Wednesday, August 7, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Hari Raya Yang Dirayakan



Hari ini hari apa? Hari raya.
Siapa yang berhari raya? Kita.
Kita itu siapa? Kita semua.
Maksudnya semua orang tanpa mengira agamanya? Tidak.
Jadi? Kita orang Islam sahaja.
Di mana kita berhari raya? Di masjid, di rumah dan di rumah saudara serta sahabat handai.
Bila berhari raya? Mulai 1 Syawal.
Hingga bila? Tak tau. Biasanya orang berhari raya selama berbulan-bulan.
Bila berpuasa enam dalam bulan Syawal? Jarang buat.
Kenapa? Hari-hari orang jemput makan. Lebih-lebih lagi hujung minggu. Ada sahaja rumah terbuka.
Mengapa kita berhari raya? Berseronok selepas berpuasa.
Kenapa berpuasa dalam bulan Ramadhan? Menunaikan rukun Islam.
Apa yang selalu kita buat pada hari raya? Menonton TV, makan-makan, borak-borak, jalan-jalan.
Solat tak? Kadang-kadang terlepas juga. Sibuk dengan menonton TV.
Tak penat ke? Penat juga. Perut kenyang. Biasa juga tidur depan TV.

Jika kita buat soal selidik banyak jawapan yang tidak selari dengan kehendak agama. Kehendak Islam. Kita sudah terbelenggu dengan adat. Dengan kebiasaan. Hingga tahapnya sudah tidak terkawal lagi. Kita dituntut berhari raya.  Setelah berpuasa selama sebulan. Setelah membayar zakat fitrah. Setelah bertakbir, tahmid dan tahlil. Setelah solat eid ul-fitri. Semuanya dilakukan sekali dalam setahun. Cuma puasa selama sebulan. Zakat fitrah mengikut kadarnya. Takbir bermula dari selepas Maghrib hari sebelumnya hingga solat eid ul-fitri. Solat pula hanya beberapa minit sahaja. Yang panjang khutbahnya. Sebelum pergi solat kita disunatkan makan dahulu. Sarapan dahulu. Makanan banyak. Masih kecur sejak dari semalam. Tekak meminta diisi. Perut minta dikenyangkan. Sunat mandi untuk solat eid ul-fitri. Kita pakai baju baru. Wangi baunya. Bergaya ke masjid atau di mana sahaja diadakan solat eid ul-fitri. Himpunan terbesar yang diadakan setahun hanya sekali. Jika solat Jumaat seminggu sekali, solat eid ul-fitri setahun hanya sekali. Beberapa minggu selepas itu himpunan manusia di dunia paling besar di Padang Arafah. Kemuncak dalam setahun. Hanya sekali juga. Tidak sah haji tanpa wukuf di Arafah. Setahun hanya sekali. Beberapa jam sahaja. Hari yang sangat pendek.

Kita telah berpuasa selama sebulan. Ramadhan yang dipenuhi dengan amal ibadat. Berbagai ibadat. Membaca al-Quran. Solat Tarawih. Berserta solat Witir. Malamnya dihidupkan dengan tahajjud. Memberi makan kepada orang berpuasa. Menghidupkan malam. Membantu orang lain yang memerlukan. Sekurang-kurangnya dengan doa yang baik-baik. Berhari rayalah dengan pengertian bahawa hari raya itu adalah ibadat. Beringat kepada Allah yang telah menganugerahkan kita kekuatan untuk melalui Ramadhan yang baru semalam berlalu. Yang memberi kita peluang bersama Ramadhan bersama orang lain. Kita baru sahaja berdoa selama sebulan memohon dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun hadapan. Untuk kita isi lagi dengan sepadatnya ibadat.     

1        Makanlah kerana ibadat. Usah sampai sendat hingga mata sentiasa rapat tidak boleh dibuka kerana ketat melekat.
2        Berpakaianlah sesederhana mungkin. Ada orang lain yang tidak berganti pakaiannya.
3        Berjalanlah kerana ibadat. Setiap langkah dikira pahalanya. Ke rumah datuk dan nenek. Rumah bapa dan emak saudara. Abang dan kakak. Saudara-mara yang lain. Sahabat handai.
4        Jaga batas aurat. Bataskan pergaulan bebas. Hormati Ramadhan yang baru berlalu. Hormati Syawal yang penuh barakah.
5        Berhiburlah tetapi dengan zikir. Dengan al-Quran. Mungkin qasidah dan nasyid.
6        Ibu dan bapa buatlah pilihan yang paling baik untuk anak cucu dan keluarga. Bataskan menonton TV. Terlalu banyak yang melekakan. Rakaman yang dibuat sebelum hari raya. Dalam Ramadhan mereka membuat rakaman.
a.      Tidak menghormati Ramadhan yang sedang dilalui.
b.     Tidak menghormati Syawal. Bulan ibadat yang diandaikan untuk berhibur di luar batas syariat.

Hari raya bukan musim komersil. Kita terlalu diruntun emosi untuk merayakannya hingga terlupa batas-batas yang dituntut.  Hari raya hanya sehari sahaja. Benar puasa kita selama sebulan. Ada yang kata tidak seimbang jika hari raya diraya hanya sehari. Keadilan itu untuk siapa. Dari siapa. Syawal kedua kita dituntut berpuasa. Puasa selama enam hari. Habiskan sekali lalu. Rehat kita hanya pada Syawal pertama sahaja. Pada Syawal ketujuh kita berhari raya semula. Kesinambungan dari suatu rukun agama kepada kebiasaan. Membiasakan diri berpuasa untuk menginsafi diri supaya tidak melakukan hal-hal yang melampaui emosi.

1        Catu makanan pada tubuh badan. Makan yang sedikit selaluya menambah kesihatan. Mengekalkan kesihatan. Memulihkan sebahagian penyakit.
2        Mengekang nafsu supaya serakahnya berkurangan.
3        Menginsafi kekurangan orang lain yang memerlukan.
4        Empati terhadap kesusahan orang lain kerana ketidakmampuan. Kerana penyakit yang menghalangnya makan. Kerana tidak ada bekalan makanan.

Hari raya adalah manifestasi kepada kepekaan kita terhadap seluruh kecintaan kita kepada Allah. Kepada RasulNya. Kepada sesama makhluk yang lain.  Puasa difardhukan kepada kita yang bergelar Muslim.  Bukan orang lain. Islam, baligh, mukallaf, siuman dan tidak terhalang dari berbagai halangan seperti penyakit, mengandung, perjalanan jauh atau kerana menyusukan anak. Maka hari raya kita tentulah selaras dengan keperluan Ramadhan itu. Kesinambungan dari suatu rantaian ibadat yang besar pahalanya. Berhibur tidak ada dalilnya dalam al-Quran. Tidak ada dalilnya dalam hadith. Tidak juga diberi kelonggaran oleh ulamak. Tidak oleh orang alim. Tidak oleh ustaz dan ustazah. Hari raya adalah untuk menyempurnakan ibadat kita. Menampung kekurangan dalam bulan Ramadhan. Menambahkan lagi segala kebaikannya. Menimbunkan keupayaan meningkatkan ibadat.

Jika begitu hambarlah hari raya. Tidak. Lihat semula diri kita. Di manakah hambarnya. Nikmat apakah yang kita terima. Balik semula. Undur semula ke belakang. Kita menerima Iman. Islam. Rezeki. Sihat. Amal ibadat yang sempurna. Kita lihat semua yang kita terima. Itulah sebenarnya yang menghiburkan hati. Menyempurnakan tuntutan Allah dan RasulNya. Tuntutan agama yang tiada belah baginya. Apapun apabila kita berjaya melaksanakan tanggungjawab kita maka ada kelegaan dalam hati dan perasaan kita. Tidak perlu hiburtan dari luar. Hiburan dalaman itu lebih nikmatnya. Lebih berperisa kerana ia gambaran yang sukar dilukiskan. Tiada ukuran dan sukatan untuk menentukan banyaknya. Kita dan diri kita yang merasakannya sendiri. Belum tentu dapat dilihat oleh orang lain.

Bagaimana jika pada kali ini kita sama-sama senaraikan semua kenaikan yang telah kita lakukan pada Ramadhan yang berlalu ini. Senaraikan juga keburukan yang kita lakukan. Kita buat lagi senarai yang sama tahun hadapan. Pada satu Syawal tahun hadapan kita bandingkan senarai itu. Jika kebaikannya bertambah, alhamdulilllah. Jika sebaliknya berlaku, semak balik diri kita. Selama ini hanya Raqib dan Atid sahaja yang mencatat baik dan buruk kita. Mari kita sama-sama melakukannya. Catatkan yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya. Mudah-mudahkan kita lebih insaf akan kelemahan kita. Kekuatan iman kita cukup terbatas. Mudah kita muasabah diri. Kita sendiri sedar mana yang perlu digandakan dan mana yang perlu ditinggalkan. Semoga hari, minggu, bulan, tahun dan usia kita bertambah baiknya. InsyaAllah.


Salam Eid ul-Fitr dari Kaherah. Kullu am waantum bikhair.