Siapakah orang yang layak menjadi pendidik. Adakah
saiz memainkan peranan. Atau inborn qualities yang menjadikannya berjaya
sebagai pendidik. Kita berhadapan dengan situasi yang berbeza-beza. Ada antara
guru yang memang guru yang boleh digurui. Ada pula yang perlu menggilap dirinya
untuk digurui. Yang lain bertempiaran tanpa fokus. Sifat mendidiknya hanya
sementara. Tidak kekal hingga ke akhir hayat. Semasa menjadi guru, sifat gurunya
superficial. Pada kulit selaput bawang sahaja. Yang dikejarnya
bukan kecemerlangan pendidikan anak didiknya. Pangkat dijangkau. Pendapatan
banyak digapai. Nama ditempa. Malangnya kecemerlangan sebagai guru tidak
dijaga. Tidak dihargainya sendiri. Semakin lama guru jenis ini terjurus jauh
meninggalkan urusan penting dirinya. Melupakan core business yang sepadan
dengan indentitinya. Keperguruan yang digarap semasa hendak menjadi guru
dicampak jauh hingga yang tinggal ialah isi kosong tanpa inti dan pati. Sarinya
tiris membocori usia kerjayanya.
Memberi ilmu sifat lazim seorang guru. Tugas 24 jam
dilakukan bukan kerana makan gaji. Mungkin ada kecintaan untuk mendidik.
Mungkin terlalu nipis di luar sedar. Tahun demi tahun. Suatu hal yang harus
diperakui ialah seorang pendidik tidak pernah memihak. Tidak bias. Berada di
tengah jalan lurus membimbing anak didik untuk maju ke hadapan. Untuk menggapai
awan. Berada di atas persada intelektual.
Kanan dan kiri bukan untuk disebelahi tanpa hak. Seorang pendidik bebas memilih
jalan hidupnya sendiri. Tetapi kerjayanya dikawal oleh peraturan-peraturan
tugas. Kata-katanya, tindakan-tindakannya dan saeluruh kehidupannya diteropong
oleh semua orang. Seorang pendidik diperlukan bersih, dilihat bersih
mengamalkan yang bersih. Tiada kontroversi dari segi politik, sosial apatah lagi
maksiat atau yang menyalahi agama. Pendidik kekal mendidik dalam semua keadaan.
Dirujuk pandainya. Diminta inteleknya. Dikongsi pengalaman lalunya. Dituruti jejaknya.
Pendidik dilihat cantik menawan. Adabnya memukau.
Tingkah lakunya memikat. Penampilannya menyilau. Tanpa bias. Apapun yang berada
di luar sana tidak memberi impak memihak. Ia terus dengan tanggungjawab. Dengan
akauntibili. Bahawa hidupnya selepas persaraan menjelang akan kekal sebagai
guru yang menggurui. Sukar sebenarnya untuk menahan diri dari tidak memihak. Selalu
terpanggil untuk menyebelihi pihak yang menawan hati. Tetapi, tetapi seorang
pendidik tidak boleh go public. Tidak boleh menyatakan pendirian
yang menyentuh satu pihak. Negatif terhadap pihak yang lain. Terutamanya dalam
hal-hal yang berkaitan dengan politik. Seorang pendidik berada dalam aliran
yang tidak menyebelah. Mendidik dalam kerangka benar. Dalam lingkaran hak. Skop
yang ditentukan. Menggarap falsafah dan asas pendidikan untuk memandaikan. Untuk
mendidik jalan berfikir yang waras. Yang tidak memantulkan imbasan-imbasan yang
kabur dan menjengkelkan.
Kekuatan mental dan psikologi harus kuat. Kukuh menahan
gelora dari luar. Pengaruh-pengaruh sadar yang datang disingkir supaya seorang
pendidik tetap pada jalan lurusnya. Tidak memihak. Anak didik diluruskan
mindanya. Ibu bapa diberi input wajar. Pendidik perlu mendidik dalam kerangka
yang hak. Yang benar. Yang fitrah. Yang didasarkan pemerintah. Pendapatnya yang
tersendiri adalah haknya. Tetapi tidak boleh dipublikkan untuk pendengaran
umum. Atau pembacaan umum. Pendidik mesti kekal mendidik. Kekal dilihat tanpa memihak.
Orang di luar sana ingin melihat pendidik yang pendiriannya menyerlahkan
intelek. Ke hadapan tetapi memandang ke kanan dan ke kiri untuk meluruskan
tindakan. Membetulkan arah yang dirasa menyimpang. Patuh pada etika dan professionalism
yang didokongnya. Pendidik bukan sebarang orang. Superhuman yang dipandang tinggi.
Dijulang namanya. Dihormat dan disayang pada tahap-tahapnya yang dapat
diingini.
Apabila pendidik melanggari etika bebas tanpa
memihak maka secara tidak langsung dia merendahkan martabat profesionnya. Sifatnya
yang lurus mula bengkok dan banyak rapuhnya. Selalunya pendidik mendokong
prinsip yang diperakui. Yang teruji melalui zaman berzaman. Maka pendidik tidak
boleh masuk ke bidang yang banyak kontroversi. Bidang yang tidak ada ketentuan
hitam dan putihnya. Terlalu banyak ruang kelabu. Jika pendidik memasuki ruang
kontroversi itu maka berlakulah pencemaran pendirian. Orang tidak lagi
melihatnya sebagai berada di jalan lurus. Akan ada yang memberi label baru. Label
yang menjauhkan dirinya dari keperluan mendidik. Fikirannya mencambah ke arah
yang bukan mendidik. Lebih banyak menyanggah. Menungkah arus yang selalu lurus.
Mendidik bukan sekadar bercakap untuk diikut. Seluruh diri pendidik diperhati. Yang
zahir diperhati. Yang batin dan tersirat juga diperhati. Orang ingin melihat
pendidik yang kekal lurusnya.
Maka pendidik harus membebaskan diri dari
sensitiviti agama, politik, warna kulit, gender, budaya dan banyak lagi
pertimbangan yang perlu dihindarkan.
Selagi nyawa dikandung badan seorang pendidik tiada
penamat usia. Tiada tempoh masa. Kekal mendidik walaupun secara legalnya
sudah tamat usiaguna. Sudah bersara dan dipersarakan. Andainya tidak dijaga identiti
dan entiti diri pendidik hilang pertimbangan. Ramai pendidik memakai label
pendidik semasa menyandang jawatan. Label itu luput apabila sandangannya
terurai. Maka sifat pendidik yang dahulu disandarkan kepadanya dilucutkan dari
dirinya. Apabila pendidik itu berada memihak atau bias dia menjadi tenggelam
dalam masyarakat. Sayang. Sepatutnya dia timbul semakin timbul. Terapung bermain
air. Hidup di muara sungai. Subur di pulau. Buahnya membahagiakan. Menyihatkan jasad.
Naungannya merimbun untuk berteduh. Kerana
itu pendidik harus kuat berpegang kepada kedudukan diri. Sentiasa berada dalam
lurus ke hadapan. Mendidik dan terus mendidik. Masih menjadi harapan untuk
orang di sekeliling. Memberi idea yang boleh dipakai. Cakapnya benar. Wawasannya
segar.
Pendidik perlu berwawasan jauh. Jauh ke hadapan. Memikirkan
yang besar-besar untuk anak-anak didiknya. Untuk keluarga anak-anak didiknya. Menyantuni
intelek dan sosial masyarakat di sekeliling dirinya. Semasa memakai gelar pendidik ia mendidik. Semasa
di luar, pendidik kekal mendidik. Pendidik adalah profesion yang kekal pada
diri pendidik. Jangan tanggalkan dari diri. Jangan buang jauh-jauh. Jika dibuang
kutiplah lagi kerana ianya sudah sinonim dengan diri. Hargailah diri sendiri. Syukuri
nikmat mendidik yang besar impaknya kepada anak didik. Memperkayakan minda
mereka. Memperbesarkan jalan fikir mereka. Keluarkan mereka dari kongkongan
budaya yang boleh dibuka luas. Merubah dan membangun ke arah yang lebih
cemerlang.