Mengunjungi Hyde Park seperti suatu mimpi. Lama sebelum itu saya dengar tentangnya. Dari guru yang baru pulang. Artikel dan berita mengenainya. Tidak pernah bahawa suatu saat kaki saya berpijak di situ. Di ruang yang sangat bebas untuk berkata apa sahaja. Tiada sekatan. Tiada intimidasi. Seolah-olah kebebasan menjadi sesuatu yang mutlak. Potret ini saksi kehadiran kami di situ. Suatu pengalaman mahal seorang anak kampung.
Kami santai seketika di sini. Entah apa yang ada di minda anak-anak kecil saya ketika itu. Kebebasan buka apa-apa kepada mereka. Mereka mendapatnya tanpa diminta. Tanpa disekat. Hanya orang dewasa yang inteleknya tinggi selalu menagih kebebasan. Kebebasan untuk berkongsi fikir. Berkongsi kehendak. Berkongsi keadilan. Berkongsi hidup yang saksama.
Suatu ketika dahulu di Universiti Malaya Kuala Lumpur terdapat sebuah ruang di hadapan pintu besar perpustakaannya. Hanya suatu ruang. Di ruang itulah ramai pelajar mengasah bakat dalam pengucapan awam mereka. Mereka berpidato. Berapi-api. Berbagai tajuk yang digarap. Cuba diketengahkan. Cuba mengusik hati. Cuba meggegar psikologi. Anak-anak muda di menara gading selalu ideal. Mereka selalu merasa mereka banyak tahu. Kerana itu mereka cuba menjadi dewasa. Menjadi juara. Membina realiti dari sesuatu yang selalu hanya kebarangkalian. Cerita sedikit yang menjadi besar. Menjadi idealisma. Namun suasana tidak mengizinkan. Iklim tidak membenarkan. Dalam dunia kita, kebebasan bersuara itu belum ada. Di parlimen sekali pun ada yang bersuara, ada pula yang mengganggu. Kebebasan bersuara tidak ada. Ramai pemimpin yang lahir dari speakers’ corner di UM itu. Sayangnya sewaktu saya sampai memulakan pengajian saya pada tahun 1975 sudut pidato itu sudah lengang. Ada larangan menggunakannya. Tidak ada lagi ruang bercakap tanpa had. Tanpa sensitiviti. Without fear. Nampaknya ada juga usaha untuk mewujudkannya di IPT namun terlalu ramai yang teragak-agajk. Kita selalu fobia dengan kritikan. Keterbukaan yang payah luasnya. Payah besarnya. Payah bebasnya.
Sudut pidato yang paling terkenal di dunia rasanya tetap di Speakers’ Corner di Hyde Park, London. Di situ sesiapa sahaja boleh bercakap. Hanya dalam ruang itu. Ruang lingkup yang sangat kecil. Bebas untuk warga dunia. Bebas untuk siapa sahaja. Jun 1986 saya berada di ruang bebas itu. Saya jejak buminya yang bebas itu. Sesiapa sahaja boleh berada di sana. Tiada sekatan. Tiada halangan. Tiada apapun yang boleh menajdikan saya terasing di ruang yang gah dengan namanya. Kebebasan merpati putih yang selalu terbangnya sangat bebas. Bebas pergi dan bebas pulang. Bebas hinggap di mana kaki tersentuh. Layang dan terbang yang sama menurun dan menerpa angin tinggi. Beburung yang tiada mengenal tepi dan tinggi. Apatah lagi jauh. Semua ruang lapang untuk bebas menerawang segala ruang. Matanya luas menerawang segala yang boleh dipandang. Dalam ruang bebas itu ramai yang melepaskan apa sahaja yang terbuku di hati. Simpulannya dibuka dengan kata-kata. Kegeraman yang dilemparkan dari hati dan perasaan. Mencari kedamaian yang dipindahkan kepada orang lain. Tiada yang disimpan sendiri. Dikongsi untuk yang sama tahu.
Apa yang selalu tidak bebas pada manusia? Hanya fizikalnya. Penjara yang selalu menyekat pergerakan. Tembok tinggi yang sukar dipanjat. Yang mensesiakan usaha. Tembok tebal yang selalu membendung. Tembok keras yang tentu tidak mudah cair. Tembok kaku yang tidak ada belasnya. Tembok sejuk yang selalu tiada panasnya. Namun tembok bukan penghalang. Bukan penyekat mutlak. Bukan pembendung abadi. Allahyarham Hamka dipenjara bertahun-tahun. Dilingkungi tembok batu yang sejuk, keras, kaku dan tiada sayu. Dari tembok itu lahir Tafsir Azhar yang tebal berjilid-jilid. Menjadi rujukan besar pengamal agama. Yang dekat dengan Allah. Begitu juga dengan Ibn Taimiyyah yang usianya tamat di penjara. Tetapi namanya terbang. Tinggi. Semangatnya menerobos pencinta agama. Besar dan gah. Gemilang selalu. Penjara tidak menjerut kehebatan. Setengah orang menjadikan penjara ruang bebas untuk bersuara dari dalam. Melepasi tembok tinggi dan tebal. Sejauk dan kaku.
Begitu juga dengan Imam Hanafi. Imam Malik. Penjara bukan asing kepada pencinta Allah dan RasulNya. Kepada pencinta agama. Kehebatan nama manusia yang dicintai Allah tetap besar dan gah. Tetap besar dan terbilang. Tetap meniti di bibir mulut. Ilmunya menyebar. Ideanya melewati segala dinding. Saran dan cadangnya melebar ke seluruh alam. Saya teringat Nelson Mandela di Afrika Selatan. 20 tahun di penjara tidak melunturkan semangat dan idealismanya. Apabila aparteid terhapus ia bebas menjadi pemimpin negara yang memenjarakannya. Sesungguhynya manusia hanya boleh terpenjara jasad fizikalnya. Yang dipenjara langkahnya ialah kakinya. Yang tersekat untuk menggapai ialah tangannya. Yang dilindung untuk melihat ialah matanya. Yang tersekat untuk menghidu ialah hidungnya. Yang terhalang untuk mendengar ialah telinganya. Yang tiada lagi untuk dijamah ialah deria sentuhnya.
Tidak mungkin seluruh diri manusia itu dipenjara. Mindanya bebas bak alam luas. Mata hatinya pergi jauh ke mana sahaja boleh terbang. Rohnya ke mana sahaja bila ada tidur dan mimpi. Siang atau malam bukan sekatan apa-apa. Bibir dan lidah masih bebas berbicara. Berbicara secara intra-personal. Dengan tembok. Dengan ruang. Dengan angin. Dengan segala anggota tubuhnya. Mindanya masih boleh mengingat segala yang dicerita dari hati. Dari bibir dan lidah. Begitulah ungkapan mereka yang teraniaya. Kau hanya boleh memenjara fizikalku, tetapi kau tidak boleh memenjarakan fikiranku. Ideaku. Idealismaku. Malah kecintaaku tidak pernah boleh dirobek. Penjara bukan penyekat. Peraturan tidak pernah menyekat kebebasan. Undang-undang tidak boleh menyekat kebebasan. Setiap yang hak adalah bebas asalkan tidak melanggar syariat. Tidak melanggar adat yang bersandarkan syariat. Asalkan tidak melanggar norma dan kebiasaan. Asalkan tidak melanggar undang-undang yang adil. Yang saksama. Ada hemah dan sopan.
Semakin manusia melampaui zamannya semakin pula banyak alternatif bersuara. Terlalu banyak media untuk membebaskan suara. Speakers’ Corner seperti di Hyde Park bukan lagi pilihan. Tiada anak muda di situ. Tiada mereka yang terlalu ideal berada di situ. Pengalaman kadang-kadang seperti melucukan. Saya melihat rabi dan paderi dengan jubah hitam mereka. Dengan bible di tangan. Menyeru kepada agamanya. Semua yang disapa hanya berlalu tanpa henti. Tanpa menjeling. Tanpa minat walau sedikit. Agama bukan lagi tarikan manusia. Idealism seperti dokongan Socrettes sudah tiada. Sekularism sudah terlalu seru menjauhkan manusia dari agama. Tiada lagi ikatan kuat. Tiada lagi falsafahnya yang dituntut. Agama di barat sudah terlalu menipis. Terlalu cair. Manusia ramai yang atheis. Tiada tuhan untuk mereka. Di Malaysiapun agama selalu menjadi bahan yang kering. Layu dan sayu. Walaupun ada pihak yang mengimarah dan memartabatkannya, ada juga yang meruntuhnya. Yang mencairkannya. Mereka manganggap agama hanya sesuatu yang dogmatik. Bukan dianggap sebagai realiti. Kita semakin dangkal. Semakin hilang arah. Jalan lurus itu dilihat terlalu bengkoknya. Padahal yang bengkok adalah mata diri yang melihatnya. Demikianlah jika pendidikan agama selalu dipinggirkan. Jalan ke akhirat selalu tidak dilihat. Jalan ke syurga selalu tidak dinampak.
Pun begitu rabi dan paderi di Hyde Park tetap berdiri di situ. Mencuba dakwah yang tiada sambutannya. Kritikan sosial juga bukan lagi menjadi penting. Tiada sesiapa yang terlalu ghairah untuk mengikutinya. Selalunya orang tidak kisah dengan apa yang berlaku kepada orang lain. Masalah orang bukan masalah kita. Selagi tidak kena batang hidung sendiri maka itu bukan masalah diri sendiri. Biarkan orang lain dengan masalah mereka. Hidup nafsi nafsi. Apa yang saya lihat di Hyde Park menjadi lumrah di mana-mana. Topik politik menjadi selalu hangat. Ramai yang berminat. Ramai yang mengikutinya dengan teliti. Di Barat tiada sekatan bercakap. Tiada halangan apa sahaja topik yang hendak diungkapkan. Mereka boleh mencerca Queen dan keluarganya. Mereka boleh mencacai Perdana Menteri mereka. Boleh sahaja menjadi bahan lelucon. Pasti ramai yang ketawa. Di USA, mereka bebas berkata apa sahaja tentang Presiden Obama. Semua presiden mereka maklum akan perkara itu. Menjadi presiden atau perdana menteri bukan keistimewaan. Ianya suatu tanggungjawab. Suatu komitmen. Kesilapan mereka mendapat teguran kanan dan kiri. Hadapan dan belakang. Atas dan bawah. Tidak mengguris mereka. Tidak mencalarkan mereka. Tidak mengusik hati mereka. Sangat terbuka menerima kritikan. Lumrah kepda mereka. Jika diamati sangat Islamik. Dalam Islam makmum boleh menegur imam. Menjadi wajib jika kesalahan imam itu membatalkan solat. Jika imam tidak mahu ditegur, maka makmum perlu mufaraqah. Itu perkara ibadat. Perkara solat yang menjadi tiang agama.
Saya teringat sewaktu Sayidina Umar dilantik menjadi khalifah. Ia menyeru sahabat-sahabat supaya menegurnya jika ia membuat kesilapan. Bukan jawapan lisan yang menjadi reaksi harapan Umar. Sebaliknya seorang sahabat menghunus pedangnya sambil berkata bahawa sekiranya Umar menyeleweng pedangnya itu yang akan memenggal leher Umar. Itu kata rakyat kepada khalifahnya. Kepada pemerintahnya. Kepada imamnya. Kepada ketuanya. Umar bukan calang-calang sahabat. Syaitan takut kepadanya. Semua musuh gentar mendengar namanya. Sahabat masih lagi tidak takut menegakkan kebenaran. Menegakkan hak. Sesungguhnya Islam itu penuh dengan nasihat. Nasihat menasihati adalah kunci kebaikan bermasyarakat supaya semuanya selari dengan tuntutan syariat. Sentiasa menegakkan yang hak. Membuang yang batil. Kerana itu angin lalu seperti yang diungkapkan pujangga lama sudah berubah wajah. Orang dahulu berkirim salam di angin lalu. Manusia meneroka angin itu. Yang ditemui ialah gelombang yang boleh menghantar mesej. Menghantar berita. Menghantar gambar dan imej. Teknologi telah merubah segalanya. Bendungan telah pecah di mana-mana. Manusia tidak lagi terpenjara kecuali fizikalnya. Syu Ki akhirnya bebas juga. Mindanya telah lama bebas. Bicaranya telah lama terlepas keluar dari rumahnya. Nobel Prize menjadi miliknya. Pejuang kebebasan. Suaranya berada di luar rumah tahanannya. Dunia mendengarnya.
Kebebasan itu bak burung merpati yang keluar dari sarangnya. Terbangnya jauh. Hinggapnya tinggi. Tinjaunya meluas laut. Burung yang di dalam sangkar enak mematuk makanan dan menyedut minuman. Segalanya percuma. Ia menyanyi riang. Suaranya tetap keluar juga. Didengar orang. Didengar beberung lain. Pemilik sangkar yag semakin tua. Semakin lupa dan semakin lalai. Sampai masanya ia tidka lagi larat menutup pintu sangkar. Tuanya semakin nyanyok. Kealpaan yang datang menerjah. Keselesaan yang membuai lalainya. Akbhirnya sangkar itu terbiar bebas. Beburung terbang mencari bebasnya. Nyanyinya semakin riang. Ceritanya semakin banyak. Kebebasan ada di mana-mana. Penjara atau sangkar hanya memenjara fizikal. Tidak hati. Tidak minda. Tidak mata hati. Tidak juga semangat dan kehendak yang banyak. Tidak. Sesungguhnya kebebasan itu ada di mana-mana. Kita yang mentafsir dan menterjemahkannya. Terima kasih penjaga sangkar yang sudah tua. Terima kasih kerana akhirnya kau tidak lagi terpenjara aku. Selamat tinggal sangkar. Aku ingin hinggap di kehijauan yang merata di mana-mana. Yang dulunya tidak ku lihat kerana sempit sangkarku. Dunia dan teknologi sudah terbuka. Akan ku nikmati kebebasan ini. Nanti akan ku terjemahkan dalam sinaran cahaya yang lebih terang. Biar tumpah di bumi bertuah ini.
Kebebasan ada di mana-mana. Carilah ruangnya. Perhatikan peluangnya. Amati natijahnya. Membebaskan minda lebih mudah dari membebaskan fizikal yang terpenjara. Buka hati. Buka mata hati. Psikologi diri perlu diperkukuhkan. Hanya itu yang membebaskan diri dari terpenjara dengan segala hal yang bukan sewajarnya. Kesemua deria kita bebas sebebas-bebasnya. Belajarlah untuk menggunakan manfaatnya. Semua yahg Allah ciptakan tiada yang sia-sia.