Tuesday, March 29, 2011

Anak Kecil yang Dididik


Sejak ada ASTRO di Malaysia banyak input hiburannya. Kanak-kanak  boleh duduk di hadapan TV sehingga tertidur. Sepanjang masa ada program untuk mereka. Ada saluran khas. Bukan satu. Banyak. Ada cartoon network, Disney. Dan banyak lagi. Cucu lelaki saya ada yang sebati dengan Thomas and Friends. Dalam rangkaian TV nasional ada juga kartun. Biasanya pada hujung minggu memanjang siarannya. Pada hari lain tidak banyak sangat. Takut mengganggu mereka agaknya. Hari sekolah. Banyak kerja rumah. Saya teringat sejak dulu ada beberapa program kanak-kanak. Sesame street yang paling popular. Diikuti pula dengan 3-3-1 contact dan ada beberapa siri lain. Malangnya ianya disiarkan seminggu hanya sekali. Rancangan yang siarannya untuk mendidik kekal hanya sebagai hiburan. Seminggu sekali. Selepas seminggu mereka lupa sequelnya. Urutannya hilang. Pendidikan yang sepatutnya latih tubi tidak mengesankan jadinya. Mungkin saya sudah ketinggalan zaman.  Tidak saya dengar cucu-cucu saya bercerita mengenainya. Cerita-cerita yang lain terlalu banyak.

Untuk kanak-kanak, apa yang penting sebenarnya?  Memang kanak-kanak gemarkan hiburan. Orang dewasa yang sewajarnya merencanakannya menjadi santai, menghibur tetapi menusuk ke jiwa mereka. Orang dewasa yang memikirkan kesemua yang terbaik untuk kanak-kanak yang kita sayangi. Tentu sahaja kanak-kanak tidak mampu menerima sesuatu yang berat kerana ketidakmampuan mereka mencanai fikiran. Mereka masih mentah. Masih naïf. Masih lemah mental. Kapasiti untuk berfikir jauh dari yang diperlukan. Oleh yang demikian hal-hal yang berat itu dikategorikan. Yang berat dipecah-pecahkan. Diagih-agihkan. Digarap sedikit demi sedikit. Dengan cara demikian hal-hal yang susah jangan disusahkan. Ringankan. Santaikan. Orang dewasa yang mengetahui kedudukan perkara. Kanak-kanak yang daif itu tidak boleh dibebankan sehingga mereka kehilangan rentak sebagai kanak-kanak. Berilah mereka kesempatan membesar sebagai kanak-kanak normal. Berilah mereka hak untuk  membesar secara normal. Zaman kanak-kanak tidak boleh diulang. Bila masa berlalu mereka merindui zaman yang mereka tinggalka itu. Jika mereka dinafikan hak sebagai kanak-kanak mereka kehilangan diri mereka. Memang kita mahukan mereka matang cepat. Bila kita fikir kembali untuk apa dipaksa begitu. Beri kelonggaran agar hidup ini membahagiakan.

Itu yang saya lihat di US. Children are treated as children. Mereka hidup dan membesar sebagai kanak-kanak. Segala kemudahan disediakan untuk mereka. Sekolah adalah keutamaan. Kemudahan sosial adalah kedua. They grow educationally as well as socially.  Cuba lihat di sekeliling kita.  Hingga di IPT kita masih berbincang tentang kemahiran insaniah. Social skills. Sepatutnya di rumah dan di sekolah rendah perkara ini sudah selesai. Di IPT mereka diasah inteleknya. Menperhalusi ilmu. Meneroka jauh melampaui kemampuan biasa. Jika di IPT kita masih sibuk dengan kemahiran insaniah kita jadi teragak-agak untuk maju ke hadapan. Kaki kita dirantai ke belakang supaya sukar maju ke hadapan. Bukan IPT yang mesti dibebankan untuk membina kemahiran insaniah ini.  Sudah terlalu lambat. Pada peringkat ini mereka sepatutnya sudah highly skillful dalam komunikasi. Lisan dan tulisan.

Saya ingin kembali ke prasarana pendidikan prasekolah di US. Program seperti Sesame Street, 3-2-1 Contact dan Pinwheel disiarkan setiap hari. Sekali pada waktu pagi hingga tengahari. Diulang selepas tengahari hingga pukul 5.00 petang. Esoknya program yang sama diulang-ulang lagi. Program yang sama diulang hari demi hari hingga seminggu lamanya. Dari hari Isnin hingga hari Jumaat. Minggu berikutnya barulah ditayangkan siri berikutnya. Selepas satu pusingan (setahun selalunya) siri itu diulang-ulang lagi. Secara psikologi ini adalah latih tubi. Indoktrinasi. Propaganda. Mungkin brainwashing to some extent. Kanak-kanak didesak dan diasak dengan hal yang sama secara berulang-ulang. Penyampaiannya diolah dalam bentuk muzik. Dalam bentuk nyanian. Dalam rima-rima yang mengesankan kanak-kanak. Sistem bunyinya bukan sebarangan. Tarian yang dicipta adalah yang lumrah dibuat kanak-kanak.

Sifat-sifat inkuisitif atau inkuiri itu dibangunkan sehingga mereka sebenarnya belajar sambil bermain. Sambil menyanyi. Sambil menari. Melaluinya mereka express diri mereka.  Melahirkan rasa hati sesantai mungkin. Membina kemahiran berkomunikasi. Timbul sifat berani. Sikap menyumbang. Kerjasama. Memimpin. Banyak rancangan TV di US yang membabitkan kanak-kanak. Mereka dicungkil bakat berfikir. Bakat menyatakan perasaan. Bakat berpidato. Bakat melahirkan hal-hal yang ada dalam diri mereka. Latihan dan latihan untuk mereka membesar untuk menjadi warganegara yang lebih terbuka. Lebih waras. Lebih santai.

Kita ambil satu aspek geometri. Di US geometri dianggap sangat penting. Dari sejak kecil lagi kanak-kanak mereka didedahkan dengan konsep-konsepnya. Lihat sahaja Sesame Street. Istilah triangle diperkenalkan untuk kanak-kanak berumur tiga tahun atau lebih muda dari itu.  Konsepnya diterangkan tiga sisi. Saiznya ada besar dan ada kecil. Ada warna yang berbagai. Ada barang yang berbagai. Triangle bukan semata-mata istilah akademik. Geometri yang dipelajari di sekolah. Geometri, algebra, statistik, trigonometri dan yang lain-lainnya memang sangat akadmik. Sangat sukar diperkenalkan. Sukar memahaminya. Di US hal itu bukan suatu masalah. Para psikologisnya telah memikirkan kaedah untuk memudahkannya. Jadilah nyanian. Jadilah tarian. Jadilah sketsa-sketsa. Kesemuanya menghiburkan. Matlamatnya tetap pendidikan. Untuk memandaikan. Membestarikan.  Mereka bersusah payah untuk mendidik kanak-kanak mereka supaya apabila mereka dewasa mereka tidak menyusahkan generasi sebelum mereka dan tidak juga menyusahkan generasi selepas mereka.

Saya kadang-kadang jadi keliru. Di negara membangun seperti Malaysia TV adalah sesuatu yang  terlalu komersil. Pukul 8.00 hingga pukul 1000 malam dikira waktu puncak. Maka yang diutamakan ialah rancangan with maximum viewers. Kuncinya wang, ekonomi, keuntungan. Sukar  memahami jika TV kerajaan juga berlumba-lumba ke arah itu. Seolah-olah tanggungjawab sosial sudah tidak penting. Pendidikan bukan keutamaan. Rasanya terlalu banyak program TV yang tidak sinonim dengan aspirasi  melahirkan generasi unggul. Itu belum cerita apa yang berlaku di luar sana. Masing-masing ada agenda. Keutamaannya hanya keuntungan semata-mata. Akhirnya banyak idealism yang terabai. Keunggulan yang hanya tinggal istilah.

Pendidikan bukan hanya tanggungjawab kerajaan. Semua orang bertanggungjawab ke atasnya. Peratus sumbangan itu yang berbeza. Nisbahnya  berbeza. Keutamaannya berbeza. Di rumah dari sejak lahir, ibu bapa yang bertanggungjawab. Bila sampai usia bersekolah , guru pula yang bertanggungjawab. Prasarana pula kerajaan yang bertanggungjawab. Kesemuanya, setiap satu daripadanya, mestilah menyumbang secara segerak. Synchronized. Integrated. Complementing each other.  Pendidikan bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kita bukan lagi di zaman tradisi dahulu. Sekarang kita dalam era yang lain. Era yang penuh cabaran teknologi, sosial, ekonomi dan hubungan antarabangsa. Dunia kita seperti sudah sempit. Manusia ingin meninggalkan bumi. Mencari planet lain yang mungkin menjadi bumi kedua. Only us, bogged down with our ownself.

 Kita tenggelam dalam dunia kita sendiri. Semua yang ada di sekeliling, kita pertahankan. Sedangkan dunia di luar sana sudah berubah. Dunia kita bukan seaman dulu. Bukan sedamai dulu. Bukan seselesa dulu. Gempa di mana-mana. Letusan gunung berapi boleh berlaku bila-bila. Tsunami melanda tanpa dikata derita yang selepasnya. Hujan dan ribut jangan dikata. Banjir melanda memusnahkan harta benda. Apapun kita masih di bawah tempurung kita sendiri. Sangat selesa hingga tidak melihat keluar. Di luar yang penuh dengan mala petaka. Dunia sedang kacau tetapi kita masih leka.