Shakespeare pernah mengungkapkan bahawa dunia ini adalah pentas. Manusia pula adalah pelakon-pelakonnya. Maka telah berlakonlah saya dengan berbagai peranan untuk melestarikan watak pendidik yang berbagai corak. Saya rentas masa selama 42 tahun. Masa panjang yang selalu saya rindu. Dalam hati hanya kecintaan untuk mendidik anak bangsa yang mengerti akan dirinya. Menegrti akan ibu bapanya. Mengerti akan sanak saudaranya. Mengerti akan induk semangnya. Mengerti akan masyarakatnya. Mengerti akan bangsanya. Mengerti akan negaranya. Mengerti yang terpayah. Mengerti akan tanggungjawabnya yang paling didambakan akan keutuhan agamanya. Menjadi Muslim yang penuh jihad dalam dadanya. Dalam semangatnya. Dalam darah yang mengalir penuh menyirami dirinya.
Hari ini Khamis 14 Julai 2011 genaplah kontrak saya sebagai pensyarah di UTHM. Sebuah institusi yang saya huni sejak 16 Disember 1990 hingga saat ini. Namanya yang panjang bersenarai dari Politeknik Batu Pahat (PBP) menjadi Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP), Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO), Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO) dan akhirnya menjadi gah dengan nama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia – Johor (UTHM). Saya datang menjejak kaki ke PBP sebagai Ketua Bahagian Perdagangan. Kemudiannya pada tahun 1993 memangku jawatan Pengetuanya. Pada akhir tahun itu lahirnya PLSP. Pertukaran status menyebabkan saya beredar ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru sebagai Penolong Kanan HEM dari Oktober 1993 hingga September 1994.
Pada bulan September 1994 saya kembali ke UTHM untuk menjadi Ketua Bahagian HEP sehingga akhir tahun 1990. Bermula pada 1 Januarai 2000 saya menjadi pensyarah pendidikan sehingga saya bersara wajib pada 23 Julai 2001. Selepas itu saya menjadi pensyarah sambilan dan pensyarah kontrak hinggalah hari ini. Sebelum tahun 1990 saya telah berada di berbagai institusi pendidikan dan di berbagai negeri di Malaysia. Dari sekolah rendah ke menengah rendah, menengah atas, sekolah berasrama penuh, sekolah teknik, politeknik dan pernah menjadai pensyarah sampilan di Yayasan Perak dan USM cawangan Perak di Ipoh.
Kemudiannya saya merasa terbang jauh ke Amerika Syarikat dan Canada. Saya rentas pula dunia kita yang bulat ini dari Kuala Lumpur merentas lautan Pasifik, benua Amerika, Lautan Atlantik, Benua Eropah, Benua Asia dan akhirnya berlabuh semula di bumi tercinta yang bernama Malaysia. Saya mungkin mencari pelengkap diri. Mencari kesempurnaan diri. Mencari pengubat diri. Mencari rempah ratus mengenakkan diri. Mencari ramuan-ramuan yang membahagiakan diri, isteri dan anak-anak yang ada ketika itu. Bak jaring yang ditebar saya kaut apa yang dapat. Bak mata kail yang berjajaran saya sentap apa sahaja yang memakan mata kail itu. Terhimpunlah apa sahaja pengalaman. Pengalaman masa. Pengalaman benua. Pengalaman manusia yang berbagai. Ada manis dan ada pahitnya.
Apa yang saya cari? Bukan pangkat kerana saya tidak ke arah itu. Bukan kekayaan kerana saya tidak kaya. Sekadar hidup tidak menyusahkan sesiapa. Bukan terlalu berkelapangan. Saya selalu bertemu dengan bekas pelajar. Ramai yang saya tidak kenal. Terlalu lama melahirkan anak-anak bangsa. Terlalu ramai dan ada di mana-mana. Secara jujurnya saya banyak melupakan mereka kerana yang di depan mata lebih menuntut perhatian. Lebih banyak perlu di belai dan dididik. Pertemuan-pertemuan sesekali kadang-kadang memeranjatkan. Ramai yang memanjat jaya. Ramai yang membina kerjaya dalam berbagai bidang. Yang jauh kedudukannya lebih tinggi dari saya. Dalam kegilaan teknologi seperti sekarang ini ramai yang menemui saya melalui facebook atau melalui blog saya.
Bila saya lawati blog saya kadang-kadang saya terharu kerana pembacanya merentas dunia. Mungkin mereka bekas pelajar saya walaupun mereka tidak mengenalkan diri. 23 Julai ini bekas pelajar yang menganggotai Alumni PUO mengundang saya untuk majlis makan malam mereka. Reunion barangkali. Bagi yang pernah belajar dari saya sejak awal tahun 1980an dahulu tentu sudah berumah tangga. Sudah beranak pinak. Sudah ada cucu barangkali. Ada antaranya yang sudah menjadi timbalan pengarah di politeknik. Time really flies. Saya lepsakan anak-anak didik saya merentas ala mini mencari tapak masing-masing. Mencari asas dan dasar memperkasa diri. Banyak di luar sana yang menuntut kerlibatan diri.
Hari ini saya berundur lagi. Kebetulan ketika saya menulis ini hujan sangat lebat di Parit Raja. Di kampus bandar UTHM. Bukan menangis. Bukan hiba. Bukan rawan. Bukan ada gundah gelana. Cuma perpisahan dengan kerjaya yang sangat saya cintai. Yang menjadi darah daging saya. Yang setiap intipatinya menyerap dalam darah. Dalam saraf. Dlam setiap nafas saya. Seolah-olahnya saya hidup kerananya. Mungkin saya terlalu. Kena ada batas-batas yang perlu dipasangkan. Suatu sempadan antara sampai dan tiba. Antara boleh dan perlu. Saya akur bahawa setiap sesuatu ada hujungnya. Sampainya. Tibanya. Penyudahnya. Tepiannya. Bak belut pulanglah ke lumpur. Bak bangau pulanglah ke belakan kerbau. Di situ tempat yang paling semadi. Asal kita di situ.
Dari stesen ke setesan telah saya lalui. Perhentian dan destinasi yang berbagai. Mungkin destinasi ini sangat nostalgik nantinya. Sentimental untuk diingat. Tempat bercanda minda. Tempat memainkan emosi. Tempat menduga intelek. Tempat membina modal insan yang berimpak tinggi. Tempat santai berdakwah supaya tidak pernah lupa kepada Yang Khaliq. Bahawa setiap perjalanan pasti ada penamatnya. Ada penyudahnya. Ada perhentiannya. Ada pelabuhannya. Ada stesennya. Persimpangan yang sudah ditentukan sampainya. Saya perlu membelok ke arah lain. Ke simpang lain. Memulakan perjalanan semula. Perjalanan lain yang mungkin jauh lebih panjang secara spiritual dan psikologinya.
Meninggalkan sesuatu yang sangat intim dan dekat di hati perlu kekuatan. Namun walau dibina sekuat mana sekalipun kekuatan itu runtuh juga kerana saya ada perasaan. Ada kelemahan menahan perasaan itu. Rempuhan perasaan ini lebih hebat dari tsunami kerana lambakan dan terjahannya sangat kuat sekali. Apapun boleh rebah jika perasaan itu tidak dapat diatasi. Saya beruntung barangkali kerana pendidikan saya membantu menguasai kecerdasan emosi saya. EQ. Kesedaran yang jauh lebih difahami bahawa all good things must come to an end. Saya akan terus beredar kerana di luar sana masih banyak lagi agenda diri yang belum terlaksana. Menamatkan satu perjalanan bukan penamat segala-galanya. Ada perjalanan lain yang telah Allah rancangkan untuk setiap makhluknya.
Bagai burung yang sudah biasa terbang, saya akan terbang selalu. Enak melihat dari atas. Panorama yang selalu indah. Melayang lalu dan mengimbas tentu lebih enak. Lebih santai. Lapang dada dan fikiran dari banyak kekalutan yang selalu mengimbau. Melayang dengan rehat yang panjang mencari tapak baru untuk memulakan sesuatu yang mencapah ke arah lain. Ada hasrat lain yang ingin dicapai. Bukan sekarang sahaja harus berkongsi apa yang ada. Saya merasakan masih banyak yang ingin saya kongsikan. Pengalaman yang dulu-dulu masih banyak yang belum dapat saya nukilkan. Rasanya terlalu banyak lagi. bersusun untuk diluahkan melalui maya ini.
Sudah terlalu lama menyatu dengan alam pendidikan ini. Terlalu banyak yang dilalui. Direntasi. Banyak yang berubah. Banyak yang kalut. Banyak yang bertambah kompleks. Kesantaian mengajar dan mendidik kadang-kadang menjadi robotik. Kemanusiaannya banyak yang terhakis. Sukar membangunkan kemanusiaan yang banyak bersalut teknologi. Semakin tinggi semakin tinggi pula manusia mendongak ke langit. Banyak realiti yang terlihat ganjil. Sesuatu yang tidak lagi dipandang penting. Namun kemanusiaan adalah kemansiaan. Fitrah manusia yang memang begitu. Maka mendidik semakin payah. Inteleknya payah dibangunkan kerana guru banyak sibuk dengan hal-hal yang lain. Emosi juga payah dibangunkan kerana hak asasi kadang-kadang menghalang pendidik bertindak. Ibu bapa ada kodnya yang tersendiri. Sukar mematuhi sekolah atau guru-gurunya. Rohani sukar dibangunkan kerana persekitaran yang mereput dengan budaya dan amalan hidup yang asing. Berubah dari zaman nenek moyang dahulu. Jasmani juga semakin sukar diurus kerana kimia dan bahan toksid yang banyak dalam makanan. Penyakit berbagai yang dihidapi.
Tirai saya sudah berlabuh. Dua minggu ini pastinya menjadi suatu whirlwind bagi saya. 14 Julai tamat kontrak. 23 Julai hari lahir saya yang ke 65. 2 Ogos aniversary perkahwinan saya yang ke 40. Dalam usia 65 tahun ini saya sempurnakan kitaran kerjaya saya sebagai pendidik. Kepada yang pernah berguru dengan saya, mohon maaf kiranya tidak cukup apa yang saya beri. Atau mungkin tidak menepati rasa dan cita. Mohon maaf kerana kadang-kadang hilang kesabaran kerana memandang yang tidak menyenangkan mata dan hati. Bagi yang terasa ambillah iktibar bahawa kesemuanya untuk kebaikan. Apa-apa yang boleh dipakai panjang-panjangkanlah. Ianya menjadi saham saya kerana ilmu yang bermanfaat itu amal jariah. Kepada semua yang pernah mendengar celoteh saya, terimalah. Kepada semua yang pernah melihat dan memandang saya, ambillah iktibar yang baik. Sesungguhnya ada sebahagian diri saya dalam diri anda semua. That part will always be there. Paling kurang dalam ingatan. Kepada semua yang pernah bersama saya insyaAllah di akhirat nanti kita bersua jua.
Saya akan pergi sendirian. Tetapi saya membawa banyak kenangan. Imbauan-imbauan masa akan datang pastinya melunakkan fikiran. Pada kebanyakannya kita masih akan terus bertemu. Bagi yang terus terputus apakan daya. Hendak ku bawa perahuku sempit, tinggallah kasih tinggallah junjungan. Setiap yang bertemu pasti berpisah. Setiap yang bersama pasti berjauhan juga sudahnya. Tidak ada yang kekal abadi selagi kita di dunia yang fana ini. Jika kita tidak pergi orang lain pula yang akan pergi meninggalkan kita. Selagi hayat ini masih ada saya tetap ada di sini. Di alam maya ini kita selalu bersama. Saya akan berada di belakang tirai yang sudah dilabuhkan.