Sunday, March 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Benarkah Pengalaman Sarat Isinya?

Pengalaman selalunya berkaitan dengan penggunaan pancaindera. Sarat atau tidak pengalaman kita dilihat apabila kita bertindak dalam sesuatu situasi. Menyelesaikan masalah atau membuat keputusan. Atau kemungkinan kita memberi input-input yang berbeza dengan orang lain. Di situlah orang akan perasaan kelainan kita. Perbezaan kita. Sama ada kita terkehadapan atau di belakang orang lain. Sama kita statik atau dinamik. Sama ada kita syarieyah atau hurriyyah. Mencari kebebasan tanpa batas apa-apa. Semua orang memiliki pengalaman yang berbagai. Jarang yang menggunkannya sepenuh kapasiti. Kita selalu menyimpan pengalaman kita hingga kadang-kadang pengalaman itu lapuk begitu sahaja. Tidak dimanfaatkan dan tidak bermanfaat. Hatta kepada diri kita sendiri. Apabila kita mengalami sesuatu, elok kita kongsikan dengan orang lain. Mungkin dengan bercerita secara lisan. Atau ditulis untuk diulang baca. Untuk menjadi rujukan apabila ada waktu senggang. Ada kemungkinan orang  kita suka menyimpan. Menyimpan harta tidak menyimpan laba. Menyimpan pengalaman melupuskannya begitu sahaja. Tiada siapa yang menerima manfaatnya. Biar sedikit ada manfaatnya. Biar kecil banyak manfaatnya. Biar murah ada manfaatnya.
Pengalaman menambahkan ilmu. Menambahkan maklumat. Menambahkan alternatif untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Praktik dan amalan yang menyatu dalam kehidupan pada hari-hari yang akan datang. Ilmu teori penting untuk memahami sesuatu maksud, proses, prosedur dan sesuatu input yang dijangka. Pengalaman akan memperhalus akal budi kita. Finetuning. Integrating. Synchronising. Semua input yang terpisah dan terpencil menyatu dalam pengalaman yang lestari. Baru dapat melihat bahawa sistem bukan hal-hal yang terpencil. Bukan terpisah antara satu sama lain. Bahawa teori hanya hal umum yang perlukan ubahsuaian mengikut premis yang dibina. Mengikut acuan yang diperlukan. Mengikut input yang dijangka. Pengalamanlah yang menentukan kemahiran yang tinggi. Kecekapan yang dianggap effisyien. Berkesan dari segi masa dan kos. Inputnya maksimum. Dalam melestarikan pengalaman pancaindera menjadi alat input yang penting. Mereka yang melatih pancainderanya dengan berkesan dapat memaksimumkan input dan output yang diperlukan.
Dalam pada itu kapasiti kita berfikir perlu dijana dan diperkembangkan. Dibangunkan supaya tiada kejumudannya. Orang-orang yang jumud pemikirannya menjadi kayu mati. Sukar menerima perubahan. Tidak mahu berubah. Keadaan sekeliling yang berubah menjadikannya mati. Wujudnya tidak lagi memberi warna dan erti kepada persekitarannya. Pemikiran adalah alat memperhalus input dan output. Akal budi kita perlu dihiasi dengan keindahan berfikir. Kritis. Inovatif. Melahirkan output yang lebih baik dari sebelumnya. Lebih praktikal dan lebih ekonomikal. Namun jika ingin ke hadapan tidak pula boleh terlalu pantas tanpa melatih orang lain untuk bergerak pantas. Apabila kita pantas perlu ada orang yang seiring pantasnya dengan kita. Kepantasan perlu dilakukan mengikut darjah yang semakin pantas. Ada rentak yang dimulakan supaya akhirnya menjadi pantas. Perlu dibiasakan supaya berpantas-pantasan. Melambat-lambatkan perjalanan hanya melemahkan akhirnya.
Untuk berubah kita perlu banyak belajar. Meinginsafi bahawa kita perlu berubah. Bahawa setiap benda melalui fasa-fasa perubahan. Teknologi berubah. Ianya mengubah kehidupan manusia. Bagaimana manusia berubah kerananya. Mereka yang tidak mengikuti perubahan tidak berubah. Mereka yang tidak berubah berada di persimpangan yang membingungkan. Yang menjadikannya kehilangan kemanisan hidup. Persekitarannya tidak lagi membahagiakan. Kebahagian menjadi sumber kesejahteraan. Ianya berkait dengan perasaan puas dan selesa. Ada hubungan dengan pancandera. Kerana itu kita hendaklah bijak melatih pancaindera. Semua sumber input diaktifkan. Disegerakkan supaya input-input yang berkualiti disaring dan diadun menjadikan diri kita tersantun tinggi darjahnya.
Kita harus selalu melihat ke dalam diri kita. Melihat ke dalam diri yang banyak kosongnya. Banyak ruang-ruang yang menuntut untuk diisi. Bila kita rajin melihat ke dalam kita akan sedar bahawa dalam diri kita banyak kurangnya. Diri kita banyak kosongnya. Kerana itu biasakan untuk melihat ke dalam bagi mengisinya dengan input-input yang bermanfaat. Kita tidak boleh statik dengan sesuatu yang kita miliki.  Banyak kemungkinannya kita akan diasak ke tepi kerana kita bukan lagi di laluan perdana. Di laluan utama. Kita berada di jalan sisi yang tidak diperlukan lagi. Sebenarnya proses belajar tidak ada hentinya. Apabila persekitaran kita berubah kita perlu berubah sepantas perubahan itu. Paling baik ialah orang yang memulakan perubahan. Orang lain yang mengikut kita. Kita menjadi penggerak dan penjana perubahan. Kita di hadapan dan bukan di belakang. Kita memimpin orang lain. Lagi pantas lebih baik. Orang melihat kita bukan yang ditinggal di belakang dan tidak lagi dipedulikan. Maaf, mereka yang di belakang tidak ada yang memerlukannya. Orang tahu kehadiran kita tetapi tiada siapa yang lagi perlukan kita. Kita menjadi orang yang layak ditinggalkan.
Kita akur dengan ketentuan Allah. Allah Maha Mengetahui. Ketentuan Allah menjadikan kita seperti kita. Menerima seadanya mengikut qada’ dan qadarNya. Namun begitu kita masih diberi peluang untuk berdoa. Memohon hajat yang dihajati. Ingin memenuhi hasrat yang besar. keinginan yang tinggi. Memohon keredhaanNya. Allah mengetahui agenda kita. Kita pula mengusahakan agenda yang ingin kita capai. Manusia seperti kita besar agendanya. Hingga kadang-kadang kita sendiri lupa apa sebenarnya agenda yang ingin kita capai. Ia perlukan urutan. Ianya menuntut pengupayaan yang tinggi. Pada hakikatnya Allah memberi qadar yang sesuai dengan kita. Berlainan antara satu sama lain. Darjahnya berbeza. Banyaknya berbeza. kita melihat diri kita bukan berada di puncak. Bukan di atas. Bukan di kalangan mereka yang kaya atau mewah. Tetapi apabila kita pandang ke bawah, sebenarnya terlalu ramai orang yang berada di bawah kita. Serba kekurangan. Tidak berada. Hidup yang susah dan payah untuk menampung hidup diri dan keluarga.   
Kita selalu iri kerana kekurangan kita. Kita lupa bahawa ramai orang lain iri dengan apa yang kita miliki. Orang di bawah kita tidak melihat orang di atas kita. Kita melindungi orang di atas kita. Yang mereka lihat ialah kita. Kita lebih dekat dengan mereka. Jika kita berupaya untuk redha dengan ketentuan Allah maka kita akan berada dalam kelompok antara mereka yang sejahtera hidupnya. Agenda yang tidak diketahui datangnya selalu mengejutkan kita. Tetapi apabila kita sudah mengagendakan diri, perubahan yang datang hanya peringatan. Tiada kejutan bahkan suatu nikmat yang perlu disyukuri. Untuk apa sudahnya diri kita jika bukan kerana Allah. Apabila kita selalu ingatkan Allah maka Allah lebih ingatkan kita. Syukur akan nikmatnya. Sabar dugaannya. Berdoa untuk yang baik-baik. Mohon yang hak sebagai hamba dan sebagai manusia. Banyak bertaubat kerana kesalahan kita terlau banyaknya. Beratkanlah pengalaman yang bermanfaat. Saratkan dengan kebaikan darinya. Pengalaman yang sarat perlu dilabuhkan di pelabuhan yang juga sarat. Perlu ada pengambilan pengalaman. Penggantian pengalaman. Memperkayakan pengalaman. Memperluaskan pengalaman. Fikirkan. Hendak menjadi orang biasa-biasa atau menjadi orang yang di luar dari kebiasaan. Antara keduanya banyak kelainannya.

Salam Dari Amman Jordan: Adakah Mimpi Itu Benar?

Ramai orang bermimpi. Kebanyakannya mimpi yang indah-indah belaka. Maka banyak dan jauhlah perjalanan mindanya mengingini seperti yang diimpikan. Ada orang tidak pernah bermimpi. Allah memberinya rezeki menerima anugerah yang tidak pernah diimpikan. Dalam banyak hal ramai orang yang bermimpi pada waktu-waktu tertentu. Walau bagaimanapun jangan ditakwil mimpi kerana kita manusia biasa yang bermimpi hanya sebagai mainan tidur. Tidak lebih dari itu. Mungkin apa yang berlaku seperti dalam mimpi. Namun kita tidak dapat mentafsir mimpi. Dalam sejarah manusia Nabi Yusof dapat mentadbir mimpi dengan izin Allah. Tadbiran mimpi itu menyelamatkan Mesir dari musim kemarau selama tujuh tahun. Nabi Ibrahim mimpinya sebagai wahyu Allah. Nabi Ismail anak kesayangannya perlu diqurbankan. Mimpi itu berubah natijahnya. Nabi Ismail digantikan dengan kibasy. Itulah amalan qurban yang terus menjadi amalan umat Islam semasa menyambut Eid al-Adha. Pada hari Nahar dan pada tiga hari Tasyrik berikutnya. Selama empat hari berturut-turut.
Syukur kepada Allah yang memberi banyak kemudahan kepada saya dan isteri. Kami diizinkan Allah untuk melihat dunia. Yang jauh dan dekat. Utara dan selatan. Timur dan barat. Saya rasakan pengalaman di USA dahulu kemuncak segala-galanya dalam hidup saya. Allah tidak menghentikan nikmatnya di situ untuk saya. Saya ke Canada pula. Cukup mengujakan. Terlalu banyak nikmat Allah untuk saya. Hingga bersara saya kira tidak banyak lagi yang namanya kembara. Lama bersara rasanya cukuplah mengira hari tua. Sesungguhnya perancangan Allah adalah hakNya. Bukan hak kita. Dalam usia 67 tahun saya jejak Jordan. Dalam perjalanan, saya singgah di Kuwait. Selalu sangat didengar namanya. Jejak juga kaki saya di buminya. Di Jordan sudah banyak tempat dijelajah. Laut Mati, Petra, Jarasy dan ‘Ajlun. 22 mac 2013 sebuah lagi bumi anbia yang saya jejaki. Ketika ini saya berada di Mesir. Baru petang tadi hari Sabtu 23 Mac saya ronda Souk Halili yang selalu disebut orang. Di Amman orang ke al-Balad. Di Mesir orang ke Halili. Panjang, luas dan banyak. Beberapa jam yang melenguhkan juga. Sempat solat Asar di Jamiah al-Azhar. Namanya berpuluh tahun telah saya ketahui. Hari ini saya sampai di universiti ulung ini. Kebetulan anak lelaki ke-8 saya sedang menuntut di sini. Kebetulan juga Souk Halili bersebelahan dengan Universiti al-Azhar. Serampang dua mata. Sekali pergi dapat menziarahi kedua-duanya. Alhamdulillah.
Berjalan sebegini jauh meninggalkan tanahair seperti mimpi yang tidak pernah termimpi. Mungkin pernah terlintas di hati. Tetapi ketika itu tidak pernah menyimpan hasrat kuat untuk sampai di Mesir. Berada di Kaherah seperti suatu kejutan besar pada diri saya dan isteri. Kami tidak merancang benar untuk berada di bumi Nabi Musa ini. Perancangan Allah untuk menemukan kami bumi yang penuh barakah ini. Alhamdulillah. Pengalaman lalu berada di negara orang membantu membawa diri. Apa yang perlu dimakan. Ke mana hendak ditinjau. Dan berbagai lagi yang ingin diteroka. Cuma hendak berjalan jauh atau banyak rasa tidak larat lagi. Bukan tidak hendak. Banyak inginnya. Rasanya melihat sedikit-sedikit sudah memadai. Yang banyak sebenarnya hanya ulangan yang sedikit. Ziarah yang ringkas ini menemukan saya dengan berbagai lagi ragam budaya manusia. Paling ketara apabila saya sampai ialah binaan bangunan di sini berbeza dengan Jordan. Di sana semua bangunan hanya satu warna. Warna batu yang asli. Tiada cat. Tiada lakaran. Batu dan warna batu. Binaannya rasa kukuh. Tidka tinggi. Di Jordan negaranya bergunung-ganang. Binaan bangunan dan jalanrayanya mengikut kontur atau mengikut lanskap yang ada. 
Di Kaherah banyak kelainannya. Tanahnya lebih rata. Jika ada yang saya lihat adalah bukit. Tidak banyak. Di Jordan banyak jalanraya yang sempit dan bengkang-bengkok. Di Kaherah pula seperti ada perancangan bandar. Keadaan seperti teratur. Jalanraya mengikut sistem grid. Kotak sana dan kotak di sini. Persediaan minda dan fizikal mesti kuat apabila berada di luar negara. Tenaga mesti banyak untuk banyak berjalan. Perasaan mesti kuat untuk melawan kejutan budaya. Kesabaran mesti tinggi untuk berhadapan dengan ragam manusia. Terlalu banyak yang dapat dilihat dalam perjalanan kira-kira tiga jam sahaja. Kaherah adalah bandar lama. Sejarah Firaun sahaja sudah melebihi 5,000 tahun. Sungai Nil yang terkenal kepada manusia dahulu dan sekarang menjadi tarikan manusia untuk menduduki tebingnya. Tanahnya subur. Pertaniannya menjadi. Kerana itu penduduk Mesir ramai berkampung di Kaherah. Rasany apenduduknya 28 juta. Seluruh penduduk Malaysia boleh tinggal di Kaherah sahaja. Tidka perlu mencari tempat lain atau rumah lain.
Boleh bayangkan di Kaherah yang penduduknya 28 juta tiada lampu isyarat di persimpangan jalanraya. Jika adapun hanya di beberapa tempat tertentu. Arah ke lapanganterbang umpamanya. Tempat lain di seluruh Kaherah yang besar  dan padat ini tidak ada lampu isyarat. Bagaimana hendak melintas. Hendak menyeberang. Boleh pembaca fikirkan. Bagi orang Kaherah lampu isyarat tidak penting. Yang penting ialah:
1  Sistem
2  Budaya
3  Perasaan
4  Keyakinan
5  Kebiasaan 
6  Keberanian

Polis ada di persimpangan jalan. Memerhati dan memantau. Sekali sekala membantu. Yang lainnya seraqhkan kepada pemandu. Apa yang saya perhatikan mungkin tidak terdaya kita lakukan di negara kita yang tercinta.

1  Berani mencelah ruang
2  Hon kereta atau apa sahaja kenderaan digunakan sepanjang masa. Minta laluan atau untuk   memberi amaran.
3  Setiap pemandu siap siaga menghadapi apa sahaja kemungkin.
4  Pemandu menjadi keras, berani, kasar dan kadang-kadang menuntut hak yang  bukan haknya. Umpamanya meter teksi menunjukkan 18J tetap yang dituntut mungkin 25J. Di  kalangan mereka ada yang memberi helah yang bukan-bukan.

Dalam pada itu ada pangajaran yang positif.

Pemandu bersedia memberi laluan kepada pemandu yang lain. Tidak menunjukkan kemarahan sehingga hendak berlanggaran. Setiap ruang kosong sedia direbut oleh mereka yang dahulu mendahului antara satu sama lain. Itu kehidupan mereka. Cara mereka. Kepada pejalan kaki lagilah seronoknya. Saya dan isteri tertunggu jika ada ruang. Sebuah MPV menunjukkan isyarat lintas sahaja. Saya faham maksudnya. Angkat tangan. Langkahkan kaki. Saya perhatikan semua kenderaan yang mengarah  kepada saya dan isteri memperlahankan kenderaan. Atau berhenti jika terlalu dekat. Orang tua-tua melintas tanpa rasa takut dirempuh atau digesel kenderaan. Apabila ada orang melintas jalan, kenderaan yang berhenti. Benar, lampu isyarat tidak ada. Apabila keadaan memerlukan bantuan polis, dia hanya perlu mengangkat tangan menghala kenderaan yang datang. Dia tidak perlu berdiri tegak. Tidak perlu menunjukkan rupa garang. Tidak perlu berkumis melintang seperti polis trafik di Malaysia. Tangannya diangkat sambil terus bersandar pada apa-apa tiang tempat dia membuat pemantauan. Pemandu-pemandu yang nampak negatif pada zahirnya itu, mematuhi arahan tangan yang seperti hendak tidak hendak. Kagum juga budaya yang sudah dibina dan terbina.

Melihat kebesaran Allah banyak menginsafkan. Di Malaysia umpamanya terlalu sukar untuk membina masjid dan surau. Halangan-halangan yang kadang-kadang seperti mengecilkan agenda agama. Kita dengar dan baca banyak masjid dan surau yang dirobohkan. Di Amman saya lihat masjid cukup banyak. Saya rasa sudah lebih dari mencukupi. Rupanya pengalaman saya belum cukup banyak. Di Kaherah masjid sangatlah banyak. Ada tempatnya masjid seperti bercantum antara satu sama lain. Sangat banyak. Besar-besar. Tinggi-tinggi. Tersergam menampakkan yang ianya memang binaan masjid. Menaranya kekal tinggi melebihi bangunan lain di sekelilingnya. saya tidak dapat mengira. Dalam perjalanan setengah jam dari Nasar City ke Halili Souq mungkin saya melihat lebih dari 30 buah masjid. Pada hari Jumaat masjid-masjid itu penuh dengan jemaah. Hari cuti yang dimanfaatkan. Hari Jumaat cuti hujung minggu.
 Dalam hidup kita banyak agenda yang bercabang-cabang natijahnya. Jarang kita dapat fokus untuk melaksanakan agenda diri yang benar-benar besar dan penting. Bahawa diri kita sebenarnya tidak dapat melaksanakan apapun tanpa izin Allah. Jika kita berusaha melakukan  yang terbaik untuk diri kita sendiri, insyaAllah memberi ganjaran yang tidak di sangka-sangka. Rezeki Allah datang dari berbagai penjuru. Penjuru-penjuru yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran kita. Allah mengaturnya dengan selesa. Kita mendapat yang selayaknya untuk kita. Cuma kita selalu diingatkan supaya sentiasa ingat kepada Allah. Allah akan memberi yang lebih banyak. Lebih baik dan lebih bermanfaat. Redha kita akan dibalas dengan redha Allah. Balasan Allah terlalu besar nilainya. Sebab itu jangan takut beramal. Jangat segan membantu. Jangan lambat berbuat baik. Allah memberi ganjaran besar untuk mereka yang ikhlas dalam amalnya.

Salam Dari Amman Jordan: Keindahan Yang Menyampah Sampah

Saya teringat kembali kata-kata indah Muhammad Abduh. Dia melihat Islam di barat tanpa ada orang Islam. Di negaranya dia melihat orang Islam tetapi Islamnya tidak kelihatan. Banyak kali ungkapan itu disebut dan diulang. Pengalaman berada di beberapa negara menyedarkan saya bahawa kata-kata Muhammad Abduh terlalu benarnya. Tidak ada yang salah. Maksudnya bukan merangkumi semua perkara. Bukan akidah atau akhlak.  Bukan ibadat. Yang dimaksudkan ialah amalan kebersihan. Amalan yang dituntut bahawa menjaganya menjadi sebahagian daripada iman. Berada di negara maju lain impaknya sementara berada di negara yang belum mencapai taraf maju lain pula kesannya. Pendidikan menjaga alam sekitar di negara kita sangat baru. Masih ramai yang tidak memahami tuntutannya. Kepada mereka menjaga alam sekitar adalah berkaitan dengan keceriaan dan kecantikan. Ada benarnya. Tetapi tidak ramai yang tahu tuntutannya yang sebenar. Prosesnya, prosedurnya, sistemnya, programnya, peraturannya, undang-undangnya dan hukum-hakamnya. Orang Islam pula tahu istilahnya tetapi tidak ramai yang mengetahui perincian sebenar untuk merealisasikan tuntutannya.
Ketika saya menulis entry ini saya berada di Mesir. Di sebuah tempat yang bernama Nasar City. Sebahagian dari kota metropolitan Kahaerah. Tempat banyaknya bermukim pelajar Malaysia dari semua negeri yang belajar di Universiti Al-Azhar. Bukan di induknya Jamiah Al-Azhar  tetapi cawangannya.  Ketibaan saya dan isteri di lapanganterbang bukan sahaja disambut oleh anak lelaki saya dan teman-temannya malah disambut juga oleh ribut pasir yang menggelapkan seluruh Kaherah. Gelap pekat. Menguning seluruh suasana. Malah ketika kapalterbang hendak mendarat kekuningan suasana itu sudah terlihat dari udara. Di Amman saya belum pernah mengalaminya walaupun dikatakan ianya biasa berlaku. Ribut pasir adalah  sebahagian dari kehidupan mereka yang berada berhampiran padang pasir. Apatah lagi padang pasir yang besar seperti Sahara. Cuma kadang-kadang kita selalu terkeliru mengambil bahasa Arab ke dalam bahasa kita. Sama ada maknanya menjadi berbeza atau mengulang-ulang makna yang sama. Gurun kepada bahasa Arab ialah sahara. Maknanya Gurun Sahara ialah gurun-gurun. Jamik ialah masjid. Maka masjid jamik ialah masjid-masjid. Tidak mengapalah kerana bahasa itu sudah menjadi bahasa kita. Kita seharusnya menerimanya seadanya.
Sebenarnya dari celah-celah kesuraman ribut pasir saya melihat sesuatu yang selalu menyesakkan pemikiran. Menyesakkan nafas. Membisakan mata memandang. Ada masanya memilukan. Di negara yang belum maju terlalu banyak kurang ilmu mengurus barang buangan. Khususnya yang istilahnya sampah. Fenomena negatif ini saya lihat di Jordan dan di Mesir. Mungkin di banyak negara lain seperti di Afrika. Masalahnya ialah apabila sampah dianggap sampah maka selagi itulah kita tidak peduli dengan sampah. Kita menyampah dengan sampah tetapi kita tidak bertindak sesuai dengan sifatnya yang bernama sampah. Di negara maju sampah diurus seperti semua urusan penting. Urusan perlu. Mungkin urusan istimewa. Kita tidak pernah melihat sampah sebagai ruang dan peluang yang mendatangkan natijah. Sampah dilihat sebagai sampah yang tidak mahu dilihat tetapi tidak menguruskannya dengan istiqamah. Dengan kepekaan yang tinggi. Tidak memikirkan mudarat atau kebaikan sampah.
Di USA dan Canada sampah dijadikan sesuatu yang agendanya besar. Perkataan dan istilah sampah wujud sahih dalam kamus hidup mereka. Tetapi mereka tidak ingin melihat sampah. Semua yang namanya sampah diurus supaya tiada. Supaya tidak dilihat sebagai sampah. Supaya tidak ada orang yang jijik melihat sampah. Supaya tidak menyampah melihat yang namanya sampah. Maka semuanya diurus dari rumah. Anak-anak kecil dididik mengurus sampah. Ibu bapa memgambil peranan sebagai guru awal untuk membantu anak-anak mengurus sampah. Di sekolah urusan itu dipertingkatkan. Di luar rumah dan sekolah, orang dewasa memperakhlakkan diri mereka supaya sentiasa bersedia mengurus sampah walau apa sekalipun bentuknya. Tiada siapa yang boleh bertolerensi dengan sampah. Disebut dan dibaca tetapi tidak ingin dilihat. Di Jepun umpamanya debu dijalanraya ingin disapu dan dibersihkan. Ketika kenderaan melaluinya berterbanganlah debu untuk dihidu secara bukan hak. Menyesakkan hidung, telinga, mata dan paru-paru. Hinggap pada makanan dan semua keperluan manusia. Pengurusan sampah membawa kepada pemikiran yang lebih berwawasan. Sampah menjadi bahan menambak laut. Memperluaskan kawasan penempatan manusia. Maknanya sampah perlu dirawat. Dimanfaatkan supaya sampah bukan sampah. Tidak menjadikan manusia menyampah kerananya.
Saya membuat ukuran yang mungkin ekstreme. Selagi kita belum mampu mengurus sampah maka kita sebenarnya belum maju. Pemikiran kita belum maju. Sikap dan sifat kita belum cemerlang. Maaflah. Saya mohon maaf. Orang yang paling kurang mengurus sampah adalah orang Islam. Walaupun ada negara bukan Islam yang tidak terurus sampahnya tetapi saya sebut orang Islam sebab kita diajar oleh Allah dan Rasulnya supaya mencintai kebersihan. Kita diajar supaya bersih. Iman kita ada nisbah bersih. Dari kecil kita dididik supaya bersih, suci dan memilih yang halal. Kita tahu najis dan tahap-tahapnya. Malangnya kata-kata Muhammad Abduh tidak dijadikan agenda dalam pendidikan Islam. Tidak dijadikan mengurus Islam dalam konteks praktikalnya. Al-Quran yang mengandungi 114 surah dan 6,236 ayat memperincikan seluruh kehidupan manusia. Hatta mengurus najis besar dan yang kecil. Mungkin dalam pendidikan Islam kebersihan tidak difokuskan hanya untuk solat, pakaian untuk solat, tempat solat atau mensucikan diri dari hadas besar sahaja. Bagaimana mengurus kebersihan menjadi matapelajaran yang penting. Di situ direntas akidah, ibadat, akhlak, sains, kesihatan, pemikiran dan kematangan mengurus Islam secara keseluruhannya.
Saya seperti tertemplak sendiri apabila melihat sampah. Kenapa tidak ramai yang boleh menguruskannya. Di negara kita sendiri sampah bukan agenda penting rakyat. Yang memandang sepi tentang sampah masih terlalu ramai. Sampah dibuang ke mana-mana ruang yang ada. Seolah-olah dunia ini adalah tong sampah besar. Mereka serahkan kepada alam untuk mengurunkannya. Jika hal yang sekecil sampah tidak dapat kita urus maka kita sukar mengurus pembangunan insan. Apalagi insan Islamiah. Pemikiran kita selalu mencari jalan pintas. Jalan mencari helah. Jalan mudah memberikannya kepada orang lain. Kita lepas tangan seolah-olah itu bukan urusan kita. Pernah dengar ungkapan ini, “Kubur kita lain-lain.” Benar. Memang benar. Masalahnya kubur kita orang lain yang tolong gali. Orang lain yang masukkan kita ke liang lahad. Orang lain yang hadapkan kita ke qiblat. Orang lain yang tolong kambus. Orang lain yang tolong pijak dan ratakan. Orang lain yang tolong pacakkan nisan. Orang lain yang bacakan talqin. Sebelum itu orang lain tolong mandikan. Orang lain tolong kafankan. Orang lain tolong belikan kain kafan dan keperluan mengkafankan kita.  Orang lain tolong solatkan. Orang lain tolong usung ke tanah perkuburan. Dalam hidup kita, kita tidak boleh menafikan peranan orang lain terhadap kita. Mereka yang mengurus mati kita hingga selesai. Kubur sahaja yang lain-lain. Itupun bersebelahan orang lain yang dahulu semasa hidupnya kita nafikan nasihatnya. Kita nafikan tunjuk ajarnya.
Dalam usaha memajukan negara kita tidak boleh lupa mengurus hal-hal yang penting walaupun dalam bentuk sekecil sampah. Mungkin sekadar puntung rokok. Mungkin hanya sebatang pencungkil gigi. Atau sekecil keratan kuku. Sampah adalah sampah. Jangan pula ianya dijadikan bahan yang menjadikan kita menyampah. Jika meluat memandangnya maka uruslah. Jika jijik memandangnya maka uruslah sebaiknya. Jika benci maka tiadakanlah. Jika semua orang memainkan peranan maka sampah akan menjadi sesuatu yang indah pada nama tetapi sukar menatapnya dalam bentuk sampah. Kita tukar menjadi bentuk-bentuk yang bermanfaat kepada manusia. Sampah yang menjadi baja. Sampah yang menjadi bahan arka. Sampah yang menciptakan nilai seni. Sampah boleh dimanfaatkan. Uruslah dengan bijaksana. Majulah dengan bijak mengurus sampah. Ayuh mulakan dari rumah. Mulakan dengan anak-anak dan adik-adik dahulu supaya mereka membesar sebagai warga yang pandai mengurus sampah. InsyaAllah orang Islam adalah pengurus sampah yang paling cekap.

Salam Dari Amman Jordan: Keluarga Asas Kekuatan Negara

Negara adalah sempadan-sempadan yang dibina secara politik. Malaysia dan Nusantara Melayu sangat luas pada suatu ketika dahulu. Begitu konsep Malaysia Raya. Sejarah manusia sangat panjang. Dalam abad ke-19 orang barat meneroka dunia baru mereka. Misi mereka ialah menjajah. Mengembangkan agama. Namun misi mereka ini tersembunyi dalam rangka mencari rempah yang sangat diperlukan di Barat. Maka terbukalah dunia baru bagi mereka. Pertama kali orang Portugis sampai di Melaka pada tahun 1509 mereka dipanggul Benggali Putih. Persamaan mereka dengan benggali mungkin dari segi jambang dan janggut serta misai mereka. Satu keturunan orang Arya yang menghuni arah barat seperti orang India, Arab dan orang barat yang lain. Berkulit putih, hidung mancung dan mata berwarna-warni. Begitu juga warna rambut mereka. Sebelum kedatangan Portugis orang India sedia ramai di Melaka. Dua watak yang sinonim dengan jatuhnya Melaka ialah Si Kitul dan Mandaliar.  Kedatangan Portugis menambahkan parahnya kelemahan Melaka pada zaman Sultan Mahmud Shah itu. Bermulah episod penjajahan. British dan Belanda memandai-mandai sesama mereka membahagikan dunia Melayu menjadi jajahan mereka. Yang di utara Khatulistiwa diberikan kepada British. Yang di selatannya pula diambil oleh Belanda. Pandainya!
Berbagai helah dibuat oleh penjajah untuk memesongkan agama warga tempatan. Di Tanah Melayu keadaan agak berlainan. Hidup rakyat tidaklah terlalu miskin hingga mereka lupakan agama. Proses yang dilakukan penjajah tidak menjadi. Orang Melayu tetap teguh dengan agama Islam. Di bahagian lain nusantara keadaannya berlainan pula. Ramai yang beralih akidah kerana desakan ekonomi. Atau memang disebabkan agama kepada mereka bukan sesuatu yang hakiki.  Peredaran zaman mengubah lanskap politik. Anak watan bangkit menuntut hak bernegara sendiri. Bukan mengibar bendera negara orang lain. Secara tidak disedari rupanya muslihat penjajah sangat licik dan halus. Pemimpin-pemimpin yang mendapat mandat penjajah kekal memakai baju penjajah. Mereka telah dididik menjiwai adat resam penjajah. Hati dan nurani mereka adalah bersalutkan penjajah. Beratus tahun Barat gagal mengubah lanskap agama di negara yang dijajahnya. Ada halangan budaya. Agama lain tidak dapat meresap masuk. Apabila negara-negara Islam khususnya diperintah oleh orang Islam sendiri keadaan mula berubah.   Islam yang sebelum ini dijaga dengan rapi, mula dilonggarkan kawalannya. Orang mula leka dan tidak lagi terlalu ketat dengan hal ehwal agama. Andaiannya ialah orang kita sendiri yang menjaganya. Tidak mungkin mereka khianat.  Tanggapan yang selalu salah.
Masyarakat mula leka dengan kemewahan, pembangunan dan kemajuan fizikal yang tidak disandarkan kepada akidah. Sedikit demi sedikit sistem berkeluarga dihakis. Sekarang kita melihat  anak-anak yang membuang ibu dan bapa mereka ke rumah orang tua-tua. Rumah orang miskin. Rumah orang terbuang. Islam tidak pernah mengajar penganutnya supaya berbuat begitu. Sepatutnya mereka tidak terlebih ajar. Pahala dan ganjaran yang sangat besar memelihara orang tua. Ibu bapa sendiri. Tiada anak yang dapat membalas jasa kedua ibu dan bapanya. Terutamanya ibu. Mengandungkan, melahirkan dan menyusukan. Itu belum lagi merawat dan membesarkan. Berapa hendak dibayar khidmat seorang ibu umpamanya. RM100 sehari? Baiklah. Dari bayi hingga tamat IPT. Ketika berumur 24 tahun. 24 x 365 x 100 = RM876,000. Itu kos rawatan. Atau kos memelihara. Belum masuk makanan, barang mainan, hiburan, pakaian, pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keraian. Jika masuk semua, cuba kira sendiri. Tergamakkah kita memberi RM100 sehari. Berapa upah mengandungkan kita. Berapa upah melahirkan. Bukan upah doktor. Upah menahan sakit yang hampir mencabut nyawa. Berapa harga susu ibu. Berapa nilai kehangatan pelukan ibu. 
Sebab itu keluarga adalah asal mula sebuah negara. Di negara manapun keluarga adalah sumber kekuatan. Seorang ibu di zaman Rasulullah dahulu mengirimkan seorang anak lelakinya untuk berjuang bersama Baginda.  Pemuda itu syahid. Dikirimkannya seorang lagi. Syahid juga. Dihantarnya anak lelakinya yang ketiga. Kesemuanya syahid. Dia menemui Rasulullah mengadukan halnya yang tidak memiliki lagi anak lelaki lain yang boleh berjuang bersama Rasulullah. Berjuang kerana Allah. Membela agama. Saya kira tiada seorang anak yang mampu berbuat begitu. Berkhidmat kepada kedua ibu dan bapanya apabila mereka tua. Syaratnya layanan secukupnya. Melayani karenahnya. Merawat ragamnya. Membantu ketidakupayaannya. Aduhai! Anak-anak yang soleh. Di mana kamu. Ibu bapa adalah tempat kita datang. Tempat usul kita. Tempat asal kita. Tanpa mereka kita tidak ada. Kerana itu kepada merekalah tumpahnya segala yang hak. Yang perlu.  Tanpa kebaikan kepada kedua ibu dan bapa maka terputus tali keluarga yang turun temurun. Mesti ada hubungan terus antara anak dan induknya. Kita orang Timur. Berpegang kepada agama. Berpegang kepada keindahan berkeluarga. Keluarga kita besar. Bukan hanya kedua ibu dan bapa sahaja.
Orang di Barat sudah tidak lagi terikat kepada keluarga. Cukup masa mereka angkat kaki untuk menjalani kehidupan sendiri. Ada masanya mereka dihalau keluar oleh ibu bapa mereka sendiri kerana mereka layak hidup sendiri. Tentulah anak ini memberontak. Menjadi individu yang pendendam. Hubungan kekeluargaan terputus. Mereka hidup nafsi-nafsi. Keluarga sudah hilang dari kamus hidup mereka. Yang penting ialah mereka sebagai individu. Hidup bangun sendiri. Jatuh sendiri. Tidak ada yang lebih penting dari dirinya sebagai individu. Sistem bermasyarakat dan berkeluarga yang sudah tamat fungsinya. Budaya mereka sendiri yang menghancurkannya. Agama kepada mereka adat-adatan sahaja. Tidak lagi dijiwai.  Hidup berkalana seperti orang Barat akhirnya menjelmakan perubahan sistem. Hedonism. Hiburan menjadi-jadi. Untuk menghibur. Hingga terlampau-lampau tanpa batasan lagi. Hidup dengan kebebasan yang tanpa batasan. Komersil menunjangi kehidupan mereka. Terciptalah pakaian (Fashion) tanpa menutup aurat yang dianggap maju. Tanpa mengauratkan pakaian. Makanan (Food) yang tidak pasti halalnya. Agama (Faith) yang punah. Hiburan (fiesta, festival) sepanjang masa. Banyak lagi yang menyerap budaya Melayu dan Islam seperti di Malaysia.  Itu belum lagi kebebesan (Freedom). Mereka menciplak gagasan songsang tajaan Hak Asasi manusia.

Barangkali perlu diperhati dengan hati yang berlapang dada. Banyak hal yang condong ke kiri dihubungkaitkian dengan wanita. Wanita menjadi objek komersil dan objek yang mencondongkan budaya ke kiri. Budaya yang memperluas kebobrokan budaya. Malangnya ramai wanita tidak pernah sedar yang diri mereka diperalatkan. Dipermangsakan. Sebaliknya mereka bangga diperosokkan ke sudut yang tidak lurus jalannya.  Sekatan dan halangan sudah tidak dapat dibuat lagi apabila pemimpin yang mendokong banyak aktiviti sebegitu. Anak-anak Islam menangis kerana gagal menyanyi dalam hiburan realiti. Realiti kekosongan agama dan akidah tidak ditangisi.  Solat yang belum banyak betulnya tidak diraung dengan tangisan yang kuat. Tidak galak dengan al-Quran seperti mereka menyanyi di pentas dan di media elektronik. Waktu solat yang dipadam kerana sukan dan hiburan. Waktu mendengar tazkirah yang dihapus kerana konsert. Kita melahirkan individu yang  berilmu tetapi tidak dapat diharap ilmunya. Berpendidikan yang tidak dapat mendidik. Sifat, sikap, amalan, budaya, politik, kepercayaan, falsafah hidup, masa hadapan yang seperti kelam jika tidak ada pemimpin yang dapat mengembalikan hidup berkeluarga. Hidup yang penuh dengan syariah.

Salam Dari Amman Jordan: Pokok Condong Mengejar Matahari

 
Semasa kita bersekolah dahulu kita belajar subjek Sains. Semua diarahkan membuat kajian tentang biji benih. Mungkin hingga sekarang senario itu tidak berubah. Maaf. Lama tidak ke sekolah. Kita diberitahu oleh guru bahawa semua tumbuhan perlukan air, cahaya dan udara. Kita lihat biji benih kita setiap hari. Hinggalah ia mencambah, membesar dan percubaan itu memberikan suatu erti kepada kita bahawa semua tumbuhan dan kehidupan memerlukan air, cahaya dan udara. Tanpa mana-mana elemen itu tiada kehidupan yang boleh kita temui. Begitulah di tempat-tempat yang gelap tiada pokok. Di tempat yang tiada udara tiada pokok. Di tempat yang tiada air tiada pokok. Walaupun bumi ini diliputi kira-kira 70% air, tidak semua tempat yang berair muka buminya. Matahari di negara kita tegak di atas kepada.  Di negara orang matahari mungkin di selatan. Di negara yang lain matahari di utara. Kita pasti dengan hal kita sendiri. Kita tidak tahu keadaan di negara orang. Antara pengalaman yang sangat berharga pada saya ialah saya peka dengan keadaan orang. Pada sesebuah negara itu ada sensitiviti agama, polotik, adat resam, bangsa, kaum dan banyak lagi.
 Apabila kita merantau kita banyak melihat. Tentulah dengan mata. Namun melihat tidak boleh sekadar apa yang nampak. Yang tersurat atau tergambar. Yang terukir atau yang dipamerkan. Kita perlu banyak melihat yang tersirat kerana di sebalik yang tersurat itulah makna dan maksud. Di situlah intipati suatu erti yang selalu tidak dimengerti. Benarlah biarkan orang yang mengerti mencari maknanya. Tetapi jika kita tidak mengambil peranan maka kita menjadi orang yang tidak tahu. Jika kita tidak mengambil inisiatif maka kita menjadi orang yang ironis kepada orang lain. Kosong dalam menghadapi banyak elemen alam dan dunia yang mencabar. Perubahan yang dinamik. Yang selalu menuntut kepekaan yang tinggi. Apabila kita memerhati banyak yang  perlu diteliti. Dilihat dari sudut-sudut yang selalu tidak difikirkan orang. Ada masanya kita berfikir seperti orang lain. Pada masa yang lain kita harus menyalahi fikiran orang lain. Syaratnya apabila syara’ wajib lebih diutamakan. Bukan adat. Bukan ikut-ikutan.  Apabila kos perlu lebih difikirkan untuk mengimbangi pembaziran. Perbelanjaan yang bukan hak untuk menuntut redha Allah.
Manusia juga seperti makhluk lain. Semua diperlukan termasuk air, udara dan cahaya matahari. Selalu disyarahkan bahawa semjua makhluk bertasbih kepada Allah. Patuh dengan syariat dan sunnatullah. Berada di negara orang lebih memerlukan ketelitian memahami sunnatullah ini. Di negara kita sendiri terlalu selesa dengan keadaan sehingga kita tidak menginsafi kejadian yang Allah ciptakan di hadapan kita.  Biasa kita tanggap bahawa pokok yang tidak lagi bertunas semula adalah mati. Pokok yang kering adalah mati. Pokok yang tidak berdaun adalah mati. Pokok yang berguguran daunnya adalah mati. Begitu juga haiwan yan tidak kelihatan adalah pupus. Itulah yang menjadi kebiasaan kepada kita. Yang lazim kita alami. Hingga kita tidak pernah memikirkannya secara lain. Kita lupa paradoks alam yang Allah ciptakan supaya kita maklum kudrat dan iradat Allah.
Di negara yang beriklim sederhana alam ini dihadapi dengan keadaan yang berbeza. Musim yang berganti setiap tiga bulan memerlukan perancangan yang berbeza. Kebiasaan bukan bermakna merentas musim yang empat. Setiap musim ada keadaan yang tersendiri. Mereka yang tidak peka dengan perubahan keadaan itu menjadi mangsa keadaan. Paling menuntut kepekaan yang tinggi ialah pada musim sejuk. Di Malaysia kita selalu terpukul apabila datang musim sejuk. Hujan dan banjir yang menggenang air. Basah, becak dan berpalitan lumpur. Suhu yang sedikit rendah menyejukkan kita. Seolah-olah segala-galanya terhenti. Kita pakai yang tebal sedikit. Duduk menahan sejuk yang tidak seberapa. Aktiviti terhenti kesemuanya kecuali makan dan tidur. Semua itu tidak berlaku di negara beriklim sederhana. Musim sejuk bukan musim makan dan tidur. Pada musim sejuk banyak pepohon dan haiwan yang tidur. Bukan manusia. Tidak ada toleransi untuk tidak berbuat apa-apa.
Pada musim sejuk orang lebih banyak bekerja kerana sejuk meningkatkan fokus. Penghawa panas memberikan rasa selesa tanpa rimas dan peluh. Sekolah dibuka. Orang bekerja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Yang aktif bersukan. Salji yang sejuk dimanfaatkan dengan berbagai jenis sukan. Meluncur mereka naik dan turun. Gunung, bukit dan lembah direntasi. Sukan luar dan sukan dalaman. Semuanya untuk memanfaatkan keadaan. Menangisi keadaan hanya menjumudkan pemikiran. Mematikan semua inisiatif untuk hidup yang membahagiakan. Bykankah sejuk untuk dipanaskan. Bukankah panas untuk disejukkan. Antara keduanya, hadir nikmat yang besar nilainya kepada manusia.  Sebab itu orang Barat tidak merasa jemu dengan apa sahaja perubahan musim. Sayangnya mereka tidak terfikir kudrat Allah yang menciptakan segalanya. Orang kita pula memahami keadaan tetapi tidak mengambil manfaat darinya.
Pada musim sejuk haiwan melata bersembunyi entah di mana. Haiwan besar seperti beruang tidur sekehendak hati. Pada musim bunga semuanya bangun hidup kembali. Saya selalu terpegun melihat pokok anggur. Pada musim sejuk batangnya kering dan kelihatan seperti menggelupas. Senang kata mati. Tiada harapan untuk hidup. Dahannya kering. Rantingnya kering. Daunnya telah lama berguguran. Bunga dan buah memang tiada harapnya. Di akhir musim dingin pokok yang disangka mati rupanya menyerlahkan tunas baru. Dedaun yang menghijau merimbuni reranting. Masa untuk kembali hidup. memberi manfaat kepada alam. Mengambil semula peranan menghiasi alam indah bagi yang mengerti. Rehat lama musim dingin yang tamat dengan membuka semula manfaat untuk diulang-ulang lagi. Maknanya semua kejadian Allah mengikut fitrahnya. Sebab itu semuanya bertasbih mensucikan Allah. Tiada khilaf. Tiada tingkahnya. Hanya manusia sahaja yang banyak ragamnya. Perlu dididik dan ditarbiah. Perlu dibimbing ke jalan lurus.

Salam dari Amman Jordan: Petra – Kejutan Tamadun

Ini adalah selekoh terakhir sebelum dapat diintai sejarah zaman lampau yang membentuk Petra.

Seperti sebuah tingkap yang terbuka. Di sebaliknya sebuah binaan besar. Pintu utamanya seperti sebuah pintu gerbang layaknya.

Bagaimana bangunan ini melekat di dinding gunung. Itu persepsi pertama. Besar pula saiznya.

Rupanya binaan ini dipahat pada dinding gunung yang besar. Indah warna batu-batannya. Menyembunyikan banyak rahsia yang sukar disingkap.
Berada di sini bukan diminta. Secara kebetulan yang datangnya bersama zaman juga.

Belum ada yang dapat mengungkapkan kata-kata yang dapat memindahkan keindahan bangunan al-Khazinah ini kepada perkataan, atau bait-bait puisi. Keberadaannya melampaui keindahan kata bicara manusia.  

Bandingkan saiz manusia dengan saiz binaan ini. Nisbahnya terlalu besar. Lalu bagaimana mereka membuatnya? Itulah pertanyaan yang selalu sukar dijawab dengan tepat. 

Hiasan di atas pintu besar. Berukir seni. Hebat dengan sendirinya.

Ketelitian yang mencabar keindahan itu sendiri. Ahli yang sukar ditandingi.

Cerah disinari cahaya matahari. Menyerlahkan warnanya.

Pintu utama masuk ke dalam. Sayangnya ia ditutup untuk kerja-kerja baikpulih.

Muhammad dari Russia bergaya menunggang unta. Tidak bergerak. Aksi sahaja.

Dilihat dari sudut kanan yang suram.

Dataran ini dibiarkan dengan sejarahnya. Dengan zamannya. Dengan keasliannya. Biar orang sekarang menginsafi bahawa orang dahulu banyak juga kemajuannya yang sepadan dengan mereka. Sesuai dengan keperluan mereka ketika itu. Binaan mereka melepasi zaman yang panjang. Bangunan dan binaan kita sekadar  menjulang tanpa ketahanan. Tanpa mencecah zaman yang panjang. Runtuhnya menjadi-jadi. Kualitinya selalu dipertikai. 


Lorong yang kami ikuti dari luar tadi akhirnya sampai di akhirnya. Dari perut gunung kami keluar ke dunia yang berlainan. Dari lorong panjang tadi kami tidak tahu apa yang akan kami temui di hujung lorong. Walaupun maklumat dicari kami hanya mendapat cebisan maklumat yang belum jelas. Lorong sempit yang kami lalui tadi tidak memberikan apa-apa maklumat sahih. Tembok dan batu hanya manifestasi suatu fakta hakiki bahawa ianya pernah dilalui pada suatu zaman yang terdahulu. Lorong itu masih digunakan untuk menuntut pengertian bahawa manusia masih memerlukan jalan untuk membawa mereka ke suatu arah harapan mereka sendiri. Lain manusia lain arah tujunya. Lain kelompok manusia lain arah  tujuannya. Yang kelihatan sekarang ialah lorong yang penuh dengan manusia yang kagum dengan manusia terdahulu yang mampu membina tamadun. Pada ketika yang sama orang dahulu tentu kagum dengan tamadun yang kita bina. Hanya zaman yang memisahkan antara yang dahulu dengan yang kemudian. Fungsinya tetap sama. Yang penting ialah mereka yang bertaqwa. Yang lain tidak relevan di sisi Allah. Mereka yang bertaqwa memilik peluang yang banyak untuk membawa diri mereka ke darjat yang lebih tinggi.
Saya teringat cerita Hollywood, Indiana Jones. Dari celah-celah gunung mereka menemui jalan keluar yang terbentang luas.  Lorong yang baru dilalui mengingatkan saya tentang filem kungfu Hong Kong atau Taiwan tentang pejuang-pejuang yang melalui lorong-lorong sempit untuk mengalahkan satu sama lain. Dalam kehidupan orang Anbat lorong itu telah menyelamatkan hidup mereka. Kerajaan mereka. Tamadun mereka. Di hujung lorong yang kekal di tengah gunung tepampang sebuah binaan purba. Bukan di dunia yang terbuka. Binaannya terlekat di tembok gunung. Di permukaan gunung. Tinggi yang banyak tanyanya pada minda yang kurang arif. Hanya suatu kejutan suara, “Tingginya!”.  Di hadapan suatu kawasan yang tidak berapa besar binaan itu tersergam dengan sendirinya. Tiada banguan lain yang berhampiran. Tiada di kanan atau di kiri. Tiada di hadapannya. Hanya itu satu-satunya binaan yang mencabar zaman. Dataran sebesar padang bola disinari matahari siang. Tiada pokok dan tiada taman. Yang ada hanya pasir dan batu halus. Dalam imej yang saya bina, di situ dahulu berbaris pengawal dan pembesar Anbat meraikan raja mereka. Menerima tetamu dari luar. Pusat kawalan ke bandar purba Petra. Darinya cukai dipungut. Pedagang di periksa. Di situlah aktiviti Petra bermula.
Dunia seperti terbelah kali pertama melihat binaan al-Khazinah. Atau mungkin juga khazanah dalam bahasa Melayu. Dahulunya di situ pusat pentadbiran, mahkamah dan akhirnya dijadikan perkuburan di-raja mereka. Bayangkan sebuah binaan yang lebarnya 30m dan tingginya 43m. Bangunannya tidak ada. Yang nampak hanya pintu masuknya. Hanya teresnya. Hanya tiang-tiang yang dibina cantik berukir dan berseni indah. Pada pintu gerbang ini terakam segala keindahan senibina orang Anbat yang menerapkan  senibina orang Hellenistik, Alexandrian Hellenestik, Mesir dan Roman. Untuk mata setengah orang ianya binaan Roman. Bagi ahli arkeologi ianya dapat dibaca dengan jelas. Banyak tanda-tanda gabungan berbagai budaya. Maknanya orang Anbat membina seni mereka sendiri yang sangat seni. Selama lebih 2,000 tahun tiada bangsa lain yang dapat menandingi tamadun yang mereka bina. Tamadun pergunungan yang tiada persamaannya di mana-mana di dunia. Seperti selalu kita rasa banyak malangnya tamadun yang tidak berkekalan. Jika kita toleh ke kanan dan ke kiri, tamadun Islam yang dijaga rapi boleh kekal hingga kiamat.  Syaratnya jaga iman, jaga Islam dan laksanakan semua suruhan dan tinggalkan semua larangan.
Orang Anbat bukan jenis orang yang terlalu bangga dengan budaya sendiri sehingga menolak budaya orang lain. Menepis pengaruh orang lain. Tidak pula mereka membuang budaya mereka sendiri. Tidak pula menyisih milik sendiri kerana terpengaruh dengan budaya orang lain. Petra  menyerlahkan suatu himpunan budaya yang berbagai. Budaya yang tercanai sebenarnya lebih memberi kejutan minda, kejutan mata dan kejutan budaya. Di sebuah tempat yang tersorok di celah gunung terbina tamadun berbagai budaya. Mereka keluar merantau dan berniaga. Mereka keluar memerintah ke merata kawasan. Yang mereka bawa pulang bukan sahaja khazanah harta bahkan juga khazanah seni.  Tamadun mereka ditokoktambah untuk diperkayakannya. Diperhalusi. Diberi nafas baru. Maka terjadilah suatu realiti yang indah pada zamannya. Juga pada zaman selepasnya. Kita yang tertinggal zaman ini masih mengkagumi keindahan senibinanya.  Rasanya tiada orang sekarang yang ingin terfikir untuk membina tamadun di celah gunung. Di perut gunung. Dunia ini luas untuk dipilih sebagai tempat yang lebih indah.  
Senibina Petra tentulah lambang pemikiran pada zaman itu. Pilihan mereka adalah yang terbaik ketika itu. Mereka dianggap bertuah menemui celah-celah gunung yang boleh dibina tamadun. Ruang untuk dijadikan markas sudah terbina. Ruang untuk berniaga dan berdagang sudah tersedia. Ruang untuk mengawal keadaan keselamatan dan kesejahteran sudah siap untuk terus diguna. Yang diperlukan ialah susunatur. Senireka untuk mentadbir sebuah kawasan yang akhirnya menjadi pusat pemerintahan sebuah empayar yang besar dan gagah. Kita rasa taajub kerana kita berfikir cara kita. Mereka berfikir cara mereka pada ketika itu. Semasa keperluan mereka mendesak begitu.  Mereka gunakan sumber yang ada pada mereka untuk membina tamadun mereka. Dari ketua hinggalah rakyat jelata berperanan membina tamadun itu. Sumber kewangan dan kemudahan digembeling hingga akhirnya terbina segala yang diperlukan. Semua yang diperlukan untuk mentadbir suatu tamadun. Begitulah bangsa yang banyak berfikir, banyak mencari akal, banyak memberi input menghasilkan banyak output untuk membina kelebihan pada dirinya, pada bangsanya.
Petra menemukan saya dengan diri saya sendiri. Kembara yang tiada hentinya memberi ruang untuk banyak berfikir. Untuk banyak melontarkan idea. Bahawa kita sebenarnya pengembara zaman. Yang melintas di hadapan mata. Mencabar minda. Yang memfanakan mata dan perasaan. Banyak yang dilihat lebih banyak yang ditanya dan perlukan jawapan. Ke mana sebenarnya kita hendak pergi. Dari mana kita datang. Jika kita kata kita hendak ke hadapan, sejak dari dahulu lagi semua orang berkata begitu. Pada hakikatnya kita tetap berada di tempat yang sama. Kita hanya berputar dalam lingkungan yang sama. Bahawa yang diangkat dari kita adalah darjat kita. Yang dilihat ialah taqwa kita. Kayu ukurnya bukan tamadun semata-mata. Benchmarknya bukan kemajuan sahaja. Tiada yang lain seperti pesan Luqman al-Hakim kepada anak lelakinya, “Sembahlah Allah dan jangan kamu mensyirikkanNya.” Begitulah mafhum firman Allah di dalam al-Quran. Dari seorang bapa kepada anak yang menjadi pewaris zamannya. Dari seorang ketua keluarga kepada ahlinya. Itu yang kekal dari dunia hingga ke akhirat. InsyaAllah.