Friday, June 28, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Berpindah Banyak Randahnya


Hanya tinggal beberapa jam lagi. Hari ini Jumaat 28 Jun 2013. InsyaAllah pagi esok saya akan berada di negara anbia. InsyaAllah bumi Mesir akan saya jejak pada pukul 6.30 pagi waktu Kaherah esok Sabtu 29 Jun 2013. Kembara berterusan selagi hayat masih ada. Banyak agenda hidup yang perlu dilestarikan untuk menambah nilai apa-apa yang bermanfaat. Kadang-kadang terpegun sendiri. Sejak berumah tangga Kaherah adalah perpindahan saya yang ke-20. Saya sendiri sejak berhenti sekolah hingga ke Mesir ini sudah 29 kali berpindah tempat tinggal. Alhamdulillah perpindahan yang berkali-kali  bukan kerana kesukaran hidup. Bukan juga kerana susah mencari nafkah. Bukan lari dari apa-apa masalah. Perpindahan kerana keperluan tugas. Kerana perkhidmatan yang panjang baktinya. Berpindah kerana kehidupan yang bertambah nilainya. Yang bertambah baiknya. Bagi yang baru belajar berpindah jangan rasa risau. Pindahlah kerana banyak pengalaman indah yang mengiringi setiap perpindahan. Walaupun pada lumrahnya ada juga pengalaman yang kurang manisnya, namun setiap perpindahan ada kenangannya yang tersendiri.
Di Malaysia saya pernah tinggal di beberapa negeri iaitu Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak. Bila banyak berpindah berlaku tambahan nilai hidup. Bertambah pengalaman sosial. Pengalaman budaya. Pengalaman nilai-nilai sosial. Pengalaman berjiran tetangga. Pengalaman kerjaya. Pengalaman membawa diri di kalangan orang-orang baru yang ada di sekeliling. Sebenarnya bahagia atau tidak apabila berpindah bergantung kepada diri kita sendiri. Di mana sekalipun kita hidup kita tetap bersama orang lain.  Yang namanya orang lain tentulah memiliki ciri-ciri dan trait yang berlainan. Ada yang sama dengan yang kita miliki. Banyak pula berlainan dari yang biasa. Maka kita belajar untuk menyesuaikan diri. Belajar untuk lulus bersama mereka. Tidak ganjil. Tidak kekok. Tidak gelabah dalam suasana baru. Suasana lain. Suasana yang menuntut kita mengubah banyak perkara tentang cara hidup. Apabila kita berasa selesa dengan sesuatu keadaan kita rasa kita tidak berupaya untuk mengubah diri supaya sesuai dengan sesuatu yang baru. Apabila kita berpindah kita terpaksa belajar untuk menyesuaikan diri. Jika tidak banyak berpindah banyaklah kita belajar untuk menyesuaikan diri. Apabila banyak berpindah maka kita berulang-ulang kali mempelajari sesuatu yang sentiasa baru.
Berpindah dalam negara hanya menyesuaikan diri dalam beberapa aspek hidup. Paling mencabar tentulah jiran tetangga. Jika jiran tetangga kita dalam kelas yang sama maka mudah kita menyesuaikan diri. Umpamanya guru berjiran dengan guru. Tetapi jika jiran tetangga berlainan taraf hidup kita perlu lebih berhemah dalam berjiran. Sebab itu dalam mencari jodoh umpamanya kita digalakkan mencari pasangan yang sama kufu. Mungkin sama tahap pendidikan. Sama tahap profesion. Sama jalan pemikiran. Manusia semuanya sama tetapi cara kita berfikir tidak sama. Kita mementingkan kebersihan umpamanya. Jiran kita mungkin tidak. Kita suka suasana damai. Jiran kita mungkin suka suasana gamat. Sebab itu sebelum memilih rumah lihat dulu bakal jiran yang akan bersama kita. Apabila hendak membeli atau membina rumah lagilah perlu banyak pertimbangan atau penyelidikan tentang jiran tetangga. Kita perlukan mereka sebagai saudara dekat. Sama-sama senang sama-sama susah. Bantu membantu. Tidak boleh yang jenis pentingkan diri sendiri. Kita susah jadinya. Kata sepakat tidak dapat dibuat. Susahnya tidak mahu ditolong. Susah kita tiada yang membantu. Hidup kita bukan selalunya senang belaka. Ada masanya datang susah yang Allah cubakan ke atas kita. Kadang-kadang jiranlah yang menjadi penawar. Saudara mara mungkin jauh di negeri lain.
Semasa bertugas dahulu saya pernah tinggal di USA selama 18 bulan. Duduk bersama isteri dan anak-anak ada pengalamnanya yang tersendiri. Saya kira banyak manisnya. Banyak indahnya.  Pengalaman berharga untuk anak-anak. Negara kedua selepas USA ialah Canada. Tiga bulan kursus pendek yang juga memberi banyak cerita indah. Di dua negara tersebut saya dapat mengecap winter yang sejuk, spring yang mewangi, summer yang cerah meghijau dan fall yang kuning memerah. Yang menyaksikan dedaun berguguran. Dalam iklim yang empat musimnya di negara yang siang itu banyak yang perlu dipelajari. Makan perlu disesuaikan. Pakaian berubah jenis dan tebalnya setiap musim. Begitu juga gaya hidup seharian yang banyak berubah. Kenangan itu banyak indahnya. Manisnya berpanjangan. Kenangan yang sukar diluput walaupun lama berpuluh tahun. Ada masanya diimbau semula. Imej-imej berlarian di mata dan perasaan. Terbayang salji putih yang timpa menimpa. Bebunga yang berbagai corak dan warnanya. Buah-buahan yang berbagai jenis dan rasanya. Puputan angin segar di musim luruh yang aduhai mencuit rasa.
Saya ke negara Jordan setelah bersara lebih 10 tahun. Masih galak untuk memperbaiki diri walaupun usia sebenarnya untuk direhatkan bagi orang lain. Mudah-mudahan menjadi motivasi kepada yang muda-muda. Khususnya anak cucu sendiri. Kepada pelajar-pelajar saya dahulu saya katakan bahawa ilmu tidak ada batas usia. Tiada batas sempadan negara. Tiada batas gender. Tiada batas profesion. Kepada orang biasa mereka selalu bertanya, belajar lagi nak buat apa. Soalan lumrah yang susah dijawab. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam. Konsep ini banyak silapnya. Semasa muda ilmu untuk memulakan kerjaya. Untuk memilih kerjaya yang terbaik. Setelah berkerjaya ilmu menjadi sumber untuk memperkayakan diri. Untuk memperluas skop agenda hidup. Untuk memperdalam luasnya ilmu. Untuk memperkasa diri. Untuk menyediakan diri menjadi pemimpin organisasi. Apabila sudah bersara ilmu tambahan tetap diperlukan. Banyak yang tidak kita ketahui. Banyak yang ingin kita dalami supaya kita mendapat sesuatu yang segar setiap masa. Yang lama kita pupuk dan sirami supaya tumbuh tunas-tunas ilmu dalam hidup kita. Yang baru menjadi baja dan penyegar dalam mengharungi sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Firman Allah dalam al-Quran yang mafhumnya, sesungguhnya tidak sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.
Di Jordan pengalaman hidup saya istimewa juga. Suasana Arab. Iklimnya empat musim. Saya datang semasa winter yang mencengkam dan kini saya tinggalkan dalam suasana berganti dari spring ke summer. Teringin juga menikmati  suasana Ramadhan di Amman, Jordan. Nampaknya Ramadhan tahun ini saya di Kaherah, Mesir. InsyaAllah tunggulah nanti siri Bingkisan Dari Kaherah Mesir. Moga-moga saya ada kekuatan untuk terus menulis. Berkongsi pandangan mata. Detik perasaan. Pendengaran telinga. bauan dari hidung. Santapan-santapan rohani yang selalu merencahkan kehidupan menjadi lebih berwarna. Mengharumkan aroma. Barangkali yang paling saya rasa kehilangannya nanti ialah pepohon tin dan zaitun. Cukup banyak di Jordan. Antara dua jenis buah yang sangat banyak Allah wahyukan melalui al-Quran. Seminggu saya di Kaherah pada bulan Mac yang lalu saya terlalu rindukan pohon zaitun. Sekarang kesemua pepohon itu sedang berbuah. Buah tin sudah saya rasa yang segar. Buah zaitun masih memutik. Tidak dapat merasa yang tua. Cukup nanti sekadar makan yang sudah dijeruk. Buahnya lebat bergayutan. Hijau tirus. Tidak boleh dimakan mentah. Kelat dan pahit. Minyaknya terlalu banyak khasiatnya.
Jika dalam negara, saya berpindah dari sebuah negeri ke sebuah negeri sekarang saya berpindah dari sebuah negara ke sebuah negara. Seperti main-main. Tidak, serius sebenarnya. Pindah ke Mesir untuk menyambung visi yang belum tamat. Masih mengejar sinar dan warna yang bergemerlapan. Saya tidak mengejar pelangi. Pelangi melengkapkan santapan rohani. Menyegarkan perasaan yang cintakan kecantikan. Namun pelangi tiada zatnya. Tiada fizikalnya. Tidak dapat menjadi dalil bukti dimiliki. Kaherah hanya sejam setengah dari Amman. Perjalanan yang cukup sekadar memanaskan kerusi untuk sementara. Terasa terlalu dekat. Pengalaman yang baru. Amat baru. Berpindah negara mudah juga rupanya. Ke negara Arab yang lain budayanya. Sebuah negara Islam yang unggulnya masih banyak. Mudah-mudahan Allah permudahkan saya sewaktu di sana. Menganugerahkan saya apa yang saya hajati. Malaysia, izinkan saya berkelana dahulu. Saya akan kembali untuk terus berbakti kepadamu. InsyaAllah. Amin.