Saturday, October 21, 2017
Apabila Gagal Mengejar Pelangi
Pelangi itu indah. Mewarna dan menandai keriangan sesuatu yang menjadi hambatan. Di hujung pelangi itu ingin digapai kebahagiaan memanjang usia. Menunjangkan kasih sayang sepanjang hayat. Namun apabila rintik-rintik hujan menjadi reda, pelangi indah berwarna-warni itu hilang pergi entah ke mana. Yang tinggal hanya kesayuan di hujung zaman. Kita hanya mampu menatap yang hilang. Meratap yang pergi. Jauh di sudut hati hanya hampa. Kekosongan yang menerowong jauh. Nampak cahaya di hujungnya tetapi kian kelam. Kian berkabut. Kian berkabus. Kelabu menjamah hitam. Lalu apa lagi yang dapat memancarkan warna-warna pelangi yang hilang itu? Kita hanya mengharap.Hanya dapat berdoa. Memohon dariNya Yang Maha Esa. Memohon kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Menuju jalan lurus nikmatnya syurga. Abadi di dalamnya. Apakan daya dayung patah di tengah lautan. Layar rabit diterjah angin. Hamba yang kerdil ini hanya berserah kepadaMu ya Allah. Hanya kepadaMu. Perjalanan jauh yang telah dilalui diharap
menjadi bekal untuk terus ke hadapan. Kekangan dan halangan rupanya menghantui hajat dan hasrat. Mimpi-mimpi indah rupanya memang realitinya hanya mimpi. Bukan alam nyata seperti yang diimpikan. Jaganya hanya lamunan semata-mata. Alangkah patahnya sayap tua ini. Alangkah remuknya perasaan. Kenapa dan mengapa tiada upaya untuk menghujjah. Tiada perkataan untuk diungkapkan. Rahsia besar
di sebalik senyuman tiada siapa yang akan tahu kecuali Allah. Persembunyian di sebalik senyum yang tidak lagi dapat dibendung. Tidak dapat lagi ditutup rapi. Deraian air mata jua yang merembas pipi yang mulai berkedut. Yang mulai kering dengan usia tua. Ilmu dan pengalaman tidak dapat menampung retaknya hati. Siapapun tiada hak untuk menghakimi. Perjalanan hidup yang serba payah untuk menjaga sekeping hati.
Yang terang itu bersuluh. Jelas dan dilihat dengan nyata. Pada diri kita ada titik putih dan titik hitam. Andainya kita fokus pada yang putih maka tidak perlu difikirkan titik yang hitam. Namun apabila yang hitam semakin dihitamkan maka yang putih semakin kelabu dan akhirnya hanya hitam yang dilihat. Pada kebanyakan masa kita adalah insan-insan yang rasional. Tetapi apabila minda kita sudah kusut, maka adab berfikir hilang arahnya. Insan tidak lari dari kesilapan. Kerana ia insan ia berusaha memperbaiki diri. Ada yang berusaha memperbaiki diri tetapi itu tidak dianggap mencukupi. Seluruhnya hanya dilihat negatif. Tidak dilihat manfaatnya. Tidak dilihat indahnya. Tidak kelihaan titik putih yang perlu diberi keindahan yang sewajarnya. Tiada siapapun yang sempurna. Banyak kekurangannya. Tetapi sekiranya kekurangan itu semakin hari semakin dilebarkan tentulah dunia ini menjadi sempit. Ruang yang ada menjadi kecil. Fizikal dan mental kita menjadi tersepit dan terjepit.
Kesabaran selalu teruji. Pertahanan perasaan tercabar. Sesuatu yang dihadapi bertahun-tahun lamanya sampai juga ke penghujungnya. Sesuatu yang bermula berakhir jua. Apabila perasaan diserang bertubi-tubi sepanjang masa, roboh juga Kota Melaka. Rupanya apabila kita menjadi tua
terlalu banyak hilangnya perkara. Bau tubuh banyak busuknya. Rambut botak menjadi cela. Kulit tubuh tiada lagi indahnya. Pakaian banyak yang tidak kena. Amalan sentiasa tidak mencukupi.
Tenaga hilang entah ke mana. Keupayaan semakin lemah. Tutur kata semakin samar.
Kata-kata banyak salahnya. Berbuatlah sebanyak mana, tetap banyak celanya. Ramai antara kita tidak melihat sekeliling. Bahawa usia memamah tenaga. Mengendurkan keupayaan fizikal. Melunturkan
keupayaan mental. Benar, buah kelapa tua banyak santannya. Tetapi ingat juga ia mudah menjadi basi. Tidak berguna untuk apa sekalipun. Apa sebenarnya yang perlu dilakukan apabila tua? Banyak beramal tetapi dengan kadar yang selesa dan berkeupayaan. Membina standard tinggi yang mencukupi tetapi tidak melebihi keupayaan yang ada Tidak adil dikata tidak mencapai standard orang lain.
Tidak adil dinilai tidak cukup hebat seperti orang lain. Amalnya tidak dilihat sehebat orang lain. Usahanya sentiasa dianggap tidak mencukupi. Apa yang dilakukan sentiasa dianggap tidak
mencapai standard. Buah fikirannya tidak dikira bermanfaat.Diperkecilkan seperti tiada gunanya lagi. Makannya disebut negatif Pakainya cacat cela belaka. Rehatnya tidak senangi. Tidurnya dianggap tidak memperduli.
Tentulah pada usia tua penat lelahnya semakin banyak. Lenguh sendi merata-rata. Ingin juga bermanja. Apakan daya tiada yang ingin menyentuh. Menyentuh dirasa geli pula. Bagaimana lelaki yang sempurna? Sedangkan pada dirinya:
Tidak keluar berpeleseran.
Tidak bersembang di kedai makan.
Tidak menghabiskan waktu di luar rumah kecuali kerana kerana tugas.
Tidak liar dengan wanita.
Tidak mencari hiburan bersendirian.
Sesuatu yang kelihatan indah mungkin hanya bersalut nipis. Tidak kukuh dan kental seperti diharap. Sendu dan tangis hanya di dalam. Diingat apabila bersendirian. Semua yang indah bertukar menjadi kebencian. Menjadi sesuatu yang tidak senang dipandang. Kehadirannya sudah tidak lagi mendamaikan. Ada sahaja salah dan silapnya. Maka berhamburanlah kata-kata negatifnya selagi terpacak di hadapan mata. Terasa benar kehadiran tidak diperlukan lagi. Maka pada akhirnya pecahlah tembok besar yang selalu dipertahankan. Tiada lagi gunanya air mata ini. Cukuplah di ini. Berakhir
sebuah kebahagiaan.
Subscribe to:
Posts (Atom)