Luka biasa terjadi. Lumrah manusia. Luka, dilukai dan melukai. Luka bila ada yang menggaris. Ada yang mengguris. Luka juga bila ada biasan. Ada kiasan. Apatah lagi dalam lukanya jika ada cacian. Hinaan. Lumrahkan? Setiap masa kita melaluinya. Ada yang parah. Ada yang hanya sentuhan-sentuhan berbisa. Antara keduanya sama mengesankan. Sama pedihnya. Sama rasa deraannya. Yang di dalam itu lebih parah dari luka-luka fizikal. Yang dalaman melebihi sukatan luaran. Namun luka biarlah berlari. Sembuh biarlah berparut. Boleh diingat dan dikenang harga diri. Dari luka itu ada iktibarnya. Ada pengajarannya. Ada matlamat yang akan dijana buat masa depan yang lebih bermakna. Yang berjela panjang usia. Membina sejarah hidup. Sejarah kemanusiaan. Ingatan masa lampau yang diulang tayang. Yang diimbau datang.
Kita selalu terkenang peristiwa-peristiwa lama. Datangnya tiada diundang. Minda barangkali bermain-main mencari ruang. Yang tidak diundang itu terjelma dan membayang masa lalu. Tempat, masa, individu dan tarikh-tarikh penting dalam hidup kita. Masa telah melalaikan kita. Bukan untuk menunggu hiba. Bukan untuk membiar duka. Bukan untuk membawa lara. Yang lalu itu sentiasa ada dalam lipatan minda. Jauh di bawah sadar. Subconcious mind. Sesekali ada yang menjentiknya. Activated. Jika yang terjelma itu yang positif, lapanglah dada. Bahagia datang bersama ria. Namun tidak dapat dibantah jika yang datang itu luka-luka lama. Parut-parut yang mencalar. Bekas-bekas yang meraba rasa. Sesekali membisa. Mungkin hanya keluhan dihela. Masa yang telah lama berlalu.
Pengalaman manusia mengajar bahawa komunikasi dan hubungan kemanusiaan berjalan sebagai fitrah. Hubungan manusia berlaku kerana pertemuan pancaindera antara mereka. Tentunya melalui mata, telinga, hidung, sentuh dan hal-hal yang berkaitan dengan psikologi. Jarang orang yang mengambil perihatin mengenai perkara-perkara ini. Islam membenarkan kita berkata-kata asalkan memberi manfaat. Nasihat umpamanya. Tunjuk ajar. Panduan. Bimbingan. Pujian. Sanjungan. Galakan. Motivasi. Kesemuanya ini dan banyak elemen lain yang menjadi ubat. Menjadi pembalut luka. Penghibur duka. Pengubat lara. Pulih semangat kerana indahnya kata-kata yang positif. Membina minda. Membakar hajat dan hasrat. Menyala hakikat untuk membesar diri.
Tentulah luka jika yang didengar ialah kata-kata yang negatif. Umpat keji umpamanya. Kritikan yang menghukum keras. Teguran yang menyentuh rasa. Kata-kata yang menghiris. Sindiran yang menyambar semarak hati. Kutukan yang tidak bertempat. Tuduhan-tuduhan tanpa saksi dan bukti. Lazimnya orang memberikan kata-kata negatif tanpa bukti. Tanpa usul periksa. Tidak memahami keadaan. Tidak mengerti suasana. Jauh pula dari memahami adat, perasaan dan perbezaan individu. Menjadi parah dan bernanah jika kata-kata yang sama diulang-ulang dengan nada yang sama. Irama yang sama. Lirik yang sama.
Kesabaran manusia selalu teruji. Yang kena buat cukup bersabar dengan perbuatan yang membuat. Yang membuat tiada kesabaran untuk menahan amarah. Menahan geram. Menahan cemburu. Menahan rasa tidak senang. Menahan diri dari mencemar diri sendiri. Orang yang kena marah tidak dilihat sebagai hina. Lazimnya begitu. Orang yang menonton tidak melihat orang yang dimarah sebagai pesalah. Mereka jadi tidak hina. Malah mereka mendapat simpati. Jika tidakpun empati. Tidak kurang dan tidak rugi. Selalunya orang yang marah dilihat menjatuhkan harga dirinya sendiri. Merendahkan martabat dirinya sendiri. Menghinakan dirinya sendiri. Orang yang sedang marah dilihat jijik. Dilihat melampau. Ego. Sadis. Dendam. Gambarannya ialah tidak adanya ketenteraman jiwa. Jiwanya dilihat kacau. Tiada ketenangan. Kewibawaannya tentu tercalar habis. Nampak sangat buruknya.
Marah sebenarnya menyerlahkan kerendahan budi. Kerendahan wibawa. Kerendahan intelek. Kerendahan iman barangkali. Bagi orang keliling, orang yang pemarah tidak digemari. Segera dijauhi. Pada dirinya ada unsur-unsur zalim. Sifat tidak sabar ini mencetuskan rasa bimbang kepada orang lain. Takut menjadi mangsanya yang lain bila keadaan tidak sekata. Tidak ada keharmonian. Entahlah. Ramai sungguh orang-orang seperti itu. Kita selalu luka dengan sikapnya. Dengan barannya. Dengan keangkihannya. Tercalar rasa. Terluka hiba.
Siapapun boleh marah. Marah itu ada pada diri manusia. Lumrah dan fitrah. Namun begitu, marah ada cara untuk dikomunikasikan. Untuk disampaikan. Untuk ditunjukkan. Untuk difahami. Seorang guru saya hanya memerahkan muka apabila marahnya menuncak. Tidak sepatahpun perkataan keluar dari mulutnya. Dia hanya diam dan merah padam mukanya kerana menahan amarah yang teramat sangat. Kami menjadi orang-orang yang mengetahui bahawa kami telah melanggar had batas kemarahannya. Lalu kamipun diam dan berusaha untuk mengembalikan suasana kepada normal. Guru yang lain pula menjerit sekuat hati apabila marahnya memuncak. Tetapi kemudiannya dia menurunkan suhu amarahnya dengan segera. Dikembalikan suhu amarahnya di bawah paras mendidih.
Kita yang memilih cara dan gaya untuk marah. Cuma pilihlah yang waras. Siuman. Rasional. Sesuai dengan suasana, tempat dan masa. Lihat juga siapa yang kita marah. Sewaktu makan jangan marah-marah. Semuanya terbantut. Selera menjadi patah. Yang memarah patah selera. Yang kena marah patah selera. Yang mendengar patah juga seleranya. Malah yang mendengar terasa terseksa kerana terpaksa mendengar amarah orang yang tiada kena mengena dengannya. Fikirannya terganggu. Telinganya bingit. Hatinya jadi geram dan mendendam. Ia tidak terlibat sedikitpun. Tetapi itulah kesan psikologi. Perkara yang didengar berulang-ulag mempengaruhi jalan berfikir. Gaya kelakuan yang tercipta. Dan mungkin ilusi fikiran yang sukar dimengerti. Terjadi tanpa sedar. Terbentuk dari bawah sadar.
Marah bukan dengan amarah. Marah yang keras tidak memberi bekas dalam jangka panjang. Mungkin ada orang yang boleh diperlakukan begitu. Namun dalam jangkapanjang amarah yang memanjang tidak memberi bekas. Ia hanya bunyi-bunyi yang tidak memberi makna. Sebenarnya kata-kata, ungkapan dan istilah-istilah yang waras boleh memberi kesan yang lebih mendalam. Bukankah bahasa itu lebih tajam menghiris dari mata pedang? Kita boleh memilih untuk marah dengan santai. Dengan senyum. Tidak perlu mendidihkan otak. Tidak perlu meregangkan otot. Tidak perlu tegang saraf. Tidak perlu menjadi kaku dan keras. Tidak perlu dengan perkataan yang kasar dan kesat. Tidak perlu melemparkan penghinaan-penghinaan.
Ingatlah bahawa orang yang kita marah itu selalunnya dekat dengan kita. Orang yang kita kenal. Orang yang ada hubungan peribadi. Orang yang kita sayangi selalunya. Ada pertalian darah, nasab dan keturunan. Ada hubungan kejiranan. Ada hubungan kerja. Orang-orang normal yang membantu kita berurusan di dunia yang fana ini. Mereka yang selalu didampini dalam hal-hal santai dan gembira ria. Amarah tidak boleh hingga menjejaskan hubungan itu. Tidak boleh melukakan terlalu dalam. Parut-parut yang terlalu timbul sukar disembunyikan. Sukar dirawat. Sukar dipulihkan. Mencalar perasaan berpanjangan.
Bagi guru, marahlah anak didikmu tetapi bukan di dalam kelas. Bukan di hadapan rakan-rakannya. Bukan di hadapan pelajar yang berlainan jantina. Bukan di hadapan guru lain. Bukan di hadapan pelajar kelas yang lain. Yang terlibat sahaja perlu dimarah. Antara empat mata. Marah itu pula dengan kasih sayang. Mana boleh guru marah dengan rasa benci. Dengan dendam. Dengan bahasa yang kesat. Ada unsur lucah pula. Mencarut di sana sini. Marahlah. Itu hak guru. Marahlah tetapi dengan nada mendidik. Dengan aksi membetulkan kesalahan. Memebtulkan tingkah laku yang divergen. Bawa mereka untuk menjadi konvergen. Semua kesalahan pelajar bukan kerana sifat jahat mereka. Mungkin salah laku kerana kenakalan yang ada pada diri mereka. Padsa mereka itu gurauan sahaja. Mungkin testing the water. Untuk mengetahui reaksi orang lain.
Pelajar yang menerima herdikan, marah tidak bertempat, hukuman yang tidak setimpal menjadikan guru sebagai orang dewasa yang bermasalah. Anak didik nantinya membesar menjadi orang yang tersalah didik. Mereka kurang yakin dengan diri mereka sendiri. Cemas. Takut. Dalam ekstrim yang lain mereka menjadi pendendam. Nanti ingin membalas dendam. Jika bapa melukakannya dia nanti melukakan anaknya pula. Suatu kitaran yang sukar diputuskan. Menjadi suatu kitaran ganas dan jahat pada diri manusia. Vicious circle. Berputar dan berulang-ulang.
Banduanpun tidak suka dimarah-marah. Mereka tahu mereka membuat jenayah. Tetapi lumrah manusia tidak suka dimarah. Mereka yang menjadi banduan ada lumrah itu. Mereka perlu ditunjukkan salah mereka. Implikasi salah mereka. Impak salah mereka. Kepada dirinya sendiri. Kepada keluarganya. Kepada orang lain di sekelilingnya. Kepada masayarakatnya. Kembalikan mereka ke jalan pulang. Bukan menyesatkan mereka ke jalan yang lain.
Itulah episod-episod dalam kehidupan manusia yang selalu berulang-ulang. Pelaku-pelakunya adalah manusia-manusia normal. Sayangnya mereka memilih cara yang tidak disukai orang lain. Kita boleh marah tetapi dengan hak. Jangan melampau batas itu. Ada had-had yang perlu dijaga. Melebihi paras itu akan menyebabkan luka. Luka yang berparut akan kekal lama. Merawatnya menjadi sukar. Mendamaikan hati perlukan masa yang lebih lama.