Friday, December 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Dagangnya Islam di Akhir Zaman



Terharu apabila seorang demi seorang mereka yang bertaraf ulamak meninggalkan kita. Ulamak Jordan yang berusia 124 tahun baru kembali ke rahmatullah. Sebelum itu seorang ulamak Syria yang tulisannya sangat prolifik tentang ensaiklopedia tarikh Islamiyyah telah juga meninggalkan kita. Terguris hati apabila semakin galak majikan meminta bakal pekerja dan pekerjanya membuka tudung atau hijab. Lebih pilu apabila Yusof al-Qaradawi sudah dijejak oleh interpol. Waran tangkap ke atasnya sudah dikeluarkan. Penulis teringat hadith Nabi yang mafhumnya, “Akan sampai ketikanya ilmu Allah diangkat ke langit. Maksudnya Allah mematikan ulamak seorang demi seorang sehingga yang tinggal adalah mereka yang jahil-jahil belaka.” Ketika itu yang berlaku adalah kekecohan untuk mendapat habuan dunia sehingga masyarakat menjadi sangat bobrok. Menjadi sangat jelek. Dunia sudah tidak lagi memberi manfaat. Sudah tidak dimakmurkan dengan amal ibadat lagi. Maka kesemuanya akan dikembalikan kepada Allah. Tidak ada satupun yang akan tinggal kecuali mereka yang cetek ilmunya sahaja.

Rabi’ulawal 1436H menjelang tiba. Selama 1436 tahun Hijriyyah Rasulallah s.a.w. telah menitipkan Islam untuk kita semua. Rasulallah sangat mengasihi kita walaupun kita tidak hidup bersamanya di zamannya. Setakat mana kasih kita terhadap baginda. Perayaan demi perayaan kita sambut setiap tahun. Malangnya maksiat semakin parah menular dan merosakkan. Kita hilang pertimbangan diri. Kita hilang kawalan ke atas semua yang bernilai dari segi agama. Ulamak dipandang sepi. Mereka difitnah. Mereka yang pandai dalam bidang agama dipersoal ke”ulamak”annya. Nilai agama ditanya kepada mereka yang tiada latarbelakang agama. Ulasan tentang sesuatu hal agama bukan berpandukan al-Quran, al-Sunnah, qias dan ijmak tetapi menggunakan akal fikiran sendiri. Mengikut apa yang terlintas dalam pemikiran sebagai penganut agama. Bukan sebagai mereka yang ahli dalam agamanya. Malang sekali pendapat dari mereka yang bukan ahli itulah yang menjadi pegangan. Yang dianggap betul. Pendapat ulamak pula dikatakan condong memihak kepada kumpulannya sahaja. Pendapat ulamak kononnya dikhuatiri menyeleweng.

Akhir-akhir ini negara kita seperti sudah mula ditimpa musibah bersilih ganti. Banjir di Cameroon Highlands, Kelantan dan Terengganu dituruti pula di negeri Perak, Selangor, Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Sabah dan Johor memusnahkan harta benda. Bak tsunami air melanda. Banyak rumah yang rosak. Banyak kenderaan yang rosak. Jalan perhubungan terputus. Hanya lelehan airmata dan kesedihan kepada mangsa. Terbaru empangan di selatan Thailand pula dilepaskan airnya. Mudah-mudahan airnya tidak tiba di negeri Kelantan, Perlis dan Kedah. Allahuakbar. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu. Maknanya musibah kali ini bukan calang-calang ujian dari Allah. Mungkin antara banjir paling besar yang pernah kita alami sebelum ini. Jika dahulu tidak ramai yang mengalaminya kerana rakyat belum ramai tetapi kali ini sangat mengharukan. Setiap saat ada sahaja maklumat dan beritanya.

Sebelum ini sudah Allah perlihatkan tanda-tandanya. Mungkin kita terlepas pandang. Kita menganggapnya fenomena alam. Perubahan cuaca. Kita cuba menganalisis secara saintifik. Ilmu itu benar tetapi kebenaran yang hakiki hanya dari Allah. Itu hakNya. Putting beliung di Pantai Timur telah beraku. Di Kedah berulang kali. Di Selangor juga berlaku. Ribut banyak kali. Kerang berlumba-lumba naik ke darat di negeri Terengganu. Kita masih juga tidak melihat di sebalik alamat-alamat yang Allah perlihatkan itu. Musim tengkujuh pula sekaranglah masanya. Kita tidak mengambilkira marabahaya yang bakal menimpa. Sekarang semuanya kenyataan. Kita alami tanpa meminjam pengalaman orang lain. Malah seluruh Asia Tenggara dilanda banjir seperti di Indonesia, Thailanda dan Filipina.

Kita ada Jabatan Kajicuaca. Jabatan ini membuat ramalan dari masa ke semasa. Tentulah kajian telah dibuat mengenai jangkaan bila hujan akan turun dengan lebatnya, berapa mililiter banyaknya, kawasan mana yang paling lebat dan banyak, berapa lama jangkaan hujan tersebut dan apakah musibah yang dijangka berlaku. Maknanya Jabatan Kajicuaca boleh meniup wiselnya dari awal-awal lagi. Malangnya mungkin ada tangan-tangan yang menghalang keluarnya amaran serius dari jabatan tersebut. Manusia seperti kita pula selalu lalai dan banyak menunggu. Ketika air sungai Kelantan hampir melepasi bentengnya masih ramai yang datang menontonnya. Bukan cepat-cepat meninggalkan Kota Bahru untuk menyelamatkan diri. Sekarang Kota Bahru tenggelam. Jika sekadar sekarang mungkin bangunan yang bertingkat-tingkat boleh bertahan. Yang rendah pastinya akan tenggelam. Mudah-mudahan banjir dari Thailand tidak menambahkan kesengsaraan rakyat Kelantan. Kerugian kali ini mungkin berbillion ringgit. Malapetaka selepas banjir juga akan menjadi gawat jika tiada persediaan ke arah itu. Penyakit mudah menular selapas banjir. Apatah lagi tanpa bekalan air bersih.


Orang Islam tersepit apabila bencana dan musibah banjir menimpa. Orang Islam ramai di kampung-kampung. Rumah mereka berhampiran dengan sungai atau di kawasan lembah dan tanah rendah. Banjir kali ini melebihi biasa besarnya. Kawasan yang dahulunya tidak tenggelam kali ini keadaannya tidak selamat. Air bukan sekadar setengah atau semeter tetapi hingga hampir 10 meter atau mungkin lebih. Bukit kecil kelihatan tidak selamat sebagai tempat perlindungan. Mungkinkah kita perlu melihat semula budaya kita membuat bandar dan kampung di tanah rendah. Kita belajar dari pengalaman. Berpindahlah ke tempat tinggi bagi mereka yang mampu. Tetepi janganlah pula bukit dan gunung diratakan. Biarkan ianya tinggi dan kita belajar untuk hidup di tempat tinggi seperti di negara lain di hemispiar utara dan di negara Arab. Jika tidak musibah banjir mungkin berlaku setiap tahun dengan ketentuan Allah. Kita berusahalah berada di tempat yang selamat. Berserah sahaja tidak membantu menyelamatkan diri. 

Cuma kadang-kadang terlintas juga dalam pemikiran. Mengapa sewaktu bencana sebegitu hebatnya jentera kerajaan pusat tidak digerakkan sepenuhnya. Tidak proaktif. Tidak bergerak pantas. Adakah banyak agenda politik yang disembunyikan. Mengapa tidak agenda kemanusiaan yang diserlahkan. Agenda sesama agama. Sesama suku bangsa. Sesama keluarga. Saudara-mara kita ramai di Kelantan. Ahli keluarga kita yang seketurunan dan seagama. Entahlah. Allah Maha mengetahui segala-galanya. Pada firasat penulis banjir ini menandakan banyak berakhirnya apa yang sudah bermula. Apa yang telah berlaku. Penilaian kemanusiaan kita lemah kerana kita dibelenggu dengan emosi yang tidak wajar. Pengajaran yang panjang masanya untuk sembuh. Luka yang melukakan.