Bila anak-anak bersekolah ibu bapa beranggapan anak-anak mereka dalam jagaan guru dengan sempurna. Tidak ramai ibu bapa yang memahami bahawa anak mereka tidak ada siapa yang menjaganya secara khusus. Sila baca kembali Selamatkah Anak Kita Di Sekolah? Secara umumnya pihak berkuasa sekolah yang bertanggungjawab. Tetapi bukan setiap detik dan saat. Hanya ketika pelajar memerlukan khidmat pihak sekolah barulah mereka bertindak secara khusus. Jika tidak anak-anak hidup bebas tetapi terkawal dengan undang-undang dan peraturan. Namun begitu biasa kita dengar bahawa anak-anak berada di luar kawalan guru. Mereka melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Malah yang ganas sering kita dengar. Sering kita baca di dada media cetak. Sering kita dengar dalam media elektronik.
Kita merasakan guru-guru adalah pengganti ibu bapa sewaktu di sekolah. Barangkali itu nostalgia masa lalu. Zaman saya di sekolah dahulu. Zaman sekolah adalah untuk belajar. Mungkin bermain. Cukup masa mengambil peperiksaan. Lulus atau tida bukan masalahnya. Kerja banyak. Pilih mengikut kelayakan. Ramai kawan-kawan saya yang hanya melalui tingkatan dua boleh menjadi tentera atau polis. Hidup mereka santai. Bahagia nampaknya walaupun bukan gaji empat angka atau lima angka. Semuanya seperti sangat murah ketika itu. Kos hidup rendah. Kuasa beli Nampak tinggi. Taraf hidup belum difikirkan lagi. Hidup lebih santai. Tidak kepoh seperti sekarang. Hidup sekarang dalam zaman siber ini terlalu pantas. Tiada ruang untuk muasabah diri kadang-kadang. Malah ramai yang lupa dirinya siapa sebenarnya. Ramai yang kehilangan peranan.
Anak-anak dahulu seperti saya jarang bermimpi. Jika adapun mimpi yang biasa-biasa. Sesuai dengan pengalaman yang terlalu sedikit. Jauh di hujung kampung. Terpencil di luar bandar. Saya nampak kapalterbang yang lalu di angkasa kampung saya. Yang saya minat lampunya berkelip-kelip dilihat dari bawah. Zaman itu tidak sekelumitpun timbul keinginan untuk satu hari nanti berada di dalamnya. Terbang merentas angkasaraya yang terbuka terbentang. Waktu di sekolah saya dan rakan-rakan sesekolah saya bukan seperti anak-anak sekolah seperti sekarang. Masa berlalu. Zaman beralih. Waktu sudah menjelmakan hal-hal yang dahulunya tidak pernah difikirkan. Kadang-kadang kita kehilangan upaya menangani anak-anak yang jauh berubah. Jarak masa puluhan tahun merubah lanskap anak-anak. Yang namanya anak itu fizikalnya sama. Tetapi perangai dan dalaman mereka berbeza. Ramai ibu bapa tidak dapat membaca apa yang tersirat dalam diri anak-anak mereka.
Apa sebenarnya yang berlaku sukar dianalisis. Sebagai guru saya hanya boleh mengumpul sedikit ingatan. Menyimpul apa yang saya lihat. Mengurai apa yang saya dengar. Pengamatan saya selama 42 tahun mungkin boleh saya kongsi. Mungkin hanya benar mengikut persepsi saya. Orang lain ada persepsinya sendiri. Walau bagaimanapun mungkin ada perbezaan pendapat yang boleh diharmonikan. Yang boleh diraikan. Mungkin juga boleh dimanfaatkan. Sebagai individu kita tidak boleh menafikan pendapat orang lain. Bagi orang Barat bila mereka berdebat dan tidak ada rumusannya maka mereka buat kesimpulan mudah. Anda berhak dengan pendapat anda. Saya pula berhak dengan pendapat saya. Boleh kita bersetuju bahawa kita tidak bersetuju pendapat? Mari kita raikan perbezaan itu. Lalu mereka makan dan minum bersama. Berbual mengenai topik-topik lain yang lebih santai. Begitulah orang yang sudah tinggi tamadunnya dalam aspek itu.
Seingat saya ibu bapa dahulu bekerja juga. Sekarang juga bekerja. Apa bezanya? Di sini ada masalah besar. Ramai yang maklum. Ramai yang tahu. Soalanya, bagaimana boleh jadi begitu? Pertamanya jadual kerja. Ibu bapa dahulu kerja kampung. Menoreh getah. Mebas kebun. Menggali parit sempadan atau untuk saliran. Mengait kelapa. Mengupasnya. Menyalai. Atau menyucuk atap rembia. Atau menebang sagu. Atau mencari kopi. Atau berkebun. Pisang dan jagung. Keladi dan peria. Kacang panjang dan bendi. Bersawah. Menjadi nelayan. Tengahari mereka kembali dan berada di rumah. Makan bersama anak-anak. Selepas Zohor mereka mungkin ke kebun lagi. Buat kerja lain. Sebelum waktu ‘Asar mereka sudah juga berada di rumah. Waktu malam ibu bapa tidak keluar rumah. Jika ada kenduri kendarapun mereka balik juga pada waktunya.
Ini bermakna setiap pergerakan anak adalah dalam pengawasan rapi ibu bapa. Waktunya tidak pernah berselang. Tiada waktu senggang yang ibu bapa tidak memberi pengawasan. Jadual harian ibu bapa tidak memungkinkan mereka mengabaikan anak-anak walaupun sedikit. Semuanya terjamin begitu. Tetap. Kekal. Malar. Maka anak-anak selamat dalam fitrahnya sebagai anak. Jika mereka bersekolah mereka menjadi anak-anak yang aman damai. Bahagia. Tenang dan selamat. Yakin diri. Berdikari pula. Tidak ada gangguan rohani dan perasaan. Mereka adalah anak-anak yang apabila cukup tahun tercatat kelakuannya sebagai baik. Itu pengakuan guru kelas. Itu juga pengakuan Guru Besar atau Pengetua.
Siapa ibu bapa sekarang? Benar mereka bekerja. Bukan. Mereka berkerjaya. Profesional lagi. Apa yang kita lihat. Hidup mereka bergerak pantas. 24 jam tidak cukup. Banyak tugas di luar rumah. Di luar kawasan. Berhari-hari tiada di rumah. Berminggu atau mungkin berbulan-bulan berada di luar rumah. Tugas rasmi. Jika mereka di rumahpun hanya beberapa jam lekat di rumah. Kerja ikut syif. Ada masanya siang. Kebanyakan masa malam pula. Untuk mengumpul duit yang lebih banyak. Keperluan rumahtangga. Perkakas dapur. Perkakas rumah. Aksesori lain. Cuti. Pakaian. Makan sedap. Kerana itu banyak masa mereka di luar rumah. Balik tidak tentu masa. Tidak tentu hari. Tidak tentu minggu atau bulan. Bila mereka memantau anak-anak? Bila boleh makan bersama? Bila boleh menyediakan masa kualiti? Santai bersama? Rempah ratus yang menjadi ramuan mendidik anak sudah lama hilang. Anak-anak menjadi produk yang tidak memiliki rasa sedap untuk dilihat. Untuk dipandang. Untuk dibawa hadir bersama.
Apa yang kita lihat ialah anak-anak yang kehilangan sentuhan ibu bapa. Hilang lingkungan ibu bapa itu. Jarang anak-anak yang mengerti perasaan mereka sendiri. Di luar, diri mereka nampak normal. Santai. Dalaman diri mereka bergejolak. Mereka meronta-ronta. Mereka memberontak. Geram dan marah. Jiwa mereka kosong. Malangnya ibu bapa mengandaikan bahawa anak-anak mereka adalah dewa-dewa yang turun dari kayangan. Kesemuanya dilihat sebagai anak-anak yang terbaik. Persepsi ibu bapa selalunya bersalahan dengan apa yang hakiki dilihat oleh guru sehari-hari. Jauh panggang dari api.
Semua berpunca dari rumah. Mereka berbuat apa sahaja kerana tiada siapa yang memberi nilai. Tiada siapa yang memberikan erti estetika. Tiada yang membimbing untuk mengerti yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana benar dan yang mana lebih benar bila berhadapan dengan pilihan. Yang mana benar dan yang mana salah menjadikan mereka keliru. Minda mereka tersekat kerana jalan fikir itu tidak dibimbing oleh ibu bapa. Bila sampai di sekolah mereka bertembung dengan budaya ilmuan. Mereka kaku dan kejang berhadapan dengan peraturan dan undang-undang. Apatah lagi protokol dan etiket. Sila kembali kepada entri saya Bekal Hidup Dari Rumah. Peranan ibu bapa melebihi peranan guru-guru. Bila guru ingin membetulkan keadaan, ibu bapa sepatutnya memberi sokongan. Maaf. Ibu bapa bukan pakar dalam pendidikan. Bila mereka menghantar anak ke sekolah bermakna mereka tidak ada keupayaan untuk mendidik anak-anak mereka dari segala aspek. Apa salahnya memberi sedikit kepercayaan kepada guru. Memberi sedikit ruang untuk membetulkan mana-mana yang tidak betul.
Ada sesuatu yang ibu bapa tidak tahu. Meerka selalu membuat andaian-andaian liar. Kepada mereka guru lebih rendah tarafnya berbanding kejayaan ibu bapa. Kerjaya ibu bapa mungkin terlalu jauh berjayanya berbanding guru. Tetapi kembalilah kepada dasar. Anak-anak tuan perlukan guru. Perlu bimbingan. Perlu didikan. Perlu asuhan. Perlu pimpinan. Perlu dilatih untuk menggunakan minda sebagai orang bestari. Bijaksana. Geliga. Pandai fikir itu yang kadang-kadang terabai. Pandai yang lain mungkin tidak perlu diajar. Pandai sendiri kerana persekitarannya yang mengajarnya. Pandai fikir adalah aspek lain yang perlu diteliti oleh ibu bapa. Tidak ramai ibu bapa yang memiliki kemahiran untuk menurunkan ilmu pandai fikir kepada anak-anak mereka. Maka gurulah tempat bergantung. Tolong jangan cantas dahan tempat bergantung itu. Tolong jangan tebang pohon rendang tempat berteduh itu. Tolong jangan diracun pohon itu kerana dia setia mengeluarkan bunga dan buah. Buahnya walaupun masam masih boleh mengenyangkan. Memberi tenaga kepada generasi yang yang akan datang.
Ibu bapa kenalah ada kepekaan yang tinggi. Perhatikan apa yang mereka makan dan minum? Atas nama kerjaya. Atas nama professional berapa ramai antara ibu bapa yang membawa balik ke rumah makanan yang belum tentu halal haramnya? Makanan itu halal secara fitrahnya. Adakah diperolehi cecara halal? Dibeli secara halal? Menggunakan wang yang halal? Pendapatan yang halal? Zaman dahulu ibu bapa tidak tinggi sekolahnya. Ada roh dalam pendidikan mereka. Cakap mereka didengar. Jelingan mata mereka dimengerti. Dehem mereka ada isyarat dan makna-makna yang dimaklumi. Anak-anak sekarang tidak mengerti semua itu. Keibubapaan tidak lagi mementingkan kependidikan sebegitu. Yang difikirkan ialah wang dan harta. Hidup senang. Hakikatnya tidak begitu. Kebahagian keluarga selalu elusif.
Kita kehilangan sentuhan untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa dahulu hidupnya tidak senang. Mereka berkecukupan dalam banyak hal. Yang pentinganya ketenangan dalam keluarga itu memberikan pengajaran yang besar ertinya kepada anak-anak. Mereka pergi ke sekolah dalam ketenangan itu. Guru-guru pula tidak sesibuk sekarang. Sentiasa huru hara. Kehabisan masa. Kehabisan tenaga. Kehabisan cara. Darjah kemanusiaannya menurun. Sifat-sifat keguruannya mencair. Mereka manusia biasa yang kehilangan diri kerana dikepung dengan asakan dan suasana keliling. Banyak tangan-tangan yang mengganggunya. Mereka kehilangan autonomi sebagai guru. Sebagai pendidik. Mereka menjadi orang-orang biasa yang profesionnya dicabar. Dianggap ringan. Dianggap mudah. Kadang-kadang diperlekehkan.
Dalam keadaan sekarang, guru juga perlukan bahu untuk melentokkan kepala. Untuk meredakan gegaran perasaan di dalam. Mereka perlukan sokongan. Tempat bersandar. Lihatlah di sekeliling berapa ramai guru yang kehilangan jalan fikir. Yang kehilangan fikiran bestari mereka. Banyak faktor yang kadang-kadang sukar dimengerti. Kehidupan mereka tidak menjanjikan kerjaya yang damai dan bahagia. Mereka jadi keliru dan bertambah keliru. Tugas mereka mengajar dan mendidik atau memuaskan tuntutan-tuntutan yang bukan akademik. Terlalu banyak pula. Akhirnya guru menjadi robot atau bagi yang lain menjadi guru yang longlai. Tepu. Merudum. Runtuh kemanusiaannya sebagai guru.
Sejak anak pertama saya selalu jengok guru di kelas. Berkenalan dan rapat dengan mereka. Di Sekolah Rendah Raja Perempuan Ipoh dahulu hampir semua guru yang saya kenal. Dari Guru Besar hingga guru-guru biasa yang lain. Kebetulan saya aktif dengan PIBG sekolah. Pernah jadi Yang DiPertua. Maka apabila saya datang ke sekolah tiada masalah saya berinteraksi dengan guru-guru anak-anak saya. Banyak maklumat mengenai anak-anak saya yang mereka berikan. Sikap mereka. Kerjasama mereka. Kepekaan mereka. Cita-cita mereka. Dan banyak lagi. Sebenarnya guru sangat mengalu-alukan ibubapa ke sekolah. Banyak cerita anak-anak kita yang ingin disampaikan. Yang ingin mereka maklumkan. Yang ingin mereka ceritakan. Di rumah anak-anak berwatak lain. Di sekolah watak mereka mungkin berubah. Apa yag berlaku di sekolah tidak dalam kawalan kita. Guru-guru yang memiliki maklumat tentang anak-anak kita. Bila kita datang guru-guru tentulah suka. Mereka mencari pendengar. Kerana itu bila kita datang guru melonggokkan kesemuanya kepada kita. Banyak yang hendak diceritakan tentang anak kita. Tentang kebaikan-kebaikan yang anak kita lakukan di sekolah. Dalam pada itu ada kekurangan-kekurangan yang perlu diambil perhatian. Kesemuanya menjurus untuk menjadikan anak kita menjadi manusia lebih berguna bila sampai waktunya mereka memainkan peranan dalam hidup mereka nanti.
Impaknya besar apabila ibu bapa menghadirkan diri di sekolah. Ikatan bertaut antara guru dan ibu bapa. Anak-anak kita melihat hubungan itu. Sejahat-jahat anak kita mereka masih hormatkan kita. Bila kita ada hubungan dengan guru mereka akan teragak-agak untuk tidak menghormati guru. Pada masa yang sama guru juga teragak-agak untuk tidak memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita. Kita sudah menjadi rakannya. Guru itu sudah menjadi guru anak kita. Hubungan itu menjadi peribadi. Faedah bersilang ini besar manfaatnya untuk megawal tingkah laku anak-anak kita. Mereka menjadi lebih terurus emosinya. Begitu juga sikapnya. Penampilan dan urus diri mereka.
Ziarahlah selalu ke sekolah. Anak-anak kita yang di sekolah itu. Guru terlalu kecil peranannya. Secara kolektif mungkin kesemuannya tugas guru. Seorang guru secara individu terlalu kecil peranannya terhadap anak kita. Ada beribu-ribu lagi anak orang lain yang perlukan perhatian. Mungkin lebih memerlukan guru. Apa salahnya ibu bapa yang berkemampuan dari segi masa jengahlah sekolah. Intailah sekolah. Pergilah. Ziarahlah. Anak-anak kita buat apa di sekolah. Guru-guru mereka yang tahu. Cebisan-cebisan jigsaw puzzle tentang anak-anak kita hanya guru yang tahu. Ibu bapa tidak boleh perasaan bahawa mereka tahu kesemuanya kerana pada kebanyakan masa kita tidak bersama anak-anak kita. Mulai hari ini silakan buat jadual berkala untuk bertemu dan bertanya khabar dengan guru-guru anak-anak. Banyak manfaatnya dalam usaha bersama untuk mendidik anak-anak. InsyaAllah.