Friday, February 15, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Bumi dan Tanah Anbia Yang Banyak Barakahnya



Lihatlah tanah di atas. Berlapis-lapis. Condong ke kanan. Lapisan itu tidak terjadi dalam sehari dua. Beribu atau mungkin jutaan tahun. Setiap lapis ada ceritanya sendiri. Bumi sentiasa bergerak membentuk gunung berapi, gempa bumi atau rekahan-rekahan di mana-mana bahagian bumi. Di negara seperti Jordan kita dapat melihat dengan mata kasar kesan pembentukan tanah tanih itu. Pakar geologi tentu asyik keindahan lapisan tanah tersebut.

Pada lereng bukit kadang-kadang jelas kelihatan lapisan-lapisan batu. Sekali pandang seperti hamparan batu yang disusun berlapis-lapis.


Dari dalam kenderaan lapisan-lapisan tanah itu kelahatan sangat jelas. Dalam gambar mungkin tidak sjelas melihat sendiri.


Hanya di kanan dan kiri jalan sahaja. Semuanya jelas kelihtan.


Di lereng bukit begitu juga.

Ada sebahagiannya seperti dilorek-lorek.

Yang ini lebih bantak lapisan tanah dari batu.

Batu dan tanah silih berganti. Berlapis-lapis.

Lapisannya nampak tebal.



Bumi Malaysia Allah anugerahkan kita dengan segala kemewahan. Bumi yang kita pijak menjanjikan berbagai kenikmatan. Musimnya panas tetapi tidak sepanas di padang pasir. Sesekali kita merasa sejuk di misim tengkujuh tetapi tidak pernah winter. Kehijauan panaromanya tidak pernah terputus. Daun tua dan daun muda silih berganti. Hijau yang berterusan. Diselang-seli pula dengan warna-warni dedaun dan bunga yang berbagai. Dari kehijauan itu Allah sediakan kemewahan pertanian. Tanah  yang asalnya hutan yang subur menjadi dusun dan ladang yang juga subur. Kesuburan itu menjadikan Malaysia negara mewah. Dalam kemewahan itu berapa ramai antara kita yang sedar bahawa bumi ini sudah jutaan tahun lamanya. Tidak ramai antara kita yang dapat membaca dan bercerita tentang tanah dan bumi yang kita pijak. Tidak cukup hanya menjunjung langit pada bumi yang kita pijak. Kita tidak tahu apakah bumi yang kita pijak itu. Menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa mungkin tidak memberi keinsafan siapa kita sebenarnya.
Kit a selalu melalui lebuhraya dari utara ke selatan dan dari selatan ke utara. Begitu juga ke timur. Begitu juga di Sabah dan Sarawak. Banyak bukit yang ditarah. Yang dilanskap. Yang dibuang tanahnya. Yang dijadikan terowong panjang. Kita tidak melihat apa-apa pada tanah-tanah atau bukit-bukit itu. Yang kita lihat hanya tanah, rumput dan pokok renek yang tumbuh subur. Menghijau sentiasa. Bukti-bukti akeologi menunjukkan ada kahidupan manusia ribuan tahun di Malaysia tetapi tanda-tanda itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Hanya mereka yang pakar tentang antrophologi, arkeologi dan geologi barangkali yang dapat melihat sejarah tanah. Struktur tanah banyak ceritanya. Lapisan-lapisannya memberikan berbagai fakta tentang sejarahnya dan sejarah manusia terdahulu. Di Lembah Bujang sudah terbukti bahawa Malaysia bukan negara tanpa tamadun. Mungkin sejarah itu bila diserlahkan boleh menyedarkan kita bahawa di belakang kita ada sejarah yang besar dan hebat.
Di Jordan kajian geologi kelihatan lebih mudah. Tanahnya berbatu dan berpasir. Sewaktu saya menjejakkan kaki di buminya pada 15 Januari 2013 dahulu keadaan bukit dan gunung kosong dari tumbuhan yang melata. Rumput belum tumbuh lagi. Setelah sebulan berada di sini lereng-lereng bukit sudah mula menghijau. Kambing biri-biri mula digembala di tanah lapang. Bunga sudah mula hendak menunjukkan pucuknya. Di tempat yang lebih panas banyak pokok yang mula berbunga. Rasanya sebulan lagi bumi Jordan ini akan penuh dengan bunga yang tidak diketahui entah macam mana pokoknya. Hakikat musim bunga kadang-kadang tidak biasa dibaca dengan akal dangkal kita. Yang pastinya suhu mencecah 20°C. Dingin sederhana. Musim yang nanti akan menceriakan hati dan sanubari. Kembang bak bunga itu sendiri. Sementara itu musim dingin ini diharungi dahulu agar nanti musim bunga menjdi lebih bererti indahnya. Lebih mengintai tawa dan senyum. Lebih membunga hati itu sendiri.
Pergi dan balik dari Universiti Zarqa kami diangkut dengan bas universiti. Perjalaan selama kira-kira 40 minit. Jauh juga universiti dari rumah kami ditempatkan. Di kanan kiri jalan saya sentiasa terpegun melihat lapisan tanah dan batu yang menghampar di bumi anbia Jordan ini. Lapisan-lapisan tanah itu nampak dengan jelas. Lereng-lereng bukit seperti diletakkan hamparan batu selapis demi lapis. Tanah-tanah yang dipotong atau ditarah menampakkan dengan jelas lapisan tanahnya. Ada yang seperti berukir-ukir. Ada yang seperti awan larat. Ada yang condong. Ada yang lurus. Ada yang mendatar. Bagi mata yang tidak biasa semua itu tidak memberikan apa-apa makna. Sebenarnya lapisan-lapisan tanah itu banyak ceritaya. Banyak kisahnya. Banyak sejarahnya. Bagi bumi anbia seperti Jordan ini kisahnya terlalu banyaknya. Rasanya tiada upaya untuk memperincikan sejarahnya sejak dari manusia yang awal dahulu. Cukuplah buminya penuh barakah.
Bumi Jordan adalah sebahagian dari bumi Syam.  Nama Syam kita kenal kerana Rasulullah sewaktu usianya 12 tahun telah dibawa oleh bapa suadaranya, Abu Talib, berniaga ke Syam. Itulah kali pertama saya mendengar nama Syam. Itulah kali pertama Rasulullah bertandang ke Syam. Sirahnya menceritakan bahawa kehadiran Rasulullah dikesan oleh seorang rabi dari rumah ibadatnya. Kerana tanda-tanda kerasulan baginda  jelas dapat dilihat. Nasihatnya diterima oleh Abu Talib lalu dengan tergesa-gesa mereka kembali ke Makkah. Itu hanya secebis kisah bumi Syam. Buminya yang meliputi Syria, Lebnon, Israel, Palestin dan Jordan menampung sangat banyaknya nabi dan rasul. Antaranya nabi dan rasul yang digelar Ulul ‘Azmi iaitu Nabi Muhammad, Nabi Musa, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim. Hampir kesemua nabi dan rasul berada di bumi Syam. Nabi Ismail dan Nabi Muhammad antara yang tidak pernah menghuni bumi ini selain dari Nabi Nuh di Iraq dan Nabi Hud di Yamen.
Bayangkan bahawa di segenap bumi Syam ini ada bekas tapak kaki nabi dan rasul sebelum Rasulullah. Di bumi ini mereka disemadikan. Di bumi ini jasad mereka menanti dengan tenang datangnya qiamat. Di bumi ini keringat dan darah mereka mengalir menentang musuh-musuh Allah. Betapa ramai antara mereka yang wafat dibunuh oleh orang Yahudi. Antaranya ialah Nabi Yahya anak kepada Nabi Zakaria. Nabi Yahya adalah sepupu kepada Nabi Isa kerana Mariam ibu Nabi Isa adalah adik kepada ibu Nabi Yahya yang menjadi isteri Nabi Zakaria. Begitulah juga bumi Madyan, bumi kaum Luth, bumi kaum Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman. Di bumi ini juga pernah didiami oleh Nabi Daud, Nabi Harun dan ramai lagi. Maknanya bumi yang saya pijak sekarang pernah dijejak oleh para nabi, para rasul, para anbia yang ramai bilangannya. Itu belum lagi para wali, solihin, sodiqin, syahidin dan lain-lain pejuang yang mempertahankan risalah Allah. Dikatakan terdapat kira-kira 15,000 sahabat yang meninggal dan dimakamkan di bumi Jordan sahaja. Dalam peperangan menentang Rom ramai sahabat yang meninggal kerana diserang penyakit taun.
Sebelum saya berangkat ke Jordan seorang sahabat mengingatkan saya beberapa perkara. Katanya Jordan adalah bumi anbia.  Maka katanya,
1                    Banyakkan berdoa yang positif kerana di bumi ini antara tempat yang juga mustatajab untuk berdoa.
2                    Cakap jangan sebarang cakap. Maksudnya jangan mengeluarkan kata-kata yang jika dimakbulkan Allah musibah yang menimpa.
3                    Banyakkan ibadat. Mudah-mudahkan Allah gandakan ganjaran pahalanya kerana bumi ini adalah penuh barakah.
InsyaAllah. Allah memberkati kehadiran saya dan isteri di sini.