Tuesday, June 22, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Sembilan

Mei 1975 - UM. Setelah lebih enam tahun menjadi guru di sekolah menengah, saya merantau lagi. Kali ini menjejak kaki di Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur. Tahun 1975 itu tahun yang tidak tenteram bagi saya. Awal tahun baru sahaja berpindah randah setelah pulang dari Terengganu. Sekarang ke Kuala Lumpur pula. Tinggal lagi isteri dan anak-anak. Yang sulung berumur 3 tahun dan yang kedua 2 tahun. Sedang manja, masih wangi untuk dicium dan diulit. Seronok menidurkannya di riba atau di buai. Bila berjauhan dengan mereka hati bagai diruntun. Hendak kerap balik jauh pula jarak perjalanannya. Tahan sahajalah. Berperang juga hati di dalam. Rindu isteri, rindu anak, belajar pula banyak payahnya.

Tahun 1975 adalah tahun yang agak tenang di UM setelah Pelajar Menggugat pada tahun 1974. Mereka yang berusia melebihi 55 tahun mungkin kesemuanya memahami keadaan itu. Yang tidak membaca akhbar atau yang tidak menonton TV tentu sahaja tidak mengetahui duduk perkara. Tahun-tahun 60an dan 70an adalah tahun pelajar di seluruh dunia menyuarakan pendapat mereka. Ketika itu suara pelajar memang cukup lantang. Mereka dianggap anti-establishment walaupun sebenarnya mereka ingin turut terlibat dalam apa sahaja permasalahan dalam masyarakat dan negara. Isu-isu yang mereka garap adalah berkaitan dengan permasalahan sosial. Waktu itu timbullah mengenai Tasik Utara di Johor Bahru, Panglima Garang di Selangor dan Baling di Kedah. Semuanya menceritakan tentang kemiskinan dan kepayahan rakyat.

Dengan kuasa yang ada pada pemerintah, keadaan itu dibendung. Diperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Itulah sejarah bermulanya AUKU di semua IPT. Pelajar dikembalikan kepada statusnya. Mereka dikehendaki belajar sahaja dan tidak perlu menyibuk dengan urusan negara. benarkah begitu? Selepas 36 tahun, universiti menjadi lesu. Pelajar tidak belajar seperti diharapkan. Bila keluar mereka menjadi orang-orang yang pasif. Tidak aktif dalam masyrakat. Bakat mereka entah ke mana. Potensi mereka entah ke mana. Hidup sebagai pelajar sudah tidak lagi melambangkan kesarjanaan. Kampus bisu dari laungan akademik. Lesu dari kepimpinan yang boleh diharap. Aktiviti kokurikulum hanya untuk memenuhi syarat. Lulus kursus. Bila bekerja mereka mengejar ganjaran, kemewahan dan hidup senang. Baru-baru ini ingin diperkenalkan kembali konsep sudut pidato seperti yang pernah wujud di UM dahulu. (Konsep ini diambil dari Speakers' Corner di Hydes Park, London).

Pelajar sekarang sangat indah hidupnya. Jika tanpa biasiswa, mereka masih boleh mendapat dari PTPTN. yayasan-yayasan, kerajaan negeri, MARA, PNB, Telekom dan sebagainya. Masih lumayan. Tidak ada yang mati kelaparan atau terpaksa mengikat perut. Sekiranya ada masalah kewangan, ada dua perkara yang pasti telah berlaku. Pertamanya, pelajar tidak tahu merancang perbelanjaan. Main hentam sahaja kerana dijangka wang itu sentiasa ada. Semester hadapan akan datang lagi. Mereka lupa mereka kena menabung juga. Nanti semasa menjalani latihan industri mereka perlukan wang. Semasa mula bekerja perlukan wang juga. Keduanya, ada ibu bapa yang tidak memahami konsep biasiswa atau bantuan kewangan yang diperolehi pelajar. Mereka menganggap seolah-olah anak mereka sudah bekerja. Sudah makan gaji. Mereka ingin berkongsi nikmat itu. Akibatnya ada pelajar terpaksa mengikat perut kerana ingin membantu keluarga di kampung. Pelajar seperti ini sukar mendamaikan hati dan perasaan. Mereka dihimpit keresahan. Akademik mereka mungkin tidak cemerlang kerana serba kekurangan. Mereka dibantu. Mereka pula menggunakan wang bantuan untuk membantu keluarga. Mereka tenggelam mencari priority. Tidak dapat menentukan titik pemisah antara diri dan keluarga.


Zaman saya di universiti senerionya lebih parah. Ramai mahasitua seperti saya. Itulah peluang guru untuk meningkatkan diri. Ramai yang bermula dari bawah. Mereka ambil SRP (PMR), SPM dan STPM lalu ke menara gading. Bila keluar dalam masa yang singkat mereka menjadi Pengetua. Masih banyak kekosongan bagi jawatan tersebut. Yang diperlukan ialah graduan IPT. Setengahnya, lapor sahaja ke sekolah rupanya terus menjadi Pengetua. Ada yang seperti hendak pengsan kerana tidak menjangka perkara seperti itu boleh berlaku. Seorang bekas guru melaporkan diri ke sebuah sekolah menengah di Dungun, Terengganu. Dia bertanya kerani dan meminta izin untuk bertemu Pengetua. Apabila kerani menyemak namanya, selamba kerani itu menyatakan bahawa guru yang melaporkan diri itulah Pengetua yang dinanti. Gabra habis guru itu. Masakan tidak. Rambutnya masih panjang. Saki baki budaya IPT ketika itu. (Nanti saya paparkan diri saya dalam keadaan itu). Seluarnya pula jenis ketat, melekap di paha. Kakinya tirus mengecil dihujung. Kasutnya leg on (tidak berzip atau tali seperti kasut cowboy di Amerika Syarikat) bertumit agak tinggi. Bila jalan berbunyi kuat semacam. Bajunya juga jenis rugged. Berbelang, tidak dibutang di bahagia atas dada dan lengannya dilipat. Memang macho. Saya kenal guru itu sebab dia menjadi guru sementara semasa mengajar saya di kelas peralihan pada tahun 1960 dahulu.

Dia masuk ke bilik Pengetua. Pandang kanan dan kiri. Duduk sekejap untuk merasakan kelembutan kerusi Pengetua. Pusing-pusingkan kerusi. Terasa pening-pening lalat. Sentuh sana dan sini mana yang patut. Ia keluar semula dan maklumkan kepada kerani yang dia ingin keluar. Kenapa ya?

Dia pergi bergunting rambut. Tidak mungkin Pengetua berambut panjang. Apa nanti keta guru. Apa nanti kata pelajar. Apa nanti kata pekerja. Apa nanti kata ibu bapa. Apa nanti kata pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri. Sayangnya pada rambut diatasi dengan rasa insaf dan tanggungjawab. Dia bukan guru biasa. Dia secara tiba-tiba menjadi Pengetua. Suatu jawatan yang pipihnya datang melayang, yang bulatnya datang bergolek. Tidak diminta ketika itu. Tidak dicita ketika itu. Tidak diimpi ketika itu. Namun, amanah itu harus dipikul.

Dia membeli seluar dan baju yang sesuai. Serapi mungkin. Bertukarlah wajah dan penampilannya. Sesuailah orang dan jawatannya. Lambang pendidik yang mesti dijaga. Darjat guru yang mesti dijaga. Martabat pendidik yang mesti dilindungi dan diletakkan di tempat yang tinggi. Guru adalah teladan. Guru adalah model. Guru adalah contoh. Guru adalah guru. Guru yang menggurui dan boleh digurui. Ia kembali ke sekolah dalam keadaan bersedia secara mental, fizikal dan sosial.

Suatu pengajaran besar bagi guru dan bakal guru. Imej guru berbeza dengan imej orang lain. Penjawat lain. Profesion lain. Banyak the dos and the don'ts. Banyak pantang larang. Banyak etika. Banyak peraturan. Banyak garis panduan. Guru adalah cermin masyarakat, cermin intelek, cermin akhlak, cermin sosial, cermin kesejahteraan, cermin disiplin, cermin keperhatinan, cermin tanggungjawab, cermin amanah dan segala-gala cermin. Jika guru tidak boleh menjadi cermin itu, gagallah guru untuk mencerminkan yang terbaik sebagai tanda dan lambang profesionya. Kerjayanya. Hidupnya. Masa depannya. Semua orang di luar sana memandang cermin itu. Mereka tidak berkedip meneliti rata dan retaknya. Comot dan licinnya. Terang dan pudarnya. Malah yang di belakang cermin itupun mereka ingin tahu. Siapa kita? Dari mana kita datang? Hidup kita? Rakan kita? Dan semua yang ada hubungan dengan kita adalah sebahagian dari cermin itu. Oleh itu jangan biarkan sebarang kecacatan berlaku ke atas cermin itu. Diri kita.


Pada tahun 1975 keadaan sudah berubah. Sudah ramai guru yang memiliki ijazah. Tidak mudah pula untuk menjadi Pengetua. Perlu mengambil masa. Mungkin 20 tahun. Walau bagaimanapun guru tetap ramai yang melanjutkan pelajaran. Pertamanya kerana ganjaran yang lebih tinggi. Siling pendapatan yang boleh dicapai juga jauh lebih tinggi berbanding dengan mereka yang memiliki diploma atau sijil guru. Keduanya, peluang naik pangkat agak terbuka hingga ke peringkat tinggi. Ketiganya, taraf sosial bagi guru tersebut meningkat. Masyarakat memberi pandangan yang lebih positif. Ada nilai komersil.


Bagi mereka yang sampai di universiti seolah-olah mereka berada di kayangan atau di awang-awangan. Umumnya ketika itu universiti adalah sebuah menara gading. Nilai yang sangat tinggi. Lihat sahaja peribahasa, "Bila dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi." Mereka yang berada di menara gading dipandang tinggi dan mungkin juga dihormati. Bila lulus dijamin pula mendapat pendapatan yang lumayan. Jauh mengatasi orang lain. Peratus rakyat yang ke menara gading sangat kecil. Universiti yang ada tidak banyak. UM, UKM, USM, UPM dan UTM.


Berjaya ke UM adalah sesuatu yang indah. UM adalah yang tertua, yang dipindahkan dari Singapura ke Kuala Lumpur. Terletak di Lembah Pantai. Sangat gah sebagai mercu tanda pendidikan negara yang baru merdeka. Sebab itu tradisinya masih terjaga walaupun banyak saingannya. Kenangan di UM cukup banyak. Suatu kembara ilmu dan sosial yang besar pengorbanannya. Suatu titik tolak dalam melayari masa hadapan yang ungu cahayanya. melestarikan cita-cita. Menggapai tahap hidup yang menjulang awan. Membawa keluarga menerawang keindahan yang mewajarkan hidup selesa. Penuh dengan dunia ilmu yang berwarna warni.

Universiti bukan untuk tempat santai. Bukan tempat memandai-mandai. Bukan untuk tunjuk pandai. Bukan untuk tayang pandai. Bukan untuk melupakan asal usul hingga terbabas lupa diri. Universiti adalah untuk menjadikan diri saya terpelajar. Menajdi orang yang perasa, empati. Menjadi manusia yang boleh menyumbang, berkongsi, memberi dan menebar bakti. Itulah ilmu yang diterjemah dan dimanifestasikan dalam bentuk amali yang bermakna. Menggarap untuk memertabatkan ilmu. Alhamdulillah, pengalaman ilmu itulah yang membantu saya mendidik anak-anak. Mendidik anak-anak didik saya. Mendidik orang-orang yang ada di sekeliling saya.

Ilmu itu pula tidak ada penamatnya. Ilmu Allah sangat luas. Tidak tercapai manusia untuk mempelajarinya. Maka manusia menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Hanya beberapa kategori ilmu yang ada pada kita. Yang lain tersebarlah kepada orang lain. Itulah kemanusiaan. Kita berkongsi apa yang namanya manusia.

Belajar di UM banyak juga risikonya. Sistemnya ketika itu tiga penggal. Peperiksaan akhir di akhir penggal ketiga. Jika dari awal tidak faham maka jawabnya kecundanglah akhirnya. Akan turun nanti dari menara gading mencari tanduk-tanduk lama yang telah ditinggalkan. Jika berjaya, senanglah hidup. Ekonomi tentu melimpah ruah kepada keluarga dan saudara mara.

Sistem di UM dulu angat asas. Pelajar pergi ke bilik kuliah untuk dikuliahkan. Seminggu sekali ada kelas tutorial bagi merungkai apa-apa yang tidak difahami. Atau sebagai forum perbincangan. Kuliah pula secara jemaah, massa. Di dewan kuliah ada seramai 300 hinga 500 pelajar. Transparensi tidak ada. LCD projektor tida ada. OHP ntidak ada. Internet tidak ada, Modul juga tidak ada. Pensyarah akan memberi kuliah selama sejam atau dua jam. Pelajar bukan mendengar dan tidur. Kami diajar untuk mencatat, menyalin. Semuanya yang keluar dari mulut pensyarah dan apa-apa yang dicatatnya adalah ilmu, isi pelajaran, fakta dan data yang tidak ada dalam buku dan modul. Pengalaman pensyarah itu tidak didokumentasikan. Tidak ada rekod mengenainya. Saya buat catatan apa sahaja yang diungkapkan. Yang dibicarakan. Yang dicontohkan. Yang dihuraikan. Pensyarah saya yang paling dahsyat ialah YB Datuk Rafidah Aziz. Dalam sejam kuliahnya jika dicatat mungkin hingga 14 muka surat. Itupun banyak tertinggal. Beliau jika bercakap sangat laju, payah nak masuk koma dan titik. Tiada hentinya.

Pensyarah juga tidak terlalu formal. Ramai yang memberi kuliah dengan memakai selipar atau jean dan kemeja-T. Saya membuat pemerhatian, jika pensyarah itu asalnya guru maka keperhatinannya terhadap masalah pelajar sangat berbeza dengan pensyarah yang datang terus dari IPT dengan sarjana dan PhD. Dalam apa bentukpun, seorang guru atau pensyarah atau pendidik atau jurulatih hendaklah tahu juga mengenai pedagogi, falsafah, sosiologi dan psikilogi. Itulah dunia pendidikan. Lesen untuk menjadi guru. Sesiapa yang memberi pengajaran adalah guru. Kita sahaja menamakannya berbagai. Untuk berbeza taraf. Hakikatnya sama sahaja. Pensyarah bekas guru sangat teratur pengajarannya. Banyak aspek yang diambil kira.

Kuliah saya paling lama dua jam. Setelah jenuh mengambil nota, habis kelas saya dan beberapa rakan lain berkongsi nota. Masing-masing melengkapkannya. Ada seseorang yang menaipnya. Masa itu 1975 komputer masih jenis yang guna kad. Komputernya besar. Beberapa orang sahaja yang belajar komputer. Maka mesintaip yang menjadi pembantu. Bila siap nota lengkap kami fotostat dan agih sesama sendiri. Itu belum lengkap. Secara individu, saya ke perpustakaan. Cari buku-buku dan topik-topik yang berkenaan. Saya tambah di sana sini untuk melengkap dan mempelbagaikannya. Setelah dibaca berulang kali, saya jadikan nota ringkas. Akhirnya saya pindahkan ke kad-kad secara padat. Mungkin dengan acronym - huruf-huruf potong. Sendiri sahaja yang faham. Terengkas sendiri.

Nota kecil atau kad-kad itu sentiasa berada bersama diri. Dibawa ke mana sahaja. Waktu dalam perjalanan, waktu santai, waktu duduk-duduk, waktu makan dan sementara menunggu kuliah atau solat. Malah ada yang membawanya ke bilik air supaya tidak terasa membuang masa. Perpustakaan menjadi rumah kedua saya. Buku-buku dari red spot memang jadi rebutan. mesti dikejar setiap hari. Tempahan lagi. Hanya boleh pinjam tiga jam sahaja. Kebanyakan nota kuliah dari rujukan red spot itu.

Red spot ini banyak konotasinya kepada pelajar UM. Pelajar bujang (lelaki dan perempuan) berlainan konotasinya. Siswi pada tahun pertama menjadi rebutan. Jadi red spot. Berebut-rebut siswa membuat penilaian dan pemilihan. Hendak memilih yang muda. Yang cun melecun. Tahun dua jadi bahan rujukan. Pilihan baru sudah datang. Tahun tiga/akhir jadi open selves. Mungkin dipandang dengan sebelah mata sahaja. Berkawan. Ahli kumpulan tetapi bukan untuk jadi orang yang bersaranag rindunya di hati. Lelaki, begitulah fitrahnya. Bukan salah. Mungkin falsafahnya begitu. Lagipun yang sudah tahun tiga, sudah mula serabut. Matang tetapi tidak tahu menjaga penampilan. Akal banyak. Susah hendak diajak bicara. Yang muda dan baru masuk, masih naif. Tengah belajar. Ramai siswa yang hendak mengajar. Yang di tahun akhir sudah jadi bahan terbuka. Bukan pula maksudnya terbuang. Tidak ramai yang mencari dan merujuknya.

Sebaliknya, siswa tahun pertama dianggap Open selves. Tiada siswi yang pandang. Budak mentah. Apapun belum tahu. Lurus bendul. Penampilan jauh sekali. Tahun kedua bahan rujukan. Bolehlah dipandang-pandang. Sudah mula bergaya. Bila tahun tiga/akhir menjadi red spot. Tinggi nilainya kerana akan keluar tidak lama lagi. Jawatan mesti tinggi (banyak peluang kerja). Gaji mesti lumayan. Cerah masa depan. Macam-macam boleh jadi.

Orang Timur, orang lelakinnya masih dengan tradisi. Mereka mencari kekasih atau isteri yang lebih muda. Ibu bapa tidak berkenan menantu yang lebih berumur atau janda atau yang sudah beranak pinak. Sampai bila persepsi dan falsafah ini akan berlarutan tiada siapa yang tahu. Di Barat falsafah hidup mereka terbuka. Kebahagian mereka bukan pada umur. Bukan pada kelayakan akademik (sebab mereka berpendidikan tinggi), bukan pada harta dan bukan pada tubuh badan. Kebahagian terletak pada hati, pada gerakrasa, pada keyakinan diri, pada dalaman kita, pada tertemuan dua hati, pada keserasian dan keselesaan. Bila ada kesepaduan dan sentiasa dipadu besar kemungkinannya kelestarian berumahtangga itu berkekalan. Yang penting halal, harus dan kerana Allah. Masyarakat kita masih belum begitu terbuka. Tunggulah seabad dua lagi bila pendidikan menyebar dan merata mungkin keadaan berubah. Rasulullah adalah contoh terbaik. Itu pengakuan Allah. Baginda berkahwin dengan hak. Bila perlu, yang sangat tuapun dikahwini. Yang sudah menopause dan tidak memerlukan suami lagi. Bukan kerana fizikal tetapi tanggungjawab, kesejahteraan dan kerana Allah. Malah ada isteri Baginda yang menolak untuk digiliri. Sudah tidak diperlukan lagi kebersamaan suami isteri. Baginda hanya mengunjungi seperlunya dan seadilnya.

Cerita belajar di UM masih terasa perit, payah, sukar dan kekangannya. Empat tahun yang penuh dengan cabaran dan kerapuhan hati. Hanya semangat dan harapan yang meninggi usaha dan gerak hati. Demi cita-cita dan masa depan. Bukan untuk diri. Untuk anak-anak. Untuk keluar dari siri kepayahan yang dulunya memanjang.