Sepasang kekasih yang menjejak persada pelamin. Jelingan manja dengan rasa kasih yang syahdu. Senyum dan tangis silihnya berganti. Saat itu suatu penantian yang tamat dengan lafaz, "Aku terima nikahnya." Ketika saat itu dilalui, akulah suami. Akulah isteri. Apakah sebenarnya detik itu. Kata John Gray, Men are from Mars dan women are from Venus. Jauhnya perbezaan antara keduanya. Susuk tubuhnya berbeza. Kapasiti kehendak dan kemahuannya berbeza. Fokusnya berbeza. Perasaan dan psikologinya berbeza. Namun kuasa Allah menemukan mereka. Menemukan mereka dalam satu ikatan yang sangat suci dan syahdu. Berbahagia dari dunia hingga ke akhirat. Pasangan yang berbahagia bukan kerana adanya harta yang menimbun. Bukan kerana emas dan intan berlian. Bukan kerana cantik dan sepadan. Banyak faktor yang mengikat kasih, sukar diceritakan. Sukar disenaraikan pun. Sukar dipindahkan kepada orang lain. Setiap pasangan ada rahsia peribadi masing-masing. Ada resepi yang tidak boleh dipelajari oleh orang lain. Unik dan tersendiri.
Kenapa ada bulan madu? Apa hubungannya antara bulan dan madu? Satu di langit dan satu lagi di bumi. Kedua-duanya ciptaan Allah yang sangat manis untuk manusia. Bulan memaniskan suasana. Redup dan romantik. Sentimental dan sayu. Bulan purnama umpamanya menerangi alam maya. Terang tetapi tidak jelas. Kelihatan tetapi bukan segala-galanya. Dalam cahaya itu pasangan baru mencari antara satu sama lain. Menerima dan memberi apa sahaja yang selama ini terlarang. Yang tidak mungkin tanpa ikatan. Pergaulan yang tiada lagi batas. Senda dan tawa yang tidak siapa melarang. Keintiman yang disantuni semua orang. Yang disenangi semua yang melihat. Yang diiri oleh mereka yang belum berpunya. Ingin seperti pasangan baru yang mengecap nikmat berumahtangga. Kasih sayang rupanya seperti madu. Manis dihirup. Mengenyangkan diteguk, dikunyah, dimamah dan ditelan jiwa raga. Berpandangan menautkan wajah-wajah yang menggelorakan. Di wajahmu ku lihat bulan. Sebuah lagu dari penyanyi Sam Samiun.
Bagi yang mencari, dapatnya didakap sayang. Bagi yang kehilangan jumpanya didakap rindu. Dekat disayang. Jauh dirindu. Jarak selalu menjadikan diri resah. Kebahagian ingin diikat kejap tanpa urai. Didekat tanpa lari menjauh. Selamanya ingin bersama membina indah bahagia yang semakin meninggi. Dulu setiap pasangan mencari cantik yang sepadan. Sesudah bersama yang dicari bukan lagi cantik rupa. Sesungguhnya cantik itu akan pergi berlalu. Masa membawanya pergi. Maka setiap pasangan perlu mencari gantinya. Bukan cantik lagi yang didamba. Allah! Kasih abadi yang tidak pernah susut. Badai dan ombak dilayari bersama. Sakit dan susah digagahi bersama. Akal budi yang baik yang dicari. Tinggalkan beza dan tingkah yang tidak sama. Anak-anak tambatan hati. Semakin ramai semakin mengikat kasih. Cucu dan cicit sebagai tanda-tanda di hujung usia. Tetapi di situlah adanya ikatan silam yang masih kejap untuk diulang. Melihat semula cinta yang dipupuk lama dahulu. Seperti dari azali.
Ramai pasangan yang lupakan senarai semak yang untuk dirujuk. Setiap perancangan masa hadapan ada pelan induknya. Ada program yang perlu dilaksanakan. Maka senarai semak perlu ada. Diperbaiki dan ditambah dari masa ke semasa. Jika ada input baru maka perlu adanya perubahan. Strategi baru. Prosedur baru. Objektif baru. Teknik dan kaedah baru. Pasangan masing-masing adalah orang yang paling dekat. Yang paling disayangi. Paling dikasihi. Belajar untuk menyelami hati masing-masing. Mengerti perbezaan isyarat dan tindakan. Perbezaan menerima akibat dan musibah. Tidak ada siapa yang boleh memahami orang lain hatta pasangan sendiri sekalipun. Setiap orang kadang-kadang merasakan bahawa pasangannya tidak memahaminya. Itu barangkali kesilapan besar yang seperlunya dihindarkan. Renung kembali. Siapa pasangan kita. Semak kembali senarai semak yang kita ada. Dia adalah suami. Dia ayah anak-anak. Dia ketua keluarga. Dia memberi kasih dan sayang. Dialah pelindung. Atau dia adalah isteri. Ibu kepada anak-anak. Pembantu setia. Kasihnya menenangkan hati dan perasaan. Penghibur duka dan lara.
Suami dan isteri jangan pernah hilang kelayakan untuk menyemak kedudukan masing-masing. Jika dahulu selalu rindu, cari semula resepi rindu itu. Antara keduanya perlu selalu berada dalam alam percintaan. Tinggal di bawah satu bumbung tetapi merindui antara satau sama lain. Ganjil? Itulah keganjilan cinta dua manusia yang sama-sama mengerti ertinya. Telah melaluinya bersama. Harta benda hanya pembantu. Syarat untuk hidup. Cantik dan lawar telah tiada. Kasih sayang dalam cinta bersulam itulah yang abadi dingat dan dikitar semula setiap masa. Apabila ingatan, gamitan dan seruan kasih sudah tidak bersahut maka terurailah ikatan dahulu yang jangkanya kejap dan kuat. Terurailah dekat menjadi jauh. Ketika itu memang pedihnya terasa. Tetapi setiap orang harus belajar untuk merasionalkan diri. Bahawa sesuatu itu tidak ada yang kekal abadi. Sampai masanya ia tiada. Ia hilang. Ia bukan lagi milik kita. Kerana ketentuan dan ketidakpastian setiap pasangan perlu berusaha. Perlu mencari yang terbaik untuk menjadikan pasangannya sentiasa rindu. Sentiasa ingat. Sentiasa ingin dekat.
1 Landasan lama jangan dibiarkan bercapah. Selalu berada di atas landasan yang sama atau selari. Semakin berusia semakin dekat dan bukan semakin jauh. Semakin harmoni dan bukan semakin mencari jalan sendiri-sendiri.
2 Luncuran masa yang berpapasan dijadikan beriringan. Banyak perbezaan antara pasangan. Mungkin pendidikan. Mungkin kerjaya. Mungkin kejayaan. Jangan remehkan pasangan. Jangan rendahkan pasangan. Jangan sekalipun sebut kekurangannya jika tidak memberi jalan membawanya keluar dari kekurangan itu. Jika tidak ingin membantu. Menemplak memang senang tetapi membawanya bersama itulah yang paling baik. Tingkatkan martabatnya. Biar seiring jalan fikirangnya. Cipta kimia antara satu sama lain.
3 Tidak ada teori perkahwinan yang jelas seperti carta alir dalam sesuatu proses yang tersusun rapi sekuennya. Banyak teori yang tidak dipelajari secara khusus. Pengalaman diadun dan ditambah nilai. Diaplikasi selalu supaya rimanya menawan. Rentaknya menarik. Bunyinya menggoda.
4 Tiada sekolah untuk belajar semula mengurus rumahtangga. Tetapi ada sesuatu yang asas. Bersih dan kemas menyenangkan. Susun dan teratur membahagiakan. Keceriaan menawan perasaan dan psikologi. Ramai pasangan yang menerima seadanya. Namun jika keduanya embark on something better tentulah kesannya pergi jauh. Akan terbina standard yang lebih tinggi. Arasnya lebih tinggi. Lebih tinggi tentunya lebih baik. Tidak semestinya lebih mahal kosnya. Mungkin perlukan kos pada awalnya. Pada waktu-waktu yang lain hanya penyelenggaraan sahaja yang perlu.
5 Panca indera kita seharusnya bermanfaat kepada kita. Dengar nasihat dan tunjuk ajar. Lihat dan ambil mana-mana yang baik. Hidu maklumat untuk menambahbaik. Banyak bertanya jika ingin mendapat yang lebih baik. Berfikir untuk memperbaiki keadaan. Membuka minda untuk menerima sesuatu yang baru dari masa ke semasa. Jangan rasa pandai sendiri hingga hilang pandainya
6 Anjakan paradigma sangat perlu dalm hidup ini. Perlunya ada kemajuan yang dipelajari. Banyak membaca. Memerhati dan mengamati. Perjalanan jangan dibosankan dengan tidur. Lihat sekeliling untuk diambil faedahnya.
InsyaAllah pasangan yang baru memang rindukan antara satu sama lain. InsyaAllah pasangan yang sudah melampaui usianya tetap rindu merindui. Perlu ada resepi yag telah dikumpul. Telah dihimpun. Apabila hilang rasa rindu di hati maka ketika itu hilanglah peranan kasih dan sayang. Suami hilang tugasnya. Isteri hilang peranannya. Apabila senarai semak kasih dan sayang dibuang ke tepi ketika itu pasangan itu hilang seri. Hilang usaha untuk bahagia. Apabila yang dikejar ialah cantik maka cantik itu akan mengikat sementara. Ingatlah usia yang bertambah adalah untuk menambah kebaikan. Menambah pahala. Menambah kebahagiaan. Sesungguhnya kita tidak hidup sendiri. Roda sentiasa berpusing. Fitrah ciptaan Allah sentiasa berputar. Kita kita inilah yang seharusnya mensyukuriNya kerana diberi nikmat sementar untuk dibawa ke syurga. Untuk diabadikan di sana nanti. Alangkah baiknya juga bersama pasangan yang sama.