Wednesday, November 4, 2015

Dunia Melayu Yang Fana



Mungkin penulis sudah cukup tua. Sekarang penulis memandang dunia Melayu dalam perspektif yang berbeza. Banyak perkara yang timbangannya dikembalikan kepada neraca agama. Menonton TV umpamanya bukan lagi sekadar melihat tetapi menerobos banyak yang tidak selari dalam pelbagai keadaan. Dunia Melayu kita ini masih berpijak di bumi nyata atau di alam fana. Cerita Mat Jenin yang berulang dan diulang-ulang. Bersiri episodnya. Di mana sudahnya? Kita telah merdeka sejak tahun 1957. Mungkin ada yang mengatakan pada 16 September 1963. Walau apapun ianya hanya angka. Realitinya kita telah merdeka selama lebih 50 tahun. Secara analoginya 50 tahun sudah cukup mendewasakan. Sudah menggilap kegemilangan. Cukup matang. Gah kerana pengalaman dan situasi dirinya. Namun itu bukan Melayu. Bukan dunia Melayu. Bukan untuk bumi Melayu.

Apakah Melayu malu untuk menjadi hebat. Lupakah Melayu asal usulnya. Takkan Melayu hilang di dunia. Mimpi atau untuk digarap menjadi realiti. Tolehlah sekeliling. Milik yang dulu siapa yang punya. Rumah orang lain semakin tinggi, rumah kita semakin rendah. Rumah mereka semakin besar, rumah kita semakin kecil. Rumah mereka semakin luas, rumah kita semakin sempit. Rumah mereka semakin canggih, rumah kita yang dulu-dulu juga. Rumah mereka beratap genting, rumah kita banyak zing dan asbestos. Malah rumah kita di kampung masih papan dan kayu yang usang lama tidak berganti. Siapa kita dahulu dan siapa kita sekarang.  Kini bukan zaman emosi. Bukan zaman nostalgik. Kita semakin melarat. Daya kita untuk hidup mapan semakin terhakis. Lihatlah kenderaan mereka. Besar, mahal dan segala-galanya. Lihatlah kekayaan mereka. Setinggi gunung dan bukit milik mereka.

Apakah destinasi kita terus menjaja kemiskinan dan terus juga dalam kefakiran? Apakah pengakhiran kita hanya menjadi badut-badut politik yang rakusnya tiada sempadan? Lemahkah kita berfikir? Malapkah lampu semangat yang menerangi sekeliling kita? Di manakah Hang Tuah? Di manakah Bendahara Tun Perak? Apakah Tun Teja masih rupawan untuk menyapu awan? Mengapa sejak tahun 1957 jaya kita hanya sejenak? Gembira kita hanya seketika. Orang kita juga yang mengkhianati bangsanya. Yang merosakkan sistem kebahagiaan itu sendiri. Yang merobohkan jambatan-jambatan menyeberangi antara kemiskinan dengan kekayaan. Antara kemurungan dan kegembiraan. Antara mundur dan maju. Antara lemah dan kuat. Antara rendah diri dan mencipta nama besar.

Masih ada lagikah harapan itu? Atau sudah musnah luluh kesemuanya? Siapa lagi yang boleh digantung harap? Yang ideanya setinggi aras. Bukan yang malas-malas untuk memberikan yang terbaik untuk dirinya. Untuk bangsanya. Mereka yang ke hadapan. Yang terkehadapan. Yang memilih jalan lurus terbaik untuk masa hadapan oranr-orang di sekelilingnya. Kita tidak mahu yang hambar cakapnya. Yang lemah jalan fikirnya. Yang selalu sesat berfikir. Yang apabila membuka mulut tidak seindah giginya. Yang tindakannya terlalu rendah untuk diambilkira. Merancangnya menyimbah dirinya sahaja. Mencipta hujan untuk membasahi diri dan bukan orang lain. Mereka yang lain tiada dalam pertimbangan. Tiada dalam keutamaan. Malah mungkin tidak pernah difikirkan. Kecuali mungkin, mungkin untuk diinjak dan dibuang dari perkiraan. Jurang yang semakin besar. Semakin jauh. Semakin sukar direntas bersama kerana persamaan sudah hilang.

Ramai yang terus mengharap. Ramai yang naif tentang masa hadapannya. Seperti kanak-kanak, gula-gula juga yang dikejar. Gula yang disangka selalu manis. Semua kata-kata manis juga gula. Mereka tidak melihat racun bersalut manis. Mereka tidak tahu arah yang benar lurus. Ke mana jalan yang lebih lurus. Apabila pendidikan tidak memberikan yang terbaik maka mereka yang terdidik inteleknya terlalu sedikit. Antara mereka menggigit kembali saudara mara yang dahulu membantu. Yang dahulu menjulang kemenangan bersama. Sampai bila episod lara bangsa ini akan terus melarut sisanya yang ada. Masih lagi bersahut kata-kata rang tua, yang bodoh makanan yang cerdik. Sebenarnya kecerdikan sudah hilang entah ke mana. Yang ada ketandusan berfikir. Kita hanya berfikir untuk makan. Bukan untuk menambah makanan. Bukan untuk meningkatkan kualiti makanan. Lalu kita terjerat dalam kesusahan yang memanjang. Hilang kemampuan untuk keluar dari kerosakan yang terus-terusan menghimpit diri.

Kita mengharap ekonomi untuk membahawa sinar harapan. Apabila hanya segelintir sahaja yang menikmatinya maka ekonomi tidak lagi menjanjikan apa-apa. Kita mengharapkan pendidikan menjulang harapan. Namun terlalu banyak  make-up hingga nampak indah walaupun di sebaliknya banyak kelemahan. Sekarang kita ditimpa tangga yang bertimpa-timpa. Jatuh yang terus jatuh. Pohon rendang milik orang. Rumah gadang milik orang. Tanah kita milik orang. Ramai juga antara kita yang pura-pura garang. Pura-pura bersuara lantang. Di sebalik segalanya yang ada hanya tua tanpa gigi. Suara tanpa nada. Berbicara tanpa topik membina. Bekerja tanpa produktiviti merentas masa.


Ke mana kita hendak dibawa? Ke mana?