Monday, August 2, 2021

Merentas Alaf Membelah Kurun

 

10 hari selepas tarikh lahir yang ke-25, penulis menerima nikahnya isteri kesayangan Maznah binti Abas. Gadis sekampung yang hanya beberapa buah rumah jaraknya.  10 hari lalu genap usia penulis 75 tahun. Allah izinkan menyambut usia jubli intan. Hari ini, 2 Ogos 2021 genap pula ulang tahun ‘aku terima nakahnya’ yang ke-50. Jubli emas. Penulis tidak mendapat pingat emas di Olimpik 2020 di Tokyo sekarang. Cukuplah emas dalam usia perkahwinan. Hajat hati ingin bersana anak-anak, menantu dan cucu. Pandemik Covid 19 sekarang tidak menizinkan hajat itu. Cukuplah makan berdua di rumah sambil merakam detik-detik sejarah dalam perkahwinan ini. Detik penuh makna selama-lamanya.

 

50 tahun yang sangat lama. Merentasi dua alaf. 50 tahun yang dikira setengah kurun. 29 orang cucu, besar dan kecil. Menanti seorang lagi cucu yang akan menggenapkan angka cucu ke-30. Tentulah banyak istimewanya angka 50. Anak sulong sudah berusia 49 tahun. Setahun lagi setengah kurun usianya. Dari kampung di pedalaman yang hanya boleh diakses dengan motorboat dan basikal, Allah izinkan penulis mengembara melihat kebesaranNya di luar negara. Alhamdulillah telah dijejak USA, Canada, Britain, bumi Jerman, Palestin, Jordan, Arab Saudi, Oman, Kuwait, Bahrain, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Emeiriah Arab Bersatu dan Mesir. Kesemua itu melengkapkan kitara 50 tahun ualang tahun kami. Benar-benar emas yang berkilauan.

 

Dengan izin Alah penulis telah berada di Laut Mati yang kedudukannya 400 meter di bawah aras laut. Telah juga mendaki Bukit Tursina untuk menjejak laluan Nabi Musa a.s. ketika menerima kitab Taurahnya. Berada di Palestin khususnya Masjid al-Aqsa sangat mengujakan. Di situlah diramalkan akan berlakunya perang besar akhir zaman (malhamah kubro). Menjejak realiti Bait al-Maqdis tentunya mengharukan. Itu belum tinggalan sejarah di ‘Ijlun, Irbid, Karak dan Amman yang merentas zaman. Belum lagi Petra, sebuah kota di celah gunung yang luarbiasa sebinanya. Sebuah negara di celah gunung yang gah berzaman.

 

Tinggal di Mesir selama hampir dua tahun, memahat indahnya agama Islam menyebar ke serata dunia. Bandaraya Kaherah sahaja sudah terlalu besar untuk dijelajah. Sempat ke Universiti al-Azhar. Anak lelaki kedua (anak ke-8) menikah di Masjid al-Azhar. Perjalanan ke Iskandariah nostalgik. Cerita tentang Laut Mediterranean telah lama dibaca sejak kecil lagi. Selalu disebut sebagai Laut Tengah. Juga disebut Laut Qalzum. Di sekolah menengah baru mengenal namanya yang sebenar dalam Bahasa Inggeris. Lintasan ke Siswa di sempadan Libya menjejak kisah silam Cleopetra, wanita Greek yang digilai Julius Ceasar dan Mark Antony.

 

Begitulah perjalanan ke timur Iskandariah. Perjalanan yang menemukan pertanian jberbagai iklim. Beras dari iklim tropika, gandum dari iklimk sederhana, kurma dari iklim padang pasir. Menjenak Dumyat yang banyak kerangnya. Besar-besar saiznya seperti sekepal tangan manusia. Orang Malaysia sahaja yang memakannya. Orang Mesir tidak menjamahnya kerana mazhab mereka tidak mengizinkan. Sempat juga berada di Muara  Pelabuhan Suez. Menyeberang ke Pelabuhan Fuad. Kedudukannya di seberang muara Terusan Suez. Sempat juga ke Fayoum. Kincir ciptaan Nabi Yusuf a.s. masih utuh dipelihara. Fayoum adalah pusat pertanian. Di situlah terdapat anggur, delima, mangga, bawang, kentang, oren, kantelop, dan segala bagai tanaman yang lain sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran.

 

Berada di negara Arab sebenarnya mencipta kelainan yang tersendiri. Ia mengharmonikan kefahaman tentang agama yang berlatarkan negara Arab, Bahasa Arab, budaya Arab dan kaitannya dengan apa sahaja yang dikaitkan dengan Arab. Berada di Arab Saudi untuk menunaikan umrah dan haji adalah kemuncak erti kehidupan yang hakiki. Menyempurnakan rukun Islam yang ke-5 itu menyedarkan bahawa di dalamnya terhimpun rukun Islam yang lain. Di situlah syahadah, solat, zakat dan puasa. Kerana itu sesiapa yang pernah ke sana pasti rindu lagi dan rindu lagi. Tetap rindu walaupun beberapa kali ke sana.

 

Berada bersama anak-anak di Pittsburgh, USA  melengkpkan kembara keluarga. Merasa ertinya summer, fall, winter dan spring. Ianya pergantian musim dari sejuk ke panas dan sebaliknya. Ramai rakan-rakan dari negara yang tidak mengetahui Malaysia, berasa hairan kerana di negara kita tiada winter dan musim-musim yang lain. Alhamdulillah kerana kita mempelajari Geografi maka kita mengetahui negara mana yang ada summer dan winter. Mereka di Kargystan,Uzbekistan dan Kazaktan  umpamanya memang tidak mengetahui di mana Malaysia. Mereka menganggap semua negara sama sahaja iklimnya. Ada summer dan ada winter.

 

50 tahun yang penuh kembara. Kembara fizikal, kembara emosi dan kembara psikologi. Bahtera ini kami layari bersama untuk bersemadi di pantai bahagia. Allah mengurniakan kami segala yang indah. Ombak dan alun adalah biasa. Itulah mainan laut dan bahtera. Andainya kapal itu cukup besar dan kuat dan laluannya selalu terarah maka pelabuhan destinasi itu akan Allah izinkan untuk dilabuhi. Kembara rumahtangga, kembara zaman, kembara ilmu, kembara agama dan kembara menyaksikan kebesaran Allah tergabung dalam 50 tahun yang kami rentasi.

 

Alhamdulillah baki usia yang tinggal kami manfaatkan untuk keluarga, masyarakat dan agama. Tiada apa lagi yang lebih besar dari mengabdikan diri kepada Allah. Berbuat amal soleh untuk mencari redhanya. Kami kongsikan semua yang telah berlalu. Segala kebaikannya kami turunkan. Mudah-mudahan ada kebaikannya kepada yang menerimanya. KepadaMu aku berserah ya Allah.