Wednesday, January 26, 2011

Mendaftar Kelas Dan Kad Matrik


Saya menghadapi kesukaran untuk mendaftar. Orang-orang penting di School of Education kesemuanya bercuti. Hendak bertanya tiada siapa untuk ditanya. Untuk minta nasehat tiada siapa untuk dirujuk. Isilah borang pendaftaran. Siapa yang hendak tandatangan. Tiada tandatangan, tiada pendafaran. Merondalah saya mencari orang-orang yang boleh menandatanganinya. Akhirnya seseorang menanda tangan borang yang saya isi. Apa jawatannya, tidak pula saya ketahui. Yang jelas bukan penasehat saya. Bukan yang namanya Bicanich.

Di US mengisi borang boleh menggunakan pensil sahaja. Pendua dan peniganya berkaban sendiri. Tidak ada masalah salinannya. Tetapi pensil boleh digunakan. Pensil kepada orang Amerika sangat lumrah hingga diterima dalam mencatat dokumen-dokumen penting. Semasa periksa kami dibenarkan menggunakan pensil. Mudah digunakan dan mudah pula dipadam jika silap eja dan sebagainya. Di Malaysia langsung tidak boleh. Semuanya mesti gunakan pen.

Di US pensil sangat meluas penggunaannya. Mereka ada budaya khusus tentang pensil. Setiap seorang pelajar atau staf universiti tidak perlu menyediakan pengasah pensil. Atau pengorek. Atau pisau untuk merautnya. Di mana-mana pejabat ada pengorek pensil elektrik. Ya elektrik. Bila kita masukkan pensil maka berputarlah pisaunya. Terlalu pantas. Guna dan asah itu terlalu dekat waktunya. Siapa sahaja boleh menggunakannya. Tidak kira staf atau pelajar. Oleh kerana itu budaya mereka, maka penggunaannya sangat meluas. Ada di mana-mana. Yang penting bawa sahaja pensil kayu yang panjang. Bukan yang mekanikal.


Setelah borang saya ditandatangani, saya usunglah borang itu untuk didaftarkan. Dalam universiti yang besar, jenuh juga berjalan dari satu pejabat ke pejabat yang lain. Winter pula ketika itu. Sejuknya mencengkam tulang. Sampai sumsum. Pakai jaket tebal. Pakai jean. Dalam jean ada seluar lagi. Setokin berlapis-lapis. Leher dililit muffler lagi. Masih terasa sejuknya yang membeku. Bila berjalan kenalah laju. Untuk memanaskan badan. Dalam kesejukan itu kadang-kadang terasa berpeluh juga badan di dalam. Cuma tidak sampai mengalir dan membasahi pakaian. Walaupun begitu pakaian tidak pula berbau hapak. Atau masam. Atau hangit. Atau pekat peluh. Udara kering. Kelembapan rendah. Itulah sebabnya mereka jarang mandi. Banyak pula memakai minyak wangi.


Selesai mendaftar, saya diperlukan mengambil kad matrik. Saya ingatkan seperti di Malaysia. Pelajar kena posing habis. Ada pula posing gila. Di sana duduk sahaja kamera dipetik. Mereka tidak ambil pusing posing pelajar. Yang mereka hendak ialah muka pelajar. Wajahnya. Tanda-tanda pada muka yang boleh dikenal. Pakaiannnya, rambutnya, rongaknya atau apa sahaja tentang dirinya bukan isu. Mukanya yang penting. Bahawa gambar itu didaftarkan dalam sistem maklumat mereka. Di dalam sistem maklumat imigresen. Mungkin ada dalam sistem maklumat FBI dan CIA. Maka jadilah kad matrik saya. Rambut berterbangan. Baju tidak sempat dikemaskan. Pendek kata jika di Malaysia tiada yang ambil dalam keadaan itu. Apatah lagi untuk dokumen rasmi.

Orang US tidak menurunkan tandatangan yang tidak dikenal orangnya. Kita di sini biasa dengan tandatangan yang tidak dapat dihubungkan dengan pemiliknya. Sukar dicam kecuali kita biasa dengan orang itu. Lain dengan orang Amerika. Tandatangan mereka dalam bentuk nama penuh. Nampak memanjang. Tidak ada yang ringkas untuk dokumen rasmi. Ketika itu tandatangan saya ringkas. Setelah melihat tandatangan mereka, saya ubah bentuknya. Hingga sekarang tandatangan saya panjang melengkapi nama saya Md Yusof Jamar. Lebih mudah orang mengenalpasti tandatangan saya.


Bermulalah satu episod baru dalam hidup saya. Pelajar sarjana pendidikan dari Malaysia. Kursus dalam perkhidmatan yang dibiayai oleh kerajaan. Dapat pula membawa isteri dn anak-anak. Merantau sebentar di negara orang. Di balik bumi. 12 jam jarak masa. Sehari di belakang. Kita menerima matahari terlebih dahulu. 12 jam kemudian baru mereka melihat matahari pagi. Kita makan tengahari, mereka tidur. Kita jaga waktu pagi, mereka mula malam hari. Sesudah beberapa hari, hilang sudah jet lag dan time lag. Menjadi normal seperti orang Amerika. Mulalah menikmati kehidupan luarbisa yang belum pernah dirasa. Dapat juga berada di sana. Hidup bersma orang putih. Benggali putih seperti kata orang Melaka sebelum 1511 dahulu. Panggilan orang Portugis terhadap bangsa orang putih.


Barangkali Panglima Awang manusia Melayu yang pertama sekali hidup di negara orang putih. Hingga sekarang masih ada yang menjejak keturunannya. Sejarahnya ia berkahwin dengan Miriam adik Magellan. Saya adalah antara manusia bertuah yang dapat mengelilingi dunia. Jika Panglima Awang mengelilingi dunia melalui laut, saya pula melakukannya melalui udara. Dari Subang saya merentas lautan Pasifik hingga mendarat di O’Hare Airport, Chicago. Pulangnya saya merentas lautan Atkantik. Transit di London, menjenguk Frankfurt, Dubai dan akhirnya mendarat di Subang juga. Selesai satu pusingan. Entah bila dapat mengulanginya semula. Pengalaman yang ingin diulang-ulang.
















Ini adalah winter saya yang pertama. Kali pertama merasa sejuknya salji. Kesejukan dikelilingi ais yang memutih merata-rata. Lihatlah di kanan dan kiri jalan. D atas kereta. pada pokok-pokok renek dan di pagar. Salji dan salji. Sejuk sesejuk salji.




















Bejalan di sini seolah-olah terlalu sunyi. Begitulah pada musim winter, tidak ramai orang berkeliaran. Mereka lebih banyak di rumah. Bersama kehangatan alat pemanas. Jauh dari sejuk alam.




















Setelah beberapa ketika, saya biasa menghadapi sejuk itu. Lihatlah, sarung tangan sudah boleh dibuka. Sejuk dan kaku. Tetapi sudah dapat melalikan diri.
Di bawah ini saya paparkan Cathdral of Learning. Bangunan universiti yang tertinggi di hemispiar barat. Bangunannya setinggi 40 tingkat. Dibina pada tahun 1921. Ianya bukan sahaja simbol kehebatan pendidikan bahkan juga mercu tanda bandaraya Pittsburgh yang ulung. Ketinggiannya boleh dilihat dari jarak berpuluh kilometer. Very strong. Very imposing. Very impressive.


Terlalu nostalgic dipandang lama-lama. Di celah-celah kuning menguning musim fall/autumn yang memang selalunya indah dan mengasyikkan.














Terlalu indah dilihat di balik dedaun yang menguning dan memerah pada musim fall/autumn. Selalu mengasyikkan saya.






































Berlatar belakangkan langit cerah yang membiru, jelas tersergam.












Disinari cahaya matahari petang.

















Ruang ini di tingkat bawah. Sangat luas. Waktu saya di sana hanya ada sebuah bangku untuk dua orang. Selalu dipromosikan sebagai a place for reflective thinking. Bebas menerawang minda. Memikirkan apa sahaja untuk mengenal diri. Muasabah diri. Atau melepaskan imaginasi untuk apa sahaja asalkan positif.
















Ruang yang sama dari sudut yang lain.

















Dilihat pada suatu malam yang gemilang. Bercahaya, gilang gemilang.
Bermandikan cahaya. Bak pelangi kelihatannya.












Di kejauhan itu ampak jelas, hebat dan menancap megah. Di kelilingi rimbunan hijau di musim summer. Dari dekat bangunan ini lebih gagah. Imposing. Tegak menjulang. Cahaya matahari petang memberikan imej putih pada dindingnya. Kebangaan penduduk Pittsburgh.


Gambar-gambar ini sangat terang. Setiap masa teruja menatapnya. Dulu saya pernah di sini. 27 tahun yang lalu. Terasa belum terlalu lama. Saya naik dan turun tangganya. Naik dan turun lifnya. Isteri saya juga ada kelas di sini. Nanti saya ceritakan pada entry yang lain.