuat. Pelajar takut dengan renungan sebenarnya. Lebih pedih dari kata-kata. Sedangkan kata-kata itu lebih berbisa dari mata pedang. Cubaah hari ini. Jika tidak berjaya nanti kita cuba cara lain. Banyak, jika rajin menggalinya.

13 comments:

  1. Assalamualaikum w.b.t,
    Tn Hj. Sudah lebih seminggu sy berada di SMK Tan Sri Abdul Kadir, Felda Tenggaroh 5. Saya melihat sesuatu yg boleh dikatakan kebiasaan di sekolah ini. dimana guru-guru membawa rotan. Kadang terdengar jeritan-jeritan sehingga ke bilik guru. Sekolah ini jumlahnya kecil. tetapi masih mampu membuatkan kesabaran guru tergugat. Persoalannya, mestikah guru membawa sebatang rotan utk mententeramkan keadaan kelas?
    Atau sudah tidak ada cara yang mampu utk mengatasi permasalahan itu..

    ReplyDelete
  2. saya menajdi guru selama 42 tahun. seingat saya belum pernah saya mengandar rotan ke kelas atau berkeliling sekolah. pelajar tetap takutkan saya.

    membawa rotan berkeliling sekolah kemudian menjerit-jerit adalah menifestasi kepada suatu kesinambungan yang tida selari dalam jangkapanjang. guru aitu menjadi lambang kebencian. lambang masalah. pelajar diam di hadapan. mereka berlakon hirmatkan guru. sebenarnya mereka didik menjadi ganas. ganas seperti guru yang menbawa rotan. garang seperti guru yang menjerit. sesuatu yang dilakukan berulang-ulang adalah pendidikan. malangnya ia bersifat negatif. ingat kembali eksperimen Skinner, Pavlov dan lain-lain psikologis yang telah dipelajari dahu;u.

    seharusnya guru dan murid membina kimia yang menemukan hati dan hasrat mereka bersama. guru bukan perlu ditakuti.angan pula perlu dibenci. seharusnya guru perlu dihormati, disayangi, mungkin menjadi teladan yang terbaik.

    berikan yang positif. yang terbaik. mendidik bukan salah didik. insyaAllah.

    ReplyDelete
  3. Akum Tn Hj. Selamat Hari Lahir. Moga kebaikan selalu di sisi dn dijauhkn dr keburukn. sy pendekkan cter. ini thn ke3 sy mjadi guru walaupn hanya kontrak. sbgai guru yg x pnh mdpt ilmu psikologi secara langsung, tentu sekali mslh sy adlh apabila bhadapn dgn pelajar2 nakal sprt yg dinyatkn oleh tn hj sprt di ats.
    3 kali sy msk sek yg berbeza pd setiap 3 thn ini perkara awl yg diigtkn olh guru2 sek tsebut kpd sy ialah 'jgn bg muka kpd para pljr', 'msk kls tunjuk muka yg garang', kalau tak sakit kamu smpai hjg thn. huh~ sggh keras nsht itu.

    sy ada mntk pljr utk tulis ats kertas definisi 'cikgu baik' pd pandangan mereka. kebanykn respon yg sy terima mereka mahu guru yang tak garang, yg tak jerit2 dn yg sporting. thn ini hr pertm mdftr sy sudah dpt relief kelas ting 5 yg plg hjg sekali. sy sedar pelajar men atas bukn sprt men ren yg msh di tahap main2. mereka anggap diri mereka sdh besar dan dewasa. pendekatn juga bbeza. apath lg kelas tsebut di klgn pljr yg tdk bmint bljr dn mpunyai rekod disiplin. sy melakukn 1 aktvti bsama mereka dan Alhamdulillah kerjasama yg dberikn positif menyangkal kata2 guru sblm ini. sy jdkn mereka kwn saya. open bcerita mslh mereka dn bdiplomasi dgn mereka. namun sy juga risau sekiranya mereka lht sy ni jenis yg blh bertolak ansur, satu hr nnti mereka akn pijak kepala sy atau tiada respek dgn sy. benarkah tindakan sy ini?

    bg sy mengajar semua org blh bt. namun niat sy bkn setakat itu sy mahu mendidik supaya sy dpt kepuasan dlm memilih kerjaya ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikum salam. minta maf kerana terlepas pandang ulasan ini. saya rasa tindakan itu betul. jadikan mereka kawan. beraktiviti dengan mereka.

      cuma cuba jangan terlalu terbuka. jangan sekali-kali ceritan apa-apa yang negatif tentang diri sendiri. yang difokuskan ialah mereka dan diri mereka. biarkan mereka bercerita. dengar dan beri panduan yang positif. walau bagaimanapun cuba bercakap sebagai guru. maksud saya gunakan istilah yang betul. jika mereka tidak faham, beri penjelasan tentang istilah itu. gunakan bahasa baku. bahasa standard. ayat standard. isinya standard. butirannya standard. ada msa serius. ada masanya santai. yang salah dimaklumkan jenis kesalahannya. implikasinya. impaknya. jangkamasa panjangnya.

      insyaAllah ada manfaatnya.

      Delete
  4. salam...saya ada persoalan..saya baru sahaja menjadi guru sementera di sekolah cina dan mengajar kelas peralihan dan tingkatan stau yang mempunyai masalah dengan bahasa melayu...pada awal masuk kelas, saya cuba mesra dengan mereka dan cuba menganggap mereka sebagai adik2 saya..tapi apa yang berlaku mereka seolah-olah tidak hormat pada saya..malah ada bebrapa pelajar nakal yang kadanng-kadang menggunakan kata-kata kesat atau perkataan yang tidak difahami..menjadi masalah kepada saya apabila dalam satu kelas ada 40 orang murid dan seramai 10 orang dna lebih murid yang nakal..kadang kala pengetua akan memerhati dan menegur saya tidak pandai mengawal kelas..sedangkan saya memang tidak pernah mendapat latihan dna ini adalah pengalamn pertama saya..tolongla saya..apa yang patut saya lakukan..saya suka mengajar tetapi apabila berhadapan dengan murid nakal saya seolah-olah hilang arah..tolong bantu saya..:(

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikum salam. pertamanya harus tahu bahawa anak Melayu tidak sama dengan anak Cina atau India atau etnik yang lain. Anak Cina ada banyak kategori. Anak orang besar dan profesional berbeza dengan anak Cina biasa. tahap kenakalannya berlainan.

      pengalaman di sekolah Cina, guru mestilah means business. nak marah silakan marah. tunjukkan rupa yag bengis. kerana itu sahaja yang mereka maklum. jika nak hukum silakan. asalkan tidka mencederakan dan tidak menyalahi peraturan.

      semasa mereka masih kecil mereka per;lukan kawalan ketat. penuh dengan peraturan. banyak tidak dari ya. senyum mahalkan sedikit. ketawa disimpan dahulu. tunjukkan kewibawaan. suara besarkan. jangan terlalu laju bercakap. arahan mestilah jelas. satu-satu.

      setiap arahan pastikan mereka buat. tenung dan perhatikan yang tidak membuatnya. pergi ke meja mereka dan dengan suara perlahan tetapi besar arahkan mereka untuk membuatnya. suara seperti orang sedang mengancam untuk mengambil tindakan.

      cuba dulu. insyaAllah. selain daripada itu cuba juga seperti yang dicadangkan dalam entry di atas.

      Delete
  5. assalamualaikum tn hj
    alhamdulillah menemui blog tuan haji
    banyak catatan yang tuan haji catatkan di sini
    tahniah
    benarlah pengalaman adalah guru kehidupan

    saya ingin berkongsi entry tuan haji ini di blog saya.
    mohon izinm share ye tuan haji
    sekian wassalam

    ReplyDelete
  6. Waalaikum salam Ummu. Silakan saya izinkan. Mudah-mudahan ada barakahnya kepada orang lain. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  7. salam....saya seorang guru yg baru mengajar di sebuah sekolah felda...saya diberi mengajar kelas ting 2 yg mempunyai masalah bukan shj nakal, tetapi jahat....mereka akan keluar masuk sesuka hati shj ketika saya sdg mengajar....saya tak tau nak buat apa dgn mereka ni..mereka ni sebenarnya terlibat dgn kes juvana......saya khuatir kalo saya marah dgn mereka, mereka tidak akan puas hati dgn saya...blh tuan tlg saya..apa yg patut saya buat dgn pelajar begini..

    ReplyDelete
  8. waalaikum salam. saya silakan anda baca sekali lagi nukilan di atas. mungkin ada yang boleh diaplikasikan dalam kelas. sebagai tambahan saya cadangkan yang berikut:
    1 cuba kenalpasti pelajar yang paling tinggi darjah kenakalannya.
    2 cuba dekati dengan meminta dia membantu menghantar atau mengambil buku.
    3 atau minta dia memadam papan tulis.
    4 atau memungut buku latihan kerja rumah rakan-rakannya walaupun dia sendiri mungkin tidka membuatnya. abaikan pada peringkat permulaan.
    5 atau sebut namanya selalu. jadikan dia contoh dalam ayat-ayat yang positif.
    6 buat sedikit peraturan lebih ketat. jika hendak keluar secara giliran. pd peringkat awal tidak terlalu memaksa. tetapi cuba laksanakan peraturan setiap hari dan masa. mudah-mudahan mereka akan terikat dengan peraturan akhirnya.
    7 berikan isi pelajaran yang menyangkut dengan minat mereka. maksud saya jika mereka berminat dengan bola sepak maka banyakkan contoh nama pasukan bolasepak terkenal di dunia. tambah lagi dengan nama-nama pemain yang terkenal. bilangan gol yang disumbat. gol yang paling cantik. pemain paling mahal dan sebagainya.
    8 jika mereka minat artis, cuba cari maklumat yang tidak diketahu ramai. seperti rumah artis itu di mana letaknya. berapa anak tanga rumah artis itu. berapa bilangan tingkapnya. berapa biliknya. siapa adik beradiknya. berapa orang anak saudranya. siapa datuknya. dan sebaginya.

    cuba tawan pelajar nakal tersebut dari yang paling nakal kepada yang paling kurang nakalnya di kalangan pelajar nakal itu. ada antara mereka menjadi ketua. ada hanya pengikut. ada pula ikut-ikutan sahaja. apabila ketuanya dapat ditawan yang lain pasti tunduk.

    lakukan secara berhemah sehingga mereka tidak tahu anda sedang merancang hendak menawan mereka. jika ada wang, beli gula-gula yang berjenama untuk umpan berkawan dengan mereka. selamat mencuba dan berjaya.

    insyaAllah ada kesannya.

    ReplyDelete
  9. terima kasih atas perkongsian ilmu...

    ReplyDelete
  10. salam alaik tn hj..sy mengajar di skolah missionary, majoriti murid sy non muslim..sy mengajar thn 2 dan 3..bagaimana utk menangani murid-murid yang nakal dgn memasukkan eleman dakwah?murid thn 3 ada yg x hormat guru jugak..mohon perkongsian dan tips dr tn haji..syukran

    ReplyDelete
  11. Walaikum salam. Minta maaf kerana tidak respon seperti diharap. Aduhai. sudah terlalu lama.
    1. Baca entry saya terlebih dahulu. Cuba laksanakan mana yang mampu.
    2. Baca komen, soalan dan jawapan2 yang ada. Jadikan tambahan input untuk
    bertindak.
    3. Kenali maklumat terperinci tentang pelajar. Tarikh lahirnya, cita-citanya,
    kesihatannya dan sebagainya.
    4. Kenali keluarganya. Tempat tinggal, kerjaya ahli keluarganya, perniagaan
    bapanya, tempat tinggalnya dan sebagainya.

    Tarikh lahir pelajar umpamanya jadikan umpan untuk menarik minat mereka. Ucapkan selamat hari lahir. Happy birthday. Setelah habis satu kelas hari lahir mereka diingat guru, rasanya majoriti dari mereka pasti tunduk kepada guru. Beri hadiah yang tidak seberapa. Mungkin hanya sebatang pensil. InsyaAllah berjaya.

    ReplyDelete