Saturday, December 1, 2018

Inspirasi Perjalanan Ke al-Quds




Al-Quds, di situ letaknya sejarah para anbia. Tempat lahir, sejarah kehidupan, iktibar dan dakwah kepada manusia sejagat. Sekadar menyebut nama-nama mereka Nabi Ibrahim as, Nabi Isa as. Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as, Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dan ramai lagi. Sinonim juga nama-nama Imran dan keluarganya serta Maryam. Satu-satunya nama wanita pilihan yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Menjejak mereka merupakan sesuatu yang syahdu. Terasa sendu dalam qalbu. Ya Allah, alhamdulillah kau anugerahkan aku peluang dan ruang ini. Limpah kurniamu mengizinkan aku tiba di sini. Di tanah yang penuh dengan jejak insan pilihanmu. Berilah barakahmu dalam kembaraku ini. Kembara membara untuk menjadi lebih dekat lagi dengan sisimu.

Al-Quds yang biasa disinonimkan dengan al-Aqsa ini penuh sejarahnya. Menjejak kaki di sini merupakan tekad lama bagi mereka yang sudah menjejak kaki ke Masjid Al-Haram, Masjid Nabawiy dan kemudiannya Al-Aqsa. Ianya bukan nama masjid. Al-Aqsa bermakna jauh. Terlalu jauh bagi mereka yang tinggal di Makkah ketika itu. Tunggangan lazimnya dengan unta. Masanya perjalanannya kira-kira sebulan untuk sampai. Al-Aqsa sangat jauh bagi mereka. Hanya disebut Al-Aqsa. Jauh. Hingga sekarang tiada nama khusus untuk masjid al-Aqsa. Kita kekalkan Al-Aqsa itu dengan sejarahnya. Yang penting bukan namanya tetapi sejarah buminya kerana di situ jejak para anbia yang sangat ramai bilangannya. Sejarah paling agung apabila nabi terakhir, Muhammad Rasulullah saw menjejakkan kakinya di situ sebelum dibawa ke langit mengadap Allah. Menerima rukun Islam yang kedua iaitu solat fardhu lima waktu.

Bagi kita di Malaysia,selalu memikirkan bahawa al-Quds atau Jurusalem bukan tempat selamat. Bukan aman. Bukan tempat yang kondusif untuk diziarahi. Persepsi ini selalu kita bina tanpa hak. Kita selalu membina persepsi yang salah kerana kita dihidangkan banyak hal negatif melalui media arus perdana khususnya akhbar dan TV. Di seluruh dunia berita negatif menjadi lumrah. Ramai yang ngeri apabila ada program lawatan ke al-Quds. Sama juga orang takut ke Mesir kerana berita kekacauannya yang berlebihan. Realitinya bukan begitu.  Hakikatnya tidak seperti berita yang kita baca. Tidak seperti yang kita dengar dan lihat. Membina persepsi melalui media kadang-kadang banyak yang tidak benar. Menjejak al-Quds memberi peluang membetulkan persepsi yang penulis ada selama ini. Berada di sini bersama realiti yang hakiki.

Di luar tembok Masjid al-Aqsa keadaan santai dan tenang seperti tiada apa-apa.

Hidup seperti biasa seperti di tempat lain.

Perjalanan ke al-Quds perlukan perancanan yang panjang. Paling kurang enam bulan. Al-Quds dikuasai oleh Israel walaupun Palestin sebuah negara berdaulat. Kita ada hubungan diplomatik dengan Palestin. Duta Besar Malaysia ke Mesir lazimnya juga Duta Besar Malaysia ke Palestin. Tetapi kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Kita berdagang dengan mereka. Benar. Itu hubungan perdagangan. Tentunya dengan restu dan izin kerajaan. Maka untuk ke al-Quds perlukan urusan yang kompleks dengan izin Kementerian Luar Malaysia. Antara kriteria penting yang diambilkira ialah faktor keselamatan. Jika keselamatan tidak dapat dipastikan maka izin itu tidak akan diperolehi.

Sebenarnya setiap minggu ada sahaja rombongan dari Malaysia yang berada di al-Quds. Kumpulan besar dan kumpulan kecil. Bersama penulis seramai 34 orang. Datang dari berbagai tempat di Malaysia. Penulis bertemu dengan rombongan lain yang datang lebih awal. Tarikh kembali ke Malaysia mereka enam jam lebih awal. Mereka dijadualkan tiba di KLIA sebelah tengah hari sedangkan penulis dijadualkan tiba pada waktu Maghrib. Penulis bertemu juga rombongan dari negara Cina,Korea, Thailand dan Indonesia. Yang datang dari Eropah lebih ramai lagi. Al-Quds menjadi tumpuan penganut Islam, Yahudi dan Kristian.

Setiap hari kota al-Quds sentiasa ramai. Penduduknya 100% Islam. Mereka bercakap Arab tetapi fasih dalam beberapa Bahasa asing khususnya Bahasa Inggeris. Tradisi dan pelancongan serta ekonomi. Suatu pengalaman yang indah dan berimpak tinggi. Ia berkaitan dengan agama kita. Banyak yang Allah rakam di dalam al-Quran ada di sini. Berada di sini seperti kembali ke zaman itu. Suasana berbeza tetapi udaranya sama. Panaromanya masih sama. Bayangan masa lalu yang terimbas kembali. Lintasan masa yang Allah izinkan untuk kita kembali menginsafi perjalanan sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang. Kita adalah penjejak masa itu. Pengembara masa.