Thursday, April 21, 2011

Catatan Dari Syarahan Sheikh As-Sudais Bertajuk Masa Depan Tamadun ISLAM

Satu syarahan umum yang disampaikan oleh Sheikh Dr `Abdur Rahman Ibn `Abdul Aziz as-Sudais telah diadakan pada 20/4/2011.  Ia telah dianjurkan oleh International Insititute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dan diadakan di dewan IAIS.

Imam Masjid al-Haram

Syarahan umum tersebut telah bermula pada jam 12.30 tengahari dengan disampaikan oleh Sheikh as-Sudais dalam bahasa Arab, dan diterjemahkan oleh Profesor Ibrahim Zein sebagai moderator majlis tersebut. Tajuk syarahan yang diberi oleh pihak penganjur ialah: “The Future of Islamic Civilisation (al-Hadarah al-Islamiyyah) in the 21st Century”.





1.     Tamadun Islami mestilah didasarkan oleh aqidah yang betul sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan golongan terdahulu selepas Baginda, iaitu golongan salaf. Tanpa aqidah yang betul, tamadun Islami yang ingin dibangunkan tidak akan berjaya.
2.     Ia mestilah dibangunkan di atas prinsip-prinsip moral dan etika yang betul berlandaskan apa yang telah ISLAM gariskan.
3.     Cara membangunkan Tamadun Islami mestilah merujuk kepada cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam membangunkan masyarakat dan negara Islam. Tiada rujukan yang lebih baik, kerana pada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam itu adalah ikutan yang terbaik.
4.     Ia didasarkan kepada menjaga maruah manusia.
5.     Tidak boleh lari dari melindungi 5 kepentingan seperti yang dinyatakan di dalam maqasid syariah yang biasa kita dengar, iaitu:
5.1.     Melindungi agama
5.2.     Melindungi nyawa dan diri manusia
5.3.     Melindungi akal
5.4.     Melindungi kehormatan dan maruah diri
5.5.     Melindungi harta
6.     Maqasid Syariah di atas bukan sahaja melindungi kepentingan si Muslim, tetapi juga melindungi si non-Muslim. Ia melindungi kepentingan semua.
7.     Tidak seperti tamadun lain yang biasanya hanya menumpukan salah satu, iaitu samada aspek rohani atau material. Tamadun Islami menumpukan kepada kedua-dua aspek iaitu rohani dan juga material. Adalah anggapan yang salah sekiranya seseorang menganggap ISLAM hanya menumpukan aspek rohani sahaja.
8.     Setiap lelaki dan perempuan diberikan taklif yang sama iaitu menanggung amanah dan bertanggungjawab terhadapnya. Namun, lelaki dan perempuan mempunyai peranan masing-masing dan mesti memainkan peranan itu dengan sedaya mungkin.
9.     Walaupun di dunia ini mempunyai bangsa yang berbeza, namun tumpuan hendaklah ditumpukan kepada nilai kemanusiaan dan tidak boleh dilayan manusia itu berdasarkan kaum dan bangsa yang berbeza. Pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, walaupun para sahabah berbeza bangsa dan keturunan, hatta ada yang datang dari negara yang lain pun diberi layanan yang sama rata, malah memegang peranan yang penting mengikut kepakaran masing-masing.
10.  Tamadun Islami yang hendak dibina mestilah berdasarkan kepada ilmu.
11.  Tamadun tersebut mestilah membawa kebaikan kepada seluruh manusia dan penghuni dunia.
12.  Tamadun yang berjaya adalah tamadun yang menghargai nilai keintelektualan.
13.  Semua kebaikan itu bukan sahaja untuk Muslim sahaja, malah juga kepada yang bukan Muslim.
14.  Prinsip keadilan mesti dijadikan asas kepada Tamadun Islami.
15.  Kebebasan juga merupakan unsur yang penting di dalam Tamadun Islami. Kebebasan yang dimaksudkan adalah kebebasan yang masih di dalam lingkungan syara`. Kebebasan tidak sama dengan anarki. Sistem Anarki bermaksud sistem kebebasan tanpa peraturan, tanpa undang-undang dan tanpa pemerintahan. Bukan itu maksud kebebasan di dalam ISLAM. Anarkisme tidak diterima di dalam ISLAM.
16.  Sheikh Sudais juga telah menekankan prinsip washatiyyah iaitu kesederhanaan. Sifat melampau samada terlalu ketat atau terlalu longgar dalam mengamalkan ISLAM tidak patut dibiarkan berlaku. Kerana ia boleh membawa kesan yang buruk dan boleh memberikan maksud yang tidak baik kepada agama ISLAM dan keseluruhan manusia.
17.  Hendaklah Tamadun Islami yang dibina itu mempunyai sifat tasamuh iaitu toleransi sesama manusia. Lihat sahaja bagaimana kisah pembukaan Mekkah oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, pembukaan beberapa negara oleh Umar ra, pembukaan Palestin oleh Salahuddin al-Ayubi dan pembukaan Istanbul oleh Muhammad al-Fateh. Mereka tidak berdendam, malah bertoleransi dan memberi maaf kepada musuh-musuh ummat ISLAM.
18.  Tamadun Islami juga mestilah didasarkan dengan nilai-nilai keamanan dan kesejahteraan manusia. ALLAH subhanahu wa Ta`ala tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan!
19.  Semua nilai-nilai di atas hanya boleh dibina dengan mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi iaitu Iman. Tanpa Iman, sukar untuk ia dicapai.
Cabaran Ummat ISLAM

Ada 2 cabaran besar yang dihadapi oleh ummat ISLAM dalam usaha untuk merealisasikan Tamadun Islami. Pertama ialah cabaran dalaman, iaitu cabaran yang ditimbulkan oleh ummat ISLAM sendiri. Dan yang kedua ialah cabaran luaran, iaitu cabaran yang ditimbulkan oleh pihak yang bukan dari kalangan ummat ISLAM dan suasana persekitaran. Berikut adalah beberapa senarai cabaran yang disebut beliau:

Cabaran dalaman:
1.     Ummat ISLAM tidak mengambil Islam sebagai sistem hidup.
2.     Ramai ummat ISLAM mempunyai salah faham terhadap ajaran ISLAM itu sendiri.
3.     Ramai salah aplikasi ajaran ISLAM.
4.     Hasil daripada salah faham dan salah aplikasi ini maka wujudlah fitnah terhadap ISLAM. Ummat ISLAM mesti ambil peranan untuk memberikan penjelasan kepada ummat ISLAM sendiri dan juga kepada yang bukan ISLAM.
5.     Tidak bersatu.
6.     Hendak bersatu mestilah masing-masing merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah dan fahami betul-betul ajaran dan maksud ajaran di dalamnya.
7.     Jangan mudah melabel orang lain. Jangan menuduh orang lain kafir, sesat, fasiq dan lain-lain gelaran tanpa haq.
8.     Jika ada perbezaan pendapat dan pegangan, jangan bergaduh. Utamakanlah kesatuan ummah. Kesatuan ummah itu mesti menjadi agenda penting. Perbezaan di antara muslim dengan muslim tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan.
9.     Sikap suka menyalahkan orang lain. Jangan mudah menyalahkan unsur luar seperti negara barat atau pihak-pihak tertentu. Ummat ISLAM mestilah melihat kepada kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Dan berusaha ke arah memperbetulkannya.
Cabaran luaran:
1.     Syahwat dan syubuhat.
2.     Manipulasi orang lain, terutama Barat dan lain-lain tamadun.
3.     Globalisasi adalah ancaman yang sangat merisaukan.
4.     Internet dan media
Walaupun Sheikh as-Sudais menyenaraikan beberapa cabaran dan unsur luaran yang boleh menggugat ummat ISLAM, namun beliau tetap menegaskan bahawa kita sebagai ummat ISLAM jangan terlalu tumpukan sangat kepada unsur luaran dan menyalahkannya. Kerana apa yang lebih penting ialah melihat ke dalam diri kita sendiri. Dan cuba untuk memperbaiki kesemua kelemahan itu…

Di akhir syarahan, Sheikh as-Sudais menekankan bahawa masa depan dunia adalah dengan ISLAM. Dan ini pasti berlaku kerana ia telah difirman ALLAH & disabdakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Beliau memetik ayat al-Quran dan hadith yang menjanjikan hal ini, namun atas kedhaifan saya, saya tidak dapat memetik ayat al-Quran dan hadith yang beliau nyatakan.

Itulah antara perkara penting yang disentuh oleh as-Sheikh. Sebenarnya mungkin banyak lagi yang disentuh oleh beliau, tetapi saya tidak mampu menyalinnya dengan sempurna. La haula wa la quwwata illa biLLAH.

Bahasa yang digunakan oleh Sheikh as-Sudais memang sedap didengar. Disebut satu-satu perkataannya dan penuh makna, juga sarat dengan ayat-ayat dari al-Quran dan al-Hadith. Penuh dengan mesej. Profesor Ibrahim Zein yang menterjemahkan syarahan beliau, dengan merendah diri mengakui beliau tidak mampu menterjemahkan semua bahasa Arab yang digunakan oleh Sheikh as-Sudais ke dalam bahasa Inggeris kerana bahasa yang digunakan oleh Sheikh penuh dengan retorik dan makna yang mendalam.

Apa yang saya perhati, yang menariknya tentang Sheikh as-Sudais ini, beliau kadang-kadang bergurau dan berjenaka dengan moderator majlis. Dan selang beberapa sesi, beliau akan berhenti untuk bertanya dengan para hadirin. Beliau mengajukan beberapa soalan untuk dijawab oleh hadirin untuk menguji kefahaman hadirin. Dalam sesi syarahan yang berlangsung 1 jam 30 minit itu, beliau telah berhenti sebanyak 3 kali untuk berinteraksi dengan hadirin. Dan alhamdulillah, hadirin juga dengan sangat teruja menjawab soalan-soalan beliau. Sesi soal-jawab tidak dapat dilakukan dengan sempurna disebabkan oleh kesuntukan masa.

Mudah-mudahan catitan ini ada manfaatnya buat diri saya dan buat kalian yang mungkin terbacanya. Semoga kita semua berupaya untuk mengambil iktibar dan berubah berdasarkan beberapa mesej yang tercatit di atas.
La haula wa la quwwata illa biLLAH…

WAllahu Ta`ala A`lam.
Ciri-ciri Tamadun Islami

Dalam menghuraikan tajuk yang diberi, Sheikh as-Sudais telah menyenaraikan dan menghuraikan beberapa ciri yang mesti dipenuhi untuk memastikan masa depan Tamadun Islami berjaya. Berikut adalah beberapa mesej yang sempat saya salin dari ucapan beliau:

Cabaran Guru Muda


Setelah reda dari kesibukan berakademik mulalah bertugas menjadi guru. Hajat dihati hendak menjadi guru yang berwibawa. Kadang-kadang percaturan tidak menjadi. Set pelajar yang ada tidak kesemuanya memenuhi keinginan untuk memberi bakti. Mereka bukan jenis yang diimajinasikan. Khayalan dulu menjadi ilusi semata-mata. Sekarang baru diketahui bahawa apa sahaja tindakan ada tindak balasnya. Positif yang diharapkan negatif yang dibalas.

Dulu-dulu saya tulis mengenai ucapan saya mengiringi guru-guru baru untuk bertugas membina bangsa. Memberikan pengorbanan yang tidak terkira. Meninggalkan kampung halaman dan semua yang disayangi. Yang tercinta. Perginya dengan satu tekad untuk berbakti. Melestarikan bangsa mulia yang ternama. Setelah bertugas kira-kira enam bulan barulah tersentak dengan kesedaran hakiki. Menjadi guru bukan semudah yang disangka. Orang yang bukan guru sinis semacam seolah-olah menjadi guru adalah suatu profesion yang remeh. Tidak perlu dipandang sebelah mata. Senangnya mulut berkata sekadar hanya mengatupkan bibir atas dan bibir bawah. Kulum lama dan ludah merata-rata.

Anak-anak muda yang dilepaskan untuk menyambung warisan dan legasi bangsanya, agamanya, keturunannya terasa ditampar-tampar. Terasa disepak terajang. Terasa dilempang-lempang. Begitulah kuatnya badai terkaman dan tikaman profesion yang namanya guru. Sesungguhnya manusia kecil yang bernama murid bukan calang-calang manusia. Dalam darah mereka mengalir sesuatu yang merah tetapi tidak dapat difahami kenapa merahnya menyala-nyala. Terlalu banyak sifat amarahnya. Aliran darahnya mengandungi bauan busuk yang me nikam-nikam hidung yang menghidu. Melambak-lambak mazmumahnya. Sangat sukar mencari mardhiah atau kebaikan yang lain yang boleh menyejukkan mata dan hati. Yang boleh mendamaikan perasaan. Yang boleh melegakan. Yang boleh memberikan kebahagiaan.

Dalam diri mereka ada ketulan-ketulan daging yang entah baik entah busuk. Entah halal entah haram. Entah sihat entah sakit. Lalu badan-badan yang nampak sasa itu sebenarnya perlukan rawatan untuk menjadi manusia yang bernama insan. Yang akhlaknya mulia. Yang mematuhi rukun iman. Yang melaksanakan rukun Islam. Yang menggalakkan amr maaruf dan nahi mungkar. Yang hati budinya mengandungi sifat-sifat kemanusiaan. Keperihatinannya kepada orang lain. Tidak melebihkan dirinya sahaja. Yang tidak pentingkan dirinya sahaja. Tidak menafikan hak orang lain. Tidak mengnyahkan orang lain kerana bukan kelompoknya.

Hati mereka selalu dibakar untuk melakukan yang anti-establishment. Semua orang tua perlu dimusuhi. Ibu bapa menjadi dinding yang menghalang kebebasan. Guru-guru menjadi proxy ibu bapa yang perlu disingkirkan. Mereka menuntut kebebasan walaupun tidak mengerti erti bebas. Mereka ingin merdeka walaupun kemerdekaan tidak membebaskan mereka. Mereka menuntut keadilan walaupun mereka tidak tahu bahawa keadilan yang mereka terima sekarang ini melebihi dari sukatan dan had yang seperlunya. Mereka menuntut keperluan mereka dituruti walaupun sudah terlalu banyak diberi. Terlebih-lebih disajikan melebihi keperluan. Menjadilah mereka orang-orang yang tidak bersyukur.

Siapa sebenarnya anak-anak kita yang bersekolah itu? Apa yang berlaku di sekolah? Ke mana mereka akan pergi? Apa jadinya nanti? Kita ingin bertanya di mana guru sebenarnya? Bagaimana dilema ini harus dapat mengangkat martabat guru? Akan kembalikah zaman gemilang keguruan seperti Za’ba, Aminudian Baki, Awang Had Salleh dan mereka yang menempa kejayaan sebelumnya? Jalan di hadapan banyak benar likunya.  Banyak simpangnya. Tinggi rendah hingga sukar hendak menari. Untuk mencari rentak. Iramanya selalu tidak menjadi. Ada rima tetapi tiada melodi. Kaku. Kejang. Menghampakan. Itulah dunia realiti menjadi guru.  Usah digusarkan sangat tercalar kereta. Usah bimbang terkemik kereta. Sekarang masa untuk mengundur ke belakang. Surut dari kebiasaan. Kendur dari kegahairahan selalu. Atur balik langkah untuk lebih bersedia. Ada cara lain yang lebih selamat. Cuma fikirkan win-win situation. Guru senang, pelajar belajar.

Di mana ibu bapa? Adakah tanggungjawab mereka hanya memberi makan dan pakai? Tidak ada tanggungjawabkah ibu bapa untuk mendidik? Untuk memanusiakan anak-anak? Untuk menyemai nilai-nilai insani? Banyakkah urusan yang menghalang ibu bapa membesarkan anak-anak dari dekat. Dengan hati. Di bibir mata. Antara dua bibir. Sesentuh kulit di badan. Sehalus budi. Semengerti rasa. Seharusnya tanggungjawab ibu bapa adalah untuk memandaikan. Memanusiakan. Memberi pengisian cita-cita, hasrat dan azam. Kesedaran untuk menjadi ahli masyarakat. Ahli warganegara. Saudara seagama. Penuh dengan sifat-sifat kemanusiaan.

Pada hari ini saya percaya guru-guru baru terasa bahangnya. Terasa panasnya. Terasa ranjaunya. Itulah realitinya cikgu. Alammu penuh dengan onak dan duri. Segaramu penuh dengan ombak besar dan bukan lagi oleng di tepi pantai. Perahumu kecil untuk membelah lautan jika kail hanya panjang sejengkal. IPT hanya memberimu pasport. Lesen untk menjadi professional. Realitinya jauh panggang dari  api. Apa yang dipelajari tidak sama dengan realiti yang sebenarnya. Hakikinya terlebih dari ramuan yang selalu disediakan. Ada rempah ratus lain yang perlu ditambah. Yang perlukan adunan yang namanya pengamalan. Kesedaran bahawa ijazah bukan segala-galanya. Konvo dan jubah bukan pengukur kenikmatan berkerjaya. Hati dan budi perlu dicari di sudut qalbu. Di mana serpihan-serpihan yanag harus dicantum dan dimetrai.

Please do not despair. Masa masih sangat panjang untuk membina kehebatan. Membina kekuatan. Membina kesantunan menjadi guru. Jarak waktu nantinya akan memberikan asuhan dan bimbingan. Menaikkan semangat. Membrikan kepuasan yang selalu elusif. Calar hati yang sedikit hanya cubaan. Calar persaan yang sedikit hanya cabaran. Luka dan cedera pada harta benda hanya suatu anjalan dan anjakan untuk ke hadapan dengan tekad yang lebih kukuh. Mengatur  langkah-langkah waspada.  Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.

Menjadi guru sangat banyak cabarannya. Seperti saya pesan sebelum ini, kau sukar mencari bantuan. Saya tidak pasti sama ada rakan-rakanmu di sekolah boleh membantu meringankan bebanmu. Sama ada guru disiplin boleh membantu menyelesaikan masalahmu. Sama ada Pengetua dan GPK dapat membantu menguraikan kekusutan masalahmu. Dalam banyak hal kau adalah sendirian. Kesunyian menghadapai tekanan perasaan ini. Yang menindih dan menghambat geram. Yang mengasak sakit menghimpit amarah yang payah hendak padam. Terhampar dengan kekecewaan yang amat mencengkam dalam mencalar. Gusar dan gundah gelana.

Itulah hakikat bahawa menjadi guru bukan seenteng yang dilihat. Semudah yang nampak di mata. Sesenang pandangan mata selintas lalu. Banyak kepayahannya yang mesti ditangani. Teori apapun perlu disesuaikan. Psikologi hanya jika sesuai. Variabelnya terlalu banyak untuk digabunglan. Untuk diharmonikan. Akhirnya kau kenalah kembali kepada dasarnya. Asasnya sahaja.
1                    Didiklah dengan seikhlasnya.
2                    Nasihat kepada yang memerlukan. Atau yang bersedia mendengarnya.
3                    Elakkan marah kerana itu bukan mode guru masa kini. Perbuatan itu hanya membina dendam di hati pelajar.
4                    Ambil tindakan yang perlu sahaja. Jangan suka mengadu kepada guru kelas atau guru disiplin atau GPK atau Pengetua.
5                    Jangan membebel. Bebelan ibu di rumah sudah cukup melemaskan.
6                    Jangan emosi kerana emosi menjangkit kepada amarah.
7                    Belajar membina kemahiran memenangi hati pelajar. Beri maklumat seerapa banyak. Tetapi jangan diberi peluang untuk memijak kepala.
8                    Jangan garang tetapi tegas.
9                    Pamerkan kekuatan semangat. Jangan mudah patah.
10                Pelajar yang nakal layan seperlunya sahaja. Jika perlu diabaikan, silakan. Takut jika diambil tindakan ibu bapanya mengamuk. Latah. Melenting tidak tentu pasal. Tetapi ajar tetap ajar.
11                Jika terssa hendak marah, gagahkan untuk senyum. Mudah-mudahan terbina kekuatan dalaman.
12                Bincang dan mintalah nasihat daripada guru-guru yang berpengalaman.
13                Banyakkan solat malam. Mohn dipermudahkan menjadai guru. Mohon supaya pelajar-pelajar mematuhi, akur dan tunduk kepada asuhan.
14                Banyak mengadu kepada Allah. Luahkan segalanya kepadaNya. Mohon bantuanNya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. InsyaAllah.