Har ini Ahad 17 April saya menonton kemenangan Lewis Hamilton di litar F1 Shanghai, Cina. Sewaktu di podium Hamilton tentu terharu apabila lagu God Save The Queen diperdengarkan. Seluruh kawasan litar mendengarnya. Nanti dulu. Bukan. Seluruh dunia mendengarnya. Tentu rakyat Britain bangga mendengar lagu itu. Tentu mereka bangga kerana anak watan mereka mencetuskan fenomena di gelanggang F1. Lagu kebangsaan mereka diperdengarkan. Penghormatan kepada negara mereka. Siapa yang tidak merasa tusukan nikmat bernegara. Nikmat mencetus rasa ria. Rasa gembira. Mendepangi dunia. Kejayaan menakluk hati dan sanubari warga dunia.
Ada dua perkara yang selalu dilupai. Pertama bendera negara. Kedua lagu kebangsaan. Lagu negara. Bagi kita tentu Jalur Gemilang bukan calang-calang. Kibarannya mencacak di Kutup Utara. Jatuh ke bawah mencacak pula di Kutub Selatan. Menjulang ia tinggi lalu terbang mengawan dan menancap di Puncak Everest. Tolehlah ke manapun kibarannya menyejuk mata. Ia ada di Timur. Ia ada di Barat. Ia abadi dalam hati. Di mata dan di sanubari. Sebati selalu menggamit rasa cinta yang menyebak dada. Setiap kali nadanya didengar lagu Negaraku meremangkan bulu roma. Bait-baitnya yang mengusik rasa segar kerana banyaknya nostalgia. Sejarah bangsa yang panjang berantai dan berangkai.
31 Ogos 1957. Detik 12.00 tengahmalam yang gemilang. Yang terang benderang di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Di dataran Merdeka sekarang. Pasangan mata yang ribuan banyaknya. Sesak menyesak ribuan tubuh manusia yang sudah lama tekad untuk berkongsi saat itu. Naiklah Jalur Gemilang. Naiknya semakin tinggi. Remangan bulu roma yang seperti tidak lagi berdiri. Tegak mencacak semangat tinggi. Mengalir bersamanya semangat merdeka. Semangat bebas bak merpati putih yang terbang melayang meninjau jauh mengangkasa biru membelah buana nusa tercinta yang ketika itu namanya Persekutuan tanah Melayu. Kerana kecintaan kepada kebebasan kita panjangkan kepada saudara mara kita si Sarawak dan Sabah. Begitu juga kita undang Singapura dan Brunei. Hakikat yang kita ada ialah bahawa 13 negeri yang bersatu bernaungkan DYMM Sri Paduka BagindaYang DiPertuan Agung. Di bawah Jalur Gemilang juga pada 16 September 1963 kita realisasikan Malaysia. Itulah negara tercinta. Watan yang memberi rasa bangga. Yang kemerdekaannya selalu kita jaga. Kita pertahankan.
Cukupkah hanya dengan kata-kata? Cukupkah hanya dengan mengibarnya? Cukupkan hanya dengan melambaikannya? Cukupkah hanya dengan melarikannya pada kenderaan? Cukupkah hanya dengan mencacak di hadapan rumah? Cukupkah hanya dinaikkan setiap minggu di sekolah? Cukupkah? Cukupkah? Kadang-kadang saya terasa merintih kerana bendera negara itu tidak diberi erti yang besar. Makna yang segar. Dipandang dengan debar. Dilipat dengan sabar. Dibawa dengan gegaran hati dan goncangan rasa besar. Benarkah kita telah memberi erti yang sebenar? Betulkan kita telah memberi nafas segar untuk membesarkannya? Apa tandanya? Apa tandanya? Cakap, takut tidak serupa untuk dikota. Di dengar, takut tidak menyusup hingga ke lubuk hati. Dilihat, takut tidak nampak besarnya yang tersirat erti dan makna yang dilambangkan pada warnanya. Pada bintangnya. Pada bulan sabitnya. Pada jalur dan kotaknya. Pada kibarannya yang menggoncang arah angin. Bangganya di tempat tinggi yang selalu didongak.
Sinonim benar bendera itu dengan lagu Negaraku. Lagu seriosa yang selalu gemersik meninggi mengumandang suara. Irama yang menggetar perasaan. Yang nadanya menggoncang semangat. Dulunya bak waja kerana perjuangan yang tidak pernah henti. Di belakang semua itu ada nama-nama yang pahit diingat sejarah. Yang kadang-kadang dilupa kerana terlalu lama meninggalkan sejarah. Kembalilah kepada perjuangan hidup mati Datuk Maharaja Lela. Yang jasadnya digantung kepala di bawah. Berhari-hari di Taiping. Ditonton. Dilihat. Dipandang. Hukuman penjajah yang memukul geram. Yang menyindir tajam. Yang menempelak. Yang mengunjam. Hilang upaya bangsa kita ketika itu. Kuatnya orang putih yang entah berapa kerat memperkuda kuasa. Ratusan tahun baru dapat dinyah. Malam 31 Ogos 1957 itulah Union Jack yang mereka kibarkan selalu di turunkan. Dilihat laju menderas menyembah bumi. Turunlah engkau dan kembalilah ke lubukmu yang jauh di utara. Tinggalkan kami membina puing-puing sejarah yang telah engkau injak-injak hingga tiada lagi harganya.
Dalam kumandang Negaraku itu tentu ada nafas Datuk Bahaman. Ada kelibat Mat Kilau. Ada saf Abdul Rahman Limbung. Ada wajah Mat Salleh. Ada sorak di Naning. Ada tangisan di Melaka. Ada teriakan di Sungai Johor dan Riau. Sungai Perak tidak selamanya putih kerana di dalam alirannya ada darah J.W.W. Birch yang tumpah di Pasir Salak. Yang bercampur menjadi penjana semangat. Walaupun si Putung kecundang kerana khianat bangsanya sendiri. Namun gahnya kekal hingga kini. Semangat itu yang sentiasa berkibar pada Jalur Gemilang. Yang selalu senada dengan Negaraku. Kibarannya semakin deras. Iramanya semakin jelas. Kita yang ditinggal dan diwariskan dengan sejarah itu mampukah mewarnainya lagi? Mampukah kita memberikan warna sejarah masa hadapan kita? Apa nanti yang dapat kita tinggalkan untuk anak cucu kita? Benarkah kita tidak bimbang bahawa Jalur Gemilang itu hanya berkibar tanpa semangat? Adakah nanti Negaraku berkumandang tanpa dimergerti bait-baitnya yang cukup sukar dibakar didada pejuang?
Lewis Hamilton mencetuskan kibaran Union Jack di litar-litar antara benua-benua. Selalu didengar dan ditonton oleh jutaan manusia. Lagu God Save The Queen berkumandang. Mahu tidak mahu telinga kita mendengarnya. Terkesan juga memberi hormat kepada anak watan negara orang. Apalah daya kerana kita masih terlalu jauh mencipta nama. Anak-anak watan kita disibukkan dengan gejala yang mengundurkan sejarah. Yang memuramkan kegemilangan semangat Jalur Gemilang dan Negaraku. Dunia sukan kita belum lagi menjadi industri besar. Yang dieksport ke dunia luar. Yang selalu boleh mengumandangkan Negaraku. Yang selalu dilihat mengibarkan Jalur Gemilang. Dunia sukan kita belum lagi menjadi penjana ekonomi kelas pertama. Yang mampu memberi makan kepada pencintanya. Yang memberi kenyang kepada pengikutnya. Yang menjadi industri besar menjamin keutuhan kewangan negara. Yang boleh dicemburui. Yang dapat diikuti. Yang dicontohi. Yang akhirnya menjamin kesejahteraan jasmani, emosi, rohani dan intelek warganegaranya.
Kecintaan kepada Jalur Gemilang dan Negaraku mestilah diterjemahkan dalam bentuk kehidupan realiti. Ditafsir menjadi sesuatu yang hakiki. Kita menjadikannya sebagai sumber hidup sehari-hari. Bersamanya kita bernafas. Bersamanya kita hidup. Bersamanya kita mencipta kebanggan hidup bernegara. Telah dimerdekakan tanah air tercinta ini. Telah mengalir darah pejuang-pejuang. Telah bersemadi semangat-semangat besar yang memercu tanda perjuangan. Anak cucu yang ada semestinya terus menggembling tenaga memperkasakannya.
Entahlah jeritan rasa diri masih mencengkam. Yang dilihat ialah kesibukan mencari nama bukan memberi sumbangan. Terlalu individualistik yang kadang-kadang menenggelamkan perjuangan sebenar yang perlu ditonjolkan. Semangat cintakan negara tenggelam kerana perjuangan diri yang tidak pernah selesai-selesai. Maslahah umum yang selalu terpinggir. Maslalah negara yang selalu terpencil. Kita mengejar yang kecil-kecil. Yang terlalu lama dikutip tetapi banyak yang tercicir. Fikirkanlah masa hadapan anak cucu kita. Nanti bila kita tiada ada tinggalan yang boleh dipesakai. Bahawa watan ini kekal kemerdekaannya. Bahawa Jalur Gemilang bukan lagi berkibar sendirian. Ia berkibar bersama hati-hati yang segar dan bukan walang. Negaraku berkumandang dengan semangat juang yang tak kunjung padam. Usahlah dimalapkan kegemilangannya. Kita yang dewasa berilah suluhan terang. Yang muda jalanlah ke hadapan mengejar terang cahaya itu.