Disiplin adalah sesuatu yang sukar kepada guru. Jika tiada disiplin pelajar menjadi kelkatu yang hanya menerpa cahaya tetapi mati terkapar tanpa menerima apa-apa manfaat. Guru selalu berusaha supaya P & P yang dilaksanakan diterima baik oleh pelajar. Proses belajar mesti ada dasar. Ada peraturan. Ada prosedur. Ada objektif. Ada strategi. Ada teknik penyampaian (delivery) yang betul. Walau bagaimanapun kesemuanya bergantung kepada bagaimana seseorang guru itu serasi dengan kelas dan pelajar yang ada di dalamnya. Banyak juga perkara lain yang harus difikirkan seperti penguasaan subjek, kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi, kemahiran mempamerkan bahasa badan (body language), iklim sekolah dan kelas, waktu, hari dan persekitaran pada keseuruhannya.
Kebetulan saya berminat dengan disiplin. Sejak dari kecil saya agak serius kepada kebanyakan anak-anak sepupu saya yang kerap datang ke rumah. Hatta kepada sepupu saya sendiri saya agak kaku. Bukan kerana introvert saya tetapi saya tidak gemar kepada mereka yang tidak sensitif kepada kawalan diri. Banyak hal yang mengganggu fikiran saya. Pada saya semua hal mesti ada peraturan dan prosedurnya. Bekerja mestilah mengikut peraturan walaupun perlu dilakukan perubahan, inovasi atau untuk melaksanakan kreativiti sekalipun. Disiplin atau peraturan akan menentukan masa, kos dan tenaga selain daripada untuk mengelakkan gangguan, pembaziran dan masslah sampingan yang mungkin berlaku jika tidak difikirkan semasak-masaknya.
Sebab itu Islam menggariskan beberapa peraturan yang harus dipatuhi untuk kebaikan bersama. Sebagai contoh apabila seorang murid menemui gurunya untuk mempelajari sesuatu, jika gurunya menangguhkan pertemuan itu kerana sebab-sebab tertentu maka murid hendaklah akur kerana itu juga adalah proses belajar. Hormat kepada guru. Kita harus ingat bahawa dalam hirakinya guru adalah yang keempat selepas Allah, Rasul/Nabi dan ibu bapa. Namun dalam adab berguru, guru hendaklah juga menghormati muridnya kerana yang hendak dipelajari ialah ilmu Allah.
Alam disiplin di sekolah bermula apabila saya menjalani latihan perguruan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Ibrahim, Labis, Segamat, Johor pada tahun 1967 dahulu. 44 tahun dahulu. Saya ditugaskan menjagi guru sebuah kelas tingkatan satu. Waktu muda, saya agak garang juga. Senyumpun mahal. Suatu hari sewaktu saya sedang santai di bilik guru, seorang pelajar perempuan datang mengadu bahawa kelas bising. Saya bergegas ke kelas kerana khuatir yang kelas itu mengganggu kelas-kelas lain yang bersebelahan. Apabila masuk saya minta semua pelajar yang bising supaya bangun. Ramailah yang bangun. Tiba-tiba seorang pelajar mengatakan yang Kassimpun bising juga. Kassim ialah ketua kelas. Maka saya minta Kassim berdiri dan mengarahkan yang lain untuk duduk. Saya panggil Kassim mendekati saya. Ringan tangan saya melempang pipi Kassim dengan agak kuat juga. Ketika itu saya hanya terfikir untuk mendidiplinkan Kassim sahaja. Tidak pula terfikirkan implikasinya.
Saya katakan kepada Kassim bahawa dia sebagai ketua mesti bertanggungjawab. Jika ketua membuat sesuatu yag tidak betul tentulah dia sukar mengawal pelajar-pelajar lain di kelas itu. Mungkin saya sudah berfalsaah ketika itu. Kassim tertunduk menangis. Sekarang Kassim mungkin berumur sekitar 56 tahun. Maafkan saya Kassim. Niat saya hanya untuk mendisiplinkan bukan untuk menyakiti walaupun hakikatnya saya telah menyakiti.
Mulai saat itu Kassim berubah menjadi murid saya yang amat baik. Sebagai ketua kelas dialah yang mengambil buku kedatangan dan memulangkannya selepas saya tandatangani. Dialah yang membawa buku latihan pelajar di kelasnya ke meja saya setiap hari. Dia bertanya pula apa yang perlu dibuatnya jika saya memerlukan sesuatu. Apa yang saya lakukan tentulah telah menyakitinya. Tetapi saya telah menunjukkan kepadanya tentang kesalahannya. Dia menerima kenyataan itu walaupun baru berumur 13 tahun sahaja. Hingga hujung tahun tiada masalah dari Kassim atau masalah lain dari pelajar-pelajar di kelas Kassim. Alhamdulillah.
Suatu waktu yang lain seorang pelajar mengadu pensilnya hilang. Ada beberapa pelajar yang saya syaki. Saya geledah semua bangku dan beg. Tidak juga dijumpai pensil itu. Saya buat pemeriksaan fizikal. Pelajar lelaki sahaja. Saya raba semua poket seluar mereka. Akhirnya saya temui pensil itu dalam poket seorang pelajar. Saya tidak ingat hukuman yang saya beri kepada pelajar itu. Yang pastinya tiada lagi kecurian di kelas itu.
Di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, saya bukan guru disiplin. Namun masa dulu-dulu, semua guru peka dalam menjaga disiplin di sekolah. Saya memang sukar berkompromi dengan masalah disiplin. Pada waktu rehat saya biasa melawat ke bilik-bilik air pelajar lelaki. Dalam bilik air macam-macam boleh berlaku. Mungkin ada yang merokok. Ada yang bermain air. Ada yang bertumbuk. Ada yang menconting tembok dan pintu bilik air. Ada yang sengaja lama-lama hingga ponting kelas. Sewaktu saya di sekolah itu memang pelajar tidak berani lama di bilik air. Maka bebaslah bilik air itu dari sebarang kegiatan salahlaku pelajar.
Kelas-kelas yang bising akan saya tegur. Cara saya mungkin berbeza dengan cara orang lain. Saya akan dekati kelas yang bising dengan perlahan-lahan. Saya tidak menyerbu sebarangan. Kadang-kadang di kelas yang bising itu ada guru. Tetapi guru itu hilang kawalan kelas. Saya dekati perlahan-lahan untuk mempastikan yang kelas itu memang tiada guru di dalamnya. Saya berdiri di pintu kelas. Tegak, serius dan pandang pelajar satu persatu. Pandang lebih lama kepada pelajar yang masih bising atau yang bisingnya melampaui rakan-rakannya yang lain. Saya katakan kepada mereka kebisingan yang mereka buat mengganggu saya yang hendak mengajar. Saya minta mereka diam dan membuat kerja-kerja sekolah seperti membaca atau membuat apa-apa latihan yang perlu. Alhamdulillah lazimnya berkesan.
Aapabila saya memulakan suatu kelas baru, saya bertanya kepada guru lain yang ada pengalaman dengan kelas tersebut. Saya ingin tahu pelajar yang paling nakal, yang degil, yang selalu menimbulkan masalah dan yang dianggap sebagai 'kepala' kepada pelajar yang nakal-nakal di kelas itu. Saya akan mencari peluang untuk mengenakan pelajar yang menjadi 'kepala' itu. Selalunya saya bukan hendak menyakitinya tetapi saya lakukan sesuatu yang bunyinya menggerunkan pelajar-pelajar lain. Caranya senang sahaja. Beri mereka latihan. Perhatikan 'kepala' tadi. Bila dia main-main atau dilihat tidak melakukan latihan yang diberi, saya akan meronda kelas. Saya pegang beberapa buku latihan pelajar. Dari belakang saya hempaskan buku yang saya pegang ke belakangnya. Bunyinya cukup kuat dan mengejutkan. Yang paling mengejutkan pelajar ialah ketua mereka sudah kena. Yang lain akan tunduk kepada saya secara automatik. Kelas itu menjadi mudah saya kawal. Baik kepalanya atau yang lain-lain tidak lagi berani bermain tidak tentu pasal.
Ada sesuatu yang mengerikan saya bila mengenangkan kegarangan saya dahulu. Peristiwa itu berlaku pada 14 Mei 1969. Apa signifikannya tarikh ini ya? Ingat tak 13 mei 1969. tarikh ini besar sejarahnya untuk negara yang bernama Malaysia. Ya, rusuhan kaum telah berlaku bermula di Kuala Lumpur. Pada 14 mei saya lempang seorang pelajar. Sekolah Chung Hwa Wei Sin tentulah pelajarnya Cina. Pelajar tingkatan dua. Saya sedang mengajar. Pelajar lelaki tersebut bising dan menggangu kelas. Saya campakkan pemadam yang sedang saya pegang. Saya campakkan untuk menarik perhatiannya. Saya bukan membalingnya dengan pemadam itu. Saya campakkan pemadam ke mejanya bukan ke tubuh badannya. Tindak balasnya menghilangkan kesabaran saya. Dia mencampakkan kembali pemadam itu kepada saya.
Sebenarnya dia hanya meniru perbuatan saya. Saya campak kepadanya dia campak kepada saya kembali. Satu permainan kepadanya. Saya panggil dia ke hadapan lalu saya hadiahkan satu penampar kepadanya. Saya katakan kepadanya saya campakkan pemadam itu supaya dia diam, memberi perhatian dan tidak mengganggu pelajar lain. Sebelum lupa, saya meminta kembali pemadam itu daripadanya tanpa niat untuk mengambil apa-apa tindakan. Tetapi apabila dia mencampakkannya kembali saya jadi marah. Saya katakan kepada pelajar-pelajar yang lain akan kesalahannya. Saya hukum dia kerana kesalahan itu. Jika diketahui ibu bapanya atau jika mengadu tentu nahas saya ketika itu. Negara dalam keadaan genting. Saya masih berani melempang pelajar.
Di Chung Hwa Wei Sin hanya ada tiga orang guru Melayu. Kami semua memang mengajar Bahasa Melayu. Opsyen saya Geografi dan Bahasa Melayu. Mula-mula saya hanya mengajar tingkatan satu. Ada tiga kelas. Kelas A memang baik. Kelas C memang teruk. Kelas B 50-50. Begitu juga tingkatan dua dan tiga. Yang klasiknya ialah setiap tahun dalam peperiksaan LCE (sekarang PMR) keputusan Bahasa Melayu adalah yang paling tinggi. Melebihi 80 peratus. Apabila Cikgu Yusof Desa berpindah ke Besut, saya mengambil alih mengajar Bahasa Melayu tingkatan tiga. Kecut juga saya dibuatnya. Bukan takut mengajar tetapi takut tidak boleh melestarikan keputusan peperiksaan Bahasa Melayu melebihi 80 peratus seperti yang telah dilakukan oleh Cikgu Yusof Desa.
Strategi saya ialah memberi latihan mengarang setiap minggu. Karangan dan surat kiriman saya buat berselang minggu. Ramai guru yang terkejut kerana saya memberi karangan setiap minggu. Saya senyum sahaja. Boleh saya tanda setiap minggu? Boleh. Ada caranya. Surat kiriman umpamanya, minggu pertama hanya menulis kerangka surat. Alamat, orang yang dituju, tarikh dan tandatangan. Minggu kedua diulang lagi hingga mereka mahir dengan kerangka itu. Minggu berikutnya lagi kaedah memulakan ayat pertama dan perenggan pertama. Kemudian cara menamatkan surat. Akhir selaki barulah cara menulis isi surat. Dari surat biasa saya pergi kepada surat rasmi, surat aduan dan surat-surat yang lain.
Karangan pula saya mulakan dengan bercerita. Daripada cerita itu mereka menulisnya. Pada kali pertama saya mungkin hanya menyemak huruf besar dan huruf kecil sahaja termasuk nama khas dan nama umum. Pada waktu yang lain saya menyemak tanda-tanda bacaan seperti titik dan koma. Selepas itu menyemak ejaan. Kemudian menyemak ayat, menyemak isi, menyemak perenggan dan seterusnya. Selama tiga tahun saya mengajar tingkatan tiga saya dapat pertahankan lebih daripada 80 peratus lulus. Pelajar kelas C yang dianggap tiada harapan masih ada yang lulus Bahasa Melayu walaupun subjek yang lain mereka gagal. Suatu kejayan barangkali. Guru besar (sekarang pengetua) di sekolah itu dua orang sewaktu saya di sekolah itu. Saya tiada masalah dengan mereka. Guru-guru lain sama ada lelaki atau pun perempuan juga tiada masalah dengan saya.
Kembali mengingat semua itu barangkali ada sesuatu yang harus saya nyatakan. Sebagai guru kita hendaklah jatuh cinta dengan profesion kita. Sayangi pelajar-pelajar kita. Ada kesungguhan. Ada komitmen. Ada keikhlasan. Lakukan yang terbaik. Pelajar pasti menyambutnya dengan tangan terbuka. Mereka membalasnya. Mereka tidak akan mengecewakan kita kecuali yang memang tiada harapan langsung. Tetapi mereka akan tetap mengetahui bahawa kita telah melakukan yang terbaik untuk mereka. Guru hendaklah bersifat guru. Boleh digurui. Suka melihat palajarnya menjadi pandai. Menjadi manusia. Menjadi warga berguna.
Cerita disiplin ini akan bersambung episodnya di Politeknik Ungku Omar.