Dalam banyak hal kita selalu membuat
perbandingan relatif antara sesuatu dengan sesuatu yang lain. Apabila kita mencipta
sejarah ianya relatif signifikan kepada yang melakukannya. Pada sudut yang lain
ianya tidak penting. Ada yang lebih pending dalam sejarah itu sendiri. Masanya penting.
Tempatnya penting. Ceritera panjangnya penting. Perasaan yang terhimpun adalah
penting. Semangat yang kuat juga penting. Stamina
rasanya sangat penting. Rakan-rakan peserta juga penting kerana banyak bantuan
dari mereka. Apatah lagi psikologi yang unggul. Iman yang tinggi bahawa Allah
memudahkan segala-galanya. Doa dan harapan yang dimakbulkan. Pertolongan Allah
yang tidak terhingga. Pertolongan sesama manusia yang banyak bilangnya.
Kita sebenarnya tidak pernah mengetahui
diri kita secara dekat. Sejujurnya kita selalunya hanya membuat andaian. Membuat
premis yang belum tentu betul. Apatah lagi hipotesis yang belum tentu boleh
diuji. Variabelnya belum tentu dapat kita senaraikan antara yang signifikan
dengan yang tidak. Mungkin kita perlu banyak menjalani ujian diri. Ujian potensi.
Setelah melalui siri ujian-ujian yang tertentu barulah kita mengetahui di mana status
kita yang sebenarnya. Ada testimoni yang dapat dibaca. Ada dalil yang dapat
dipersembahkan. Pun begitu kesemuanya bukan untuk ujub. Bukan juga untuk riak. Bukan
juga untuk besar diri. Kita hanya ingin tahu diri kita lebih dekat. Lebih mengerti
tentang apa yang boleh kita lakukan. Apa yang tidak mampu kita lakukan. Mungkin
perkongsian pengalaman membuka hati dan minda orang lain untuk menjadi lebih
positif. Sesuatu yang dilihat tidak bermungkinan hanya tergantung tidak
diketahui kesudahannya tanpa ada percubaan.
Benarlah kata mereka yang mengetahui,
jangan menyerah sebelum mencuba. Tidak mungkin ada kejayaan tanpa percubaan. Kejayaan
pastinya selalu berhadapan terlebih dahulu dengan kesukaran. Melalui berbagai
halangan mental dan fizikal. Pemikiran yang positif dan negatif yang silih
berganti. Menyerah kalah sebelum mencuba terasa aib diri. Menyerah setelah
mencuba barangkali lemah mentalnya. Menyerah setelah hampir berjaya sukar
difahami. Berjaya setelah mencuba adalah suatu anugerah. Diam setelah berjaya
tidak dapat dikongsi ceritanya. Terlalu banyak bercerita siapa pula yang mahu
membaca dan mendengarnya. Perspektif kita berbeza. Mudah-mudahan perkongsian
ikhlas sahaja yang memungkinkan kita melihat sesuatu dengan lebih berlapang
dada. Bukankah Allah sentiasa bersama kita?
Mendaki puncak bukan kesemuanya cerita
derita hati. Bukan pula penyeksaan fizikal. Ada yang manis untuk dikenang. Menjejak
puncak adalah manis. Lebih manis dari sewaktu dipuji semasa muda. Semasa kulit
belum berkedut. Manis kerana beroleh jaya. Puncak tinggi yang selalunya
melebihi ketinggian puncak-puncak yang lain di sekelilignya. Cuma jangan lupa
bahawa di tempat lain ada yang lebih tinggi. Sesungguhnya langit itu tinggi. Sukar memilih perkataan dan ayat untuk
menggambarkan manis di puncak Tursina. Kepada orang putih satu perkataan
sahaja. Miracle.
Penulis tidak berfikir begitu. Ianya bukan suatu keajaiban. Sesungguhnya ia
anugerah Allah. Mendapat limpah kurnaiaNya. Manisnya ditambah kerana faktor
usia yang jarang diberi kelebihan apabila sudah melepasi jangkaan biasa. Fizikal
pula tidak pernah teruji seberat itu.
Melalui berbagai kepahitan adalah asam
garam menuju kejayaan. Jarang berlaku yang pipih datang melayang. Yang bulat
datang bergolek. Kita yang selalu terlayang. Kita juga yang selalu tergolek. Kejayaan
berada di hadapan atau di atas atau kedua-duanya. Di hadapan dan di atas. Untuk
ke hadapan banyak susah payahnya. Apatah lagi batu, krikil dan pasir yang belum
tentu selamat untuk dipijak. Yang belum tentu memberikan kelebihan. Malah kadang-ladang
membahayakan. Menambah risiko. Benar juga kata Konficius, perjalanan yang jauh
itu dimulakan dengan langkah yang pertama. Jika tidak dimulakan pastinya yang
dekat sekalipun tidak kesampaian. Dengan awal bismillah kita mulakan. Dengan alhamdulillah
kita persembahkan apabila tiba di puncak. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Bahawa
untuk mendaki ke atas terlalu banyak kesukarannya. Namun apabila langkah
dikejapkan ke langkah yang berikutnya ia mendekati sarasan. Jauh hanya ukuran. Tinggi
hanya relatif.
Dalam terang kita melihat. Mata kasar
kita nampak mudah yang di hadapan. Nampak kepayahan yang bakal ditempuh. Boleh mengira
risiko yang berkemungkinan. Dalam terang kita lebih pasti dengan ketidakpastian
yang ada di hadapan kita. Kita boleh membuat perancangan yang serapi mungkin. Boleh
mengatur strategi yang mantap. Melaksanakan proses yang langkahnya dilakukan
mengikut turutan yang lebih padu. Tetepi dalam gelap kita membuat pertimbangan
yang lebih wajar. Kita tidak boleh bergerak dalam gelap tanpa mengetahui gelap
di hadapan kita. Perlu banyak persediaan. Kita mengetahui bahaya yang mungkin dihadapi.
Tetapi kita tidak melihatnya. Hanya perasaan kita yang mengerti. Menghidu bahaya
yang datang. Naluri kita yang terlatih pasti lebih tajam lagi jangkaannya.
Apabila kita menonton filem atau video
kita kadang-kadang tidak faham. Mengapa ada selingan lelucon. Ada jenaka. Ada watak
kelakar. Ada situasi yang melucukan. Ada yang lucu dari kata-kata atau
tingkahlaku yang berbagai. Didengar lucu. Dilihat lucu. Yang lebih hebat ialah
ianya selalu diingat dan tetap melucukan. Dalam kepayahan mendaki Bukit Tursina
tidak kurang juga peristiwa lucu sebegitu. Maaflah. Lucunya mungkin terlampau. Ianya
tidak lucu sewaktu berlaku. Apabila dikongsi cerita, datang lucunya. Entah mengapa
penulis kerap membuang angin semasa mendaki. Sedang mengangkat kaki terasa
angin mendesas keluar. Mungkin pergerakan fizikal melonggarkan rongga-rongga
dalaman untuk memudahkan angin mencari laluan keluar. Sedang memijak batu angin
yang lain pula keluar. Begitulah berulang-ulang. Rupanya orang lain ada yang
mengalami hal yang sama. Terdengar dalam pendakian seorang peserta lelaki
memberi kenyataan lucu bahawa rakannya banyak membuang angin. Angin adalah
milik individu. Orang lain mengetahuinya apabila terhidu sesuatu yang
dikenalpasti sebagai angin. Atau apabila terdengar bunyi yang dikenalpasti
sebagai angin. Angin tetap angin. Bagi orang Melayu ianya tetap lucu. Kita tahu
angin dan penangannya.
Cerita Tursina ini
pastinya panjang untuk dirakam dengan kata-kata. Lama untuk berada dalam
lipatan. Mereka yang bersama mengetahui ceritanya. Mereka yang membaca
mengetahui sejarahnya. Mudah-mudahan banyak manfaatnya untuk kita sama-sama membina
masa hadapan yang puncaknya lebih tinggi. Yang manisnya melebihi madu. Yang indahnya
membunga harapan mewangi selalu. InsyaAllah.