Thursday, November 28, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mercutanda Yang Merobohkan




Apabila disebut pembangunan yang terlintas di minda kita ialah lebuhraya yang besar dan panjang. Bangunan yang gah dan tinggi. Kecantikan dan keceriaan yang bergemerlapan. Lampu neon yang berjajaran. Terang dan pancawarna. Pepohon dan bunga-bungaan berselang seli di taman dan di tepian jalanraya. Rumah tersergam besar. Kenderaan panjang dan besar. Pakaian berjenama yang dinilai cantik. Begitu juga pejabat kerajaan yang agam. Gedung perniagaan yang berbentuk mega.  Hospital yang bertingkat-tingkat. Sekolah dan institusi pendidikan yang penuh teknologi. Hotel menjulang langit. Pusat hiburan berceracak. Maka manusia berpersepsi  bahagia dalam kegemerlapan itu. Mereka menyangka yang terang itu bersuluh. Yang gemerlapan itu menyinar. Mereka menyangka mentari terang hingga ke petang. Ramai yang lupa bahawa hari ada dua bahagiannya. Siang dan malam. Siang tidak berpanjangan. Malam juga ada gilirannya. Begitu juga mendung dan hujan menyelangi masa. Maka yang terang terlindung jua. Begitu juga rasa bahagia kadang-kadang banyak terlindungnya. Kita banyak bayang-bayang hingga kita tidak tahu bayang-bayang siapa yang kelihatan jelas. Malah mungkin kadang-kadang kita menjadi takut dengan bayang-bayang kita sendiri.


Kita membangun tetapi banyak dasar yang tidak jelas. Kita tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi kadang-kadang banyak yang tidak menampakkan budaya dan tradisi Islam. Tidak diterapkan dalam kehidupan yang pelbagai budaya. Kadang-kadang seperti terpinggir Islam itu dalam kebanyakan masa. Kita ambil contoh yang sangat praktikal. Umat Islam solat lima waktu. Perlu ada bilik air dan tempat berwuduk. Malangnya tiada standard yang benar-benar standard. Ukuran musollah tidak ada standard. Bilangan pili air tiada standard. Kawalan syarie kadang-kadang tiada di bilik air. Pengguna Muslim kesukaran untuk beristinjak. Untuk membersihkan najis. Dalam pasaraya yang begitu besar tiada musollah yang sepadan dengan pengguna yang sangat ramai. Jemaah terpaksa bersesak-sesak untuk wuduk. Bersesak dan menunggu giliran untuk solat berjemaah. Yang wanita lebih teruk lagi sebab fitrah mereka hendak bersetokin, memakai tudung atau telekung dan berbagai hal yang lain.

Ada yang lebih baik seperti yang penulis perhatikan seperti di Mesir dan Jordan. Masjid atau surau dibina sebanyak mungkin sebagai sebahagian daripada perancangan bandar. Apabila masuk waktu solat, tempat untuk dituju sudah ada. Standardnya boleh ditentukan. Saiznya, bilik air dan keperluannya. Antara pengguna lelaki dan wanita harus ada keupayaan dikenalpasti keperluannya yang khusus. Lelaki dan wanita tidak sama. Hormati dan raikan perbezaan itu. Bilik air wanita umpamanya elok lebih besar sebab mereka perlu masa yang lebih lama. Yang menunggu giliran ramai. Penguna lelaki ringkas masanya kecuali hal-hal yang darurat. Ada dua pendekatan. Pertamanya pihak penguasa atau pemerintah menyediakannya berhampiran dengan premis perniagaan. Atau keduanya, premis perniagaan menyediakan musollah dengan standard yang ditentukan. Ianya suatu keperluan pelanggan Islam yang jumlahnya juga ramai walaupun kuasa beli mereka mungkin tidak sehebat mereka yang bukan Islam. Ianya juga untuk menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan untuk meraikan pengguna Islam.


Agama Islam hendaklah dijadikan agama pelindung. Budaya dan tamaddun Islam diperkembangkan secara praktikal. Hal-hal yang sekecil-kecilnya diambil kira. Difikirkan sehingga yang terlalu kecil. Ia menjadi didikan. Menjadi ikutan. Menjadi sesuatu yang dilumrahkan. Di Barat banyak konsep yang islamik walaupun mereka bukan berkerajaan Islam. Walaupun di negara mereka Islam bukan agama negara mereka. Pergilah ke Jepun. Pergilah ke Korea. Pergilah ke USA atau Canada. Persekitaran tuntutan Islam banyak dilihat. Kita tidak bincangkan maksiat. Kita fokus kepada sistem hidup mereka yang sistemik. Budaya mereka yang banyak luhurnya seperti pentingnya menjaga kebersihan dan kemurnian alam sekitar. Susunatur persekitaran. Pemeliharaan persekitaran. Banyak lagi yang perlu dilaksanakan di negara kita. Ianya menjadi ukuran maju dan terkehadapan. Mercutanda hanya binaan kaku dari batu. Dari konkrit. Dari besi. Dari kayu. Banyak bahan lain yang kaku. Penghuninya dan pengunanya yang perlu dijadikan insan-insan penyayang, peka dan berinisiatif untuk menjadikan persekitaran lebih bersih. Lebih murni. Lebih selesa. Lebih membahagiakan.


Bangunan tinggi sudah menjadi suatu trend. Tanah semakin mahal. Ruang semakin sempit. Maka mereka yang tinggal di menara-menara tinggi harus berubah paradigmanya. Berbudaya seperti orang di kayangan. Menjaga keperluan berumah tinggi. Sampah diurus seperlunya. Tidak boleh dicampak keluar melalui tingkap dan pintu. Tidak boleh mencurah air sesuka hati. Apabila rumah tinggi maka angin juga bertiup lebih kencang. Apa-apa yang dilempar keluar ditiup masuk ke rumah orang kain di tingkat yang lebih rendah. Termasuk juga air, puntung rokok dan air dari sidaian kain. Jika orang di atas menjaga hal-hal sepertinya maka orang di bawah menikmati hidup yang lebih selesa. Lebih terjamin selamatnya dari gangguan yang menyesakkan hati dan nafas. Gangguan social yang tidak menentu sebegitu perlu dihindarkan untuk hidup bersama. Belajar untuk hidup bersama.


Banyak mercutanda yang berbentuk mega. Kosnya jutaan ringgit. Bukan puluh juta tetapi ratusan juta. Mercutanda seharusnya membangunkan pemikiran mereka yang melihatnya. Mencetuskan keinginan untuk mengembangkan pendidikan. Membesarkan ruang keusahawanan. Berfikiran jauh melangkah ke hadapan. Mercutanda itu bukan sebagai pameran mati dan kaku. Harus ada gagasan untuk membina budaya positif. Tinggi, besar dan pancaguna. Jika besar hanya besar dari segi saiz maka manfaatnya terlalu kecil. Hanya penggunanya sahaja yang naik dan turun. Ianya tidak memberikan impak pendidikan, keusahawanan atau pelacongan. Penulis teringat kaum ‘Ad iaitu kaum Nabi Hud di selatan Yamen. Mereka membina tiang dan menara sebagai mercutanda yang hebat. Tinggi dan mengkagumkan. Lambang kehebatan senibina mereka. Juga lambang ego mereka. Lambang dan ego tidak memberi manfaat. Allah musnahkan kesemuanya. Tertimbus di bawah pasir selama beribu-ribu tahun. Apabila mercutanda dibina tanpa syarie maka kemusnahan menanti. Sewajarnya setiap sesuatu itu ada gunanya. Banyak manfaatnya. Memberi kewajaran pembinaannya atau kewujudannya. Jika tidak Allah yang berhak ke atas binaan dan mercutanda itu.


Kita sudah lama bercerita tentang yang besar, gah dan mega. Apabila kita dekati banyak lompang agama dan budaya yang terpinggir. Jika dasar tidak digubal maka hal-hal yang tertinggal itu semakin jauh di belakang. Jika tidak difikirkan sekarang maka ianya menjadi sesuatu yang asing bila tiba keperluannya. Kadang-kadang kita hanya perlu duduk sebentar. Pandang kanan dan kiri. Apa masalah yang kita hadapi secara peribadi. Itu juga yang dihadapi oleh orang lain. Maka masalah seperti itu yang perlu kita selesaikan. Tidak perlu yang mega-mega. Kita solat di ruang yang sempit. Perlu diperluaskan. Untuk wuduk tidak banyak pili air. Perlu dibanyakkan. Tidak ada selipar untuk wuduk. Beli dan tambah. Bilik wuduk wanita mestilah di dalam kawasan musolla itu sendiri. Kita membantu wanita melindungi aurat mereka. Bukan di luar. Terlalu ramai yang terdedah auratnya.



Majulah. Binalah mercutanda pembangunan yang gah dan mega. Yang besar dan menjulang langit. Tetapi jangan lupa yang dasar. Hukum yang asasi. Praktiliti yang paling kecil. Mudah-mudahan Islam bukan hanya pada nama tetapi dilihat dan ada dalil kewujudannya selain dari masjid, Al-Quran, pakaian dan makanan umpamanya. Fikir dan fikirkan. Pengguna lebih tahu dari perancangnya. Beri input yang positif dan membina. InsyaAllah akan banyak kebaikannya kepada kita semua. Yang paling diperlukan ialah political will.