Jumhur ulama’ bersetuju bahawa hiburan adalah harus. Walau apapun bentuknya ia disifatkan sebagai hiburan. Kita melihat hiburan ada di mana-mana. Hiburan dijadikan budaya. Hiburan dijadikan darah daging. Hiburan menjajah minda yang sukakan santai terlampau. Ramai orang menerima hiburan sebagai the in thing. Tanpa berfikir ramai orang yang menerima hiburan tanpa syarat. Tanpa berfikir panjang. Tanpa melihat daerah pemikiran lain yang jauh lebih penting. Jauh lebih utama. Hiburan bukan penentu bahagia. Hiburan bukan jalan yang diredhai jika banyak hal-hal yang berkaitan dengannya adalah maksiat belaka. Maksiat mata. Maksiat minda. Maksiat fizikal. Maksiat akal. Maksiat perasaan.
Bila ada majlis ada sahaja sajian hiburan. Dasarnya melayani jiwa muda yang gilakan hiburan. Yang mengidamkan hiburan. Yang mencitakan hiburan. Ibu bapa menurut kehendak anak. Masyarakat memberi apa yang dimahukan anak muda. Pemimpin ramai yang akur dengan kehendak ini. Memenuhi citarasa kata mereka. Kadang-kadang hiburan disajikan tanpa mengerti apa sebabnya. Pelik juga, orang agama kadang-kadang didisajikan dengan hiburan. Penaja dan penganjur seperti tidak mengerti batas dan hadnya. Sampai di mana sepatutnya hiburan boleh dipersembahkan. Bukan dalam semua keadaan.
Mari kita fikirkan sejenak. Rasulullah mengizinkan hiburan. Omar pula ditakuti penghibur-penghibur. Dalam banyak hal realiti sekarang, hiburan banyak mengiringi upacara agama. Kita pula sudah seperti terbius dengan hiburan. Konsert, karaoke, CD, live, unplugged, American Idol, Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Jom Heboh dan senarainya panjang lagi. Mereka yang asyik dengan hiburan ini hilang batasan, hilang sempadan, hilang kewarasan. Malah ada aktiviti motivasi dan dakwah agama yang diiringi dengan muzik. Bukan lagi dengan zikir. Bukan lagi dengan ayat-ayat suci al-Quran.
Ramadhan sebulan tidak berjaya mengikis semangat gila cintakan hiburan. Yang menghakis cinta ad-hoc kepada Allah. Bila menjelang hari raya, hiburan mengambilalih kehidupan. Tamat sahaja penyimpan mohor Raja-Raja Melayu memaklumkan tarikh dan hari tamatnya Ramadhan, serta merta hiburan mengambilalih. Hilang amalan agama yang melaungkan tadarus. Yang membariskan jemaah bertarawih. Malam sebelumnya kita bersolat Isya’ dan bertarawih. Berwitir dan bertadarus. Terasa tersangat baru. Kita menjadi manusia dua alam. Pada bulan Ramadhan kita menjadi sangat sopan. Tamat Ramadhan kita sasau dengan kegembiraan. Lalu kita berhibur hingga melampaui batasan yang diizinkan. Lailatul Qadar yang baru berlalu seperti tidak perna wujud. Seperti tidak pernah lama menunggu. Setahun hanya sekali datangnya. Luput dari ingatan sekelip mata. Balik balik kita leka dan alpa dengan huburan juga. Dengan muzik. Lemahnya spiritual quotient kita. Lemahnya religious quotient kita. Tipisnya benteng agama.
Beberapa tahun yang lalu saya menghadiri konvokesyen anak saya di sebuah universiti ternama di Kuala Lumpur. Apabila sampai waktu rehat, saya menjadi terkejut berok kerana audien dihidangkan dengan lagu-lagu rock. Lagu rancak yang janggal suasana. Lagu yang menongkah arus acara. Lagu yang memutar hormat kepada universiti. Saya menjadi sasau mendengar kebisingan muziknya. Bingit telinga mendengar suara-suara bising yang melontar perasaan tanpa mengira siapa audien di situ. Suasana syahdu menerima ijazah yang mendewasakan graduan. Yang dinanti ibu bapa sebagai balasan penat lelah mendidik anak. Harapan mengunung menghasilkan anak-anak yang pintar dan terpelajar. Musnah dalam suasana yang tidak berupa. Muzik rock mengiringi penerima-penerima ijazah. Suasana jadi kacau. Tidak menentu perasaan ibu bapa. Kami tua-tua. Kami warga emas. Kami orang yang sudah melampaui zaman rock itu. Kami nantikan doa, zikir dan ayat-ayat suci. Usia kami sudah semakin pendek. Hiburan bukan yang kami mahu. Sudah semaikn dekat kami akan pergi. Malang, pentadbir universit tidak mengerti. Tidak melihat susana. Tidak memahami keperluan. Tidak sensitif langsung dengan kehendak audien yang rata-ratanya adalah tua. Sekurang-kurangnya adalah dewasa.
Siapa sebenarnya yang hendak dihiburkan? Graduan memang muda kebanyakannya. Tetapi mereka sudah diajar untuk menjadi orang terpelajar. Mereka tetap meminati muzik tetapi bukan yang gila-gila. Mereka akur dengan status yang mereka capai. Mereka sedar diri tentang taraf pendidikan yang mereka miliki. Genre muzik yang tertentu sahaja yang layak untuk mereka.
Adakah warga universiti yang hendak dihiburkan? Saya rasa tidak. Tidak mungkin profesor dan pemegang PhD gilakan muzik rock yang membising. Yang menggegar dewan dan tubuh badan. Tidak mungkin kewarasan ilmu dan pengalaman serta usia tidak mengenal muzik yang bersesuaian. Yang menyerlahkan taraf dan tahap serta status mereka di mata masyarakat.
Tidak mungkin ibu bapa yang hendak dihiburkan. Tidakkah kita sedar bahawa ibu bapa yang hadir kebanyakannya adalah warga emas. Yang datang dari kampung. Yang pandangan dan falsafah hidupnya sangat simple. Muzik tradisional mungkin menghibur. Yang nadanya perlahan. Yang tidak berapa kuat. Yang jika dinyanyikan sekalipun dengan suara yang sopan sedap untuk menghibur. Tidak membenarkan suasana menjadi mengelirukan. Mungkin hingga memabukkan.
Tidak juga wajar para jemputan dihiburkan dengan muzik rancak. Mereka mungkin wakil-wakil kedutaan. Orang besar. Pemimpin negara. Pemimpin masyarakat. Pegawai tinggi kerajaan. Orang-orang yang terhormat ini tidak gilakan hiburan rancak seperti rock. Tidak gilakan muzik tanpa mengira batas. Mereka mengerti muzik hanya untuk hiburan. Mereka tahu batas-batas rasmi. Batas-batas formal. Batas-batas berprotokal. Batas-batas kesopanan. Mereka mengerti sensitiviti yang perlu dijaga.
Saya melihat kegilaan kepada muzik semakin tidak menentu. Di majlis-majlis perkahwinan banyak benar bentuk hiburan ini. Kadang-kadang ada orkestra kampung. Ghazap parti. Karaoke dan bermacam-macam lagi. Karaoke mungkin yang paling besar pengikutnya. Tua muda, lelaki perempuan, tuan rumah dan tetamu seperti ditarik besi berani untuk berkaraoke. Terbius dengan tarikan muzik untuk menyanyi.
Barangkali ramai yang lupa bahawa majlis perkahwinan adalah acara agama. Ya acara agama. Ia bukan acara sosial. Ia bukan acara gila-gila. Ia bukan acara santai. Ia acara agama. Pernyataan kegembiraan kerana rezeki Allah. Kerana tuan rumah menerima menantu. Kerana jemputan berkongsi kegembiraan itu. Ia sesuatu yang syahdu. Makluman kepada saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai bahawa tuan rumah mendapat ahli baru melalui semenda. Menerima menantu baru yang meramaikan keluarga itu. Sayang, muzik mencemarkan barakah majlis itu. Cemarnya majlis agama yang sepatutnya dijaga.
Begitu juga bila diadakan majlis jamuan hari raya. Bukankah itu majlis agama? Lihatlah di mana-mana. Kita mungkin menemui muzik di majlis rumah terbuka. Bukan sahaja di rumah artis. Banyak muzik di rumah pembesar. Di rumah pemimpin. Di rumah orang kaya. Aduhai! Hiburan dan muzik. Penjajahannya merata. Dari benua ke benua. Dari utara ke selatan. Dari timur ke barat. Menanglah Yahudi. Berpestalah iblis dan syaitan.
Orang-orang yang bijaksana. Yang bestari. Yang tinggi ilmunya. Buatlah penilaian yang wajar. Intelektuil sepatutnya melampaui kegilaan yang tidak seberapa manfaatnya. Agama sebagai ad-din sepatutnya mengatasi segala yang lain. Atas alasan apa sekalipun. Kembalilah ke jalan lurus yang telah ditentukan. Tiada jalan lain yang lebih lurus. Hedonism bukan cara kita. Bukan jalan kita.