Bulan Mei 1986. Saat-saat terakhir sebelum pulang ke Malaysia. Masa dan kos banyak menghalang saya dan keluarga untuk menjelajah bumi US yang sangat luas. Walau bagaimanapun kami berusaha untuk ke ibu negara US itu. Terus pula ke bandaraya terbesar iaitu New York. Perjalanan memang jauh tetapi pemgalaman berada di jalanraya di sana sangat memuaskan. Perjalanan menjadi mudah kerana banyak peta yang tepat. Banyak pula petunjuk yang boleh dipercayai. Lanskap jalanraya sangat membantu pemandu walaupun untuk kali pertama. Mereka bukan simpati kepada orang yang pertama kali melalui sesuatu jalanraya. Yang lebih hebat ialah sifat empati mereka. Mereka selalu meletakkan diri mereka sebagai orang yang dalam kepayahan. Hasilnya mereka anggap apa yang mereka lakukan sebagai membantu diri mereka sendiri. Semua yang susah menjadi senang. Sifat ingin menolong sangat dekat di hati mereka.
Kami menyewa sebuah van muatan tujuh orang dewasa. Yang kami isi 10 orang kesemuanya. Enam kira dewasa. Empat lagi kanak-kanak. Anak saya lima orang. Dua kira dewasa. Yang sulung 13 tahun sementara yang kedua berusia 12 tahun. Tiga lagi kanak-kanak. Kebetulan bersama saya ialah pelajar wanita berstatus ibu tunggal. Anaknya seorang. Jadilah empat orang kanak-kanak. Seorang lagi pelajar wanita yang masih berstatus sendiri. Saya bertujuh beranak. Tambah tiga orang lagi jadilah 10. Van Mazda yang kami sewa agak selesa untuk kami bersepuluh. Lebuhraya mereka memang jempolan. Penyelenggarannya tip-top. Tiada keraguan. Komitmen mereka terhadap pengguna jalanraya cukup tinggi. Maka pada pagi suatu hari Jumaat itu kami bertolak dari Pittsburgh menuju Washington DC. DC ialah District of Columbia. Ibu negara Amerika Syarikat seperti Putrajaya, Canberra di Australia. Kota Iskandar di Nusa Jaya, Johor mengambil semangat itu. Dari pukul 9.00 pagi di Pittsburgh kami sampai di Washington kira-kira pada pukul 10.00 malam. 13 jam perjalanan termasuk sesatnya sekali.
Kami ingin bermalam di rumah seorang diplomat Malaysia yang bernama Azizan. Rakan saya yang ibu tunggal itu kenal dengan isteri Azizan. Dalam perbualan mereka rumah Azizan dikatakan terletak di sebuah tempat yang namanya sebagai Selchus. Dengan keyakinan yang tinggi kami rentas leburaya ke Washington. Saya rujuk dalam peta. Nama Selchus itu tidak ada. Namun keberanian mengatasi ketidaktahuan. Mungkin di washington nanti tempat itu ditemui. Pada tahun 1986 lebuhraya di sana sudah lebar-lebar belaka. Ada yang empat lorong. Ada yang lima lorong. Oleh kerana terasa jauh saya pandu di lorong tengah. Malangnya trafik di sana bukan seperti di sini. Lambat dan tidak sesak. Di sana setiap masa sesak sahaja. Kerana itu saya terlepas simpang keluar arah ke Washington. Apa nak buat. Terkial-kial mencari exit yang berikutnya. Terjumpalah juga exit itu. Masalah lain pula timbul. Exit itu kira-kira 50 batu dari Washington. 80 kilometer. Mana jalan yang hendak diikut. Kerana rasa tiada cara lain yang lebih praktikal maka saya singgah di sebuah balai polis.
Dengan santai saya menuju ke kaunter.
Hi! Officer. I’m lost.
I know, jawabnya.
Tanpa apa-apa alasan tiada siapa yang ke balai polis. Melihat saya membawa van yang sarat dengan penumpang polis itu sudah membuat agakan yang tepat.
What can I do for you? Tanyanya.
I’m looking for a place called Selchus.
Let’s see if I can help you.
Kami merenung peta besar yang ada di balai itu. Dari segenap penjuru kami perhati. Mana ni? Letih juga hati saya bertanya. Ketika itu hari sudah pukul 5.00 petang. Polis di kaunter minta maaf kerana tidak dapat membantu. Walau apapun saya ucapkan berbanyak terima kasih. Kami teruskan perjalanan sehingga sampai di sebuah pasaraya. Dari situ kami menghubungi Azizan. Kami beritahu mercu tanda tempat kami berada. Kami disuruh menunggu hingga dia datang menjemput. Lega hati. Masa itu telefon bimbit belum ada. Semuanya guna public phone bila perlu. Kami dalam perjalanan. Hanya public phone menjadi harapan. Kira-kira pukul 9.00 malam. Bulan Mei masih dingin di sana. Terpaksa kami menunggu di dalam pasaraya itu. Di luar agak sejuk. Apatah lagi ada kanak-kanak kecil pula. Pengalaman yang sama saya lalui di Yong Peng, Batu Pahat. Saya mencari rumah seseorang. Sukar untuk menemuinya. Seseorang pernah mencadangkan supaya jika sesat saya ke balai bomba. Benar, balai bomba membantu saya menemui tempat itu. Rupanya peta yang ada di balai bomba lebih terperinci daripada balai polis. Polis menjaga keamanan. Bomba menjaga keselamatan dari kebakaran. Petaka seperti itu perlu dipadamkan dalam masa yang sangat-sangat singkat. Maka bomba pelu ada peta. Peta yang menunjukkan jalan boleh direntas dengan pantas. Nyawa perlu diselamatkan dengan kadar segera.
Dari Azizan baru kami jelas. Nama tempat tinggalnya bukan Sellcus tetapi Falls Church. Memang tidak ditemui dalam peta. Namanya berubah. Iktibar, bahawa jika kita diberikan suatu nama, tanyalah ejaannya. Ejaan mungkin betul tetapi ada orang menyebutnya secara tersasul atau tergeliat lidah. Jika ditanya ejaannya boleh juga ditunjukkan kepada orang lain. Lebih mudah mencari arah yang dituju. Satu kejutan. Apabila saya bertentang mata dengan Azizan saya rasa seperti mengenalinya. Saya bertanya sama ada dia lulusan UM. Dia mengesahkannya. Tahun bila. 75-78 katanya. Sah itulah rakan sekuliah saya di Fakulti Ekonomi dahulu. Dia menceburi bidang diplomatik. Pegawai tadbir dan Diplomatik. Sekarang (1986) di Washington. Biasalah rumah diplomat besar belaka. Dua tingkat. Lengkap semuanya. Hidup sebagai wakil negara asing. Dijaga martabatnya. Malam itu kami dijamu dengan laksa utara. Kali pertama dalam masa lebih setahun saya makan laksa. Lengkap dengan daun selasih (memang banyak di US), daun kesom, timun dan lain-lain bahan yang diperlukan. Di Washington kesemuanya ada. Macam di kampung sendiri.
Sebenarnya di US ibu bapa sahaja yang tidak ada. Yang lain hampir semuanya ada. Tidak ada yang ganjil di sana. Makanan semuanya hampir ada. Jika pandai mencari, tidak ada kerinduan ke kampung halaman. Laksa sudah ada. Lontong ada. Soto ada. Masak asam pedas ke, kari ke, kurma ke semuanya ada. Tanya kepada isteri-isteri pelajar di sana. Pasti ada yang mahir membuatnya. Itu yang saya bawa lengkuas kering, daun kunyit kering, serai kering. Begitu juga dengan segala rempah yang perlu. Maklumlah di sana memang ada. Jika dari Malaysia tentulah mahal. Hendak minta dari rakan-rakan kasihan pula. Bekalan tentu terhad. Jangkamasa di sana lama pula. Masak kenalah dipelbagaikan. Ada jadual tertentu. Alhamdulillah rempah dan bahan yang kami bawa mencukupi selama 18 bulan. Agak selesa dan santai makan di sana. Semuanya home cooked. Tidak pernah jemu. Ada sahaja selera makan. Begitulah suatu perantauan. Sentiasa penuh dengan harapan.