Saturday, March 29, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Malu Bukan Pada Muka



Rasanya pertama kali kita mengalami krisis bertaraf dunia. Selama ini kita majukan banyak idea yang bertaraf dunia. Kita gagaskan bermacam-macam rekabentuk. Ciptaan yang diharap menggamit permintaan dari warga seluruh dunia. Cuma krisis yang kita hadapi tidak pernah dirancang. Tidak juga pernah dijangka. Apabila terkena badinya kita semua seperti kehilangan arah. Mereka yang berada di tempat yang berwibawa teruji kewibawaannya. Ramai yang kecundang. Mereka yang menjadi rakyat biasa ramai yang terpedaya dengan spekulasi. Baru sekarang kita mengerti bahawa untuk menjadi negara hebat banyak lagi yang perlu kita bina. Kita alami. Kita hadapi. Kita pelajari. Banyak yang perlu kita rancang. Kita kena kembali ke drawing board untuk melihat semula diri kita. Semak semula apa yang kita ada. Seorang tokoh akademik pernah berkata dalam suatu seminar peringkat kebangsaan bahawa kita ketandusan kredibiliti dalam menyampaikan maklumat. Baik media. Baik mereka yang ingin berkomunikasi. Dalam bahasa mudah banyak berita yang tidak boleh dipercayai.

Pada hemah penulis krisis MH370 menyerlahkan banyak kepincangan dalam kita mengendalikan diri kita. Dari segi Geografi kita gagal memberitahu dunia di mana kita sebenarnya. Orang tidak kenal Putrajaya. Kuala Lumpur di Brunei. Kuala Lumpur di Indonesia. Aduhai! Kita tanya kedutaan kita di luar negara. Kita tanya Kementerian Pelancongan. Kita tanya Kementerian Luar Negara. Kita tanya media kita sendiri. Selama ini kita dimaklumkan bahawa Malaysia sangat terkenal di luar negara. Seolah-olahnya semua orang tahu Malaysia dan kedudukannya. Malaysia dan keistimewaannya. Seorang lelaki Amerika pernah bertanya dari mana penulis datang sewaktu di USA dahulu. Bila disebut Malaysia dia tidak tahu. Mereka kenal Thailand. Mereka kenal Singapura. Mereka kenal Indonesia dan Sukarno. Mereka kenal Filifina. Mereka tidak kenal Malaysia tetapi mereka kenal Penang dan Sipadan. Kenal Pangkor. Aneh. Pelik. Tetapi itulah hakikatnya. Siapa dan dari mana puncanya. Kita promosikan tempat tanpa memperhitungkan negara dan kepentingannya.

MH370 menjadi mercu tanda terkebelakangnya kita dari segi cerita. Dari segi berita. Dari segi berkomuniukasi. Dari segi membaca arus psikologi antarabangsa. Ada dasar yang selama ini diikut iaitu maklumt mesti datang dari individu yang paling berwibawa dalam organisasi. Dalam krisis sekarang dasar itu hilang serinya. Semua orang ingin memberikan pendapat tanpa maklumat yang sahih. Yang benar. Yang boleh dipecayai. Sedari mula seharusnya wujud command centre. Pusat penyebaran maklumat. Memberikan maklumat yang sudah disahkan. Sudah ditimbangkan implikasinya. Memuaskan hati dan bukan menambahkan persoalan dan isu. Hanya seorang sahaja yang menyampaikannya. The central figure must be the top-most man. Bukan sebarang orang walaupun individu itu mengetahui. The chain of command goes back to the top man. Maklumat yang ditapis terlebih dahulu wajar dirujuk dari segi politik, dari segi teknologi yang kita sendiri miliki dan dirujuk teknologi asing. Seperti yang diingini ramai, maklumat itu perlu jelas, terang dan telus. Prof. Agus Yusof menyatakan bahawa ketelusan dan keberanian berterusterang disanjungi. Walau bagaimanapun masa rupanya menghakis keyakinan awal yang kita terima. Yang kita rasakan memantapkan suasana. Masih banyak kekusutan yang tidak terurai. Seluruh dunia meneropong Malaysia. Negaranya. Rakyatnya. Keupayaannya. Kepimpinannya.

Terlalu banyak maklumat yang bercanggah. Paling ketara ialah makkumat yang dilontar dan ditarik balik. Penulis tidak percaya bahawa hal sebegini berlaku di Malaysia. Sebuah negara yang sedang berlari mengejar Wawasan 2020. Kita belum ada Standard Operation Procedure (SOP) yang mantap dalam menghadapi krisis bertaraf dunia. Sepertinya semua individu terseret sama merasa kekalutannya. Banyak hal yang belum jelas telah diberi rumusan dan kesimpulan. Bila ada maklumat baru diurai semula maklumat yang lalu. Kita jadi pi mai pi mai tang tu juga. Mungkin pencetus idea Wawasan 2020 sangat bimbang yang wawasan itu tidak akan tercapai. Masa enam tahun lagi terlalu dekat untuk memperbaiki keadaan. Untuk belajar dari kesilapan. Untuk berada di atas landasan yang benar-benar lurus, selari, rata dan sampai ke destinasinya yang benar dan hak.

Kehilangan MH370 sudah melepasi jangkawaktu tiga minggu. Minggu-minggu yang mendebarkan. Ada masanya mengujakan. Sekarang seperti melemaskan. Bukan tiada harapan tetapi tiada kepastian bagaimana episod malang ini harus disusun supaya kronologi kejadiannya benar-benar memberikan jawapan yang menyakinkan. Malang lagi jika ada fabrikasi dalam laporannya. Kita harus maklum bahawa di dalam dunia ini terlalu ramai pakar yang akan meneliti semua aspek berkenaan MH370. Tiada satu aspek yang akan terlepas. Kesemuanya akan diteliti (scrutinised) hingga ke perincian yang paling kecil (to the minute detail). Rakyat kita sendiri ramai juga yang maklum akan hal ini. Di IPT kita ramai pakar IT. Pakar dalam bidang komunikasi. Banyak radar di IPT kita. Penulis pasti ramai antara mereka yang maklum akan kedudukan perkara. Maknanya mata mereka tidak boleh ditutup. Ilmu mereka tidak boleh disembunyikan.


Kita harus menilai semula kekurangan kita. Apabila seluruh dunia fokus kepada kita, perlu banyak usaha untuk memperlihatkan yang terbaik. Mungkin tidak lebih baik dari yang ada di negara lain tetapi paling minimum biarlah setanding dengan yang ada di negara lain. Ramai pelajar asing di negara kita. Jumlahnya ratusan ribu. Pengalaman MH370 tenulah pengalaman unik yang akan mereka bawa balik ke negara mereka. Either we make them learn the right thing or they bring back the wrong thing. Kedua-duanya musibah dalam sistem pendidikan tinggi kita. Kerana itu kita perlu membetulkan semula bearing kita. Apa dan ke mana sebenarnya kita hendak pergi. Ke mana hendak dibawa. Kita tidak boleh memakai sarung kepala sewaktu berada di luar negara. Sebenarnya yang malu bukan sekadar muka tetapi seluruh jiwa raga kita.