Kadang-kadang peribahasa mungkin hanya berbahasa.
Lunak dibaca. Lunak didengar. Menyejukkan hati. Bahasa orang Melayu penuh
syahdu. Ada nakal dan ada nostalgiknya. Jika kita menafikan hakikat itu kita
hilang ciri-ciri Melayu yang ada pada warisan kita. Pada diri kita. Kita bukan
orang dari kalangan mereka yang kasar dan keras. Pada diri kita banyak yang
mendasar. Yang dilahirkan kepada umum hanya sipi-sipinya sahaja. Tidak
kelihatan yang banyak disembunyikan. Namun begitu jika kita mahir berbicara dan
mahir berbahasa, dalam bahasa itulah kita mengenal hati budi. Apabila usia kita
berada dalam kalangan mereka yang berpengalaman barulah pengalaman itu sendiri
mengungkapkan segala-galanya. Kemahiran yang ditimbun serta kecerdasan minda
menggarap lintasan pada pancaindera menjadikan seseroang itu berada pada paras
yang tersendiri.
Anak-anak selalunya diingatkan supaya sangat
berhati-hati dalam semua hal sewaktu menjadi anak-anak. Sewaktu masih muda. Ibu
bapa yang perihatin melihat segala-galanya dengan mata hati mereka. Bukan
sahaja dengan mata kepala. Ada firasat. Ada harapan. Ada doa untuk anak-anak.
Kepada mereka yang baru mendapat cahayamata, belajarlah untuk melihat ke
hadapan dengan penuh keterujaan. Namun begitu banyak yang perlu dipelajari
untuk melestarikan generasi keluarga pada masa hadapan. Kita bukan sahaja
perihatin tentang keberadaan mereka di kemudian hari. Bukan sahaja faktor
ekonomi. Bukan sahaja sosial. Malah ada masanya kesihatan dan kesejahteraan
anggota tubuh badan menentukan masa tua yang sejahtera juga. Segala-galanya
bermula darai zaman anak-anak. Dari zaman kanak-kanak. Dari zaman remaja. Dari
zaman muda-muda dahulu. Perkara-perkara kesihatan yang terlepas pandang pada
masa lampau memberi impak besar kepada kesihatan pada masa tua.
Pernahkah anda jatuh? Terhantuk kepala. Terseliuh kaki
dan tangan. Terpatah kaki dan tangan. Retak tulang di sana sini. Ibu dan bapa
perihatinlah tentang semua itu. Setiap anggota anak mesti diperiksa setiap ada
kesempatan khususnya pada waktu malam. Pada waktu siangnya setiap tingkah laku
anak-anak diperhatikan dengan pandangan kritikal. Mengenalpasti apa-apa
kelainan daripada biasa yang kelihatan pada anak. Tangisnya diberi perhatian.
Jeritnya diberi perhatian. Apabila anak-anak tidur mungkin ia mengerang. Bunyi
dan kelainan tingkah laku adalah tanda-tanda masalah pada fizikal mereka.
Terdapat mungkin anak-anak yang tahan fizikalnya. Tangannya patah tetapi dia
tidak menunjukkan rasa sakit. Bermain sahaja sepanjang masa. Kisah benar di
premis tabib Cina. Bayangkan seorang anak berusia tiga tahun tangannya patah
tidak disedari oleh ibu dan bapanya. Setelah empat bulan baru mereka sedar.
Itupun apabila dilihat anaknya mengaminkan doa bapanya selepas solat. Telapak
angan kanannya mengadap ke atas sementara telapak tangan kirinya mengadap ke
bawah. Kedudukan siku dalam keadaan normal. Tentulah gawat. Tangan kiri anaknya
telah terpusing. Maksudnya telah patah dan bercantum semula tetapi tidak pada
kedudukan asalnya. Untuk memperbetulkan kedudukannya perlu bertemu pakar
tulang. Pembedahan yang besar. Tangan itu perlu dipatahkan semula dan
diperbetulkan kedudukannya seperti asal. Berat, sakit, mahal dan penuh emosi.
Pengalaman tidak terduga. Mungkin boleh mendapatkan rawatan alternatif melalui
pakar urut tradisional. Yang penting usaha yang wajar.
Kita mungkin pernah jatuh sewaktu kanak-kanak. Bukan
sekali. Barangkali berkali-kali. Ketika itu kita tidak terasa apa-apa. Ibu bapa
tidak pula memberikan perhatian. Apabila tua kesan jatuh itu menghantui semula.
Apabila kita jatuh terhentak terjadilah kesannya kepada tulang belakang. Kepada
tulang selangka. Kepada tulang dada. Kepada tulang punggung. Kepada tangan.
Kepada paha dan kaki. Mungkin banyak lagi. Penulis berjumpa dengan seorang
tabib Cina kerana kaki selalu berasa lenguh. Diagnosisnya membenarkan apa yang
penulis alami selama ini. Ada bahagian tulang yang terherot. Kesannya kepada
bahagian kaki. Kerap lengoh walaupun tanpa membuat kerja berat. Kata tabib
ianya kesan lama. Imbangan badan sudah lari. Pastinya kasut dan sandal atau
selipar yang penulis gunakan senget di sebelah tepi. Penulis hanya mengangguk
membenarkan kata-katanya. Rawatan pada kali pertama bisa-bisa juga di bahagian
belakang pinggang. Alhamdulillah lengoh pada kaki terasa berkurangan. Tidak
lesu dan malas bila bangkit dari tidur.
Pembaca yang membaca entry penulis pada peringkat
awal-awal dahulu tentu masih ingat yang penulis pernah terjatuh dari pokok
rambai sewaktu berusia kira-kira 10 tahun. Serangan lengoh kaki, penulis alami
sejak muda lagi. Biasanya diurut sahaja. Lega sekejap. Kemudian datang lagi. Persistent
kata orang putih. In sya Allah rawatan kali ini melegakan apa yang penulis
alami selama ini. Mohon doanya.
Moral ceritanya, jagalah anak-anak seperti menatang
minyak yang sangat penuh. Bukan hanya penuh tetapi yang benar-benar penuh.
Sebarang kecacatan yang terlepas pandang akan menjadikan anak-anak cacat seumur
hidup. Peka selalu. Perihatin selalu. Terjemahkan kasih sayang dengan
tanggungjawab dan keperihatinan yang tinggi setingginya. Merekalah permata hati
dan pengarang jantung. Belajarlah dari kesilapan orang lain. Moga-moga
anak-anak nanti segar bugar fizikal dan akhlaknya. Kesemuanya di bahu ibu dan
bapa. Tidak di bahu orang lain.