Thursday, May 19, 2016

Segala Puji Bagi Allah



Pagi hari ini Khamis 19 Mei 2016 penulis berada di sebuah bandar. Sedang melangkah ke sebuah pasaraya. Penulis disapa oleh seseorang yang tidak dikenali. Belum pernah bertemu. Apatah lagi bertegur sapa. Dia memberhentikan motorsikalnya. Memberi salam sambil menghulurkan tangan. Terungkap sesuatu yang tidak terduga.

Smartnya!
Terima kasih.
Encik dulu tentera ke?
Tidak.
Pangkat kaptan ke?
Tidak.
Pilot ke?
Tidak.
Smartlah!
Berapa umur? 35?
70.
Ya ke!

Setakat itu sahaja terluang masa. Lelaki separuh umur itu memandang penulis  agak lama. Pertemuan yang jarang dipinta. Apatah lagi bertegur sapa. Bukan rakan. Bukan taulan. Bukan sahabat. Bukan pula saudara mara yang jauh atau dekat. Namun sekelumit kemesraan yang Allah datangkan kepada penulis amat signifikan dalam menjalani kehidupan ini. Bahawa kita sebagai manusia sentiasa menjadi perhatian orang di sekeliling kita. Sebagai manusia biasa kita tidak begitu terasa pentingnya diri kita. Apabila kita menjadi seseorang yang Allah beri amanah sama ada dengan jawatan atau sebaginya maka perhatian orang lain terhadap kita lebih fokus. Kerana itu siapa diri kita yang sebenarnya perlu diambil berat. Perlu diberi perhatian. Fizikal menjadi juzuk yang pertama dilihat. Sihat atau sakit dapat dilihat pada pergerakan badan. Seorang suami atau isteri perlu perihatin dalam hal sepert ini. Ingatkan pasangan supaya sentiasa kemas, rapi, ranggi dan berpakaian yang selayaknya.

Usia bukan segala-galanya. Bila muda kita ranggi. Bila tua kita menua. Itu persepsi yang sukar diduga. Ini bukan zaman kita melupakan kesegaran hidup. Segar dalam erti kata bahawa hidup perlu dinikmati. Direalisasikan dan di manifestasikan keindahannya. Apatah lagi jika kita masih ada pasangan di samping kita. Masih ada insan tersayang yang indah belaiannya. Memacu kahidupan yang semakin menuju penamatnya. Mengira hari-hari yang semakin ke penghujungnya. Hanya beberapa tahun lagi. Atau mungkin beberapa bulan sahaja. Atau beberapa hari lagi. Atau……atau…..atau sudah terlalu dekat masa itu. Rugilah jika tidak memberi yang terbaik utuk pasangan masing-masing.  Bercinta hingga ke akhir hayat. Untuk bertemu semula di syurga. Ungkapan “aku terima nikahnya” bersemadi hingga ke syurga.

Sebenarnya siapa kita jika bukan kerana Allah. Segala puji bagi Allah. Kita kembalikan kepadaNya apa sahaja yang kesemuanya kita pinjam. Kesihatan milik Allah. Kekuatan dan tenaga milik Allah. Stamina kita milik Allah. Keberadaan kita milik Allah. Begitu mereka yang sudah berumahtangga, pasangan masing-masing menjadi pengawal diri. Apakah sesudah tua kita menipiskan kasih sayang? Menjauhkan keintiman. Luput kemesraan. Bayangkan bahawa sebuah perkahwinan adalah usia itu sendiri. Pelumba pecut semakin pantas menghampiri garis penamat. Bukan memperlahankanya. Barangkali persaraan adalah hujung menuju panamat. Malang jika pasangan hilang segala-galanya.

Siapa seseorang itu tanpa pasangannya. Kita tidak boleh hilang sabar masing-masing. Semakin usia meningkat pasangan kita jauh berubah berbanding masa mudanya. Terlalu banyak perubahan yang kita lihat di hadapan mata. Betapa ruginya tidak melihat keindahan pada perubahan-perubahan tersebut. Apakah kita sepi dari sifat seni yang sensitif terhadap pasangan masing-masing. Perlukan kita menjadi hilang sabar sedangkan pasangan kita itu adalah segala-galanya untuk kita. Untuk selama dengannya. Untuk selama bersamanya. Ketika ini bukan masa untuk membuat penilaian. Bukan masa untuk membuat pilihan. Itulah masa yang perlu mengujakan. Kita akan bersamanya untuk suatu jangka masa yang terlalu singkat. Perpisahan yang pastinya tetap menanti.    

Masa bersama yang banyak berlalu adalah gambaran berlalunya masa lampau. Masa yang bukan untuk merasa hilang cinta dan kasih-sayang. Ianya wajar menjadi masa yang semakin indah. Sesudah lama bersama banyak yang terlalu dirasa. Yang tiadanya dikenang. Yang datangnya dinanti. Yang perginya ditunggu. Tetapi itu semua jika masih bersama. Akan sampai waktunya yang hilang tiada lagi ditunggu. Yang pergi tidak dinanti. Bagaimana harus hilang kemesraan dan kebahagiaan. Tanya hati kita sendiri. Masih ada segala-galanya dalam sanubari. Andai dibelai rasa, masih hangat perasaan kita terhadap pasangan kita. Masih rindu yang kuat menggamit. Inilah waktunya kita membantu pasangan masing-masing. Anggaplah ianya kebahagian dan bukan beban. Nyahkan rasa bosan. Buangkan rasa menyiksakan. Suburkan rasa rindu yang bertahta di hati.

Walhal apa yang perlu dilakukan  adalah pecutan-pecutan terakhir sebelum berpisah tanpa bicara. Sebelum hialang tanpa sua. Sebelum segala-galanya hanya tinggal nama. Itupun jika mencipta nama di dunia ini. Jika tidak maka hilang ghaiblah nama kita di mata dunia. Begitu juga di mata manusia yang biasa. Kita bukan siapa-siapa. Seorang yang biasa-biasa sahaja. Kadang-kadang pasangan lanjut usia sukar bersua muka sesama mereka. Ada helahnya. Ada dalihnya.  Lanjut usia adalah persepsi. Ianya mungkin masa yang banyak positifmya. Atau mungkin menjadi negatif hingga melumpuhkan semangat berkasih sayang yang dibina sejak dari muda belia lagi.

Benarlah warga emas sangat lumrah lusuhnya. Berkedut dan masai sahaja. Tetapi usia bukan alasan. Pada fizikal yang lusuh itu jika dibalut dengan rapi masih elok dipandang. Manis ditentang mata. Bagaimana kita perlu terus teurus diri.
1              Biasakan rasa bahagia yang berpanjangan.
2              Berpakaian untuk dilihat berpakaian. Bukan sekadar menutup aurat. Pakaian juga sesuatu   yang menyenangkan orang lain memandang kita.
3              Memilih warna yang melambangkan diri kita. Sihat, periang, peramah, bertenaga, cergas,     lincah.
 4             Sentiasa kemas dan peka dengan pakaian.
5              Terima padnangan orang lain dengan berlapang dada.
6              Kadang-kadang kita perlu dilihat berbeza tetapi masih sesuai dengan majlis dan tetamu        yang hadir.


Lihatlah pasangan masing-masing. Jadikan dia yang terbaik untuk diri kita. Jangan biarkan diri kita terperangkap dengan usia sehingga kita lupa bahawa hidup kita mungkin masih lama lagi. Nikmati segalanya sebelum segala-galanya meninggalkan kita. Anggaplah tiada masa luang untuk kita bersantai-santai sahaja.  Banyak yang perlu dilakukan. Banyak yang perlukan sentuhan tangan dan hati kita. Jangan sia-sia peluang dan luang itu. Ianya lebih manis dari madu. Lebih wangi dari bunga ros. Lebih indah dari pemandangan yang saujana mata memandang.