Monday, July 21, 2014

Siri Dua Puluh Empat: Sakit Tentu Banyak Peningnya

Beberapa hari di hospital kerana pembedahan di lututnya. Tentu sunyi sebegitu. Masa beginilah rindu pada anak-anak memuncak. Pada cucu-cucu mengharap hadirnya. Jika tidak hanya bermenung. Datanglah kenangan lama yang dibawa hingga ke tua. Mereka yang dahulunya disayangi jauh dari hadapan mata. Kita akan mengalaminya nanti. Kembali menjadi sendiri. Beruntung bagi mereka yang sudah tua tetapi berupaya menemui dirinya sendiri. Ramai yang kecundang. Hanya sedih dan pilu mengenang masa lalu.



Antara hal yang sangat berharga kepada kita bukanlah emas dan wang ringgit. Keduanya ada nilai yang tersendiri. Tetapi ada yang lebih penting dari kesemuanya itu iaitu kesihatan. Semasa remaja kita meremehkan peringatan guru supaya kita menjaga kesihatan. Kita mencebik apabila ibu atau bapa memberi petua. Kita beranggapan bahawa diri kita akan sihat selamanya. Kesakitan itu seperti tidak mungkin menyinggahi diri kita. Maka kita leka dengan makanan yang lazat-lazat. Jadual tidur yang tidak menentu. Senaman yang tidak dilakukan. Kadang-kadang kita hairan melihat orang tua yang sakit. Kadang-kadang itu terasa misteri melihat penyakit orang tua. Penyakit yang berbagai menyerang pesakit yang berbagai. Rupanya sakit itu gandingan sihat. Rasulallah mengingatkan, ingatlah sihat sebelum sakit.

Selain dari sakit yang membelenggu kakinnya dahulu, Haji Abas dikurniakan Allah dengan kesihatan yang baik. Alhamdulillah. Walau bagaimanapun sesekali datang juga penyakit mendatangi tubuh badannya. Mungkin kejang otot. Sakit kerana terjatuh. Seusianya sekarang Haji Abas pernah dilanggar motorsikal. Ketika itu ramai orang sedang menonton lumba basikal antarabangsa Le Tour de Langkawi yang antara tempat tamatnya di Pekan Parit Sulung. Dalam ramai-ramai begitu sebuah motorsikal melanggar Haji Abas. Patah tangan kirinya. Berbulan juga berurut dan dirawat di hospital. Tergendala sebentar agenda hidupnya. Banyak yang perlu dibantu seperti memandikan, memakaikan pakaian dan melayani makan dan minumnya. Suatu ketika lututnya seperti bisul yang besar. Terpaksa dibedah. Maka tinggallah dia di hospital beberapa ketika uantuk mencantumkan bekas bedah yang agak besar di lutunya. Kali terakhir ia terjatuh lagi ialah pada tahun lalu. Tangan kanannya seperti tidak berapa berada di tempatnya. Kedudukannya seperti berubah. Tidak sekuat seperti dahulu lagi.

Barangkali Hajjah Aminah yang menanggung lebih banyak penyakit. Pada dirinya ada penyakit darah tinggi, sakit lutut (kering) dan sakit pening yang kerap. Makannya sudah lama tidak berselera. Tidurnya tidak begitu lelap. Pergerakannya banyak terbatas. Kerap mengunjungi hospital untuk pemeriksaan berjadual. Ubat sudah terlalu banyak yang dimakan. Sekadar mengekalkan keadaan sahaja. Jika bergerak jauh dari rumah maka kerusi roda diperlukan. Boleh berjalan di dalam rumah dengan berpaut pada kerusi atau dinding rumah. Namun begitu dia masih mampu memasak, membersihkan dapur dan membasuh pinggan. Sekali sekala kecundang juga kerana dia gagal mengawal imbangan. Hingga pada suatu ketika pecah kulit di sebelah atas matanya kerana jath di lantai simin. Berjahit juga sudahnya.

Apabila usia memanjat tinggi, tenaga dan kesihatan menurun berlawanan. Segala-galanya berubah menjadi lemah. Semua kita pasti akan melaluinya apabila sampai masanya. Ada antaranya mengalaminya lebih awal dari orang lain.  Allah berikan Haji Abas pengalaman yang lebih baik. Alhamdulillah. Seusianya 100 tahun ia dikurniakan dengan kesihatan yang dikira baik. Masih kuat berjalan. Masih ada selera untuk menikmati makanan kesukaannya. Masih nyenak tidurnya. Yang penting Haji Abas masih boleh menguruskan dirinya sesempurna yang perlu. Hajjah Aminah yang perlukan lebih banyak perhatian. Selain dari pemeriksaan berjadual di hospital, Hajjah Aminah dibekalkan dengan berbagai ubat. Silih berganti ubat yang dimakannya. Mungkin juga sistem tubuh badannya menjadi lali dengan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital. Hanya doktor yang mengetahui. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

 Apabila berjalan jauh, Hajjah Aminah perlukan kerusi roda. Berjalan memang suatu penyeksaan kepadanya. Lututnya kekeringan pelincir yang diperlukan. Di dalam kenderaan kerap perlu banyak berhenti untuk membetulkan kedudukan diri dan kakinya. Sejak sekian lama tidak boleh menaiki kenderaan awam. Dalam usainya 90 tahun setakat itu sahaja sisa-sisa tenaga yang ada padanya. Pergerakan di dalam rumah masih diusahakannya. Mengemas dapur umpamanya. Membasuh pinggan. Memasak. Menyapu lantai dan beranda. Perlu banyak berhenti. Pautnya pada apa sahaja yang boleh sangat banyak. Mungkin dinding. Atau kerusi. Atau meja. Atau sesiapa sahaja yang berhampiran. Berjalan bukan suatu yang memudahkan kepadanya.
  
Apabila tua menjelang tiba tidak ramai anak muda yang memahami keadaan. Begitu juga cucu-cucu Haji Abas yang sudah terpencar ke berbagai tempat tentu menghadapi kesukaran untuk kerap mengunjungi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Cuba renungkan bahawa pada usia 100 tahun berbagai-bagai perkara  boleh berlaku. Di mana-mana tempat. Pada bila-bila masa. Ini bermakna pada usia 100 tahun itu:

1                   Usia yang berbaki semakin sangat berkurangan.
2                   Peluang untuk bersamanya semaikn terbatas.
3                   Sakit dan peningnya bertambah mengikut faktor usia.
4                   Rasa sunyi yang semakin memyempit dan menghimpit perasaan.
5                   Rindu  kepada anak-anak dan mungkin sebahagian cucu memuncak ketika sakitnya.
6                   Kegembiraan menyalut perasaan apabila ramai berkeliling semasa sakit mereka.
7                   Alangkah baiknya jika anak cucu memberikan sensitiviti yang lebih tinggi untuk menghibur mereka sementalahan usia yang masih berbaki sangat terbatas.

Mereka yang berusia banyak sakitnya. Mereka yang muda banyak gembiranya. Sekiranya kedua-dua ekstrim ini diharmonikan tentu banyak baiknya. Yang muda menggembirakan yang tua. Bagaimana?

1                   Kerap menziarahi mereka bila ada peluang. Sekejappun sudah memadai.
2                   Membawa apa-apa kegemarannya. Mungkin makanan. Mungkin pakaian. Mungkin minyak wangi. Mungkin buah tangan lain.
3                   Apabila ke luar negara jangan lupa hadiah dan cenderamata. Haji Abas dan Hajjah Aminah selalu benar mendengar berita anak dan cucunya berada di luar negara. Besar hati mereka jika ada tanda-tanda yang berkaitan.
4                   Ziarah kemuncak tentunya semasa sakit mereka. Perihatin dan empati yang bersesuaian.
5                   Selalu bertanya khabar. Selalu berkirim salam.
6                   Walaupun berjauhan, hulurkanlah apa yang perlu untuk mereka.

Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak banyak karenahnya. Mereka gembira apabila dibawa keluar. Apabila dibawa berjalan. Apabila dibawa melancong. Apabila dibawa makan di luar. Apabila dijamu dengan makanan kesukaaannya. Zaman sebelum merdeka dahulu hidup mereka daif. Setelah merdeka mereka masih daif. Kerana anak dan cucu ramai yang berkemampuan maka panjangkanlah langkah mereka. Luaskan pemandangan mereka. Bawa mereka menjelajah tanahair yang pernah dilaungkan kemerdekaanya pada 20 Februari 1956 dahulu. Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka yang tidak pernah luput dari ingatan Haji Abas. Masakan kita yang menjadi keturunannya melupakan peristiwa besar negara yang penuh sejarahnya yang tersendiri. Sejarah gemilang warisan Haji Abas. Indahnya berkasih sayang dengan ayah dan bonda tersayang. Bersama datuk dan nenek tersayang. Bersama moyang tersayang. Masa berbaki yang bilangnya semakin berkurangan. Sementara mereka masih ada di hadapan mata. Masih boleh ditatap. Masih boleh mencari redha dan pahala.