Ramai antara
kita pernah mengunjungi museum. Jika tidak pernah pergi sekalipun kita
mengetahui apa itu museum. Bukan bangunannya yang penting tetapi khazanah yang
tersimpan dan terpamer di dalamnya. Ianya merupakan warisan bangsa dan negara.
Warisan yang dibina berzaman-zaman. Bak
kata Hang Tuah, “Tidakkan Melayu hilang di dunia.” Warisan keluarga begitu
juga. Warisan peribadi apatah lagi. Suatu ketika nanti warisan itu untuk
tatapan anak cucu. Mendidik mereka menghargai apa yang di sebalik warisan itu.
Ianya mungkin momento kecil yang tiada erti kepada orang lain. Mungkin tiada
nilai kepada sesiapapun. Tetapi ia kekal untuk menjadi pengajaran bahawa nenek
moyang kita pernah berjaya dalam kategori selayaknya untuk diri mereka.
Tercatat kejayaan-kejayaan walaupun tidak begitu gah seperti kejayaan mereka
yang laluan kejayaannya lebih mudah. Kejayaan tetap kejayaan. Itulah warisan
keturunan yang tidak seberapa.
Dalam
kehidupan semua manusia ada hal-hal yang sangat diberi nilai tinggi.
Disayangi. Diletak di tempat tinggi.
Terpahat di sudut hati. Menggembira dan membahagiakan. Dalam aspek ini kita
jarang meraikan kegembiraan dan kebahagiaan orang lain. Khususnya orang tua
kita sendiri. Ibu dan ayah kita sendiri. Lazimnya, lazimnya kita memandang
rendah warisan keluarga. Kita tidak memberi apa-apa nilai terhadapnya. Kita
tidak pula memanjangkan nilai warisan itu kepada anak cucu kita. Kita putuskan
dari kitaran kebanggaan keluarga. Bahawa warisan itu besar ertinya dalam
kesinambungan keluarga.
Kita selalu
melihat melalui kacamata kita. Melalui
mata zahir kita. Persekitaran semasa kita. Kita lupa bahawa jarak waktu
membezakan penilaian. Harga yang berubah kerana jangka waktu. Apatah lagi jika
jangka waktu itu tersangat panjang. Masa bukan sahaja menjarakkan penilaian
tetapi juga menghakis nilai-nilai peradaban keluarga. Malangnya keadaan
sebegitu berlaku ketika datuk dan nenek kita masih hidup. Sewaktu ibu dan ayah
kita masih segar bugar menikmati kehidupan alam maya ini. Lihat dan imbau
kembali:
Sebuah rumah
usang
Beberapa
pohon buah yang sudah menjulang tinggi
Peralatan
rumah yang vintage dan antik
BantaL,
tilam dan cadar yang kusam
Yang kita
lihat kesemuanya lama. Buruk. Menjemukan. Menyakitkan mata semata-mata. Kita
tidak ingin melihatnya. Malah pada kebanyakan masa kita ingin membuangnya.
Membakarnya. Menjualnya. Memberikannya kepada sesiapa sahaja yang sudi menerimanya. Bukan kita dan bukan anak
cucu kita. Warisan itu ingin kita campak sejauh-jauhnya. Kita nyahkan dari
pandangan mata zahir kita. Nanti dulu! Bolehkah ianya kita buang dari mata hati
kita? Dari kenangan dan ingatan kita? Rasanya sangat sukar untuk kita berbuat
begitu. Bagaimana jika kita berada di tempat datuk dan nenek kita. Tidakkah
parah hati mereka dengan sikap apathy (tidak peduli) kita? Kesemua yang
disayanginya tiada anak cucu yang mengambil tahu. Mata tua itu hanya berkaca.
Pedih melihat kesayangannya terabai begitu sahaja.
Lihat
kembali rumah buruk yang tidak ada nilai kepada kita. Di rumah itulah kita
dilahirkan. Atau dibesarkan. Atau dikahwinkan. Atau anak kita lahir di rumah itu. Ingat kembali
meriahnaya rumah itu dengan kehadiran anak cucu. Tawa dan tangis yang bersulam.
Tingkah bual yang memanjang hingga larut malam. Pertemuan kerana lama berpisah.
Pertemuan pada waktu-waktu yang mengujakan. Bertanya khabar dan berita. Ketika
itulah saat membahagiakan datuk dan nenek. Anak dan cucunya berhimpun kembali
memeriahkan rumah tua yang banyak duka dan dukanya. Tidak gah dan agam. Tidak
cantik dan penuh dengan seni. Tetapi itulah rumah untuk anak dan cucu. Rumah
yang telah mendewasakan anak-anaknya.
Benarlah ibu
dan ayah kita berjaya dalam bidangnya. Berjaya membina rumah yang lebih besar.
Tetapi ibu dan ayah datang dari datuk dan nenek yang kita lihat buruk. Yang
kita lihat tua. Yang kita lihat tidak ada serinya lagi. Yang kita lihat
berkedut beribu. Yang kita lihat tidak sewangi ibu dan ayah kita. Yang kita lihat ragamnya berbeza dari orang
zaman ini. Yang kita lihat uzur dan lemah. Tetapi dari merekalah datangnya ibu
dan ayah kita. Dari merekalah besar dan dewasa ibu dan ayah kita. Dari
kemiskinan merekalah ibu dan ayah kita dijadikan manusia. Dari kedaifan
merekalah ibu dan ayah kita menjadi insan yang kita tatap sekarang.
Malang dan
malang apabila warisan keluarga menjadi terbiar. Seorang tua yang kembali
menatap rumah buruknya hanya mampu diam. Tidakkah hatinya merintih. Rumahnya
bertambah buruk. Dia kehilangan semangat yang pernah ditanamnya di rumah itu.
Museum masih dikunjungi ramai. Masih dipandang dan dinilai. Masih dekat di hati
setiap warga. Tetapi bukan harta kesayangan datuk dan nenek. Mereka masih hidup
tetapi tiada anak cucu yang ingin menghargai apa yang pernah mereka sayangi.
Rumah tinggal rumah. Banyak cicak dan lipas. Tiada kaki yang ingin lagi
memijaknya. Kosong dan kosong. Sekosong hati datuk dan nenek. Tempayan lama
yang dahulu setia menakung air tinggal berlumut hitam. Halaman rumah yang
dahulu bersih tinggal pasir dan batu kecil yang bertabur. Sepi tanpa tuan.
Begitulah
bezanya antara yang lama dan yang baru. Yang tua dan yang muda. Yang muda
memandang rendah apa sahaja yang dahulunya untuk orang tua mereka. Yang lama
hanya mampu melihat gelagat yang muda. Melihat tari dan rentak yang muda. Yang
muda pula tidak pernah terfikir bahawa kitaran yang sama akan menimpa dirinya.
Mungkin lebih hina berbanding dengan layanannya terhadap ibu dan ayahnya.
Terhadap datuk dan nenek. Tunggulah kitaran itu. Bukan lama. Lima tahun. 10
tahun. Mungkin tidak terlalu lama.
Kita jarang
insaf akan kelemahan kita. Muda kita hanya sementara. Tua kita juga sementara.
Ikatan rasa dan warisan bukan semudahnya dipisahkan. Darah dan daging tidak
dapat dipisahkan. Tetapi kita membuat perhitungan sendiri. Kita lari dari yang
lama. Kita hindari mereka. Kita lari juga dari yang tua. Hanya harta dan wang
ringgit mereka barangkali yang masih mengikat kita kepada mereka. .
Mengharapkan pesaka yang tidak seberapa. Kita lupa walaupun yang sudah pergi
tidak perlukan harta dunia, kitalah warisannya yang menjadikan harta pesaka
mereka berguna di alam barzah. Membantu mereka. Doa dan menyayangi apa yang
dahulunya mereka sayangi.
Apakah tua
kita nanti seperti mereka sudahnya?