Tapak kaki kita memijak tanah, tetapi kita pilih tanah yang kering. Kita pilih yang bersih. Kita pilih yang tidak cemar. Kita pegang tanah tetapi kita basuh seperti mengikis kulit. Kita terduduk di atas tanah namun kita kebas pakaian dan kulit seperti terlalulah kotornya. Bayangkan kita tersembam di atas tanah. Malunya tidak terkira. Marahnya hati tidak terhitung. Kita rasa maruah kita tercemar. Terpalit kita kotor. Tergeser berbekas. Terheret juga cemar. Entah mengapa kita menganggap tanah adalah kotor. Cemar. Malah ada orang menganggap tanah seperti najis. Mungkin benar tetapi banyak tidak benarnya. Tanah yang sahih ada campuran najis tentulah fitrahnya najis. Tetapi jika secara hakikinya kita mengetahui tanah itu tidak cemar dan tidak najis tentulah tiada najisnya. Tanah itu suci. Di padang pasir orang Islam solat dengan mudahnya. Mengetahui qiblat dan ada wuduk atau tayammum. Maka solat terlaksana. Tempat kotor? Tidak. Pakaian kotor? Mungkin dilihat banyak palitan tanah di sana sini. Pakaian itu dianggap kotor. Benar. Tetapi apa kategori kotor yang kita lihat. Kotor yang bukan najis. Yang kekal suci kerana ianya palitan tanah. Solatnya sah. Tiada yang tidak mengesahkannya.
Manusia yang sudah jadi manusia selalu berasa mulia. Terutama yang datang dari tempat yang namanya bukan tanah. Yang tidak pernah bergelumang dengan tanah tidak merasa tanah itu haknya. Yang tidak pernah hidup di tanah tidak terasa tanah adalah miliknya. Cuba berhenti sebentar. Duduk dengan elok. Pejamkan mata. Pandang ke hadapan. Manusia dijadikan dari tanah. Allah hidupkan kita dari tanah. Kerana itu kita memiliki sifat-sifat tanah yang subur. 70% adalah air. 30% bukan air iaitu tanah itu sendiri, api (panas) dan angin. Dari manusia lahir anak-anak. Kotoran dari dirinya kembali ke tanah. Ada yang dilepaskan ke udara. Ada yang disimpan untuk mengekalkan hidupnya. Kerana kita dari tanah kenapa manusia takutkan “kotor” tanah. Seorang doktor tidak pernah takutkan semua kotoran semasa bertugas. Seorang veterinar tidak pernah takut dengan najis dan yang bernajis kerana itu tugasnya. Kita, kita yang tidak ada tugas khusus sangat takut dengan tanah. Fobia dengan tanah. Harap-harap janganlah jatuh ke tanah. Dari tempat tinggi jatuh ke tempat yang sangat rendah. Sebenarnya kita dijadikan untuk jatuh ke tanah. Untuk berada di tempat rendah. Di dalam tanah.
Berapa tinggi kemuliaan kita tidak pernah kekal lama. Kita berada di atas hanya seketika yang sangat sekejap. Sangat pendeknya pada nisbah masa. Kita hidup mungkin 75 tahun. Mati kita sebelum qiamat mungkin seperti infiniti. Di alam barzah sangatlah lamanya. Di atas sekejap masa. Di bawah sana terlalu lama nisbahnya. Kerana itu jangan risau berada di bawah. Bukan hina berada di tempat yang rendah. Kebanyakan kita memang berada di bawah. Tidak merasa naik ke atas. Maka yang berjaya ke atas seharusnya ingat tempat hakikinya tetap di bawah. Seperti orang lain juga. Barangkali kita banyak melihat. Banyak menonton. Ramai orang di atas bila sampai ajalnya berada di bawah. Tanah perkuburannya dikambus juga. Yang dilihat ialah kaki yang memijaknya. Bukan sekali orang di atas. Tidak mungkin orang di atas turun memijaknya. Maka yang memijaknya ialah orang yang selalu berada di bawah. Yang tidak pernah berada di atas. Orang yang tidak pernah terfikir untuk berada di atas. Semasa hidupnya dia hina kerana berada di bawah. Dihina kerana tempatnya di bawah. Bila orang di atas berada di bawah orang bawahlah yang memijaknya. Bayangkan jika orang atas dahulu selalu memijak orang, matinya nanti dipijak-pijak orang tanpa pua memijaknya.
Pengalaman di luar negara selalu memberikan kejutan-kejutan diri. Di tanahair kita selalu berada di tempat yang istimewa. Dalam lingkungan adat beradat. Budaya kita yang tersendiri. Di luar negara kita banyak membuang kesemuanya untuk sementara. Hari Khamis 18 April 2013 saya ziarah ke Irbid. Di utara Amman. Katanya sebuah bandar kecil. Pelajar Malaysia pula beribu-ribu ramainya. Melebihi 2,000 orang. Kali pertama ke Irbid ada pengalamannya yang tersendiri. Naik bas berebut-rebut. Alhamdulillah isteri saya mendapat tempat duduk. Saya bingung sekejap kerana semua tempat duduk sudah berpenghuni. Seseorang menyuruh saya duduk di tangga bas. Di hadapan pintu bas yang tertutup. Allahuakbar. Dapat juga duduk. Atas lantai? Betul. Kotor? Tidak perlu fikirkannya. Yang penting duduk. Lagipun bekas-bekas tanah dari tapak kasut penumpang bukan najis. Terlalu sedikit anjing di Amman. Tanah atas sifatnya sebagai tanah adalah suci. Mensucikan yang najis sekalipun. Di Jordan, perjalanan dengan bas untuk ke tampat jauh tidak dibenarkan berdiri. Semua penumpang diwajibkan duduk. Tidak kira di atas apa. Yang pentingnya duduk.
Orang Malaysia terasa ganjil jika naik bas ekspress duduk di atas lantai. Di tangga bas. Hina. Cemar. Rendah. Maruah seperti diletak di bawah tapak kaki. Tetai kaki kita sendiri juga. Kaki saudara kita sendiri. Kaki yang dahulunya dari tanah juga. Duduk di atas bukan asing kepada kita. Sampai masanya kita berada di bawah tanah. Dikelilingi tanah. Selut. Lumpur. Gelap. Tanah menjadi rumah kita yang panjang lamanya. Sekarang musim orang hendak berada di atas. Ingatlah! Di atas sana gayat memandang ke bawah. Yang menjadi gayat ialah tanggungjawabnya. Amanahnya yang berat. Karenahnya yang banyak. Galas dan pikulnya yang memerit perasaan. Bagi yang berani sewajarnya mengenal diri sendiri. Ada kesedaran yang tinggi bahawa tempat tinggi itu sementara. Bukan selama-lamanya. Andai tanggungjawab disempurnakan, maka lapanglah kuburnya nanti. Jika tidak, banyak masalah di alam barzah. Belum lagi di akhirat nanti. Dari bawah naiklah ke atas dengan wajar. Ikut jalan lurus yang sudah digarispandukan. Apabila dipilih jalan lain tentulah natijahnya bukan yang hakiki. Nanti turunnya bukan hak. Mungkin terjatuh. Mungki luruh sendiri.
Tinggi atau rendah adalah nisbah. Pilihlah nisbah yang positif. Yang hakiki. Yang fitrah. Mudah-mudahan ada yang mengerti bahawa hidup ini fana. Tidak pernah selamanya. Kesemua yang hidup pasti mati. Kita pasti kembali kepada Allah. Jawablah soalsiasatNya nanti. InsyaAllah biloh menjawabnya.