Kisah 1:
Seorang mahasiswi baru sebuah IPTA. Berkenal seminggu
melalui telefon keluar bersama lelaki tidak dikenali.
Kisah 2:
Dikatakan beraspirasi menjadi pelajar IPT dixxxxx berkali-kali tanpa ragu.
Adakah mahasiswa dan mahasiswi insan istimewa.
Berfikiran berbeza. Tingkah lakunya berbeza. Akhlaknya berbeza. Jawapannya ia
dan tidak. Mereka adalah insan biasa tetapi dianggap berbeza kerana:
1
Lulus peperiksaan SPM dengan cemerlang. Dikaitkan
dengan IQ mereka yang lebih tinggi dari rakan mereka yang sebaya.
2
Berpeluang berada di IPT. Institusi yang melatih bakal
graduan yang akan memegang jawatan penting dalam negara atau swasta.
Membangunkan kerjaya yang menjulang nama. Pendapatan besar. Pangkat tinggi.
Kedudukan elit.
3
Dilatih oleh profesor, pemegang Ph.D. Paling kurang
pensyarah mereka memiliki ijazah Sarjana (Masters).
4
Mereka didedahkan dengan kecerdasan emosi, falsafah,
berfikir aras tinggi untuk meneroka, menyelidik dan membangunkan teori dan
produk baru atau inovatif.
Pengalaman penulis mengendalikan hal ehwal pelajar
menunjukkan bahawa andaian di atas tidak semuanya benar. Ramai pelajar yang
sedar akan pentingnya diri mereka dibangunkan selari dengan cita-cita negara. Selaras
dengan Falsafah Pendidikan Negara yang inginkan warganegara yang terbina IQnya,
emosinya, jasmaninya dan rohaninya. Namun begitu ada juga antara mereka yang lurus
bendul. Maksudnya tidak memahami tipu muslihat persekitaran mereka. Tidak tahu
bahawa dunia penuh dengan mereka yang ingin mengambil kesempatan. Lebih-lebih
lagi mereka yang baru mendaftar di IPT. Mereka belum:
1
Memahami bahasa dan gerak-geri di sekeliling mereka.
2
Tidak peka dengan bahaya dan risiko.
3
Mudah terpedaya dengan pujukan. Dengan propaganda.
Dengan tipu muslihat.
4
Mudah terperangkap dengan keadaaan sekeliling. Tidak
dapat membuat tafsiran yang jelas untuk memilih yang hak dan benar.
5
Mereka yang datang dari sekolah menengah dianggap
sangat mentah. Terlau putih. Tidak lagi mengenal sepak terajang manusia di luar
lingkungan mereka.
Dalam kes pertama seorang pelajar wanita yang baru
seminggu mendaftar berani keluar dengan seorang pemuda yang bukan warga kampus.
Orang luar yang dikenali melalui telefon. Pemuda itu rakan kepada rakannya. Dia
dijemput di rumah sewanya dan dibawa keluar dengan menunggang motorsikal.
Pulangnya pula lewat malam. Mereka dikatakan hanya keluar untuk
sembang-sembang. Apabila dipanggil ke pejabat HEP dia tidak berasa bersalah.
Tidak memperlihatkan apa-apa reaksi. Kepadanya hal seperti yang dilakukannya
dianggap sebagai perkara biasa. Bukan masalah dan bukan suatu kesalahan. Dia
tidak takut langsung sewaktu dibawa keluar dengan motorsikal. Tidak terlintas
langsung di mindanya bahawa berbagai perkara boleh berlaku sewaktu ia dibawa
keluar oleh lelaki. Dia baru sampai di daerah itu. Dia tidak mengetahui selok
belok tempat itu. Hari pula malam. Terpaksalah penulis memberikan senerio
tragis kepadanya. Demi untuk menyedarkan akan bahaya yang dihadapinya pada
malam tersebut. Dia seorang diri pula. Berbagai-bagai perkara boleh berlaku.
1
Bagaimana jika dia diperkosa pada malam itu?
2
Bagaimana jika selepas kejadian itu dia dibunuh untuk
menghilangkan jejak saksi?
3
Dia tidak mempunyai saksi yang jelas. Rakannya tidak
tahu dengan siapa dia keluar.
Setelah aspek keselamatan seperti itu didedahkan
kepadanya barulah ada rasa gentar pada dirinya. Baru dia tunduk berfikir.
Merenung lantai yang memang rata. Terkuis-kuis kakinya kerana mungkin banyak
debu. Rasanya ini bukan kes terpencil. Ramai mahasiswi IPT yang terjebak dengan
hal-hal yang sepertinya. Pengaruh rakan-rakan senior yang mahir sosial membawa
mereka ke arah yang tidak wajar. Akhirnya ada antara mereka yang terjebak
dengan maksiat. Seks terlarang. Penyalahgunaan dadah. Mengandung luar nikah. Lepasan
SPM umpamanya masih terlalu naif dari segi berfikir. Mereka terlalu lurus.
Tidak dapat menilai dengan telus mata mana yang boleh dan mana yang tidak
boleh. Jika ramai pelajar IPT yang cemerlang masih ada juga antara mereka yang
gagal dan tercicir dalam berfikir aras tinggi. Yang peka dengan masalah di
sekeliling mereka.
Dalam kes kedua pula ianya mungkin sesuatu yang amat
aneh. Mungkinkah dia ditakdirkan begitu. Entahlah. Tetapi jika sesuatu
perlakuan yang dipaksakan ke atasnya berlaku berulang kali. Hingga berkali-kali
pula tentulah ianya mengundang keganjilan. Luarbiasa. Sekali lagi pertanyaan
dilontarkan. Apakah anak muda juga terlalu lurus bendul akal budinya. Tidak
dapat menolak atau melarikan diri atau melawan atau bertindak agresif. Tenaga
mudanya masih segar. Kadang-kadang kita tidak dapat habis memikirkannya. Kenapa
dan mengapa berulang kali ditanyakan. Siapa yang boleh menjawabnya. Akal waras
tidak dapat menerima. Perasaan lagilah menolaknya. Lazimnya remaja wanita
mungkin lebih mudah dipujuk. Mudah longlai dengan kata-kata manis. Tidak mungkin
remaja lelaki sangat lemah jalan fikirnya. Membiarkan dirinya diperlakukan
dengan sewenang-wenangnya. Walaupun kemudiannya dia bangkit cuba membetulkan
keadaan namun apa yang diperkatakan telah berlaku di luar fikiran biasa untuk
memahaminya.
Mungkinkan menyerah diri kepada keadaan dan takdir
menjadi pilihan yang mudah. Tentu sesuatu yang merisaukan pendidik dan ibu-bapa
apabila anak-anak tidak dapat berfikir dengan jelas dan telus. Tidak mampu berfikir
dua kali. Atau selalu gagal memikirkan alternatif yang sentiasa ada. Setiap kemelut
ada jalan keluarnya. Tetapi tidak sekali-kali menjerumuskan diri kepada risiko.
Kepada masalah. Mungkinkah:
1
Anak-anak kita pendek akalnya. Di sekolah mereka hanya
pandai dengan teori. Menghafal rumus. Mengulang apa yang perlu diulang. Mereka mahir
dengan hal-hal yang rutin. Apa-apa yang di luar lingkungan sekolah tiada dalam
minda mereka. Lintasan bahaya hanya sedikit sahaja.
2
Mereka malas berfikir panjang. Tidak mahu berhelah. Tidak
pandai berdalih. Malas beralasan dalam hal-hal yang membawa keburukan. Yang mejerumus
kepada maksiat.
3
Lemah akal budi. Anak-anak muda selalunya hanyut dalam
lingkungan mereka. Apabila kumpulan mereka hanyut dengan hedonism maka mereka
turut sama. Andai kumpulan mereka beramal soleh maka mereka ikut serta.
Beruntung sebenarnya anak-anak yang dibesarkan dengan amalan
agama yang baik. Dirinya terkawal. Dia mengawal keadaan dan bukan keadaan yang
mengawal dirinya. Ramai anak-anak kita terpedaya dengan rakan taulan mereka
sendiri. Ada sesuatu yang ibu-bapa perlu beringat. Anak-anak selalunya taksub
dengan rakan mereka jika dibiarkan mereka menjadi terlalu rapat. Pastikan anak-anak
kita berkawan di sekolah. Bersama rakan kerana mengulangkaji. Kerana berbuat
kebaikan. Berada di tempat-tempat yang menjamin akhlak dan perlakuan baik. Dalam
segala hal ibu-bapa bertanggungjawab mempastikan anak-anak berada di landasan
yang betul. Dari kecilnya. Dari kanak-kanaknya. Dari remajanya. Jika ketiga-tiga
peringkat ini terkawal insyaallah dewasanya dalam keadaan terkawal. Ingatlah bahawa
segala-galanya bermula dari rumah. Ibu dan bapalah yang mengurus puncanya. Mengharmonikan
apa-apa kecelaruan atau divergen yang berlaku. Semoga Allah memelihara kita dan
keturuna kita.