Friday, March 6, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Suami Tidak Melihat Rupa Wajah Isteri



Tidak ramai suami yang melihat isterinya dengan telus hati. Siapa sebenarnya isterinya. Bagaimanakah wajah sebenarnya. Watak dan ciri mereka. Semasa memikat dahulu yang dilihat yang berkenan di hati. Pada mata lelaki wanita itu cantik. Cantik itu bukan mutlak tetapi relatif. Jangan buat perbandingan. Ianya suatu proses yang sia-sia. Pilihan lelaki adalah pilihannya. Mungkin begitu juga pilihan wanita adalah lekaki itu. Lelaki yang satu itu. Yang padanya paling memikat hatinya. Siapa boleh menafikan bahawa lelaki dan wanita adalah sangatvberbeza dalam banyak hal. Bak kata John Gray, Man AreFfrom Mars dan Women Are From Venus. Ramai pasangan yang telah berumahtangga beranggapan mereka memahami antara satu sama lain. Understanding kata mereka. Satu metafora yang mungkin benar dan mungkin juga salah. Tetapi psikologis tidak pernah mengatakan bahawa dua manusia yang berlainan jantina memahami antara satu sama lain. Pada zahirnya pasangan-pasangan tersebut membuat persepsi sendiri. Di dalam dan pada bathinnya mereka tetap berbeza. Lelaki selalunya beranggapan bahawa diri mereka superior. Menjadikan mereka egoistik pada pandangan wanita atau isteri. Terlalu banyak privacy yang dijaga sendiri. Tidak dapat dijengah oleh isterinya. Sukar difahami.

Menjelajahi senario rumahtangga, kita selalu beranggapan bahawa tugas isteri dan suami adalah stereotype. Sama sahaja dari dahulu hingga sekarang. Yang kita lihat dari moyang, datuk, ibu dan bapa kita itulah kita anggap sebagai peranan lelaki. Persekitaran adalah dinamik. Keadaan sudah berubah. Pada kebanyakan masa kita yang lelaki gagal melihat secara hakiki. Kerana itu kita tidak membuat sebarang anjakan paradigma. Kita kekal sebagai lelaki yang lelaki itu. Yang dipilih oleh seorang isteri yang kita lihat itulah peranannya. Cuba lihat senario berikut:

1                   Isteri yang terlalu lanjut usia masih juga memasak. Suami masih mengharapkan isteri memasak makanan kesukaannya.
2                   Isteri yang hilang penglihatan. Ia melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas, mengurus anak. Suaminya beranggapan itulah kerja seorang isteri.
3                   Isteri yang dalam pantang masih membasuh, memasak dan mengemas rumah. Suami tidak membantu kerana menganggap itulah tugas isteri.
4                   Isteri demam dan sakit. Masih juga memasak walaupun mungkin tidak membuat kerja-kerja rumahtangga yang lain.
5                   Isteri letih berkerjaya. Pulangnya lewat dan dalam letih lesu. Masih juga memasak, mengurus anak, membasuh, mengemas rumah. Ada suami malah membuat pesanan minuman dari siteri yang kalut. Membaca akhbar harian walaupun di pejabat sudah membacanya. Malah meonton TV dan berehat.

Apakah kita lelaki dan suami harus dilabel:

1                   Tidak menghargai isteri.
2                   Tidak menghargai perhubungan suami-isteri yang janjinya dipadu dahulu untuk bantu-membantu.
3                   Tidak mengerti simpati, empati dan tidak mengambil erti.
4                   Dianggap zalim kerana mendera isteri.
5                   Tidak mengambil tanggungjawab bersama. Sama-sama meringankan tugas masing-masing.
6                   Apakah seorang isteri layaknya hanya mengorbankan segala-galanya untuk suami tanpa ada imbal balas dari suami.

Kadang-kadang kita yang menjadi suami sangat kering hatinya. Cuba pasang CCTV di rumah. Lihat apa yang isteri buat sama ada di hadapan kita atau semasa ketiadaan kita.

1                   Menyediakan makan dan minum untuk kita suaminya dan anak-anak. Kadang-kadang ibu dan bapa sendiri atau ibu dan bapa mertua. Ada masanya adik-beradik yang tinggal bersama.
2                   Mengemas dapur selepas memasak. Selepas makanan. Membasuh pinggan mangkuk. Menyusunnya di rak dan kabinet.
3                   Membasuh pakaian keluarga yang berulang-ulang dengan mesin basuh. Menyidainya. Mengangkat apabila kering. Melipat dan menyimpannya.
4                   Mengemas rumah dari bilik tidur utama dan anak-anak. Bilik air dan setor. Dapur dan segala perkakasnya.  
5                   Mengemas dan menghias rumah untuk menghibur hatinya.
6                   Mengemas bahagian luar rumah. Halaman rumah.
7                   Menghias rumah dengan pokok bunga. Mencantikkannya. Menikmati kecantikan itu.
8                   Mengurus anak dari menyusukan mereka, membasuh najisnya, memandikan, memakaikan pakaian, membedak dan menyikat rambut, menyuap makanan. Mungkin mengajar tulis baca atau mengaji.
9                   Membawa anak-anak bersiar-siar untuk mendapat udara bersih. Mengecas tenaga dirinya.

Jarang benar isteri yang merungut melakukan semua itu. Jarang dan jarang. Ia masih senyum dan tawa walaupun tugasnya hampir 24 jam sehari semalam. Kita sebagai suami jarang pula memberi pujian. Menghadiahkan senyuman. Ketawa bersamanya. Memberikannya kata semangat. Mengucapkan terima kasih. Menghargai kehadirannya. Menghargai keberadaanya. Tidak menganggapnya sebagai pelita hati yang menerangi seluruh keluarga. Menghidupkan cinta kita. Memberikan sayangnya tanpa syarat. Menghadiahkan cintanya tanpa terma. Menyimpulkan kasihnya tanpa boleh diurai. Menganugerahkan kesetiaan yang kemilau dipandang mata. Di mana yang kita lihat. Ke mana mata kita melihat sebagai suami. Wujudkah hijab antara kita dan isteri.

Siapalah suami tanpa isteri. Memang isteri banyak mulutnya. Banyak bebelnya. Banyak omelnya. Banyak bisingnya. Semuanya kerana kepelbagaian tugas yang perlu dilakukannya. Sewaktu suami sudah tidur isteri masih bangun malam untuk menyusukan anak. Melayan anak-anak yang kepenatan bermain sepanjang hari. Mendamaikan rengek anak. Itu belum menyuluh nyamuk. Membetulkan selimut dan bantal anak. Di mana suami dalam hidup isteri. Tidak mungkin hanya di hati. Lelaki perlu keluar dari hati isterinya. Melihat isterinya dari luar kotak. Senaraikan tugas isteri. Oleh kerana suami tidak boleh mengandung, bersalin serta menyusukan anak maka lelaki sebagai suami boleh membantu melakukan banyak tugas lain yang selalunya dilakukan isteri.

1                   Belajar memasak. Mula-mula bantu isteri dengan memayang bawang, membuang tahi ikan bilis, menyiang sayur, menjerang air, menanak nasi, menyiang ikan, mengasah pisau, membasuh pinggan dan mangkuk dan banyak tugas lain di dapur. Sama berkerjaya dan sama-sama membuat kerja rumah.
2                   Atau semasa isteri memasak, mandikan anak-anak, basuhkan najis mereka, pakaikan baju, bedak dan sikat rambut mereka.
3                   Lipat kain dan sususn dalam almari.
4                   Kemas bahagian rumah yang disepahkan oleh anak-anak.

Suami perlu pandai memasak walaupun bukan semua jenis makanan. Buat persediaan diri kerana dalam rumahtangga kerap berlaku darurat. Isteri sakit atau bersalin atau dalam pantang atau isteri mungkin berkursus selama beberapa minggu dan beberapa bulan atau isteri ada tugas luar. Boleh makan di kedai tetapi hendaklah selau beringat untuk melihat kebersihannya, kesuciannya, khasiatnya, halal dan haramnya dan ketepatan selera keluarga. Itu belum dibincangkan masalah jemu. Makan di kedai cepat jemu. Membeli lauk-pauk di luar hanya apabila terpaksa. Jarang makanan dari luar rumah yang memenuhi selera keluarga. Mungkin hanya pembaziran jika rupa dan rasanya sangat berbeza. Masinnya yang terlampau. Manisnya yang terlebih. Masam yang hanya masam. Belajarlah memasak supaya selera dan kesihatan keluarga terus terjamin walaupun isteri tidak berkeupayaan untuk melakukannya. Suami yang mengambil alih tugas itu untuk isteri dan anak-anak.

Banyak lagi tugas suami yang perlu suami lakukan. Banyak dan banyak. Buat kerja sama-sama. Berehat sama-sama. Ada yang lebih baik lagi perlu dilakukan oleh suami dan isteri. Apabila anak-anak mula mengerti didiklah mereka untuk melakukan tugas yang senang.

1                   Didik mereka untuk mengemas katil mereka sendiri. Kekemasan akan dipelajari hingga akhirnya mereka menjadi mahir.
2                   Membasuh pakaian mereka sendiri. Menyidainya. Mengangkatmya apabila kering. Melipatnya. Menggosoknya. Menyusunnya dalam almari pakaian mereka.
3                   Mengemas bilik dan ruang tamu yang mereka sepahkan. Beri pandauan supaya selepas bermain hendaklah dikemas. Kembalikan buku di raknya. Kembalikan barang mainan ke tempatnya.
4                   Menghidangkan makanan di meja.
5                   Membasuh pinggan dan gelas yang mereka gunakan.
6                   Membantu di dapur dengan berkemas. Mengembalikan kerusi di bawah meja. Mengelap pinggan dan mangkuk yang basah.
7                   Membuang sampah ke luar rumah.


Seorang suami hendaklah mendidik diri mereka sendiri. Lihat isteri dan lakukan apa yang boleh membantu isteri. Didik anak-anak untuk melakukan tugas-tugas yang boleh mereka lakukan. Insyaallah isteri akan lega. Suami akan lebih lega. Hilang rasa bersalah kerana membebankan isteri. Anak-anak berdikari. Mereka boleh tinggal di asrama tanpa masalah. Di IPT tanpa masalah. Bekerja tanpa masalah. Sesungguhnya hal-hal kecil dari rumahtangga ini adalah besar sumbangannya kepada negara. Kita melahirkan anak-anak yang bakal menjadi warganegara yang bertangunggjawab.