Wednesday, December 5, 2012

Udang dan Mentega


Di Seneca College of Applied Technology saya diperkenalkan ramai stafnya. Walaupun Edward Chop counterpart yang tetap, ramai lagi yang menjadi counterpart sementara. Untuk sehari atau dua hari sahaja. Setelah 22 tahun saya sudah tidak ingat nama-nama mereka lagi. Tahun 1990 yang sudah lama. Seorang daripdanya berketurunan Perancis. Suatu hari dia mengajak saya dan Datuk Zakaria ke rumahnya. Dia balik awal hari itu. Dalam perjalanan pulang dia singgah di sebuah pasaraya dan membeli udang galah besar. Dia hendak menjamu kami dengan udang katanya. Jika pembaca dalam keadaan saya apa jangkaan tuan. Kami akan menjamu selera tentunya. Kita akan selalu berfikir cara kita. Cara Melayu. Cara Malaysia. Banyak hidangan. Antaranya udang galah. Makan besar. Bikwah kata orang Kelantan. Big Work? Kenduri besar.

Itulah gunanya pengalaman. Kita mengerti adat orang. Budaya orang. Bukankah lain padang lain belalangnya. Hari itu kami makan besar. Udang besar. Hendak dimasak apa udang ini. Gulai? Tidak mungkin. Sambal? Mana orang putih pandai masak sambal. Goreng bertepung? Lagilah tidak tahu. Mungkin orang Asia yang masakannya glamour. Meletihkan. Lambat. Kepada orang putih masakan dan makan boleh dimasak secara simplified. Sangat mudah. Sesiapapun tahu memasak cara mereka. Bagi yang tahu pastinya. Nak tahu? Betul? Ok. Sampai di rumahnya sahabat saya tadi menjerang air dalam periuk. Nak buat apa ni kata hati saya. You take care of yourself. Find any drink in the fridge. It takes awhile. Have a rest.

Setelah air mendidih dimasukkannya kesemua udang yang dibeli tadi ke dalam periuk. Memerah kesemua udang itu. Proses masak. Sementara itu dia memanaskan mentega – butter. Apabila cair dimasukkan mentega itu ke dalam mangkuk. Meja diset. Setiap seorang disediakan satu pinggan kecil dan satu pinggan besar. Udang masak. Diangkat seekor demi seekor ke dalam bekas besar dan diletakkan di atas meja. Kebetulan isteri sahabat saya itu berkerja. Tengahari itu isterinya tidak makan tengahari di rumah. Anak perempuannya pula berada di sekolah. Seorang sahaja katanya. Kami bertiga santai sungguh di rumah itu. Saya dan datuk Zakaria seperti berada di rumah sahabat atau saudara di Malaysia. Layan diri.

Apa nak buat udang dan mentega cair ni? Tertanya-tanya sendirian. Saya lihat kepala udang dibuang. Rasanya kita di Malaysia kepala udang kita ratah juga. Sayang. Nah, beza kan? Cuba lihat semula apabila membeli udang selepas ini. Pada kepala udang itulah terkumpul tahinya. Di situlah juga terkumpul bahagian paling lemak. Kolestrol? Tepat. Selepas ini tahulah bagaimana hendak makan udang yang lebih selamat dari segi kolestrol. Apabila udang sudah tanpa kepala barulah diuruskan bahagian badan dan sepitnya. Sepitnya banyak isi kerana udang itu bersaiz besar. Yang bersaiz kecil barangkali tidak banyak isi pada sepitnya.

Maaf, hidangan lain tidak ada. Tidak ada nasi. Jauh panggang dari api. Roti pun tiada. Kentang tiada. Sayur tiada. Salad tiada. Kami hanya makan udang semata-mata. Saya tidak pula bertanya berapa harga udang itu sekilo. Kami bersedia untuk makan. Diajarnya kami makan udang. Tahu makan. Di Malaysia biasa makan. Tetapi kali itu cara makannya berlainan. Isi udang dicecahkan dengan mentega cair. Udang tadi direbus tanpa garam. Tanpa apa-apa bahan tambahan. Air dan udang sahaja. Dicecah mentega cair yang masin. Agak-agak apa rasanya? Perrrrrrrgh! Masin, lemak dan enak lazat. Waktu itu usia saya 44 tahun. Masih sihat. Segar bugar. Tidak langsung takut dengan penyakit. Rasanya saya makan tiga ekor udang galah besar. Cecah mentega cair. Kecur mecur mulut saya bila teringat peristiwa itu. Orang putih memudahkan apa sahaja sistem yang ada ruang untuk dipermudahkan. Sistem makan satu daripadanya.

Kita makan udang terlalulah payahnya. Banyak sangat ramuan dan cara masaknya. Tidak ada orang Malaysia makan udang seperti saya makan di Toronto. Bukan budaya. Mungkin selepas membaca entry ini akan ada yang mencuba. Sila. Boleh jadi amalan. Tunggu! Tunggu! Jaga kolestrol. Orang Malaysia makan udang masak sambal. Paling popular. Panggang? Mungkin. Gulai lemak cili api? Ada juga. Ada pula goreng dengan tepung. Jarang pula goreng biasa. Tanpa apa-apa kecuali garam. Waktu kecil saya di kampung dahulu saya buat botok udang. Campur udang galah (pancing atau tangkap dengan menggunakan pongkis) yang sudah ditumbuk halus dengan kelapa parut (parut sendiri). Campur cekur dan bawang. Garam tentunya. Kukus beberapa jam. Sedap dimakan sebagai lauk.

Minggu lepas asaya masak sambal udang. Setengah kilo udang. 10 batang cili merah. 20 biji cili api. Bawang merah lima labu. Bawang putih satu labu. Serai sebatang. Halia sebesar separuh ibu jari. Minyak zaiton secawan. Blend semua bahan yang disebut. Panaskan minyak. Bila cukup masak masukkan bahan yang sudah diblend tadi. Goreng hingga berbau harum. Masukkan udang hingga masak. Garam secukup rasa. Gula jika ingin rasa manis. Asam sedikit. Cubalah. Pasti ketagih nanti.