Tuesday, January 16, 2024

Seorang Wanita Pujaan

Seorang Wanita sinonim sebagai teman akrab seorang lelaki yang bernama suami. Begitu Hawa dan Adam. Muhammad dan Khadijah. Laila dan Majnun. Shah Jahan dan Mumtaz. Romeo dan Juliet. Uda dan Dara. Mungkin ramai lagi. Pasangan-pasangan ini segar dalam edaran masa yang berlegar lestari memanifestasikan cinta mereka berdua. Terasa abadi melingkari wibawa diri seperti tidak dimamah zaman. Beruntung wanita-wanita yang sejarahnya panjang berlegar zaman. Melingkari kisah cinta abadi. Bersamanya lelaki pilihan. Anak-anak yang soleh dan solehah. Hidup bahagia sepanjang zaman. Ceritera cinta pasangan berzaman itu hanya secebis kisah cinta yang terakam dan abadi. Banyak lagi ceritera cinta dan kasih sayang yang tidak terungkap. Yang tidak terakam. Yang tidak ada sejarahnya. Namun kisah setiap wanita melalui liku-liku yang berbeza mengikut tempat, masa dan persekitaran pelakunya. Ia bukan cerita kampung. Bukan cerita bandar. Ia cerita zaman berzaman yang menukilkan kisah-kisah berharga antara wanita dan lelaki. Kisahnya bermula dari Adam dan Hawa tanpa ada sudahnya selagi alam ini ada. Sangat beruntung wanita yang menemui kekasih hati dunia dan akhirat. Lestari dalam cinta abadi. Layar kebahagian mereka sentiasa berkembang melayari pautan lautan madu. Angin sentiasa sepoi-sepoi bahasa menghembus enak menyeberangi lautan dan segara. Sepoi angin yang sepoi-sepoi. Tiada ombak menggunung. Tiada lautan bergelora. Yang ada hanya alun yang beralun. Didengar indah menghempas pantai pasir yang memutih bersih. Ia bukan lamunan tetapi realiti indah yang Allah tentukan. Wanita Selamanya Wanita Rezeki, jodoh dan ajal ketentetuan Allah. Manusia dan semua makhluk yang lain menerima takdir dan tadbir Allah. Ada wanita yang ditakdirkan Allah hidupnya penuh badai. Halilintar menggema setiap masa. Hujan ribut kerap melanda dirinya. Panas dan hujan seperti tiada berganti. Amukan persekitarannya sentiasa menggelora. Api panas yang tiada redanya. Apakah ia tidak pernah bercinta? Sangat langka seorang wanita tidak melalui detik dan saat bercinta. Yang pernah dilalui itu mungkin sahaja ada petandanya (preview) apa yang bakal dilaluinya. Kiranya sudah terlanjur, petanda-petanda badai mendatang itu diabaikan. Percaya kepada ketentuan Allah. Bahawa setiap yang datang itu pasti ada hikmahnya. Itulah lumrahnya harapan seorang yang pasrah. Yang melalui masa yang agak lama untuk derita dan dideritai, kecewa yang mengecewakan, nista dan cerca, herdik dan tempik, lekeh dilekeh, harga dirinya diinjak-injak, jiwanya menjadi kosong bersama aliran masa. Seorang wanita malang yang tiada lindungan suami yang ingin disayang. Kehidupan yang malang, walang dan merudum harapan. Namun itu bukan penghabis cerita. Masa yang terus berlalu tetap membawa kelainan-kelainan untuk mencambah asam garam kehidupan. Kepada Allah dikembalikan. Siapa wanita yang tidak mengharap kasih, ditimang sayang, dicintai dan digauli seikhlas hati. Setulus mesra. Dilambung harapan meninggi langit. Dihampar kebahagian. Dilindungi buah hati pengarang jantung. Menjadi intan payung. Dibelai penuh manja. Didakap ke dada cinta. Dicium haruman mesra. Dibelai dan dibelai dan dibelai. Diusap dengan penuh kasih sayang. Bersama sayang memanjang yang tiada tepi. Bersama kasih yang penuh putih bersih. Bersama cinta yang meluas tiada tepinya. Namun Allah menentukan bahawa kadang-kadang kebahagiaan itu elusif bentuknya. Ujian dan cobaannya banyak bersilih ganti. Selepas satu datang satu lagi. Selain dirinya, ujian melingkari ibu dan ayahnya. Malah mungkin keluarganya yang lain. Apakah itu menjadi kegagalan? Mungkin bagi seorang wanita tetapi tidak pada seorang wanita yang lain. Cabaran-cabaran yang mendatnag sebenarnya menjadi sumber kekuatan dalaman dan kekuatan psikologi. Malah menjadikan fizikalnya kuat. Cobaan dan ujian silih berganti tanda Allah sayang padanya. Sebagai wanita banyak hikmahnya. Anak-anak yang membaca cerita ini mudah-mudahan lebih insaf tentang ibunya. Ada waktunya rayu merayu dihidangkan. Tiada sambutan dan tiada perubahan. Jalan berpisah selalu ada. Tapi itulah wanita. Fikirnya jauh menjangkau. Ibu dan bapa yang sudah redho. Anak-anak yang panjang lagi masa jangkanya. Persekitaran yang tetap penuh cabaran. Lalu pulang kepada Allah. Tiada sandaran yang lebih baik. Berserah dan pasrah semoga ada sudahnya. Lalu hidupnya dilalui penuh redho. Diheret masa yang melenyapkan rasa rindunya kepada kebahagian yang didambakan. Pasrah kepada Yang Maha Esa. Andai berserah kepada Allah, kekuatan itu menjadi sesuatu yang biasa. Menjadi lali dengan ujian. Menjadikannya asam garam bagi seorang wanita. Tiada kekesalan. Tiada dendam. Tiada yang mungkin melemahkan hidup diri dan semangatnya. Malah wanita sebegitu membangun diri yang tenang, senyumnya memanjang, tawanya meriangkan dan hadirnya membahagiakan orang di sekelilingnya. Menjadi wanita waja adalah sesuatu yang luar biasa. Tetapi jika dihasratkan begitu waja itu datang dengan senangnya. Persekitaran menjana hidupnya yang lebih santai dan membahagiakan. Berbahagialah kamu wahai wanita kesayangan dan pilihan. Wanita dan Harapannya Apakah agenda membahagiakan diri sebenarnya? Perlukah acara dan agenda yang lain untuk membina kebahagian hakiki? Tentunya kembali kepada Allah. Hanya kepada Allah. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali. Itulah sebenarnya destinasi abadi kita. Kembali kepadaNya. Badai, gelora, taufan, ujian, cobaan dan segalanya yang mendatang adalah dari Allah. Andainya segala yang mendatang itu tabah dihadapi, ada ketenangan di dasar qalbu. Ada kebahagian di dasar hati. Ada keindahan di sanubari. Lubuk hati yang sentiasa dalam ketenangannya. Pastinya tiada wanita yang serba serbinya sempurna. Dalam kepayahannya kadang-kadang hadir orang lain yang dirasa pada pandangan mata dan hati memberi cahaya harapan yang lebih baik. Namun keterikatan dirinya dengan keadaan tidak memungkinkan dirinya terlepas bebas mengikut kata hati. Sesiapa pun mungkin menginsafi malang yang dihadapi seorang wanita. Hanya Allah yang bisa membantu menjernihkan keadaan. Jika ada usaha dan tawakal in syaa Allah. Beranikah wanita mengharungi lautan gelora berbadai yang lebih jauh dan lebih luas? Pengalaman tidak menjanjikan kebahagian yang mutlak. Di sinilah kita belajar menerima. Belajar bersyukur. Belajar dari apa yang Allah sajikan sebagai ujian. Apabila ujian-ujian yang dilalui terasa manisnya. Terasa madunya. Rencah kehidupan ini tidak pernah tidak enak sebenarnya. Jika kita melihat cahaya di hadapan, ikutlah cahaya itu. Jika gelap gunakanlah deria yang ada. In syaa Allah terowong gelap yang dilalui akan ke penghujungnya jua. Menemui cahaya riang ke syurga. Kekadang ingin menumpang kepada yang lain. Yang mungkin ada cahaya harapan yang membahagiakan. Namun jauh di lubuk hati tidak ada kepastian. Takut juga yang datang ujian juga. Anak bujang tentu terlalu jauh muda daya fikirnya. Duda banyak pilihannya. Suami orang tidak memungkin bahagianya memanjang. Dilestarikan. Menifestasi cinta, kasih dan sayang yang lebih elusif. Mungkin juga berserah kepada takdir tanpa banyak berfikir. Serah segala-galanya kepada Allah. Persekitaran Yang Menonton Persekitaran ini ada masanya membantu. Ada masanya memberi tekanan luar jangka. Berserah kepada persekitaran tidak mengubah paradigma. Terlalu banyak olah menambah tekanan diri. Ramai antara kita hanya menjadi penonton. Gelak bersama gelak seorang wanita. Senyum bersamanya. Tetapi kita tidak bisa menangis melihat tangisnya. Tidak bisa hiba ketika hibanya datang. Barangkali kita banyak simpati bukan empati. Benarlah berat mata memandang tidak seberat bahu yang memikul. Tekanan perasaan jauh lebih berat dari besi dan batu. Namun jika ianya tidak terlalu difikirkan, berat itu akan mengurang dengan sendirinya. Ramai wanita yang belajar mengabaikan. Apa pun ada baiknya kita menjadi penonton yang empati. Membantu meredakan keadaan. Wanita bukan keseorangan sebenarnya. Bijaksana mencari dahan bergantung. Mencari naungan di bawah pohon rendang. Banyak berbicara dengan hati sendiri. Monolog yang membahagiakan diri sendiri. Antara pilihan untuk mencari bahagia. Indahkan dengan berdialog di hadapan Allah. Persembahkan segalanya lalu memohon yang terbaik. Redho, ikhlas dan bersedia apa sahaja. Yanag datang dari Allah adalah yang terbaik untuk mu wanita kesayangan lelaki. Isteri Dambaan Terbaik Isteri bukan dilihat semasa mudanya. Bukan semasa cantiknya. bukan semasa gebunya. Tetapi dilihat tanggungjawabnya. Paling diperlukan dan dilihat umum ialah ketika suaminya dalam kesusahan, dalam kerisauan, dalam memerlukan, dalam keuzuran. Ketika itulah sewajarnya sifat kewanitaan yang tinggi dikongsikan dengan orang di sekeliling. Tegur sapanya mendamaikan. Layanannya membahagiakan. Keperihatiannya menyejukkan. Simpatinya melimpah-ruah. Empatinya berpanjangan. Suami adalah segala-galanya kepadanya. Hidup dan matinya. Kasih dan sayangnya. Susah dan senangnya. Syurganya dunia dan akhirat. Tambatan dua hati mudah pada sebutan tetapi barangkali tidak semudah yang dapat disemadikan dalam jiwa raga yang sentiasa rindukan kebersamaan. Dekat dan mendekat. Hampir menghampir. Biarlah rasa kasih, rindu dan sayang itu kekal bersarang dalam diri walaupun ada masanya tiada yang peduli. Tiada yang menyambutnya. Tiada siapa pun yang peduli. Damaimu hanya dengan Allah. Cukuplah Allah tempat bergantung. Sesuatu yang indah harapan wanita. Kasih yang bersih tidak menyisih. Sayang yang panjang bersarang. Rindu yang merdu di hati. Indahnya wanita semasa gelak tawanya yang terkawal. Senyumnya yang memukau. Lenggang lenggoknya yang bersahaja. Tutur katanya secukup nada. Intonasi suaranya sesuai dengan kesederhanaan jiwanya. Aala kuli hal, sempurna dipandang mata. Merdu didengar. Membahagiakan kebersmaannya. Wanita adalah segala-galany akepada lelaki. Seluruh tubuhnya ingin dimiliki secara abadi. Seluruh jiwanya desemadikan di lubuk hati. Anak Soleh dan Solehah Anak adalah permata hati ibu dan bapa. Buah hati pengarang jantung. Intan payung. Begitu sayangnya ibu dan bapa kepada anak. Nyamuk tidak diizinkan hinggap di mana-mana anggota anaknya. Doanya supaya apa-apa yang tidak baik tidak singgah di tubuh anaknya. Tidak juga di hatinya. Bak menatang minyak yag penuh. Berpanjangan dan abadi kasih ibu dan bapa terhadap anaknya. Sangat klasik keadaannya. Syahdu bila diingat. Rindu bila dirasa. Kepada ibu anak bukan sewaktu mereka kecil. Anak di mata dan di hati ibu adalah anak yang dikandungnya, dilahirkannya, dirawat waktu kecilnya, didoakan waktu belajarnya. Didoakan rumahtangganya. Didoakan kerjayanya. Bila sebenarnya sifat anak yang dapat dilihat dengan menyejuk mata? Ketika kedua ibu dan bapanya sudah lanjut usia. Bila mereka sudah uzur. Bila mereka menghadapi kekangan ekonomi. Kadang-kadang kita melihat sesuatu yang indah dan membahagiakan apabila anak-anak yang luarbiasa sayang dan kasihnya kepada kedua orang tua mereka. Terlihat bagaimana anak-anak ini merawat keperluan mereka. Menyuap air dan makanan. Mengelap bibir dan mulut mereka. Mengusap rambut dan kepala mereka. Mengelap tubuh badan mereka. Mengurus kumbahan mereka. Berbual sdolah-olah mereka tidak sakit. Bergurau dan gelak ketawa menyenang dan menggirangkan mereka. Selalu berkata indah. Selalu senyum dilihat mata. Berada dekat bila bersama. Bertanbya itu dan ini terutama apa yang ingin dimakan dan diminum. Alangkah bahagianya ibu dan bapa yang memiliki anak-anak seperti itu. Hari suram tetapi membahagiakan. Hari tua yang terasa kembali muda. Sakit yang terubat. Ketika itu bukan wang ringgit yang diperlukan. Bukan harta melimpah ruah yang diminta. Yang indah ialah kasih sayang. Belaian mesra. Kehadiran yang memberi sinar. Sebab itu sentuhlah wahai anak akan ibu dan bapamu. Picit anggita tubuhnya walau pun tidak diminta. Tubuh tua itu perlukan usapan, picitan dan sentuhan kasih sayang. Dengarlah celotehnya walau pun tidak difahami. Senyum kepada mereka kerana meraikan dan menghargai. Selagi masih ada. Selgi masih boleh bersama. Sekagi boleh dilihat mata. Selagi boleh didengar telinga. Selagi deria masih boleh merasa. Begitulah wanita kepada orang-orang yang terdekat dan tersayang. Anak Isteri Ibu Menantu Ipar Biras Lain-lain peranan sebagai manusia yang berinteraksi dengan Allah, manusia dan alam sekeliling. Jadilah insan yang memberi banyak kebahagiaan. In syaa Allah, Allah akan sentiasa bersamamu. Anak Tetap Anak Kasih sayang ibu dan bapa tidak ada batas waktu. Tiada batas tempat. Tiada syaratnya. Anak itu anaknya. Dari kecil hingga tua, anak itu adalah anaknya. Adakah anda perasan tentang perkara-perkara ini? Fikirkan sejenak. Lihat kembali diri dan perasaan kita. 1. Ingatan ibu kepada anak tiada hentinya. Mengalir bak air sungai. Sentiasa pasang dan tiada surutnya. Siapa pun anaknya, itulah anak-nya. 2. Kehadiran anak sentiasa dinanti. Untuk dilihat. Ditatap wajahnya. Didengar suara dan tutur katanya. Berbual tentang hal dulu-dulu. Hal saudara mara yang sudah lama tidak berjumpa. 3. Mungkin tidak ramai anak yang perasan. Setiap kali hendak ke rumah anak, ibu akan sentiasa memikirkan makanan kegemaran anaknya. Apa yang akan menyukakan cucu-cucunya. Ziarahnya ingin membawa bersama kerinduan, kasih sayang dan kebahagiaan. Ada ibu membawa daging dan ayam, ikan dan sayur. Ulam-ulaman. Dan berbagai lagi. 4. Apabila anak dan cucu hendak pulang, difikirkan makan siang dan malamnya. Sarapan dan minum petangnya. Kuih dan cemilan yang disediakan. Keriuhan yang ditunggu-tunggu. Andai anak-anak boleh fast forward untuk merasanya, sudah tentu tidak ada anak yang derhaka. Yang merajuk dengan kedua ibu dan bapa. Yang memutus hubungan dengan keduanya. Yang terang-terang membantah idea ibu dan bapa. Tidak akan ada yang membentak kaki. Tidak ada yang bermasam muka. Anak dan cucu adalah permata hati kepada seorang ibu. Nilai seorang ibu tidak terhingga banyaknya. Melihat wajah ibu disamakan dengan jika menatap Kaabah. Menatap ibu tiada kosnya selain daripada kasih sayang. Tetapi untuk menatap Kaabah berib-ribu ringgit kosnya. Tetapi nilai sebenarnya jauh lebih mahal. Tidak terkira. Mudah-mudahan selalulah hubungi ibu. Ziarahinya walau ekonomi memberatkan. Telefon setiap hari bertanya khabar. Tak perlu berbual panjang berjela. Pendek kata selalulah bertali hubungan dengan ibu. Jangan diputuskan lama sehingga kadang-kadang bertanya, apa khabarnya agaknya. Cantik jik anak yang bertanya khabar tentang ibu bukan ibu yang bertanya khabar tentang anak. Paling penting selalu dapatkan restu dan doa seorang ibu. Jalan di hadapan anak-anak akan terbentang luas, lurus dan menyampaikan ke destinasi yang dihasratkan anak-anak dengan izin Allah.

No comments:

Post a Comment