Ke USA bukanlah semudah yang difikirkan. Untuk mendapat tempat di mana-mana universitinya seseorang calon hendaklah lulus beberapa ujian. Mula-mula saya mengambil peperiksaan TOEFL (Teaching of English as a Foreign Language). Semua calon dari negara yang bukan berbahasa Inggeris dikehendaki mengambil peperiksaan ini. Ada lisan. Ada tulisan. Ada yg berbentuk matematik. Cut off pointnya 550 markah. Saya hanya melepasinya sedikit. Saya dapati yang lebih mencabar ialah GRE (Graduate Record Examination). TOEFL untuk kelayakan asas. GRE untuk yang ingin mengikuti kursus pascaijazah. Satu lagi peperiksaan ialah GMAT (Graduate Management Admission Test). Dua yang terakhir agak berat. Calang-calang calon memang sejak awal kecundang.
Masa yang diperuntukkan selama tiga jam. Ada enam bahagian. Setengah jam setiap bahagian. Ada pula 30 soalan aneka pilihan setiap bahagian. Bahasa Inggeris yang digunakan ialah bahasa tahap tinggi. Pada orang biasa bombastic. Classical. Memang berpeluh menjawabnya. 30 soalan memang tidak dapat dihabiskan. Untuk memahami arahannya memakan masa. Hendak memahami bahasa yang digunakan terkulat-kulat dibuatnya. Pengawas peperiksaan hanya memberi arahan mudah. Please don’t copy. If you copy you cheat yourself. Arahan itu saya rasa pelik. Rupanya itu budaya mereka. Waktu di University of Pittsburgh, saya didengarkan dengan arahan yang sama sewaktu periksa. Rupanya itu adalah arahan standard. Orang Amerika sudah terbina budaya ilmunya. Mereka bertanggungjawab dan amanah dengan ilmu. Kata-kata itu hanya ingatan. Mereka lebih tahu supaya tidak meniru. Calon-calon tiada karenah dalam peperiksaan.
Maka dengan TOEFL dan GRE itulah saya diterima masuk ke University of Pittsburgh. Aduh mak! Bermacam-macam borang yang dihantar. Tapi yang penting ialah borang imigresen. Itulah kebenaran dan jaminan bahawa saya mendapat tempat belajar di USA. Sibuklah saya membuat passport. Berulang alik ke kedutaan Amerika. Itu belum lagi ke Kementerian. Dokumen dan dokumen. Syarat dan terma-terma perjanjian. Belum lagi pemeriksaan kesihatan. Tempahan tiket. Jadual perjalanan. Urusan cuti anak sekolah. Ambil wang elaun pakaian panas. Launching grant untuk memulakan hidup di Negara orang. Wang itulah untuk sewa rumah. Membeli perkakas dapur. Untuk makan dan minum.
Pengalaman yang saya timba dari rakan-rakan yang pernah keluar negara nampak seperti banyak ironi dan paradoxnya. Seorang rakan sekolah yang berkursus kewartawanan di London membuat komen santai. Duduk di luar negara kena minum (arak) kerana di sana sejuk. Kena panaskan badan. Entahlah. Kadang-kadang ramai orang hilang arah bila berada dalam persekitaran yang berubah. Yang haram dikatakan halal. Yang tidak perlu dikatakan wajib. Bukan orang biasa. Mereka sebenarnya orang berpendidikan tinggi. Banyak pengalaman. Pernah juga menjadi sebaris dengan pemimpin negara.
Saya tanya rakan saya yang baru kembali dari US. Boleh tak saya bawa T-shirt dan baju Melayu. Dengan tegas dia berkata, “tak boleh.” Di sana sejuk. Sangat sejuk. Baju nipis tidak sesuai. Bawa yang tebal-tebal supaya tidak kesejukan. Supaya boleh panaskan badan. Saya beruntung kerana buat sedikit penyelidikan. Memang di sana sejuk tetapi ada empat musim yang berlainan. Tentulah sewaktu winter baju Melayu tidak sesuai dipakai. Bukankah banyak lagi musim yang lain? Tidak mungkin summer pun sejuk. Saya dan keluarga hanya membawa sedikit baju panas. Bukan baju tebal. Pada jangkaan saya bulan Disember belum begitu sejuk. Pittsburgh bukan di utara sangat. Sederhana ahaja. Bila sampai di US barulah saya beli jaket dan baju-baju yang sesuai untuk duduk di sana. Beli pun yang terpakai. Murah sangat. Jimat duit. Bukan hendak melawa atau melaram. Untuk hidup. Survival. Tidak siapa yang peduli. Tidak ada siapa yang menilai pakaian.
Begitulah persepsi orang. Kita hendaklah memiliki persepsi sendiri. Belajar dari alam. Belajar mencari ilmu. Jadi orang yang bermaklumat. Fahami alam. Dengar dan lihat. Tajamkan sedikit fikiran. Ambil iktibar. Jika ikut sangat kata orang, ke lubuk juga jadinya. Cakap orang hendaklah ditapis. Sahkan dengan fakta-fakta yang kita ada. Yang boleh dicari. Akhirnya kita bertangungjawab dengan diri kita sendiri. Pendapat orang hanya panduan. Bukan penentu. Walau apapun ke USA juga saya dan keluarga saya.
Dulu saya gagal ke Belgium. Ke University of Leuven. Bukan rezeki. Seperti kata pengetua saya, rezeki tidak ke mana. Sekarang saya boleh bawa kesemua ahli keluarga saya. Rupanya banyak sungguh urusan untuk pergi belajar. Pergi sebagai pegawai kerajaan. Bergaji penuh. Ada biasiswa lagi. Ada pula elaun rumah kerana membawa keluarga. Ada lagi elaun keluarga untuk menampung hidup di negara orang. Pendek kata boleh hidup tanpa ragu dan gangguan kemurungan kerana kekurangan wang ringgit. Jadilah saya dan keluarga, one of the chosen few. The lucky one to be on the plane bound for the far away land. The land of opportunity. Hiduplah kami di perantauan. 18 bulan lamanya. Hidup baru yang penuh dengan warna. Penuh dengan aroma keindahan. Ceritanya panjang. Berzaman boleh diingat dan disampaikan. Nanti anak cucu boleh berkongsi. Dulu induknya pernah merantau. Pernah menjejak benua. Pernah dulu duduk di negara orang putih. Mereka yang datang menjajah. Yang kekal menjajah. Yang telah menghilangkan kehormatan kita. Anak peribumi yang hilang harga diri. Fitrah manusiawi yang telah hilang pergi.
Saya datang menjejak warisan saya. Warisan yang dibawa. Yang dulu hilang nilainya. Saya ingin kembali menjejak dan membawa kembali nilai hormat itu. Mungkin hanya sebahagian kecil daripadanya. Tidak mengapa. Itu sumbangan saya. Bukan kuantti tetapi nilainya yang penting.