Wednesday, March 25, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Bumi Anbia’ Kau Ku Tinggalkan



26 Mac 2015 pasti ada sejarahnya sendiri. Kaki melangkah meninggalkan Imarah 16 di Syariq Toha al-Dinariy, Hayyu Sabiek, Madinah Nasr, Cairo. Hari ini kaki dilangkah pergi. Ku tinggalkan Bumi Anbia’ yang penuh sejarahnya ini. Permukiman yang tamat sudahnya. Pengembara sementara yang lalu sebentar. Menghirup dan menghidup semangat ilmu Nabi Musa. Antara dua laut yang dirakam sebagai pengalas kembara itu sendiri. Hadir di sini hanya seketika. Berkampung dengan suadara-saudara seIslam dari seluruh pelosok dunia. Mengerti bahawa Islam itu agama. Agamanya tauhid. Bukan bangsa dan bukan kaum. Tiada ras dalam beragama. Terhimpun dalam satu wadah yang tidak memberi beza. Bahawa sesama Islam adalah saudara. Hingga hilang minat membicarakan tentang asal ususl kecuali Islam. Kita bukan lagi berbeza dari mana kita datang. Kita kembali kepada Adam dan Hawa. Kita menyatu dalam agama yang diredhai Allah. Al-Quran Allah pelihara sehingga hari Qiamat. Sebagai umat kita belajar dan menyampaikan. Menyambung warisan agama sejak dari banyaknya pengorbanan Nabi Junjungan Muhammad saw dan para sahabatnya. Nantinya kita kembali jua kepada Allah yang Maha Khaliq.

Bumi Mesir penuh dengan sejarah Nabi Yusof dan Nabi Musa. Begitu juga dengan Nabi Harun, Nabi Danial. Selalu diiringi dengan doa dan tangisan Nabi Yaakub. Bahawa sesiapa yang memasuki Mesir akan aman sejahtera. Namun perlu melalui berbagai cabaran. Menguji kekuatan semangat dan iman. Menguji usaha untuk menghasilkan indahnya cita-cita dan anugerah Allah. Bumi Mesir banyak mengajar untuk mengerti agama. Walaupun Islam dilahirkan di Makkah dan dikembangkan di Madinah tetapi di Mesir terdapat wadahnya Islam itu untuk dimengerti. Persekitarannya masih banyak seperti dahulukala walaupun pembangunan cuba melarikan realiti zaman. Di sebalik pencakar langit masih ada yang tidak memiliki rumah. Di sebalik restoran mewah dan segera masih ramai yang tidak makan dengan sempurna. Di sebalik mereka yang berkenderaan mewah masih ramai yang hanya mampu berjalan kaki. Di samping mereka yang duduk di pejabat berhawa dingin masih ramai yang tiada pekerjaan walaupun sambilan atau sementara.

Di bumi Anbia ini yang penuh dengan padang pasir bukan luasnya yang diukurkira. Ilmu dan pengalaman yang banyaknya tidak terhambat. Sungai Nil yang dinobatkan sebagai sungai yang terpanjang di dunia tetapi senarai ulamaknya lebih panjang dari Sungai Nil itu. Terlalu banyak yang unik tentang Mesir. Mereka yang berada di sini tentu teruja kerana menyaksikannya sendiri. Bukan mendengar dari cerita. Bukan membaca dari tulisan. Bukan menonton dari rakaman. Melihat dengan mata sendiri. Berada di persekitraannya. Mendengar bisingnya, menyentuh batu dan pasirnya, menjejak buminya, meminum air Sungai Nila, menikmati hujan yang jarang rembasnya. Kenangan abadi ini pastinya bakal menyelimuti rasa rindu yang mencengkam. Empat musim yang bergantu silih datangnya. Ditunggu dan diharap. Walaupun realitinya tidak serindu hati tetapi itulah empat musim yang selalu berganti. Apabila dingin rindukan panas. Apabila panas rindukan dingin. Apabila kaki menjajak bumi Malaysia 24 jam dari sekarang pastinya kerinduan kepada sejuk sukar dikawal dengan emosi. Rindu serindunya terhadap musim bunga dan musim luruh yang nyaman.

Menjejak Fayoum kembali ke zaman Nabi Yusof dengan kincir airnya. Di sana juga tasik Qarun dan sebahagian istananya yang masih dapat dilihat. Allah tinggalan cebisan kisahnya untuk mengingatkan bahawa rezeki dariNya. Zakat adalah perintah Allah. Semuanya kembali kepada Allah. Iskandariah, Matruh, Siwah, Dumyat adalah pantai-pantai yang dahulunya tempat orang Yunani (Greek) dan Roman menjajah. Budaya mereka terlihat di sepanjang pantai. Yang tenggelam juga tidak dapat dibilang dan dikesan. Port Said dan Port Fuad di muara Terusan Suez menjadi lambang usaha manusia memendekkan perjalanan dari Timur ke Barat dan sebaliknya. Orang Barat lebih perlukan terusan itu berbanding orang Timur. Mereka tidak terdaya mengelilingi Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di selatan Afrika Selatan. Terlalu jauh. Maka Terusan Suez yang panjang sejarahnya direalisasikan. Setelah berperang barulah terusan itu menjadi milik Mesir.

Hidup di negara empat musim sangat mengujakan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali berada di sini. Entahlah, setelah membanding-bandingkan keberadaan penulis di USA, Canada, Jordan dn Mesir penulis dapati kos hidup pada umumnya di negara-negara tersebut lebih rendah dari di Malaysia. Sekadar perbandingan di Kaherah umpamanya:

Bil
Produk (KG)
Harga (RM)
1
Keladi
1.75
2
Ubi keledek merah
1.25
3
Kobis sebesar kepala
2.00
4
Kobis bunga sebesar kepala
3.00
5
Anggur tanpa biji
3.00
6
Buah delima
3.00
7
Lada merah
3.50
8
Terung
2.00
9
Daun bawang ½ kg
0.50
10
Daun sup ½ kg
0.50
11
Serai ½ kg
2.50
12
Sotong sedang
7.50
13
Ikan kembung
7.50
*Nota: Harga kebanyakan produk pertanian hampir sama di USA dan Mesir.

Banyak lagi yang murah jika hendak dijadikan perbandingan. Pendek kata banyak nikmatnya tinggal di bumi Mesir ini. Buah dan sayur berganti jenis apabila berganti musim. Buah dan sayur musim panas tidak sama dengan yang musim sejuk. Walaupun ada buah dan sayur yang terdapat sepanjang musim tetapi bilangannya tidak banyak. umpamanya tembikai hanya dalam musim panas. Begitu juga anggur. Yang terdapat pada musim sejuk mungkin didatangkan dari selatan Mesir atau diimport. Pisang tiada musim. Sentiasa ada. Sama ada dari sekitar negara Arab sendiri atau pisang dari Amerika Tengah dan Selatan. Musim panas juga mempamerkan banyaknya buah mangga yang berbagai jenisnya. Harganya kompetitif. Ada yang berharga RM7.50 sekilo dan ada yang lebih mahal. Mungkin sekitar RM25 sekilo. Mungkin tidak banyak. Mungkin sangat digemari. Mungkin ia dalam kategorinya yang tersendiri. Buah nanas dijual sepanjang masa tetapi didatangkan dari Filipina. Sebiji yang besar nanas merah di Malaysia berharga sekitar RM10 sebiji.

Setelah berada di Bumi Anbia (enam bulan di Jordan dan setahun sembilan di Mesir) terlalu banyak pengalaman yang dibawa pulang. Pengalaman itu terlalu mahal badi diri penulis. Apabila meninggalkan Mesir pada hari ini penulis meinggalkan kenangan dan ingatan yang sangat banyak.

1                    Akan selalu rindu kepelbagaian umat Islam dari seluruh dunia.
2                    Mempelajari Bahasa Arab dari orang Arab. Tidak mahir berbahasa ‘amiyah dengan orang Arab.
3                    Rindukan kebisingan dan kebingitan kenderaan.
4                    Kehilangan kesibukan yang dilalui setiap hari.
5                    Rindukan kepelbagaian sayur-sayuran dan buah-buahan.
6                    Rindukan jejak sejarahnya yang banyak dan panjang.

Namun begitu mengakhiri permukiman di Mesir tidak memutuskan segala ikatan. Dibawa pulang:

1                    Bahasa Arab.
2                    Ilmu al-Quran.
3                    Kenangan dan ingatan.
4                    Iktibar dan pengajaran.
5                    Momento yang sedikit sebanyak untuk mengingat tempat jatuh lagi dikenang.

Hanya kesayuan meninggalkan Bumi Anbia ini. Ditinggalkan jejak para Rasul. Ditinggalkan ilmuan dan ulamaknya. Ditinggalkan syiar Islam yang banyak di sini. ﻣﺼﺮﻳﻮﻥ ﻳﺎ  ﻟﻜﻢ  ﺷﻜﺮ .

Selamat tinggal teman-teman, saudara-saudara seIslam. Kita telah bersama. Semoga bertemu kembali dan kita berhimpun di Jannah. Insyaallah.

Bingkisan Dari Kaherah: Bila Datang Rindu



Bila kita berasa rindu? Teringin sangat untuk bertemu dan bersua. Untuk menatap wajah-wajah yang dekatnya ingin disapa. Didakap dan dicium. Rindu dan dendam. Gundah dan gulana. Libang dan libu. Teringat-ingat dan terbayang-bayang. Tersebut di bibir. Terimbau saat demi saat.  Apabila masa terlalu lama geraknya. Terlalu panjang waktunya. Menanti yang selalu dirasa siksa.  Rindu:

1                    Kerana lama tidak bersua. Tidak bertentang mata. Tidak menatap wajah-wajah yang dahulu bersama selalu. Atau belum lagi dapat bersua.
2                    Kerana jauh. Jarak yang memisahkan antara yang dahulunya dekat.
3                    Orang baru yang hanya beritanya didengar. Gambarnya ditatap tetapi belum bersentuhan. Belum dicium wanginya. Belum ditimang rindunya. Belum diriba sayangnya. Belum didakap kasihnya.
4                    Masa yang telah berlalu. Rindu zaman kanak-kanak. Rindu kenakalan yang berulang-ulang. Rindu keter ibu. Rindu marah bapa. Rindu saat-saat tercalar dan luka. Rindu teman sepermainan. Rindu waktu-waktu lulus dan gagal ujian. Masa lalu yang penuh dengan berbagai ragaman peristiwa.

Manusia seperti kita banyak agendanya. Ada sahaja yang perlu dilakukan. Apabila kita beragenda maka orang-orang yang ada di sekeliling kita juga terkena agenda yang kita rancangkan. Mereka tidak terlibat secara langsung tetapi tertempias kerana agenda kita. Seperti kata pakar sosiologi bahawa manusia adalah makhluk bersosial. Maksudnya suka bersama. Suka berkumpul. Suka berada bersama mereka yang disayangi dan dikasihi. Maka apabila keadaan tidak memungkinkan untuk bersama rindulah jadinya. Merindui adanya mereka di sekeliling kita. Ingin berbicara. Ingin pandang memandang. Ingin bersentuhan fizikal dan perasaan. Selalunya kembara menjadikan kita berpisah. Lama atau sekejap bukan isunya. Berpisah itu yang jadi masalah. Ada rindu menggamit bila tidak bersua. Tidak bertentang mata. Pastinya kerana agak lama berbanding hari dan minggu.

Kembara adalah suatu nikmat yang tiada bandingnya. Pergi menjauh yang beragenda. Masanya mungkin berjadual. Jika saat dikira lama tentu sahaja bulan dan tahun sangat lama. Terlalu banyak saatnya jika dikira. Dalam lama itulah selalu dihitung tahun dan bulan. Minggu dan hari. Malah jam dan saat.  Semakin dekat semakin banyak kiranya. Semakin galak melihat takwim harian. Bila, bila dan bila. Ada riak teruja mengira masa. Ada riak memancar di mata. Senyum yang memanjang. Jari jemari bergerak menghitungnya. Mulut bergerak dan perasaan bertambah girangnya. Pengakhiran kembara yang lama akan diakhiri dalam masa terdekat. Tunggulah. Kembali jua akhirnya. Bak bangau ke belakang kerbau jua. Setiap yang dirndui akan terubat dengan pertemuan. Dengan keberadaan bersama.

Berjauhan adat manusia biasa. Banyak urusan hidup yang perlu dipenuhi. Kadang-kadang kita perlu pergi jauh kerana hanya di tempat jauh itu sahaja kita mendapat apa yang dihajati. Untuk pergi jauh perlukan banyak pengorbanan. Pastinya jauh disertai dengan lama. Maka bertambahlah rasa rindu yang bergejolak dalam hati apabila berpisah dengan orang-orang yang disayangi. Walaupun teknologi boleh menghubung jarak namun pertemuan bersemuka lebih dinanti. Sementelahan itu pula banyak yang ditinggalkan tentu banyak perubahannya. Pepohon yang kecil sudah membesar. Cucu-cucu telah bertambah. Anak buah ramai yang berumahtangga. Paling kurang sudah bertunang. Ada yang lebih menyayat hati. Ada antara mereka yang dikasihi meninggalkan kita untuk menemui Allah. Kerana itu jauh menjanjikan suatu kerinduan yang sesuai dengan jarak masanya. Jarak  tempatnya. Kata orang tua, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Berpisah sementara banyak manisnaya. Banyak wanginya. Berpisah diterjemahkan menjadi rindu.

Dalam hidup ini ada sahaja orang baru yang datang kepada kita. Bagi anak muda tentu sahaja ada yang datang mengetuk hati. Bagi yang sudah berumur, orang baru tentunya cucu dan cicit. Bertambah dari masa ke semasa. Itu adalah keturunan dan warisan keluarga. Ada darah dan daging yang mengalir di tubuh mereka. Kata orang sekarang DNA kita mengalir dalam tubuh anak, cucu dan cicit. Tentu ada rasa kerinduan dalam hati apabila ada orang baru dalam warisan keluarga. Lelaki dan perempuan yang comel dan wanginya rindu dihidu. Wangi dicium. Wangi didakap. Wangi seorang bayi. Masih suci dan bersih dari dosa. Ragamnya merindu zaman yang sudah berlalu. Zaman anak-anak baru dilahirkan. Berputar hidup ini. Sekarang anak-anak kita yang melahirkan cucu-cucu pula.

Padang, sawah dan ladang tentu sahaja dirindui. Tempat berlari dan bermain. Tempat belajar hidup sebagai kanak-kanak dan remaja. Andainya zaman itu dapat dikembalikan kita semua rindu pada zaman kanak-kanak kita. Tanpa tanggungjawab. Tanpa sebarang susah dan kecewa. Semuanya indah. Hidup seadanya yang banyak mengajar erti hidup itu sendiri. Sesungguhnya masa yang berlalu membawa bersama segala kenangan indah. Lazimnya kita mengingat yang indah-indah belaka. Matlamat kita mencari keindahan. Kebahagiaan. Kerana itu yang indah lebih dominan dalam minda berbanding dengan yang pahit dan getir. Dalam kembara kita juga menemui sesuatu yang akan menjadi kerinduan kerana ditinggalkan. Tempat baru yang banyak menambahnilai diri. Menyaksikan ragaman gelagat manusia yang berbeza tempat dan budaya.   

Hidup kembara banyak mengajar ketahanan diri dan ketahanan minda. Banyak yang perlu dipelajari dari saat pertama menjejak kaki hinggalah kita tinggalkan tempat itu untuk mungkin untuk jangka waktu yang panjang atau untuk selama-lamanya. Lain padang lain belalangnya. Lain tempat lain budayanya. Banyak yang dialami tidak pernah serupa dengan di negara sendiri. Umpamanya bersedekah kepada yang memang benar-benar memerlukan. Ramainya pelarian dan warga tempatan yang memang susah hidupnya. Hujan itu dianggap rahmat kerana sangat, sangat jarang turunnya. Tidak pula lebat. Cukup syahdu melihat titisan air hujan yang hanya rinrik-rintik sahaja. Cukup membasahi bumi. Bergenang di jalanraya. Memercik dilanggar kenderaan yang tiada putusnya dalam bandaraya besar seperti Kaherah. Penduduknya yang hampir 20 juta orang menjadikannya tidak pernah sunyi. Aduhai!


Segala-galanya akan dirindui apabila pulang ke tanahair. Namun begitu rasa bersyukur yang teramat sangat kerana Allah mengizinkan kembara ini. Berakhir suatu lagi episod kembara diri. Alhamdulillah.