Urusan anak ke IPT bermula dengan anak sulung pada tahun 1990. Anak kedua pada tahun 1991. 7 tahun kemudiannya saya berihat. Anak ketiga ke IPT pada tahun 1998. yang keempat 1999. Yang kelima 2002. Yang keenam 2006. Yang ketujuh 2006 (lompat kelas). Yang kelapan 2008 dan yang kesembilan 2010. Satu proses yang agak panjang menjangkau masa selama 20 tahun. Seorang sahabat meramalkan bahawa anak-anak saya kesemuanya akan ke IPT. A Syukur alhamdulillah, Allah memberi segala kemudahanNya. Mudah-mudahan Allah memelihara anak-anak saya. Jadilah mereka anak-anak yang soleh dan solehah. Begikutlah nanti cucu dan cicit saya menjadi keturunan yang soleh dna solehah.
Tanyalah semua ibu dan bapa. Jawapannya pasti serupa. Penat mengurus anak. Tetapi sentiasa teruja dengan kejayaan dan harapan masa hadapan yang penuh janji kebahagiaan. Penuh dengan kesejahteraan. Peluang pekerjaan yang sentiasa terluang. Pendapatan yang cukup melapangkan. Berbaloi penat yang dulu perih otot meregang. Kepuasan yang menempa ruang mendepang.
Apabila kesemuanya membuahkan hasil bahagia tentulah ibu bapa yang turut bahagia. Sejuk ibu yang mengandungnya. Tenang hati yang penuh doa. Harapan yang selalu dipanjatkan kepada Allah. Memohon jadikan anak-anak sebagai yang terbaik untuk dirinya, keluarganya, masyarakatnya, agamanya, Rasulnya dan untuk Allahnya. Itulah harapan ibu bapa terhadap anak-anaknya. Jadilah orang beragama. Paras rupa cukup sekadar ada. Kekayaan cukup seberapa ada. Keturunan dan nasab dijaga. Agama jangan sekali-kali tergadai kerana dunia. Itulah jambatan ke akhirat yang tiada dua atau tiganya.
Sebenarnya saya sudah lama berpisah dengan anak-anak. Apabila mereka memasuki asrama seawal tingkatan satu maka episod berpisah itu bermula. Lima tahun mereka pergi dan balik. Jia balik hanya dua atau tiga hari. Paling panjang cuti hujung tahun. Itu lima tahun yang pertama. Selepas peperiksaan SPM barulah mereka duduk di rumah untuk jangkamasa enam bulan. Anak saya jarang yang bekerja selepas periksa SPM. Kebanyakannya di rumah. Belajar mengurus rumah. Baik yang lelaki mahupun yang perempuan.
Selepas SPM bermula fasa kedua. Bila di IPT kembalinya semakin kurang kerap. Cuti semester mungkin ada kelas semester ketiga. Maka mereka jarang ditemui. Jarang bersama. Jarang di depan mata. Sesekali mereka muncul. Sesekali mereka dijenguk. Hanya telefon menyambung suara. Sms menyampai rasa. e-mail mengutus bicara. Atau berdoa di angin lalu. Sejahteralah kau semuanya. Allah memeliharamu.
Episod ini nantinya bersambung dengan peristiwa-peristiwa perjalanan hidup seorang anak. Nantilah dalam cerita yang lain. Suasana yang lain. Kta akan santai dan sembang lagi.
Bisalah, di mana-mana IPT, bila mendaftar anak berlakulah kesesakan yang melampau-lampau. Banyak benar stesen yang perlu disinggahi oleh pelajar dalam proses mendaftar. Maka kalutlah keluarga yang menghantar. Bukan anak tidak boleh pergi sendiri. Berdikari. Tetapi itulah budaya kita. Budaya kekitaan dan kebersamaan. Budaya keluarga dan kasih sayang.
Bagi kebanyakan keluarga, itu mungkin anak yang pertama atau yang bongsu. Atau anak lelaki yang pertama atau anak perempuan yang pertama. Perasaan kehilangan kepada ibu bapa sangat tebal. Nanti bertangis-tangisanlah anak dan ibu. Banyaklah tisu yang terbuang. Basahlah lengan baju mengesat air mata. Sejuklah pipi dirembas air mata. Berkacalah mata bergenang air mata. Air mata d sana air mata di sini. Bagai banjir di mana-mana kampus.
Saya pernah menguruskan kemasukan pelajar. Saya cuba cadangkan cara yang paling ringkas. Pelajar datang melaporkan diri, mengambil kunci asrama, pergi ke asrama, selesai. Ibu bapa boleh balik kerana mereka tahu anak mereka sudah settled. Hal-hal yang dinamakan pendaftaran rasmi dibuat pada hari esoknya. Ketika itu tiada hal yang menyusahkan ibu bapa. Mereka sudah boleh tidur nyenak di rumah. Mereka yakin anak mereka sudah selamat di IPT masing-masing. Saya alami hal tersebut di Universiti Malaya pada tahun 1975 dahulu. Tiada siapa yang menghantar saya. Isteri dan anak-anak sayapun tidak. Saya pergi sendiri. Terus mendaftar di asrama seperti diarahkan dalam surat tawaran. Urusan yang lain-lain dibuat pada hari esoknya, lusa, tulat dan langkat. Seminggu penuh. Dibuat berperingkat-peringkat yang tidak menyusahkan dan tidak memenatkan. Minggu suaikenal atau orientasi bebar-benar memandu pelajar mengetahui selok belok berada di IPT. Bersedia untuk bertempur dalam alam akademik.
Malangnya, malangnya ramai orang besar IPT yang banyak prangsangka. Mereka lebih banyak percaya kepada tradisi lama, konventional. Saya banyak kali mendaftarkan anak. Saya tahu kalutnya proses mendaftar itu. Saya tahu keletihan yang dihadapi ibu bapa. Saya maklum tekanan perasaan dan menahan kesabaran. Banyak proses yang boleh dipermudahkan. Namun adat banyak dipertahankan. Dalam pada itu pembesar suara sangat membingitkan telinga. Tidak berhenti-henti memberi arahan. Tidakkah itu memenatkan? Yang memegang mikrofon seronok pula mengulang-ngulang suara. Keadaan menjadi terlalu teknikal. Ibu bapa hendak berbualpun menjadi sukar.
Barangkali sentuhan peribadi perlu dibuat. Permudahlan semua proses yang boleh boleh.
1 Bayaran yuran dibuat di bank sebelum hari pendaftaran. Bawa slip bayaran sahaja.
2 Sediakah arahan secara senarai semak.
3 Sediakan carta alir supaya mudah difahami proses yang pertama hingga proses yang kedua, ketiga, keempat hingga ke akhir.
4 Sediakan kanopi dan kerusi yang benar-benar mencukupi dalam ruang yang lebih lapang. Dalam keadaaan yang harinya semakin panas, sukar menerima kedudukan kerusi yang terlalu rapat antara baris dan antara kerusi. Bercampur baur pula antara pelajar dengan ibu bapa. Antara lelaki dan perempuan. Serba menyulitkan.
5 Sediakan AJK untuk mengawal keadaan. Sentuhan peribadi, budi bahasa yang sopan lebih baik dari menggunakan peralatan elektronik yang menjadi terlalu rasmi dan teknikal.
6 Di setiap setesen perlu hadir staf pentadbiran dan akademik untuk mengawasi perjalanan pendaftran dan untuk memantau tugas AJK berjalan seperti seperlunya. Bila ada masalah hanya pegawai sahaja yang boleh membuat keputusan, bukan AJK yang terdiri daripada pelajar-pelajar Asasi yang seniour sahaja. Kematangan dan kewarasan pada mereka belum boleh mengganti pegawai dan pensyarah.
Perlu diketahui bahawa ada ibu bapa yang datang awal sehari atau dua hari. Mereka bermalam kerana rasa teruja. Yang datang dari jauh tentulah banyak prosedur yang telah dilalui. Penat sudah tidak boleh diungkapkan. Betis dan kepada lutut tentu seperti tercabut. Pinggang bagi yang memandu sengal-sengal juga. Wang ringgit sudah mengalir seperti air. Keringat membasahi baju. Letih lesu jangan dikira lagi. Yang membawa bekal makan di mana-mana. Yang lain kelaparan memanjang. Selagi anak belum tentu bilik dan katilnya selagi itulah keadaan menuntut kesabaran.
Memang semuanya menggembirakan sebelum hari pendaftaran. Proses pendaftaran yang selalunya merosakkan mood pendaftran yang dijangka menyeronokkan. Proses panjang yang meyulitkan perlu dibataskan. Biarlah ibu bapa menghantar anak dalam waktu yang sesingkat mungkin. Kampus dan laluan yang ada tidak sesak memanjang. Jika pendaftarn terus di asrama, rasanya prosesnya hanya sejam atau dua sahaja. Tidaklah memanjang berjam-jam. Lebih lama lebih rumit, lebih sesak, lebih hilang sabar, lebih banyak marah, lebih banyak pembesar suara mengulang-ngulang suara. Letih memandang kesibukan. Bingit mendengar kebisingan. Lemas dengan orang yang semakin banyak dan tidak surut-surut.
Buatlah pembaharuan. Ringkaskan proses pada hari pertama. Lapor terus ke asrama masing-masing. Habis cerita. Ibu bapa boleh balik. Ringkas seringkasnya.
Anak sekarang telefon tidak terlepas dari tangan.
Walaupun hanya untuk seminggu, semua yang ada hendak dibawa bersama. Minggu hadapan berpindah pula ke Nilai.
Sedang tercari-cari ayahnya yang sukar dikenalpasti bila dalam keadaan ramai. Dah mula jadi anak kampus. Yang bonsu baru berumur 17 tahun sebab lahirnya 31 Disember 1992. Biar lebih cepat berdikari.
Bila ramai begini, di manapun boleh. Duduklah di mana perlu.
Awal pagi begini, kehadiran masih belum menyesakkan keadaan. Banyak lagi ruang. Sejam selepas itu keadaan mula menyesakkan.
Sampailah di asrama. Bagi yang belum biasa istilah mahallah agak asing bunyinya. Bermulalah nanti belajar Bahasa Arab. Di samping semua kuliahnya dalam Bahasa Inggeris. Semasa asasi ini diwajibkan pula pandai mengaji Al-Quran.
Di mahallah Khadijah ini mudah-mudahan anak ini mendapat semangat Khadijah yang perihatin, penyayang, menyakini Islam, kekasih setia, isteri mithali, rela berkorban apa sahaja untuk Islam dan untuk Allah.
Bilik ini dihuni berempat. Pandai-pandailah berkongsi ruang. Toleransi kenalah tinggi. Banyak pengorbanan bila berkongsi ruang. Seorang dari teman sebiliknya datang dari Jitra, Kedah.
Belajarlah hidup berdikari. Pengalaman di asrama di sekolah menengah sudah cukap mendewasakan untuk hidup yang sebenarnya di asrama.
Merenung kembalai sepanjang perjalanan. Kembara seorang bapa. Tidak sejelas peranan ibu. Tetapi berat di bahunya kerana pengakhir sesebuah keluarga terletak di bahunya. Tiada siapa yang boleh menggantikan tempatnya. Wali untuk anak-anaknya. Di bahunya sepenuh tanggungjawab keluarga. Dari dunia hingga ke akhirat.
Kehadiran kakaknya yang kelima ini sekadar menghibur suasana. Kakaknya dulu pernah di sini. Lama dahulu. Diapun sudah bekerja selama beberapa tahun. Adiknya menyambung tradisi.
Mereka datang dari jauh. Ada yang bermalam. Ada yang bertolak malam. Sepatutnya urusan mendaftar dipendekkan dan diringkaskan.