Tahniah! Selamat menjadi graduan. Jaga diri. Jaga ijazah. Jaga ilmu. Jaga nama baik Alma Mater. Jaga nama baik pensyarah. Jaga nama baik ibu bapa. Nama keluarga. Nama baik kampung. Nama baik taman. Jaga nama baik mukim, daerah dan negeri. Jika anda keluar negara, bekerja di negara lain, jaga nama baik negara. Last but not least, jaga nama baik agama. Nama baik bangsa. Jaga warisan yang ada dalam darah dan fizikal anda.
Mulai 9 Oktober 2010, konvokesyen UTHM akan bermula. Inilah saatnya yang dinanti. Bertahun-tahun memerah minda, mencengkam perasaan. Mendidik fizikal dan nafsu. Mengejar cita-cita dan azam lalu. Sampailah saatnya konvokesyen yang dinantikan ini menamatkan antara fasa-fasa dalam hidup seorang yang educated. Namun begitu saat ini harus menjadi lambang-lambang besar dalam kehidupan. Suatu titik permulan dalam fasa-fasa yang lebih mencabar pada masa hadapan. Fasa yang lebih volatile. Fasa yang lebih dymamic. Fasa yang memerlukan anjakan paradigma. Fasa yang mengharmonikan segala paradoxs dan ironies. Fasa yang seharusnya fokus menjadiakn anda manusia berhikmah dan berhemah.
Zaman bersengkang mata telah berlalu. Zaman mengekang nafsu telah tamat. Zaman mengecil cerapah hati telah dihentikan. Sekarang masa menuai perasaan. Masa merasakan ceria kejayaan. Zaman yang mendambakan status seorang graduan. Akan nanti dipakai jubah sepadan. Yang besar dan labuhnya nampak elegant. Tebalnya memberat di badan. Tersangkut di bahu yang telah lama mengidamkan. Lama saat ini dinanti. Dari zaman ke zaman. Suatu fasa masa yang lama. Terlalu lama kerana ditangguh-tangguh.
Sehari dua perasaan berbaur. Kembali ke Alma Mater yang sekian waktu ditinggalkan. Kembali menjengah tempat bermain. Kembali ke tengah gelangang yang dulunya tempat jatuh dan bangun. Tempat membina keyainan dan kesarjanaan. Di sini dulu anda menapak, berlari dan mengejar. Warna dan nyanyian hati. Silih berganti antara benci dan rindu. Antara payah dan senang. Antara jauh dan dekat. Antara tanggungjawab dan beratnya hati. Di sini, di tempat ini, di daerah ini tangisan dan air mata pernah tumpah. Ada luka-luka di dalam yang sedikit parah. Tetapi alhamdulillah tidak membarah.
Dari jauh anda kembali ke lubuk ini. Tempat yang suatu waktu amat mendamaikan. Tenggelam dalam puluhan khazanah ilmu. Yang menimbun dalam serabut minda. Tugasan-tugasan yang rumit tetapi melegakan. Yang bila dibaca semula, terkagum dengan upaya diri. Lahir padanya segala tersirat. Serlahan ilmu yang telah digarap. Saban waktu menyerap dari yang kecil, hingga yang besar dan berat. Semuanya kini sarat. Tergalas di hati dan di pundak. Tekad melangkah keluar menjadi graduan bermartabat.
Pelukan dan jeritan yang datang berbaur. Antara rindu dan harapan. Teman-teman yang dulu makan sepinggan. Yang dulu menghuni sebilik. Yang dulu serumah. Yang dulu sekelas. Yang dulu sepermainan. Yang dulu sama-sama merasa. Sama-sama mencari yang tiada. Mengejar pelangi hingga ke senja. Menjengah mega merah di langit kirmizi. Bersama-sama malam yang tidak pernah tidur. Buku dan latihan yang menyesak perasaan. Tawa dan tangis yang selalu beriringan.
Berbarislah nanti bersama teman. Nombor-nombor yang menentukan kedudukan. Anda di hadapan atau di belakang bukan beza yang memisahkan. Hanya prosedur untuk menyenangkan. Jalan dan majulah ke hadapan dengan langkah derap yang yakin. Beriringan menuju dewan upacara yang menjanjikan keindahan saat manis. Hanya beberapa saat yang pasti akan dilalui. Yang nanti dirakam dalam gambar abadi yang ditatap sepanjang zaman. Yang nanti ditatap generasi demi generasi keluarga. Motivasi untuk cita dicapai jua.
Akan nanti dihuni dewan besar yang begemerlapan. Yang syahdu menanti penuh debar. Yang meregang hati kerana dambaannya. Yang meyentap perasaan bila tiba saatnya. Barisan dan saf yang panjang berjela. Berlabuh di kerusi-kerusi yang kali pertama dirasakan indah. Damainya bersama teman. Yang didepani para pensyarah. Yang menjadi lambang bertaburannya ilmu yang dicambah. Dalam sanubari graduan yang akan keluar menabur bakti kepada nusa dan bangsa. Agamanya. Keluarganya.
Nanti giliranmu tiba. Seperti berada di kayangan. Seperti di awang-awangan. Langkahmu akan seperti melayang. Terbang ringan ke depan dan ke depan. Seperti ada yang mendorong. Bangunmu dari kerusi, jalanmu di tepi dewan, langkahmu ke tangga yang meninggi ke pentas. Allahuakbar. Kenapakah debaran ini seperti memecah dada. Gejolak dada yang menghentam dinding-dinding rusuk. Gegaran-gegaran perasaan yang meruntuh semangat kukuh. Longlainya kepala lutut yang melembut. Luluh seperti terjelepuk ke lantai. Nanti akan kau kuatkan langkahmu itu. Nun di hadapan sana penamat langkahmu. Baton larian ilmu yang merupa segulung ijazah. Akan kau genggam nanti. Erat genggaman yang melambangkan kuatnya dakapan ilmu di dada.
Rupanya langkah-langkah ini besar ertinya. Langkah ini hanya analogi. Langkah-langkah yang akan menuju suatu destinasi yang belum tentu. Di luar sana baktimu dinanti. Jasamu ditunggu. Banyak tugas-tugas besar yang diamanahkan kepadamu. Seluruh hatimu, sanubarimu, jiwamu dan seluruh ingatanmu adalah untuk menunaikan amanah itu. Ingatlah semuanya kerana Allah. Hanya kepadaNya seluruh hidup dan mati anda diserahkan.
Di atas tangga nanti debaran dan goncangan perasaan anda akan lebih kuat. Langkah yang tiba di tangga terbawah akan meningkat dari anak tangga ke anak tangga yang di atas. Di atas tangga nanti pandanganmu akan datar dan lurus ke pentas yang terbuka lapang dan luas. Nanti anda tidak pasti apa yang dilihat. Siapa yang anda lihat. Mata anda berpinar dengan pandangan mata yang melaut. Kamera yang menyilau mata. Mungkin tepukan dari antara audien yang memberi semangat. Telingamu akan luput dari bunyi. Matamu tidak melihat apa yang di kelilingmu. Perasaanmu terbang bersama semangat. Jaga langkahmu jangan bertingkah. Lantai pentas itu tetap rata. Tidak mungkin jungkang jungkit.
Langkahmu mungkin tetap. Mungkin goyah. Aduh! Debaran itu menggoncang pentas. Derap-derap langkah menuju huluran tangan yang menjulur ke hadapan. Segulung ijazah yahg entah berapa kurun lamanya diidamkan. Warna biru tua yang sangat syahdu. Diterima dari tangan yang memuliakan. Andalah graduan terbilang. Yang cemerlang di hati ibu bapa. Yang cemerlang di hati pensyarah dan pendidikmu. Yang ilmunya bergemerlapan mengangkasa. Memperkasa umat manusia.
Segulung ijazah itu adalah amanah. Tugasmu adalah menyempurnakan amanah itu. Amanah ilmu di dada. Dengannya anda dituntut menyampaikan. Walau sedikit mengikut kuasa dan daya. Berkongsilah keindahan ilmu itu. Tebarkan nanti ke alam semesta. Bahawa dari dadamu lahir keindahan akhlak yang dimanifestasikan dengan kebaikan dan segala yang luhur. Positif yang menghindar negatif. Cahaya-cahaya indah bersama iman. Bersama keindahan beragama yang namanya Islam. Selamat sejahtera ke atas junjungan nabi besar Rasululullah saw.
Semoga nanti diterima syafaatnya. Bersama iringan cahaya al-Quran yang terang menyuluh jalan lurus yang diredhai Allah SWT. Kembalilah nanti dalam pelukan ibu bapamu. Dalam pelukan suami atau isterimu. Bersama nanti anak-anak dan keluarga yang mengiring. Rakaman gambar-gambar warna yang mengabadi dan video gerak lalumu. Yang nanti dapat ditatap berulang-ulang menuju jemu. Itupun akan diulang bila rindu menggamit kenangan silam. Kenangan indah itu akan selalu diimbau. Masa-masa lalu yang akan nanti berlalu. Tidak mungkin berulang sama. Tidak mungkin akan ada yang sama. Hanya sekali ini. Sekali dalam hidup yang penuh sejarahnya. Mungkin meningkat tinggi dengan izin Allah jua. Berlalulah suatu waktu dan fasa-fasa hidup seorang insan yang penuh tekad untuk beramal jariah. InsyaAllah.
Saya hanya seorang yang mewakili para pendidik. Yang pernah melihat ke dalam jiwamu dulu. Yang suatu waktu dulu bersama anda dari tak tau kepada tau. yang melihatmu menapak demi tapak. Yang nampak goyahmu menggapai yang tinggi sesampai tangan. Yang larimu penuh bimbang mengejar hujungan jalan. Di situ kau ditunjuk jalan maju ke hadapan yang penuh liku. Petua dan teori yang membantu. Dalam rumus-rumus yang menerang jalan itu. kau lalui penuh yakin akhirnya. Cahaya terang di hujung terowong yang sangat indah. Cerahnya cahaya. Terang benderang. Cahaya ilmu yang penuh memancar dari dadamu. Dada seorang bestari. Terangilah alam ini seadanya. Pahatkan namamu zaman berzaman.
Yang datangmu dan pergimu hanya suatu fasa masa. Melepaskanmu adalah seperti melepaskan anak-anak yang akan keluar untuk berbakti dan berjasa. Saya akan sentiasa berlapang dada. Dada ini lapang melepaskanmu. Masih setia lapang menerimamu bila kau perlukan sepatah dua. Mungkin ada titupan lain yang kau minta. Bak anak-anak, ia pasti kembali kepada induknya bila ada ruang-ruang duka dan payah di luar sana. Saya akan masih sedia sudi bersama. Menerima seadanya. Pergilah. Pergilah keluar sana. Ramai yang sedang menanti. Mereka dahagakan amanah yang kau bawa. sampai di sini dulu. Semoga Allah menemukan kita semula. InsyaAllah.