Thursday, November 29, 2012

Kari Kepala Ikan di Toronto


Sewaktu di USA dahulu jarang saya melihat kepala ikan. Bila kita beli ikan penjual akan bertanya heads on or off. Orang putih pasti jawab off. Ikan disiang bersih tanpa kepala dan tanpa tulang. Yang dibawa balik ialah daging putih ikan. Terus boleh dimasak apa sahaja. Disimpan senang. Tidak perlu kerja tambahan untuk menyiang dan memotongnya. Kerja jadi ringkas. Hidup menjadi senang. Beli dalam keadaan siap sempurna untuk dimasak sahaja. Orang Malaysia pula suka heads on. Beli, bawa balik, siang hanya buang sisi perutnya sahaja. Ada ketidaksesuaian sebenarnya. Di US kita tidak boleh membuang sampah kecuali pada hari yang ditetapkan sahaja. Hari itu pula ditetapkan sehari dalam seminggu. Jika jadualnya hanya pagi Isnin maka pagi Isnin itulah masanya membuang sampah. Namun begitu sampah boleh dibuang pada Ahad malam. Sebelum pagi Isnin. Bayangkan isi perut ikan selama seminggu. Mana boleh tahan hidung disumbat bau ikan busuk. Sebab itu orang putih mesti heads off.

Di Toronto memang ada penjual yang menjual kepala ikan sahaja. Bagaimana budaya itu terjadi saya kurang pasti. Cuma yang pastinya budaya kepala ikan selalunya orang India yang pakar. Di Canada memang ramai orang India yang berhijrah ke sana. Budaya kepala ikan dibawa bersama agaknya. Bila orang Melayu juga di Canada, budaya kepala ikan merebak tentunya. Di pasar, kepala ikan bukan satu atau dua. Berlonggok-longgok. Gerai yang satu itu hanya menjual kepala ikan sahaja. Rasanya saya beli dua kilo sahaja. Itupun dah banyak. Bia balik ke rumah memang masak kari. Kebetulan kari yang saya bawa masih banyak. Walauoun hanya saya sahaja yang membawa kari, saya bawa dalam kuantiti yang banyak. Al-maklumlah takut orang lain terlepas pandang. Memang betul jangkaan saya. Tidak seorangpun yang membawanya. Lama tak jumpa kari kepala ikan. Masing-masing berselera makan.

Budaya selalunya payah hendak dilupakan. Akan teringat selalu bila tidak menjengahnya. Lupa pula hendak cerita lebih lanjut kepala ikan yang saya beli. Sebenarnya di Canada tidak ada ikan merah. Jika adapun yang sejuk beku dari Thailand. Saiz kecil tetapi harganya berganda-ganda mahalnya. Kepala ikan yang ada di Toronto adalah ikan tasik besar. Namanya tidak tahu.  Ikan air tawar. Maka tidak ada isu hanyir seperti ikan sungai atau tasik kita. Bila dimasak sedap seperti ikan air masin juga. Mungkin kita tidak pasti. Ikan air masin tidak masin. Serupa seperti ikan air tawar yang memang tidak masin. Ikan menjadi masin sebab kita garamkan dia. Tanpa garam ia tetap tawar. Apa iktibarnya agaknya? Kita patut jadi ikan. Masin atau tawar adalah pengalaman sepanjang hidup. Walau apapun pengalaman itu kita jadi kita. Kekal abadi dengan iman dan taqwa. Abadi akidahnya. Menjaga akhlaknya. Jadi ikan yang tidak masin kecuali digaramkan. Diasinkan. Dijeruk. Dipekasam. Sifat aslinya mengikut fitrah yang tetap ikan. Dulu, kini dan selamanya.

Orang Malaysia suka makan kepala ikan. Walaupun ada orang kata banyak makan kepala ikan menjadikan kita pelupa kenyataannya ialah kari kepada ikan tetap popular. Kedai-kedai mamak menjadi tumpuan setiap tengahari. Ada kepala ikan  yang berpuluh-puluh ringgit  harganya. Makan mungkin berdua atau bertiga. Menyandar selepas makan. Terasa kari santak ke dada. Bila sendawa terasa benar karinya. Yang selalu dicari ialah kari kepala ikan merah. Jauh popularitinya mengatasi ikan-ikan lain. Apa rahsianya tiada siapa tahu. Kedai mamak penuh sesak berebut-rebut setiap waktu makan tengahari. Entahlah ketagihan yang kadang-kadang melampaui kefahaman orang biasa. Berbaris dan berebut setiap tengahari. Abang mamak yang dicari. Abang Kassim selalu dilupakan orang.

Selain dari kari, orang Malaysia di bahagian selatan semenanjung suka makan asam pedas. Ada kalanya daging lembu dan ayam juga dimasak asam pedas. Malah orang Cina sudah pandai memasaknya di kedai-kedai makan mereka. Kegilaan tentang asam pedas memeningkan kepala saya. Mercup bak cendawan kedai-kedai makan yang menawarkan masakan ikan asam pedas. Seperti kari, ikan merah yang paling popular. Istimewa benar ikan merah. Di Batu Pahat umpamanya ada kedai hanya popular dengan asam pedas ikan merah sahaja. Sarapan pagi juga nasi berlaukkan ikan merah. Ada pula yang makan roti canai berlaukkan asam pedas di kedai yang lain. Siang dan malam selama 24 jam pasti ada asam pedas. Jangan risau. Tidak perlu mengidam. Ikan merah asam pedas sentiasa tersedia.

Rasanya rakyat Malaysia suka makan di luar. Pendidikan yang semakin tinggi menjadikan ramai wanita tidak betah ke dapur. Dapur hanya persinggahan sementara. Dikunungi sekali sekala. Bukan lagi hub aktiviti utama. Bukan lagi pusat operasi.  Sementelahan itu orang lelaki semakin tidak gemar berada di dapur. Semakin banyak masanya di luar rumah. Makan di kedai semakin digemari. Mengapa? Saya juga ingin tahu. Teori pertama mungkin didikan. Kedua kebiasaan. Ketiga adat. Keempat situasi. Kelima hidup mewah. Keenam lambang. Ketujuh jaminan keselamatan. Kelapan semuanya ada. Kesembilan alternatif yang serupa. Kesepuluh pilihan. Senarai ini panjang jika dicatatkan. Maksudnya berbagai alasan diberikan untuk menjustifikasi kegemaran makan di luar.

Didikan: Dari kecil ramai anak-anak kita dibelikan makanan. Makanan orang yang mereka kenal. Makanan masakan ibu jarang-iarang. Cinta masakan ibu menjadi asing. Jika ayah tidak pandai memasak semakin jauhlah ia dari mengasihi makanan di rumahnya sendiri. Yang dibawa balik masakan orang lain. Air tangan ibu sukar dijamah.

Kebiasaan: Dibiar anak-anak makan di luar. Ibu bapa sediakan wangnya sahaja. Makanan di luar menjadi kebiasaan kepada anak-anak. Apatah lagi berbagai jenama makanan segera di luar sana. Ada wang semuanya menajdi kebiasaan. Ibu bapa lebih suka pula keadaan itu berlaku. Tidak payah penatkan diri memasak. Maka kebiasaan menjadi kebiasaan. Menjadi budaya.

 

Adat: Ibu bapa mungkin membuat peraturan yang salah. Kedua-duanya berkerjaya. Makan tengahari tidak disiapkan. Makan malam juga tiada jadual yang pasti. Anak menganggap makan di luar sebagai adat kebiasaan. Tiada perbincangan dan perbahasan mengenai perkara itu.

Situasi: Kedua ibu bapa berkerjaya. Pembantu rumah ada atau tiada tidak banyak  bezanya. Pembantu tiada kuasa memaksa anak-anak majikannya makan di rumah atau tidak. Jika makan maka masakan itu adalah hasil air tangan pembantu rumah. Orang Indonesia pastinya. Gaya masaknya, cara hidangannya, rencah dan resepinya semuanya asing dari sentuhan ibu. Suami juga menjadi terbiasa dengan air tangan pembantu rumah. Sentuhan isteri hanya fizikal. Bukan rohaninya. Bukan sentuhan halus yang meresap dari dalam. Makanan kadang-kadang menjadi pengalir kepada kasih sayang seorang siteri kepada suaminya. Anak-anaknya.

Hidup mewah: Hidup mewah juga menjadi paradigma yang mengubah kebiasaan. Mengubah adat. Mengubah budaya. Makan di restoran lebih santai kepada mereka. Rumah adalah tempat bersemayam dan berhibur.

Lambang: Jangan lupa juga bahawa makan di luar mungkin lambang  kejayaan hidup kepada sesebuah keluarga. Menu yang dipesan. Cara makan. Pilihan tempat. Kesemuanya menunjukkan lambang itu.  

Jaminan keselamatan: Lebih berprestij tempat makan itu lebih tinggi jaminan keselamatan makanan yanag dihidangkan. Premis yang bertaraf A umpamanya ada jaminan kebersihan, keselamatan dan kebolehpercayaan dari segai banyak perkara yang positif bagi sesebuah premis makanan.

Semuanya ada: Makan di rumah terhad menunya. Resepinya diulang-ulang tanpa ada suntikan menu baru. Di luar sana boleh dipilih premis yang menawarkan berbagai menu.

Alternatif yang serupa: Banyak premis makanan yang menjadi alternatif. Walaupun menunya serupa, masih terdapat kelainan yang membezakan selera pelanggan. Ikutlah mana yang sesuai.

Pilihan: Makan di luar adalah pilihan. Bukan keistimewaan. Bukan pula hak. Ianya pilihan sama ada di rumah atau di luar. Jika ibu dan bapa boleh memasak sendiri alangkah baiknya. Jika anak-anak dilatih untuk pandai memasak sejak dari kecil lagi alangkah lebih baiknya. Dalam rumah terdapat ramai chef yang boleh mempelbagaikan menu untuk selera keluarga.

Jangan lupa makan di luar ada impak sampingannya.  The side effect.

Tuesday, November 27, 2012

Toronto Di Tepian Tasik Ontario

 
 
 
 
Pernah saya singgah CN Tower (Canadian National Tower) di Toronto. Waktu mula sampai mendongak juga memandang menara yang begitu tinggi. Antara yang tertinggi di dunia. Gambar di atas pemandangan yang panaromik dilihat dari menara itu. Toronto merupakan bandaraya terbesar di Canada. Tiga bulan di sana tidak banyak tempat yang dapat diterokai. Sekadar tempat-tempat biasa yang selalu dikunjungi orang. Tasik itu besar. Gambar di bawah memperlihatkan keindahan Toronto dengan mercutandanya yang ulung. CN Tower.
 
 
Perasan tak? Semua bandar besar di dunia seperti wajib memiliki sebuah menara. Begitu juga dengan Menara Kuala Lumpur. Saya temui di Washington, New York, London, Toronto dan Kuala Lumpur. Rasanya ada di Putrajaya. Ramai mengatakan bahawa menara itu adalah lambang Iluminati. Satu cabang kelompok yang menguasai dunia. Mereka bukan agama, bukan bangsa,bukan juga Yahudi seperti yang selalu ditakuti. Mereka terdiri dari kalangan yang kaya raya, berkuasa dan dianggap berada pada echelon yang tertinggi.
 
 
 
Tasik Ontario adalah yang paling kecil antara lima tasik besar di America Utara: Superior, Michigan, Huron, Erie dan Ontario. Semasa di Tingkatan Dua dahulu (tahun 1962) guru Geografi saya menekankan akronim HOMES untuk mengingat nama-nama tasik itu. H untuk Huron. O untuk Ontario. M untuk Michigan. E untuk Erie dan S untuk Superior. Namun begitu tasik-tasik itu bersaiz besar. Walaupun bukan laut tasik-tasik tersebut berperanan seperti laut. Menjadi jalan perdagngan bagi bandar-bandar di sepanjang pantainya. Toronto hanya sebuah darinya. Chicago, Cleveland, Buffalo, Thunder Bay, Green Bay, Milwaukee, Duluth, Rochester, Hamilton dan banyak lagi. Sebahagiannya di USA dan sebahagian yang lain di Canada. Kebanyakannya yang di USA lebih membangun. Ramai. Meriah.
Toronto memberikan kenangan yang besar ertinya dalam hidup saya. Bila kita mengembara di bumi Allah, kita diperlihatkan berbagai ciptaan Allah. Bukan untuk dilihat. Bukan untuk sekadar dinikmati. Bukan pula untuk berbuat maksiat di tempat-tempat itu. Yang lebih besar ialah mensyukuri keberadaan kita di situ. Tidak ramai orang yang berkesempatan untuk berada di tempat-tempat yang berlainan di dunia ini. Ramai orang hanya diberi peluang membaca, menonton video, menonton filem, melayari internet, siaran langsung, lintas langsung dan rakaman-rakaman elektronik. Itu hanya input-input sekunder. Orang lain yang merakamkannya. Sudah diedit. Sudah diberi pandangan peribadi. Mengikut persepsi mereka. Minat mereka. Banyak lagi yang tersembunyi dari pandangan mata. Lain orang lain fokusnya. Lain hasratnya. Lain matlamatnya. Yang alami masih tersembunyi kebenaannya. Banyak yang perlu dicungkil kebaikannya.
Kembara saya mengelilingi dunia memberikan rasa bersyukur yang amat sangat. Allah memberi saya peluang dan ruang untuk melihat sendiri ciptaannya yang terlalu banyak. Nikmat yang tidak terhingga dan tidak terhitung. Merakamkan dengan gambar menjadi suatu tanggungjawab pula rasanya. Merakamkannya melalui tulisan menjadi suatu keperluan. Merakamkannya dalam penceritaan mudah-mudahan memberi iktibar. Memberi rangsangan untuk kita lebih mengenal Allah. Lebih mensyukuri segala nikmat yang mencurah-curah ke atas kita. Mata kita yang memandang telus di sebalik ciptaan. Telinga kita yang mendengar disebalik bunyi ciptaan Allah. Minda kita yang berputar merencanakan proses dan prosedur bersyukur kepadaNya. Perasaan kita yang selalu disapa taqwa untuk terus beribadat kepadaNya. Sangat indah semuanya. Hati kita menjadi besar. Allah ada di mana-mana. Pusinglah ke mana sekalipun Allah besama kita.
Yang penting apabila kita berada di tempat-tempat yang berlainan kita belajar untuk menyerap budayanya yang positif. Amalan hidup yang penuh dengan syukur. Menegathui dari mana kita datang, apa yang sedang kita lakukan, ke mana kita harus mengarahkan diri kita untuk menuju akhirat. Akhirnya kita bertemu dengan Rabb kita. Pertemuan yang mengakhiri segala pertemuan. Toronto hanya satu episod dalam hidup saya. Laluan-laluan pejalanan di destinasi yang lain memberi impak yang lain. Merealisasikan apa yang pernah saya baca. Menjengah realiti dari alam realiti teknologi.  Semuanya dihidangkan Allah di hadapan mata. Ditatap sendiri. Bukan cerita orang kedua atau ketiga. Ini cerita benar yang dialami sendiri. Digarap melalui kesedaran ianya suatu pengalaman yang besar ertinya dalam hidup.
Pengembaraan bukan suatu pembaziran waktu.  Bukan pembaziran kos. Bukan pembaziran tenaga. Bukan pembaziran perasaan. Mereka yang kembaranya banyak, maka mindanya penuh dengan pengalaman sendiri. Pernah melihat adalah suatu kelebihan. Pernah berada di suatu tempat dan ruang adalah suatu anugerah yang sangat perlu disyukur. Udara yang pernah dihirup menghidupkan. Tanah dan bumi yang dipijak memberi fakta kenyataan. Bukan untuk disimpan beku dalam minda dan inatan. Saya kongsikan untuk pembaca. Kesemuanya adalah kebaikan dan hikmah. Kita melihat yang bermanfaat. Tahaf syukur memberikan gambaran keluasan dan ketinggian leluhur pengalaman. Susur galur perlajanan yang panjang tetap berhenti. Namun hentian bukan penamat segala yang tamat. Ianya menggerakkan kita untuk mengumpulkan sinergi tenaga bagi memanfaatkan orang lain. Biar minda kita terus meneroka. Di luar sana Allah menyediakan banyak ciptaannya untuk difikir dengan insaf bahawa kita terlalulah kerdilnya.kepada Allah sahaja kita bergantung segala harap. InsyaAllah. Amin.

 
 
Di tepian Tasik Ontario itulah terletaknya Toronto di negeri Ontario. Saya suka plet kereta di Ontario. Captionnya berbunyi: Ontario, yours to discover. Kerana Toronto berada di tepian tasik maka terdapat sebuah marina yang besar. Penuh dengan bot berkuasa tinggi. Sukan air yang biasa bagi orang putih. Water skiing. Jet skiing. Cruising. Memancing. Berenang dan banyak lagi.
  Berhampiran marina itu tapak pameran terbesar di Canada. Saya dan teman-teman melihatnya pada hari kedua di Toronto. Gambar di atas menunjukkan seekor ayam yang sungguh besar. Mungkin mencecah 10 kg. Terpegun Mohamad melihat ayam besar. 
 
 
Bayangkan di tasik-tasik di utara Amerika itu terdapat kapal peronda dan kapal perang. Kapal pengangkut tidak perlu dikira banyaknya. Saya berkesempatan berada di atas dek sebuah kapal yang sederhana besarnya. Di Malaysia belum pernah merasainya. Hingga sekarangpun.
 
 
Berebut-rebut orang ingin masuk ke dalam kapal. Bukan mudah mendapat pengalaman sebegitu. Percuma pula. Apatah lagi orang yang jauh dari laut. Kapal besar adalah sesuatu yang istemewa.
 
 
Perabot tidak terkira banyaknya. Berbagai-bagai jenis kayu. Canada kaya dengan hutan hawa sederhana. Pokok kayunya besar-besar dan tinggi-tinggi. Ratusan tahun usainya. Perabot mereka advanced. Ergonomic. Human engineering yang selalu diberi perhatian.
 
 
Terdapat bayang sedang mengambil gambar. Itu bayang saya. Matahari di sebelah belakang. Bayang yang membayangi. Bayang itu adalah kita yang membayang. Lin dan Mohamad posin di hadapan meriam.

 
Di sebah jeti. Marina di belakang saya penuh dengan berbagai saiz bot. Seperti di tepi laut pula. Santai kedudukan dan keadaannya.

 
Di belakang sana adalah sebuah sphere yang besar. Di dalamnya ruang pamerean yang luas. Saya dan Lin santai duduk-duduk.
 
 

Monday, November 26, 2012

Why Don’t You Bring The Money To Her!


Bila berjauhan rindu pasti datang. Berdesup desap dalam rasa dan perasaan. Tahun 1990 bukan tahun 2012. Sekarang kita guna sms yang sangat murah. e-mail lagilah murah. Panjang berjela dengan kos yang sangat rendah. Surat sudah menjadi sesuatu yang lapuk. Obsolete.  Sewaktu saya di Toronto Canada telefon menjadi penghubung dengan orang yang tersayang di tanahair. Seminggu sekali bergayutlah masing-masing pada telefon di rumah. Bukan penghuni rumah sahaja yang menggunakannya. Sahabat yang di rumah-rumah lain juga datang untuk menikmati kemudahan  telefon yang ada. Tiada masalah. Bil telefon mengandungi perincian panggilan. Bila panggilan dibuat. Nombor telefon yang dihubungi. Jangkamasa panggilan dibuat. Setiap pengguna membayar bahagian masing-masing.

Kami semua kali pertama meningggalkan isteri dan anak-anak. Bingung juga kepala. Keliru dengan keadaan. Toleh ke kanan tiada. Toleh ke kiri tiada juga. Berapa berat mata memandang berat lagi hati di dalam. Terhenyak rindu. Terperuk gundah. Terapung gelana. Hari-hari terawal tentu sahaja yang paling memeritkan. Gelisah dan resah berganti. Mata dan hati tidak tentu lelapnya. Entah mimpi entah sedar. Malam-malam dilalui dengan lambatnya. Pagi menjelang samar-samar di negara orang. Kabus pagi menyembunyikan mentarinya. Hati berkabus sunyi terasing jauh di sebalik dunia. Jauh dari orang-orang tersayang. Jauh dari negara tercinta. Jauh dari semua kebiasaan. Bagi yang tiada tahan rindunya, telefon mengubat rindu. Dihujung talian masing-masing mengusap rasa. Bergenang air mata. Merembas menuruni pipi. Hendak diusap tiada. Hendak dipegang hanya ruang kosong yang ada.

Bulan pertama bil telefon kami sebanyak lebih CD700 (Canadian Dollar). Kira-kira RM1,600. Wow. Suatu jumlah yang gila banyaknya. Waktu itu tahun 1990 bil telefon boleh dibayar di bank. Seorang rakan saya yang ke bank. Terbeliak besar mata kerani wanita di kaunter bank itu.

My! Why so much?

Why don't you bring the money to her?

Harga sebuah rindu. Mahal dari segi kosnya. Antara mereka saya yang paling sedikit. Pengalaman di USA dahulu mengajar saya untuk berjimat menggunakan telefon. Saya bercakap mana yang perlu sahaja. Isteri dan anak-anak sihat. Itu sahaja yang penting. Setiap kali bil datang saya hanya perlu membayar sebanyak CD34 atau CD35 sahaja.  Wang saku yang dibawa bukan banyak. Makan dan minum perlu dijaga cukupnya. Ramai rakan yang bilnya CD200 dan CD300. Mereka hairan kenapa  bil asya paling kurang. Begitulah pengalaman memainkan peranan. Berjimat pada tempatnya.  Saya banyak menulis kepada isteri dan anak-anak.banya sedikit yang boleh dicoret. Kosnya hanya masa. Sedikit setem yang ditampal di sudut atas sebelah kanan. Kata isteri saya berebut-rebut anak-anak membaca surat atau poskad yang saya hantar.

Telefon adalah alat. Bukan pengubat yang hahiki. Bukan mutlak. Ianya hanya alat untuk menghubungi yang jauh bak di sebalik stelinga. Telefon dari Canada atau USA sama sahaja. Mereka gunakan satelit. Suara terang dan jelas. Terlalu dekat di telinga. Sebenarnya ramai antara kita menggunakan telefon tanpa mengerti. Ianya hanya alat. Bukan pengganti diri. Cuba perhatikan mereka yang galak menggunakan telefon. Bila menerima atau membuat panggilan mereka melatari panggilan itu dengan mukadimah yang panjang. Hasrat hati di simpan lama sebelum diluahkan. Tiada siapa mengambil kisah. Meter panggilan berjalan. Semakin rancak berbual dan bersembang semakin banyak bil telefon yang terpaksa dibayar. Saya cukup membatasi diri bila menggunakan telefon. Yang perlu sahaja. Mungkin sms atau e-mail lebih menjimatkan.

Jangan lupa apabila kita bergayut di telefon, panggilan lain yang hendak masuk tersekat. Kita selalu menyebut bahawa yang membuat panggilan dan yang menerima panggilan menghalang orang lain membuat panggilan. Telefon di rumah, telefon Telekom penggunanya berlainan. Pemangggil sahaja yang dikenakan caj. Penerima menikmai panggilan itu. Kenapa tidak yang perlu sahaja. Teknologi untuk dimanfaatkan. Bukan untuk membebankan. Bila ada yang mendera diri kerana teknologi  maka itu adalah sesuatu yang membebankan. Manfaat yang ditagih masalah yang diterima. Bil yang tinggi menjadi seksa.  Tetapi yang lebih jelek ialah kita menyekat orang lain menggunkan teknologi yang sama. Berpadalah menggunakan telefon. Ada kos yang dibayar oleh semua orang.

Kasihan juga rakan-rakan yang tinggi bilnya. Termenung mereka dibuatnya. Kami dibekalkan kira-kira CD2,000 untuk jangkamasa tiga bulan.  Jika setiap  bulan bil telefon mencecah ratusan dollar tentulah membebankan. Ikut rindu binasa wang di tangan.  Sebenarnya sewaktu sampai di Toronto ramai yang berhasrat untuk singgah di Los Angeles, LA dalam perjalanan pulang nanti. Mereka hendak menjengah Hollywood. Universal Studio. Ada keriangan melihat ke hadapan. Harapan melihat yang indah. Tetapi apabila bil telefon melambung-lambung banyaknya, hilang semangat mereka. Langkah jauh jadi tersekat. Terkedu dengan keadaan. Sudah tidak ada lagi bicara. Selera jatuh merudum. Selamat tinggal LA. Hasratku tidak kesampaian. Nantilah ku jengah melalui filem dan video.

Ada dua orang rakan saya di LA. Seorang dahulunya bertugas di Politeknik Ungku Omar Ipoh. Seorang lagi bersama saya di Pittsburgh USA semasa sama-sama mengikuti proram  Masters dahulu. Kedua-duanya guru. Bertugas di Jabatan Penuntut Malaysia di LA. Saya hubungi mereka. Alhamdulillah mereka menerima kedatangan saya. Tunggulah saya di LA, Hollywood, Universal Studio.  Suatu pengalaman yang indah. Melihat alam fantasi. The world of make belief.

Sunday, November 25, 2012

Malang Jika Lelaki Tidak Tahu Memasak


Kita sudah terbiasa dengan sesuatu yang disangka benar. Bila seorang lelaki bernikah ia menyangka bahawa makan dan minumnya disediakan oleh isterinya. Sarapannya disediakan isteri. Tengaharinya dihidang isteri. Petangnya disuap isteri. Malamnya disaji isteri. 24 jam disediakan isteri. Suami seolah-olah raja yang ditabal untuk selamanya dilayan dan diladeni sebagai raja. Malangnya yang dipaksa melayaninya itu adalah isterinya. Wanita yang dinikahi dengan nama kasih sayang. Untuk bersama ke syurga berumatangga. Untuk hidup dan mati bersama. Di samping dan bukan untuk disuruh arah. Isteri untuk diulit cinta abadi selamanya. Kadang-kadang sikap dan adat menjadikan hubungan suami isteri menjadi rumit dan inricate. Bak sesawang yang rencam dengan liku dan lingkaran.

Bagaimana seorang lelaki tidak tahu memasak untuk makanannya sendiri. Bagaimana seorang abang tidak tahu memasak untuk adik-adiknya. Bagaimana seorang suami tidak tahu memasak untuk isteri dan anak-anaknya. Memasak dan menjalankan kerja-kerja rumahtangga bukan khusus untuk wanita. Pun bukan itu tujuan wanita dinikahi. Orang Islam lelaki umpamanya keliru antara agama dan adat. Adatnya lelaki menjadi raja dan isteri menjadi hamba. Konsep ini adalah sangat tradisional dan bukan Islamik. Rasulullah saw adalah contoh lelaki terbaik antara yang terbaik. Baginda menjahit sendiri pakaiannya yang koyak. Membantu mengemas rumah. Membantu isteri-isteri baginda mengurus rumahtangga. Walaupun trend lelaki idaman semakin ramai namun bilangannya masih belum mencapai tahap tinggi. Ramai lelaki minta disediakan air minumnya. Menunggu hidangan di meja. Tidak memandang rumah yang kotor berserak. Tidak Nampak pakaian yang berlonggok dengan hapaknya untuk dibasuh. Tidak kisah pakaian berlonggok menimbun  bukit untuk dilipat. Pergi kerja melaram dengan pakaian yang siap berseterika. Bukan dibuat sendiri. Isteri yang semput sesak nafas menguruskan segala-galanya yang melakukannya.

Barangkali semua urusan lain boleh bertangguh-tangguh. Soal makan jadualnya ketat. Makan tengahari maknanya makan tengahari. Bukan pukul tiga atau pukul empat. Begitu juga minum petang, makan malam, sarapan dan antaranya memerlukan jadual yang mesti dipatuhi. Siapa menyediakannya? Isteri? Suami? Suami isteri? Alangkah bahagianya seorang isteri apabila suaminya kerap di dapur. Membantu mana yang perlu. Bukan susah kupas bawang. Bukan payah menumbuk cili. Bukan qiamat hanya menanak nasi. Semua kerja di dapur sangat simple. Tidak langsung memberatkan. Barangkali adat yang lama hendaklah dibuang jauh-jauh. Beri nilaian semula bahawa isteri bukan untuk disuruh-suruh tanpa kasih sayang. Mereka perlu dibantu. Hatta tidak salah memanjakannya. Pada dirinya seluruh hihup lelaki.

Apabila lelaki tidak pandai ke dapur ramai orang yang menjadi mangsa. Isteri orang pertama yang teraniaya. Anak-anak kumpulan kedua. Saudara mara kumpulan ketiga. Lelaki yang selalu ke dapur tidak pernah jatuh harga dirinya. Namanya tidak tercemar. Maruahnya tidak tercabar. Itu cerita dulu. Zaman yang sudah luput tarikh pakainya. Zaman yang masih terlalu tradisi. Lelaki di luar rumah dan isteri di rumah sahaja. Zaman ini sudah jauh perubahannya. Sikap dan sifat wibawa lelaki perlulah diubah untuk mengimbangi keperluan berumahtangga masa kini. Lelaki yang berkerjaya menerima pukulan hebat apabila berada di luar rumah. Dalam kursus-kursus jangkapanjang lazimnya wang secukupnya. Lebih banyak berjimat. Memasak sendiri adalah solusi paling baik. Selain dari kosnya yang rendah terdapat kepastian status halalnya. Suci dan bersihnya. Keyakinan diri untuk menikmati hidangan dari air tangan sendiri. Yang tidak pandai memasak tentulah banyak wang terbuang membeli makanan siap.

Itulah antara liku-liku bersama teman dan rakan yang tidak tahu memasak. Tidak tahu mengemas dapur. Tidak tahu membasuh pinggan. Tidak tahu membantu. Tidak mahu belajar berada di dapur. Tidak tahu hubungannya antara masakan, makanan, kesihatan dan emosi rohani pemasaknya. Berapa ramai lelaki yang peka dengan bahan dan perencah makanan. Berapa ramai lelaki yang tahu apa yang perlu di bawa apabila ke luar negara. Kebanyakan mereka membawa perut sahaja. Malang sungguh. Yang lain mengharap orang lain. Kadang-kadang terasa tidak adilnya. Kita cuba adil kepada orang lain tetapi orang lain tidak memberi keadilan itu kepada kita. Islam membenarkan melayani tetamu hanya dalam tiga hari sahaja. Selepas tiga hari tetamu itu hendaklah menjadi sebahagian dari krew yang perlu bekerja apa sahaja yang perlu untuk mengurus sebuah rumahtangga.

Saya suka makan. Di rumah atau di luar sama sahaja. Di luar kadang-kadang tidak sesedap mana. Tidak memenuhi selera tertentu. Harganya mungkin mahal. Tidak ada kedai yang sangat kondusif dari segi persekitaran dan kebersihannya. Layanannya belum tahu bagaimana bentuknya. Pilihan yang terbaik tentunya memasak sendiri. Dua kali saya ke luar negara. Dua kali saya mengangkut segala rempah yang perlu. Kari, kurma, sup, rempah tumis, serai, daun kunyit dan lain-lain yang perlu. Orang lain tidak perna berfikir begitu. Beg pakaian mereka hanya pakaian sahaja. Untuk makan berbulan dan bertahun langsung tiada dalam perbendaharaan minda. Makanan ada di mana-mana. Benar. Tetapi selera kita selalu kembali ke kampung. Ke rumah. Ke negara. Kepada kebiasaan lidah kita. Adat kita. Memasak sendiri adalah penyudah kepada kerinduan itu. Sedap bukan isu. Enak bukan masalah. Yan penting ada rasa. Ada bau. Ada aroma. Ada selera.

Malang sangat jika kita memasak orang lain yang serumah tidak membantu. Tidak bertanya apa yang perlu dibuat. Tidak datang menjengah apa yang sedang dibuat. Tidak menyiapkan keperluan lain seperti menyiapkan meja. Menyusun pinggan. Menyediakan air minuman. Mereka leka dengan mungkin TV, buku, akhbar, telefon dan bermacam aktiviti lain. Bila hidangan telah siap terhidu pula di hidung. Terdengar di telinga. Menyerap pada perasaan mereka. Berbaris ke dapur menyenduk makanan. Makan dengan enak. Bertambah-tambah pula. Selepas makan tidak pula pandai mengemas meja. Mengemas dapur. Menyusun pinggan mangkuk yang diguna. Tamat episod kali itu. Episod yang sama berulang lagi pada waktu makan yang berikutnya. Tidak akan ada yang akan ke dapur. Tidak ada yang ingin memulakan proses memasak.

Malang lelaki yang tidak pandai di dapur. Apalah susahnya menanak nasi. Apalah sukarnya menggoreng telur. Memasak sadin. Menggoreng ikan. Memasak sayur. Jika tidak tahu memasak, masaklah yang sesimple mungkin. Setakat apa yang kita boleh. Yang kita tahu. Walau bagaimanapun memasak hendaklah dengan hati. Dengan ikhlas. Dengan senang hati. Makanan yang simple menjadi sedap jika ada elemen dalaman yang bersih suci. Rasanya menggoreng ikan bilis semua orang tahu. Menggoreng bawang semua orang boleh. Merebus sayur bukan seperti menebas kebun. Berapa banyak garam. Akan terbiasa nanti dengan kuantitinya. Mulakan dengan sedikit. Rasa dahulu secukupnya. Kurang masin tambah garam berperingkat-peringkat. Lama-lama akan tahu sukatannya tanpa perlu menyukat. Banyak dan sedikit adalah relatif. Ada orang suka lebih masin. Yang lain pula suka kurang masin. Letakkan diri kita antara keduanya.

 Belajar jadi lelaki sejati. Hero kepada isteri dan anak-anak. Kepada teman-teman, keluarga dan orang-orang di sekeliling kita. Lelaki yang multi disiplin lebih berdaya maju. Lebih lestari melingkari zaman. Penglaman lama saya memeritkan apabila bersama dengan lelaki yang tidak pandai memasak. Tidak pula mahu belajar. Tidak suka ke dapur. Dapur sangat panas kepada mereka. Malangnya orang lain yang disuruh berpanas di dapur. Selalunya isteri yang menerima nasib malang. Emak mertua yang tua juga menjadi mangsa. Emak sendiri yang uzur itulah yang berpapah ke dapur menyediakan makanan.

Ibu dan ayah, didiklah anak lelakimu supaya mengerti dapur. Biasa di dapur. Menguasai dapur. Supaya nanti mereka bukan raja dapur tetapi menjadi raja di dapur. Adat lama bahawa lelaki tidak perlu ke dapur sudah tidak ada lagi. Bahawa wanita duduknya di dapur bukan realiti lagi. Abang, bantulah isterimu di dapur. Untuk perutmu juga. Kakak, cari lelaki yang ada sifat membantu. Selidiki minatnya di dapur. Tanya rakan dan ahli keluarganya. Itupun jika kakak mencari lelaki yang rasional. Jika cari yang ganteng dan berjawatan sahaja terpulanglah. Bersedialah nanti untuk makan hati berulam jantung. Saya sekadar memberi pengalaman. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Monday, November 19, 2012

Bau Durian Mengharum Toronto


Tidak ramai orang putih yang makan durian. Kepada kita durian wangi baunya. Kepada orang putih durian berbau busuk. Siapa yang betul? Sebagai ujian, apa yang menghurung durian apabila dibelah dan ulasnya terserlah pada pangsanya?  Lalat dan langau. Pernahkah pembaca melihat langau menghurung minyak wangi? Mana ada. Langau tidak sersai dengan yang wangi. Pilihannya pasti yang busuk. Durian termasuk dalam kategori busuk mengikut ujian itu.  Tidak mengapalah. Durian wangi pada persepsi kita. Hidung kita yang menjejak kewangaiannya. Kita tidak perlu pandangan orang lain hingga kita mensia-siakan rezeki yan ada. Kepada kita durian tersangatlah lazatnya. Tidak boleh nampak kelibatnya. Kecur air liur. Silap-silap gugur setitik dua. Malu sendir mengesat lelehannya.

Untuk renungan kita semua, ramai anak-anak muda kita tidak lagi menggemari durian. Mereka lebih memilih buah-buahan import. Seorang sepupu saya membawa pulang ke rumah beberapa biji durian. Tiba-tiba anak lelakinya mengeluarkan kata-kata protes. “Abah ni, buah busuk bawak balik!” Terbeliak mata sepupu saya. Mahu ditamparnya anaknya itu. Itulah manifestasi zaman yang berubah. Pilihan juga berubah. Kebiasaan kita yang kekampungan dahulu sudah dilenyapkan oleh perubahan. Zaman berubah. Citarasa berubah. Hal-hal yang kritis dalam masyarakat berubah aspeknya. Tidak memahami hal-hal seeprti itu hanya mengundang konflik perasaan. Mungkin konflik sosial.

Saya menemui durian di Pittsburgh, USA. Di kedai seorang yang berasal dari Vietnam.USD2.50 seulas. RM7.50. Bagi yang tidak ada pokoknya, perjalanan yang jauh, sistem penyimpanan yang direka khas, harga bukan faktor.  Bila datang selera semuanya bukan masalah. Di Toronto Canada durian dijual mengikut biji. Bukan ulas. Sekilogram Canadian Dollar 4.90. Kira-kira RM11.50. Masih tidak mahal berbanding dengan yang di US. Minta maaf. Durian itu sedap. Durian itu wangi. Sayangnya durian itu bukan kita yang punya. Durian Siam. Dari Thailand. Hebat usaha Thailand merentaskan produknya ke luar negara. Ke merata ceruk rantau yang tersampai. Bukan sedikit. Berlonggok-longgok. Orang putihkah yang memakannya. Tidak mungkin. Orang Asia ramai di sana. Sebut sahaja. Ada Cina, India, Thais, Vietnam, Taiwan, Indonesia dan Filipina. Orang Malaysia sahaja yang tidak pernah ramai. Kita jarang berhijrah.

Bukan orang kita yang tidak selesa berhijrah, malah produk kita juga malu berhijrah. Rasanya Thailand banyak mengatasi kita dalam banyak hal. Beras dari Thailand kita import selamanya sejak dari dahulu lagi. Sudah terlalu lama. Kita terus bergantung kepadanya. Mangga Siam berlambak di pasaran. Berganti jenisnya. Anggur juga dibiakkan. Sampai juga ke Malaysai. Tidak berapa manis. Cukup menghilang rasa teringin. Menghilang rasa kecur di mulut. Malah buah laici ada di Thailand. Di Toronto barangan kulit buatan negara itu banyak dijual. Cumanya mereka gemar menciplak jenama terkenal dunia. Tampal pada produk mereka. Harganya jauh lebih rendah. Setengah produk kualitinya tinggi. Sukar dibezakan yang asli dengan yang bukan.

 Thailand bukan jauh. Di seberang sempadan. Banyak yang boleh dipelajari daripada mereka. Industri tani mereka cukup maju. Kita masih mengabaikan pertanian walaupun negara lain mewah dengan eksport barangan pertanian mereka. Ada sesuatu barangkali yang boleh dilakukan. Selama ini kita sibuk dengan laungan dan slogan satu kampung satu industri. Tidak perlu fikir lama. Tidak perlu fikir besar-besar. Lihat sekeliling kita. Orang kampung rumahnya dikelilingi pohon buah-buahan. Rumpunan pisang sentiasa ada. Kenapa yang tersedia itu tidak dinaiktaraf? Diberi nafas baru. Didik mereka menukar baka yang baik. Mangga baik. Durian baik. Rambutan baik. Pisang baik. Belimbing baik. Cempedak baik. Nangka baik. Tanam yang baik-baik. Cari bakanya. Buat penyelidikan. Kita bukan bercakap satu kampung satu industri bahkan sebuah rumah sebuah industri.

Ambil iktibar bagaimana penanam kurma di Madinah mendebungakan pohon-pohon kurma mereka. Hasilnya lumayan setiap tahun. Semakin dibayar zakat semakin lebat buahnya. Fikirkan jika boleh pohon buah-buahan kita didebungakan setiap masa yang berjadual. Hasilnya barangkali lebih lumayan. Tuaiannya menimbun. Hasil yang melambak-lambak nanti. Fikirkan selangkah atau dua langkah ke hadapan. Industri hiliran yang mesti diwujudkan. Buah-buahan dalam tin. Jus. Kuih muih. Jem. Kaya. Gula-gula. Biskut. Aiskrim. Minuman. Banyak lagi. Kreatif. Inovatif. FAMA harus jauh ke hadapan. Persatuan Peladang mesti terbang jauh. Persatuan Pengilang berlari pantas. Politik mendepani dasar dan peraturan yang membangun. Bukan hanya mengawal dan mengekang.

Kita mengimport buah-buahan dari banyak negara. Dari Mesir ada. Tunisia ada. India ada. Turki ada. Iran ada. Malah dari negara seperti Azabaijan, Karzystan, Cina, Korea, Pakistan. Bukan negara-negara tradisi seperti USA,Australia, New Zealand dan Afrika Selatan sahaja. Tidak ada negara maju yang fokus hanya kepada industri perkilangan sahaja. Kesemua negara itu masih mengekalkan imbangan pertaniannya. Makanan untuk rakyatnya. Tukaran asing untuk negaranya. Situasi yang menang-menang. Manfaat dan maslahah umum rakyat difikirkan. Ekonomi, teknologi dan pendidikan disegerakkan. Agama mengawal dosa dan pahalanya. Syariat tidak boleh dikesampingkan. Akhir kita tetap menemui Allah. Kita kembali kepadaNya. Buatlah yang terbaik di dunia. Ganjarannya yang terbaik di akhirat.

Al-Quran cukup memberi panduan untuk berjaya di dunia dan di akhirat. Iman kita dipupuk supaya sentiasa segar dan bertambah kukuh. Usaha secara syariat dengan niat kerana Allah tentulah lebih baik dari hanya kerana dunia semata-mata. Ayuhlah kita sama-sama keluar dari kepompong kita. Keluar dari kotak kecil yang memerangkap kita. Keluar dari ruang yang menghimpit pemikiran yang bertaraf rendah. Masa masih banyak. Sentaisa banyak. Jika setiap seorang dari kita memajukan diri dalam bidang maing-masing tentu kita boleh lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kita mesti cemerlang dalam bidang kita. Lain orang lain bidang kecemerlangannya. Untuk maju bukan satu bidang sahaja yang dibangunkan. Semua aspek yang berkaitan hendaklah dibangunkan. Tidak ada yang lebih utama dari yang lain. Jika ada yang terabai maka akan berlaku kepincangan. Yang pincang itu mencacatkan. Menurunkan darjat kesemuanya.

Kita ada mata, hendaklah melihat jauh menembusi sebarang hijab dan tabir. Kita ada telinga untuk mendengar yang tersirat. Kita ada hidung untuk menghidu yang asing dari yang lain. Firasat kita dibangunkan untuk merangka hal-hal yang berkemungkinan di masa hadapan. Kita tidak lagi boleh hanya bertahan dengan keadaan yang ada. Banyak jalan yang boleh dilalui. Banyak simpang yang perlu dilintasi. Berfikiran positif banyak menyelesaikan masalah yang terpendam. Allah sentiasa membimbing kita ke arah yang benar. Kita diberi pilihan membuat yang terbaik. Doa, tawakal tentulah setelah berusaha. Janji Allah adalah sesungguhnya benar. Mereka yang beriman sentiasa beruntung.

Sunday, November 18, 2012

Kerepek Pisang Tanduk di Toronto


 

Jika saya katakan kepada orang Parit Raja Johor rasanya sukar mereka hendak percaya. Orang Sabak Bernam mungkin juga tidak percaya. Kedua-dua tempat ini sinonim dengan orang keturunan Jawanya. Kebetulan mereka ramai yang mengusahakan kerepak ubi, keladi, pisang dan sukun. Kerepek Sabak Bernam tidak terbang jauh. Kerepek Parit Raja tidak menyeberang lautan dan benua. Berita mengenai kerepek nampak meluas. Pameran kerepek banyak di sana sini. Cerita mengenai kerepek penuh di dada akhbar. Kita terlalu gahkan diri sendiri hingga terlupa gahnya orang lain di sekeliling kita. Di seberang jalan rumah yang saya duduki di Toronto terdapat sebuah pasaraya. Kali pertama saya mengunjunginya ialah pada hari kedua saya berada di bumi Toronto, Ontario, Canada. Setelah melintas jalan saya memandang ke arah pasaraya itu. Jantung saya terhenti sebentar. Berdegup dengan kencang. Saya terpandang bungkusan kerepek yang dipamerkan di dalam cermin pasaraya itu. Hati saya berkata, “Sampai juga kerepek Parit Raja ke Toronto!” Kita bersyukur kerana produk kita menjejak dunia.

Saya semakin mendekati bungkusan kerepek pisang yang terpamer. Longlai saya seketika. Kegembiraan saya hanya seketika. Berita baik untuk pembaca sebenarnya hanya ilusi. Tidak benar. Memang itu kerepek pisang. Pisang tanduk. Hendak tahu dari mana? Made in the Phillipine! Terlalu ironis. Itu tahun 1990. Perasaan sama yang saya alami sewaktu di US pada tahun 1985-86 dahulu. Barangan Malaysia yang ada hanya sagu rendang. Produced in Penang, Malaysia. Walhal sagu itu dari Sarawak. Ada pisang tanduk tetapi dari Amerika Tengah. Walhal barangan negara-negara jiran terlalu banyak untuk hidup jadi tidak rindu kepada  tanahair. Tanahair mengiringi mereka di negara orang. Cili api dari Filipina. Belacan dari Thailand. Ikan beku dari Thailand. Nangka muda dari Thailand. Dan banyak lagi. Mana barangan Malaysia?

Media kita sibuk dengan berita mengenai barangan kita. Gahnya seperti kita menguasai dunia. Kerepek pisang tanduk di Toronto itu memberi input kesedaran yang  bukan kepalang besarnya. Kita masih kekal menjadi jaguh kampung. Ladang kita sekangkang kera. Dusun kita sekadar sepelaung. Ada faktor ekonomi yang selalu terlepas pandang. Kita jarang memikirkan tentang tukaran wang asing. Ekonomi kita hanya memikirkan yang muluk-muluk. Yang besar-besar. Eksport kita terlalu tradisi.  Saya banyak membeli baju kemeja di US dahulu. Jenama besar seperti Pierre Cardin, Arrow dan sebagainya. Kesemuanya bukan dibuat di US. Negara-negara Asia menjadi dominan. Pada aspek lain negara membangun. Baju-baju kemeja itu datang dari negara Cina, Macau, Korea, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Philippine, Indonesia, Bagladesh, India, Sri Lanka dan Pakistan. Tidak dari Malaysia. Pembaca boleh fikir barangkali. Ya. Kos pekerja kita mahal. Pelabur lari ke negara yang menawarkan buruh yang lebih murah.

Negara Cina mengeksport barangan yang dibuat dari barangan murah. Kadang-kadang bakul bunga hiasan hanya dari rerumput yang melata  di mana-mana. Kuantitinya besar. Dihantar ke seluruh pelosok alam. Dapatan pertukaran asing besar jumlahnya. Kita sepatutnya berfikir begitu. Memang kerepek kita tidak cukup untuk pasaran tempatan. Bekalan pisang hanya dari orang kampung yang menanam  pisang untuk subsistence living. Pada musim perayaan permintaan jauh melebihi penawaran pisang. Harga kerepek melambung. Kita sepatutnya berfikiran begitu. Sebahagian dari kerepek kita dieksport. Buat penyelilikan akan ketahanannya tanpa pengawet. Ketahanan dari segi masa. Dari segi perbezaan iklim. Dari segi citarasa. Jika kerepek pisang dari Filipina boleh dijual di negara maju, tiada halangan untuk memasarkan kerepek kita ke negara yang sama. Yang diperlukan ialah wawasan jauh. Ke hadapan. Merentasi pemikiran setempat. Melampaui pemikiran yang terlalu local.

Perlu ada revolusi tentang industri kerepek. Ladang-ladang yang lebih besar dan lestari dibangunkan. Ladang komersil dan professional. Jangan ketawa. Usah sengeh. Banyak negara di Amerika Tengah hidup dengan pisang. Hidup dengan tebu. Eksport mereka ke Eropah, Amerika  Utara, Korea dan Jepun. Maaflah. Pisang kita berada di tepi jalan. Gerai pisang goreng yang melata. Bila agaknya pemilik gerai itu boleh menjadi jutawan dengan pisang. Pisangnya merentas lautan. Pernah diusahakan pisang montel. Tidak saya dengar lagi ceritanya. Dulu ada cerita pisang emas. Hilang juga beritanya. Orang kita tidak melihat pisang sebagai sumber kekayaan. Sumber perniagaan. Sumber kehidupan yang lebih mewah. Lebih meringankan negara dan rakyatnya. Pisang orang mengkayakan. Pisang kita kekal di kampung.

Ada cerita lain mengenai buah. Bila berada di negara orang kita dapat menoleh ke belakang untuk melihat negara sendiri. Di sini kita selalu dimomokkan dengan kejayaan. Dengan kehebatan. Dengan keunggulan. Segala-galanya indah di mata. Sedap di dengar. Mengulit perasaan bangga. Bila di negara orang kita disedarkan bahawa ulitan kebanggaan kita hanya sesuatu yang terlalu kecil. Orang tidak kenal kita. Tidak tahu siapa kita. Tidak kisah kehadiran kita. Kita tidak punya nama besar. Belum mencapai tahap berjenama. Selagi eksport kita terlalu tradisi selagi itulah nama kita tidak gah. Kita jadi syok sendiri. Negara lain mengutip kekayaan dari barangan yang kelihatan tiada mutunya. Jika kita tumpukan kepada yang besar-besar sahaja sedangkan kuantitinya tidak seberapa maka tukaran asing menjadi terbatas. Kepelbagaian dan ragaman barangan boleh mengatasi hal itu. Sumber asli kita banyak. Yet to be tapped. To be exploited.

Walau di mana sekalipun pisang tanduk tetap begitu. Tetap pisang tanduk. Kerepeknya juga begitu. Ada yang tipis memanjang. Ada yang serong. Ada yang bulat. Setiap satunya perlukan inovasi. Kebiasaan kita membungkus kerepek dengan plastik lutsinar. Tiada jenama. Tiada pengilang. Taida label yang menunjukkan bahan ramuannya. Tarik luputnya. Khasiatnya. Banyak lagi yang perlu difikirkan. Tidak perlu? Jangan. Ia keperluan industri. Pembungkusan memberi kesan psikologi. Keselamatan dari pencemaran. Kesegaran sewaktu dimakan. Positioning dalam pasaran yang tidak terfikirkan oleh pengusaha. Kombinasi teks, literature, warna, saiz dan bahan memberi impak. Kerepek bukan sekadar kerepek. Perlu ada eksesori pada aspek pembungkusannya. Umpamanya jika dibungkus dalam kotak, kuranglah kerosakan yang mungkin berlaku. Memanglah kosnya meningkat. Pasaran dan pengguna akan tahu. Sesuatu yang diberi nilai pasti tinggi kosnya. Dari segi psikologi akan tinggi persepsi kualitinya.

Kerepek pisang bukan lagi barangan remeh. Bukan lagi barangan tepian jalan. Bukan untuk jualan di gerai-gerai kecil. Ia harus diangkat ke persada dunia. Diangkat dengan segala hal yang mengiringnya. Kita, kita yang perlu mengusahakannya. Melibatkan semua warganegara. Sudah 22 tahun kerepek pisang tanduk saya tinggalkan di Toronto. Rasanya Filipina sudah mengorak langkah lebih awal dan lebih jauh. Bukan bercakap lagi. Cukup dengan cakap yang sudah-sudah. Buktikan barangan kita dihambur ke seluruh dunia. Itu doa saya akan kejayaannya.

Musim Buah Yang Tidak Bermusim





 Ada sesiapa nak petik sendiri? Buah pear yang sedang ranum begitu sangat meriangkan hati. Bersemangat saya memetiknya. Tangga jiran yang jadi mangsa. Lihatlah betapa besarnya buah itu. Setiap sebiji tidak dapat digenggam penuh. Percuma, dua pokok yang lebat buahnya. Jenuh memakannya. Buahnya pula bergayutan rendah. Ada yang boleh dipetik dari tanah. Andainya ada di sini. Alahai! Hanya kenangan abadi. Gambar itu menceritakan segala-galanya. Suatu masa, di suatu tempat pengalaman kita bercambah.
 
 
Antara banyak makanan, saya tidak menolak jika dihidangkan dengan buah-buahan. Rasanya tidak ada buah yang terlepas pandang. Jika boleh dimakan saya pasti mencubanya. Apatah lagi bila berada di dunia orang putih. Buah-buahan mereka ranum, rangup, manis, masak dan melebihi jangkaan. Di Malaysia kebanyakan buah-buahan yang diimport belum mencapai tahap matang. Sekadar dijangka ianya masak terpaksa dalam perjalanan. Sebab itu oren dirasa masam. Epal dirasa kelat. Sukar mencari anggur yang manis. Perjalanan jauh dari negara asalnya tidak memungkinkan buah-buahan tersebut dipetik sewaktu sedang masak. Tentu rosak dalam perjalanan. Jika ada sistem penyejuk yang canggih sekalipun, iklim di Malaysia boleh merosakkannya apabila dikeluarkan dari  sistem penyejukannya. Suhu yang tinggi, lembab dan melekit cepat memudaratkan buah-buahan import. Di negara asalnya semua buah-buahan enak dimakan. Ada yang lazat. Semuanya masak. Matang. Ranum. Rangup. Di kedai buah-buahan pilih apa sahaja buah yang mengecurkan air liur. Pasti enak dimakan. Harganya padan dengan kesegarannya.
Di kawasan rumah yang saya duduki di Toronto Canada dahulu terdapat dua pokok pear. Sepohon peach dan beberapa pokok anggur. Ada beberapa kategori anggur. Ada yang manis dan ada yang masam. Yang manis tentunya untuk dimakan, dibuat kismis, jus dan bahan makanan seperti kuih dan sebagainya. Yang masam pula dibuat arak, cuka dan sebagainya. Pergi ke negara yang menanam anggur, pesta membuat arak air anggur adalah yang paling meriah. Portugal, Sepanyol, Perancis, Germany, Italy, Greece. Ini sesuatu yang menghairankan. Pelik bin ajaib. Anggur yang berlori-lori diletakkan di dalam suatu pelantar besar. Sesiapa sahaja boleh masuk ke dalam pelantar itu. Lebih ramai gadis yang turut sama lebih ramai lagi jejaka yang melompat gembira mengiringi gadis-gadis jelita tadi. Untuk apa ya? Untuk memijak-mijak buah anggur bagi mengeluarkan airnya. Ditadah di bahagian bawah. Air itulah yang disimpan peram untuk menjadi minuman yang memabukkan. Sangat sinonim hubungan antara anggur, kaki, mulut, tekak, peparu, perut dan tubuh badan. Untuk adat yang berzaman. Minuman ala kampong. Yang komersil tentu sahaja menggunakan alat-alat canggih ciptaan manusai yang lupakan Allah. Minuman terlarang yang prosesnya sahaja cukup menjijikkan. Apabila syaitan mengunci diri dan hati semuanya dilihat indah belaka. Hanya yang beriman melihatnya kekejiannya.   
Bagi orang seperti saya buah-buahan ada ceritanya sendiri. Pokok pear di belakang rumah cukup lebat buahnya. Saya memetik dengan tangan saya sendiri buah yang besar, segar, manis dan rangup itu. Saya pinjam tangga dari jiran sebelah. Bagi dahan yang tinggi saya pinjam galah jiran tadi. Banyaklah yang saya gugurkan. Buah yang melambak tadi diagihkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Juga untuk sahabat-sahabat yang bertugas di Malaysian Students Department di Toronto. Ramai juga yang datang memetik sendiri buah-buah itu. Saya berenam dengan rakan serumah tentu sahaja tidak mampu menghabiskan kesemua buah-buah itu. Terlalu lebat dan besar-besar belaka. Biasanya saya membeli. Tetapi kali itu saya memetik dari tangkainya secara live. Bukan yang dikedai. Malah orang putih dari Sececa College of Applied Technology ada juga yang datang untuk menikmatinya. Mereka bungkus bawa balik untuk anak dan isteri.
Buah-buahan lain saya dan teman serumah beli di tempat lain. Lazimnya di kawasan masjid selepas solat Jumaat. Ramai jemaah yang menjual buah selepas solat. Anggur yang masak, segar dan menyelerakan hanya 6 Canadian Dollar. Kira-kira RM15 waktu itu. Beratnya kira-kira 10 kg. Di sini pastinya anggur seperti itu mencecah RM20/kg. Begitu juga oren, epal dan buah-buahan yang lain. Sekotak anggur kadang-kadang menjadi telalu berat untuk dibawa oleh dua orang. Yang istimewanya ialah di sana buah-buahan kesemuanya masak dan enak dimakan. Tidak ada yang terasa tidak enak. Barangkali iklimnya. Suhunya. Suasananya. Makanan jadi enak. Sesudah kembali ke tanah air rasa payah hendak membeli buah import. Harganya mahal. Rasanya tidak sama seperti di negara asalnya. Ketika mengidam sahaja terpaksa dibeli juga. Tekak dan perut teringin merasanya.
Sebenarnya musim buah tetap bermusim. Di hemispiar utara ada buah. Di hemispiar selatan ada buah yang sama. Kedua-dua kawasan beriklim sederhana in lengkap melengkapi dari segi bekalan buah-buahannya. Ada masanya buah import datang dari USA, Sepanyol, Italy. Pada waktu yag lain buah-buahan itu datang dari New Zealand, Australia, Afrika Selatan. Argentina, Chile dan Peru mungkin teralu jauh. Ini kerana apabila winter di utara bekalan buah tentu tiada. Perlu diimport dari selatan. Begitu juga sebaliknya apabila winter di selatan, buah-buahan diimport dari utara. Kita yang berada d Khatulistiwa beryukur kerana buah-buahan import kita tiada halangan musim. Sentiasa ada.  Anugerah Allah kepada penduduk yang tidak diazab dengan perubahan dan pergantian musiam yang drastik. Manusia yang mensyukuri nikmatnya sentiasa berusaha memanfaatkan apa sahaja ciptaan Allah. Difikirkan manfaatnya kepada seluruh manusia. Di sampingnya mereka mendapat ganjaran keuntungan. Berniaga dengan Allah tidak pernah ruginya. Untung dunia dan akhirat.
Cerita buah ini ada sekuennya nanti. Untuk renungan yang lebih tajam. Bahawa kita masih jauh dari berjaya. Usaha kita masih terlalu rendah. InsyaAllah ada ceritanya yang tersendiri.

Saturday, November 17, 2012

Rumah Orang Putih




Kampung saya jauh di pedalaman. Sebelum tahun 1962 jalanraya bukan impian. 1990 saya sampai di Toronto, Canada. Rumah orang putih yang saya duduk. Awal September yang sudah mencengkam sejuknya. Di ruang tamu saya berdiang panas. Itulah Hearth yang memanas rumah. Heart memanas perasaan. bagi yang hangat bercinta, hangatlah ruang itu dengan kasih sayang. Pasangan yang baru mendirikan rumahtangga tentu hearth seperti itu menghangat kenangan. Warga emas menghabiskan sisa-sisa masa  hadapan yang semakin hilang.
Kita selalu melihatnya melalui TV. Meriah dilihat melalui filem. Begitu juga melalui gambar pegun, CD dan poster. Rumah orang putih tidak sama dengan rumah kita. Rumah kita sekadar melindungi dari panas dan hujan. Keselamatan ala kadar kerana kebanyakan kita tidak kaya. Lumrah kepada kita rumah yang banyak perabot hingga sukar bergerak dalam rumah sendiri. Bila malam lampu bergemerlapan. Rumah besar atau kecil hanya berbeza saiz. Pengisiannya hampir sama. Tidak banyak beza. Malah kadang-kadang rumah yang kecil lebih padat isinya. Malah TV di rumah kecil lebih besar dari TV di rumah besar. Perabot di rumah kecil mungkin lebih mahal dari yang di rumah besar. Keutamaan kita berbeza. Mungkin itulah bezanya orang yang lebih cultured dengan yang tidak. Berbeza antara orang yang lebih advanced dengan yang tidak. Berbeza antara orang yang lebih tinggi tahap pemikirannya dengan yang tidak. Jika kita membina tamadun orang melihat kita jauh lebih tinggi. Lebih gagah. Selalu didongak. Letaknya di atas.
Pemilik rumah besar pentingkan kualiti dan keselesaan. Hiburan bukan keutamaan. Pendidikan dan keberkesanan hidup berekonomi. Menyempurnakan tanggungjawab sosial. Membangunkan kesempurnaan diri. Self-actualisation. Lain benar di rumah kecil. Semua isinya out-of-propotion. Isi rumah melebihi kadar pendapatan. Maka terabai kualiti dan kuantiti. Makanan yang ala kadar. Santapan rohani yang terlalu sedikit untuk anak-anak dan diri sendiri. Hiburan melampaui keperluan. Home stereo mengaum di mana-mana ruang. Pendidikan anak-anak  jauh dikebelakangkan. Bukan keutamaan membeli buku. Tiada perpustakaan yang sesuai. Kadang-kadang banyak hal-hal yang tiada perlu berbanding dengan semua yang diperlukan untuk mengangkat martabat keluarga. Martabat agama. Martabat bangsa. Martabat diri sebagai individu yang melebihi orang lain.
Rumah kita tiada keperluan menahan sejuk. Tiada keperluan menahan panas. Bumbungnya tiada perlu menahan snow.  Tiada angin kencang sengeri twister. Sebab itu banyak lubang di sana sini. Hanya bila perlu kita lakukan pengurusan kerosakan. Rumah orang putih ada yang besar. Biliknya berbelas-belas. Harganya jutaan USD. Namun banyak rumah mereka yang menurut keperluan sahaja. Namun ukurannya berbeza. Rasanya kita selalu dengar program merancang keluarga. Banyak datang dari barat idea seperti itu. Kepada mereka membesarkan anak perlu secukupnya. Perlu sempurna. Seorang anak sebuah bilik. Kita tidak pernah berfikir begitu. Yang kita fikirkan ialah anak itu boleh makan. Asalkan kenyang. Khasiat? Nanti dulu. Manfaat? Jangan difikir. Yang penting kenyang. Sekolah? Ikut trend. Macam mana nak pandai? Pandai cikgulah. Mereka professional. Mana hendak tidur? Mana-mana ruang boleh. Berkongsi apa yang ada. Implikasinya terlalu jauh. Mungkin ada entri lain yang lebih sesuai.
 Jauh beanya cara pemikiran kita. Orang putih menjaga kebajikan anak. Hak anak. Keperluan anak. Bila lahir sahaja anak itu masa hadapannya dirancang. Ramai ibu bapa yang mampu menderma sebanyak mungkin kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menjadi tumpuan mereka. Idaman keluarga. Jika bukan Ivy League sekalipun berpadalah IPT yang world renown.  Apabila anak mereka besar, tempat sudah ditempah sejak lama dahulu. Pelaburan untuk masa hadapan anak. Makanan kepada mereka difikirkan dari berbagai aspek sejak anak-anak di peringkat headstart lagi. Sewaktu berusia tiga tahun. Dididik supaya memilih makanan. Memilih komposisi yang betul. Mengenal pyramid makanan. Amalan kesihatan yang ditanam sejak kecil lagi. Melentur buluh dari rebungnya. Kerana itu walaupun banyak makanan ringan, makanan berkhasiat tetap menjadi pilihan mereka. Makanan segera sesuai untuk orang biasa. Yang rendah kelas sosialnya.
Di rumah orang putih suasana selalunya damai. Tenang. Santai. Cahaya lampu tidak begitu terang. Romantis barangkali. Perabot seadanya. Bukan memenuhi semua ruang. Mereka tidak menyediakan perabot untuk tetamu yang ramai. Sekadar empat orang kemungkinannya. Ada keutamaan yang selalunya kita abaikan. Mereka pasti ada study room. Mungkin juga perpustakaan. Di luar rumah mereka ada garaj yang juga mungkinnya sebuah bengkel. Bertukang umpamanya dibuat di bengkel itu. Tidak ada sepah. Tidak ada kecah. Tidak ada kecelaruan suasana. Rumah terpelihara dari kekalutan membuat kerja tidak tentu tempat. Laman rumah, keliling rumah semuanya terpelihara. Setiap aktiviti ada tempatnya. Ada ruangnya. Ada prasarananya. Sistem dibangunkan. Prosedur dilakar. Proses ditentukan. Semua hal adalah sistematik dan sistemik.
Kembali ke dalam rumah. Di ruang tamu ada ruang memanas udara. Hearth.  Heart adalah hati. Hearth pula tempat memanaskan udara. Kayu yang khusus dibakar. Tidak mengeluarkan asap atau bau. Arang batu yang dilombong jauh di dalam bumi menjadi pembakarnya. Sekarang mungkin digunakan gas atau elektrik. Hangat seluruh rumah. Boleh bertahan sejuk winter.  Hearth agak terlalu istimewa. Tradisional. Bergaya lama. Sekarang rumah-rumah lebih banyak yang memasang heater. Alat pemanas daripada elektrik atau gas. Lebih mudah. Sukar sebenarnya membakar arang atau kayu. Perlu diservis secara berjadual. Jika terlupa pada malam yang panjang tiba-tiba sejuk mendatang apabila kayu lambat dibakar untuk menyambung bara. Namun hearth lebih menarik. Lebih sentimental.
Rumah orang putih tidak cantik luarannya. Dibiarkan terdedah kepada panas summer dan snow winter. Ada pula merayap berbagai pokok. Namun bahagian dalaman rumah sangat dihias rapi. Diambilberat susunaturnya. Diberi nafas pemiliknya. Mewarnai citarasa. Memenuhi hasrat mencapai ketenangan. Kemasan dinding dan lantainya bertema. Lazimnya rumah mereka diterangi dengan lampu berdiri atau lampu meja. Lampu siling hanya ada di rumah yang besar agam. Yang pemiliknya mewah memakan dan yang membakar duit. Di rumah orang kebanyakan sangat berbeza. Mereka hidup biasa, santai tetapi berkecukupan. Barangan baru atau terpakai bukan ukuran. Yang penting selesa. Lagipun di rumah orang putih tiada keperluan ruang besar dan luas. Mereka tidak mengadakan kenduri kendara di rumah. Jika dijemput handai taulan mereka mengadakannya di lawn. Laman rumah. Jika di dalam rumah mungkin setakat dua atau tiga pasangan sahaja. Tanpa kanak-kanak. Jiran rapat atau teman rapat sahaja.
Seperti pernah saya coretkan dahulu rumah kita mestilah ada perpustakaan. Ada  ruang solat yang selesa. Ada setor untuk meyimpanan barang-barang yang gunanya kadang-kadang. Jarang-jarang pula. Jika setiap ruang ada gunanya rumah pasti tiada sepahnya. Mudah diurus sebenarnya. Setiap benda ada tempatnya.orang dewsa ada ruangnya. Kanak-kanak ada ruangnya. Ilmu, hiburan dan agama dipisahkan dengan ruang-ruang yang menjana keinsafan untuk bermunajat. Berserah kepada Allah semata-mata. Rumah orang putih melengkapi seadanya keperluan mereka berbudaya. Gaya mereka. Keselesaan mereka begitu. Ada yang boleh diikut dan ada yang tidak boleh diikut. Kita boleh belajar untuk mengubah paradigma berfikir. Paradigma bertindak.  Membina keluarga mestilah berlandaskan syariat. Berlapik teknologi. Bertongkat ekonomi. Mudah-mudahan hanya Allah tempat mengharap segala harapan.

Di kiri Tuan Haji Mohamad. Orang Kelantan. Kali terakhir khabarnya di Kolej Twintech. Di sebelahnya Datuk Zakaria.Mantan Pengarah Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Mantan Pengarah Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Mantan Pengarah Pendidikan Negeri Perak. Kedua-dua mereka biasa di England. Bachelor mereka di sana.


Rumah sebuah ini santai juga. Ada beberapa bilik yang cukup luas. Ruang tamu, dapur dan ruang makan. Ada laman di sekelilingnya. Jalanraya di hadapan rumah agak luas. Lapan lorong. Maaf saya lupa nama jalan ini. Sudah 22 tahun saya tinggalkan.

Sebenarnya sudah ada notis bahawa rumah itu hendak dirobohkan. Dikira terlalu tua. Sewaktu saya duduk dahulu terasa bimbang juga jika tiba-tiba rumah itu dirobohkan.
  

Di tengah gambar ada tiang sebatang setinggi paras bahu. Itulah tempat bas berhenti. Ada jadual pada tiang itu. Bas datang tepat pada waktunya. Kami selalunya turun dari rumah dua minit sebelum bas sampai. Entah bila keadaan seperti itu boleh berlaku di Malaysia. Negara kita yang tercinta. Negara yang selalu disebut Satu Malaysia.



 Pokok renek mengelilingi rumah. Tiada pagar. Daun pokok bila dibiarkan meliar, panjang dan berserabut. Pinjam mesin pemotong. Cantik juga kawasannya kami jaga

Monday, November 12, 2012

Toronto Dalam Dua Hari



Hari kedua di Toronto.  Hari Sabtu yang agak lengang. Suhu sudah mula suam-suam kuku. Orang Putih ramai berdengkur. Masih pagi. Tidak bekerja. Musim panas sudah di hujung. Musim luruh menjelang datang. Pengalaman lama menjengah kembali. Jet lag tidak boleh dimanjakan. Nanti lama baru dapat accalimatise. Jika dibiarkan tentnya siang tidur. Malam berjaga. Saya berada di sebalik dunia. Perbezaan waktu 12 jam. Setengah hari. Waktu tidur di Malaysia adalah waktu siang dan bekerja di sana. Begitu sebaliknya. Tanpa berfikir kita hanya mengikut kehendak mata dan hati. Hari kedua itu kami gunakan untuk meninjau bandaraya Toronto. Mengelak dari tidur.
 
Kebetulan Toronto sedang gah mengadakan pameran perindustriannya. Tapak pameran berhampiran dengan CN Tower. Canada National Tower. Menara paling tinggi di Canada. 533.33 meter menjulang awan.


 Memandang sahaja sudah terasa gayat. Imej siang yang terang benderang. Begitulah pada waktu-waku cerah summer atau spring atau fall. Memukau mata dan perasaan hati.




CN Tower yang panoramik. Cahaya bergemerlapan. Malam yang cerah.



Antara yang menarik perhatian ialah pameran perkakas rumah, perabot dan ternakan. Hari Sabtu sehari suntuk saya dan yang lain meronda-ronda. Rasanya bagi yang tidka pernah berada di sebalik dunia tidak dapat merasakan perubahan metebolism tubuh badan. Siang itu di Toronto orang sedang berjaga, bekerja, melakukan aktiviti waktu siang. Badan sebenarnya sedang mengantuk, longlai, lesu dan tidak bermaya. Saya berjalan seperti melayang. Terapung-apung. Berjalan seperti tidak memijak tanah. Saya gagahkan juga menjelajah bumi Toronto untuk pertama kalinya. Merasakan tinggi rendahnya tanah, jalan dan bangunan yang ada.

Di tampat orang biasanya kita terfana dengan keindahan yang berbeza. Terpegun dengan kecantikan yang lain dari yang biasa. Mata yang memandang mestilah menusuk ke dalam bahawa yang terlihat ada yang tersurat. Setiap yang dipandang ada penciptanya. Di situlah keinsafan menjengah bahawa kita hanya diberi pinjam. Sementara hidup yang pastinya sampai juga penamat hayat seperti yang telah ditentukan. Begitulah pengalaman berada di mana-mana bumi Allah. Yang perlu diambilkira ialah rasa kesyukuran yang tinggi. Kita hanya hamba yang sangat kerdil. Yang sangat memerlukan Allah.  Tiada yang lain melainkan Allah. Petang itu saya pulang lewat. Sampai di rumah perlu sangat untuk tidur. Malam itu nenyak sungguh tidur kerana keletihan dan kerana memang waktu tidur yang mula dirasa. Jet lag yang perlu diatasi. Segera menyatu dengan iklim setempat. Suhu yang rendah menambah keenakan tidur yang memanjang.

Hari Ahad menjengah datang. Menunggu hari Isnin tentulah 24 jam lagi. Seneca College of Applied Technology akan dijengah pada hari Isnin. Hari Ahad itu kami putuskan untuk meronda lari. Toronto yang besar itu banyak ruang yang ada. Tempat pameran kami jengok lagi. Terlalu banyak yang dilihat. Banyak yang menyapa perasaan. Banyak yang menukar persepti. Tanggapan yang datang menambah perbendaharaan minda. Maka jet lag sudah tidak lagi menjadi faktor perbezaan waktu. Dua hari yang penuh aktiviti menyatukan diri dengan suasan hidup di tempat baru. Toronto yang selalu menggamit rindu rasa.
 
Sebenarnya kami hanya ingin meletihkan badan. Membiasakan diri dengan siang dan malam. Nantilah dalam siri yang lain Toronto pastinya selalu mengujakan. Pengalaman yang langka berlakunya. Sesekali Allah lorongkan ruang dan masa untuk menghayati kebesaranNya.





Keindahan tersendiri yang bergabung antara waktu teristimewa. Malam yang selalunya gelap di Malaysia tidak di negara orang. kadang-kadang terserlah keindahan malam yang tiada tolok bandingnya. Kedudukan Toronto di tepian Tasik Ontario menambahkankan keindahannya.



Imej-imej indah sebegini sukar dilupakan. Selalu nostalgik. Pemandangan waktu malam ya majestic. Melampaui ungkapan dan kata-kata. Allah mencipta alam yang sentiasa indah. Di negara orang keindahan itu kadang-kadang menyerlah. Azab di musim sejuk Allah gantikan dengan anugerah alam yang indah. Hanya bagi yang mengerti dan tunduk sujud kepadaNya. Taqwa yang dituntut dari hambaNya.

Pengajara yang saya terima ialah bahawa sesuatu yang baru mestilah dihargai. Mestilah diambil iktibar. Mestilah dijadikan asas untuk bergerak ke hadapan. Moving forward.  Semuanya menjadi sejarah indah bila diingat. Bila dikenang. Bila buka lembaran-lembaran lama sejarah diri. Kita semua punya sejarah diri sendiri. Sejarah seorang manusia biasa. Namun sejarah itu kita yang melakarnya. Ada orang mengatakan bahawa orang yang tidak punya sejarah tidak punya masa hadapan. Sejarah itu kayu ukur zaman lalu. Lonjakan ke hadapan bermula dari asas lalu yang pastinya ampuh. Tinggi anjalannya. Pengalaman itu penting untuk menilai unjuran masa hadapan yang lebih besar impaknya. 

Bangsa yang tidak punya sejarah adalah bangsa yang tidak punya harapan. Semuanya bermula dari individu yang kecil dan kerdil. Sejarah tanpa signifikan yang menimbun sedikit demi sedikit. Masa dan ruang menjadikannya berimpak tinggi. Jadi rujukan masa. Rujukan zaman. Rujukan lampau yang meluncurkan hasrat bangsa untuk maju ke hadapan. Kita tidak statik pada suatu vakum masa yang terhenti kaku. Kedinamikan selalu berputar mencari paksi-paksi baru. Mencari tapak asas membina yang lebih baik. Yang lebih tinggi. Yang lebih menggugat ketabahan dan kesukaran. Di hujung sana ada realiti yang memanjangkan kelestarian bangsa itu sendiri.